Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Membuat Kemajuan Rohani Penting bagi Anda?

Adakah Membuat Kemajuan Rohani Penting bagi Anda?

“Teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum, memberikan nasihat, dan mengajar.”​—1 TIM. 4:13.

LAGU: 45, 70

1, 2. (a) Bagaimanakah Yesaya 60:22 menjadi kenyataan pada hari ini? (b) Apakah keperluan yang wujud dalam organisasi Yehuwa di bumi?

“KELUARGAMU yang terkecil dan terhina akan menjadi bangsa yang kuat.” (Yes. 60:22) Kata-kata ini sedang menjadi kenyataan pada hari ini. Sesungguhnya, pada tahun kerja penyebaran 2015, terdapat sebanyak 8,220,105 penyiar aktif di seluas dunia! Bahagian akhir nubuat itu yang berkata, ‘Pada masa yang tepat kelak, Aku, Yehuwa, akan melakukannya dengan segera’ harus mendorong semua orang Kristian secara peribadi. Seperti penumpang dalam sebuah kenderaan yang bergerak semakin laju, kita boleh berasa bahawa kerja penyebaran juga semakin berkembang maju. Apakah reaksi kita terhadap peningkatan tersebut? Adakah kita melakukan sedaya upaya sebagai seorang penyiar? Ramai saudara saudari telah memohon untuk berkhidmat sebagai perintis biasa atau perintis sokongan. Tidakkah kita juga bersukacita untuk melihat ramai yang sudi berkhidmat di tempat yang memerlukan penyiar atau meluaskan khidmat mereka dalam aktiviti teokratik lain?

2 Walaupun begitu, lebih banyak bantuan diperlukan dalam sidang. Sekitar 2,000 sidang dibentuk setiap tahun. Jika setiap sidang baharu itu memerlukan 5 penatua, maka sebanyak 10,000 pembantu sidang perlu melayakkan diri sebagai penatua. Hal ini bermaksud bahawa banyak saudara diperlukan untuk memenuhi syarat agar dapat berkhidmat sebagai pembantu sidang. Tidak kira kita seorang saudara atau saudari, sudah tentu kita ingin “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.”​—1 Kor. 15:58.

APA YANG DIPERLUKAN UNTUK MEMBUAT KEMAJUAN ROHANI

3, 4. Apakah yang anda perlukan untuk membuat kemajuan rohani?

3 Baca 1 Timotius 3:1. Kata kerja Yunani yang diterjemahkan sebagai “berusaha” bermaksud menghulurkan tangan untuk menggenggam sesuatu yang mungkin sukar dicapai. Dengan menggunakan perkataan ini, Rasul Paulus menekankan bahawa kita perlu mencurahkan usaha untuk membuat kemajuan rohani. Fikirkan seorang saudara yang ingin menjadi pembantu sidang. Dia sedar bahawa dia perlu memupuk sifat-sifat Kristian untuk melayakkan diri. Lama-kelamaan, apabila dia sudah menjadi pembantu sidang, dia harus terus mencurahkan lebih banyak usaha untuk melayakkan diri sebagai seorang penatua.

4 Begitu juga, saudara saudari perlu mencurahkan usaha untuk mencapai matlamat mereka agar dapat berkhidmat sebagai perintis, ahli Bethel, atau membantu dalam kerja pembinaan Dewan Perjumpaan. Marilah kita lihat bagaimana Firman Tuhan menggalakkan kita untuk membuat kemajuan rohani.

TERUSLAH MEMBUAT KEMAJUAN ROHANI

5. Bagaimanakah kaum muda menggunakan tenaga mereka dalam khidmat Yehuwa?

5 Kaum muda mempunyai tenaga untuk melakukan banyak perkara dalam khidmat Yehuwa. (Baca Amsal 20:29.) Sesetengah kaum muda yang berkhidmat di Bethel membantu mencetak dan menjilid Bible serta bahan bacaan lain. Banyak saudara saudari muda membantu membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Apabila bencana melanda, kaum muda berusaha untuk membantu mangsa-mangsa bencana. Banyak perintis muda belajar bahasa peribumi atau bahasa asing untuk menyebarkan berita baik.

6-8. (a) Bagaimanakah seorang lelaki muda mengubah pandangannya tentang khidmat kepada Tuhan, dan apakah hasilnya? (b) Bagaimanakah kita dapat ‘merasai betapa baiknya Yehuwa’?

6 Anda mungkin sedar bahawa adalah penting untuk berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Namun, pernahkah anda berasa seperti seorang saudara yang bernama Aaron? Walaupun dibesarkan dalam keluarga Kristian, dia mengaku, “Saya berasa bosan untuk menghadiri perjumpaan dan pergi menginjil.” Dia ingin berkhidmat kepada Tuhan dengan bersukacita tetapi dia tertanya-tanya sebabnya dia tidak gembira. Jadi, apakah yang dilakukannya?

7 Aaron melakukan aktiviti rohani seperti membaca Bible, membuat persiapan bagi perjumpaan, dan memberikan komen. Dia juga mula berdoa secara tetap. Seraya kasihnya kepada Yehuwa kian bertambah, dia mula membuat kemajuan rohani. Sejak itu, Aaron menikmati kerja merintis, membantu mangsa-mangsa bencana, dan menginjil di negara asing. Aaron kini merupakan seorang penatua dan berkhidmat di Bethel. Apakah pandangan Aaron terhadap kehidupannya? “Saya telah ‘merasai betapa baiknya Yehuwa.’ Oleh sebab berkat Yehuwa, saya berasa terhutang budi terhadap-Nya dan didorong untuk bergiat dalam khidmat-Nya. Hal ini membawa lebih banyak berkat.”

8 Seorang pemazmur menulis, ‘Orang yang mentaati Yehuwa tidak akan kekurangan apa-apa yang baik.’ (Baca Mazmur 34:9-11.) Sememangnya, Yehuwa tidak pernah mengecewakan mereka yang berkhidmat kepada-Nya dengan bersemangat. Dengan berusaha untuk berkhidmat kepada Yehuwa, kita dapat ‘merasai betapa baiknya Yehuwa.’ Apabila kita menyembah Tuhan dengan sepenuh jiwa, kita akan mendapat kebahagiaan yang tiada bandingnya.

BERTABAH DAN JANGAN PUTUS ASA

9, 10. Mengapakah penting bagi anda untuk ‘menantikan Yehuwa’?

9 Kita mungkin ingin meluaskan khidmat kepada Yehuwa. Tetapi, bagaimana pula jika kita telah menunggu lama untuk mendapat peluang istimewa dalam sidang atau keadaan kita sekarang tidak mengizinkan? Kita mungkin perlu bersabar. (Mi. 7:7) Walaupun Yehuwa mungkin mengizinkan keadaan sebegini, kita boleh pasti bahawa Yehuwa akan menyokong kita. Dahulu, Yehuwa berjanji kepada Abraham bahawa dia akan mempunyai anak. Namun Abraham perlu menunggu bertahun-tahun untuk kelahiran Ishak. Walaupun begitu, dia sabar dan terus memupuk iman terhadap janji tersebut. (Ibr. 6:12-15) Abraham tidak berasa tawar hati dan Yehuwa tidak mengecewakannya.​—Kej. 15:3, 4; 21:5.

10 Memang bukan senang untuk menunggu. (Ams. 13:12) Jika kita hanya memikirkan tentang kekecewaan, kita akan menjadi tawar hati. Sebaliknya, kita boleh menggunakan masa kita dengan bijak untuk memperbaiki sifat-sifat rohani. Terdapat tiga cara untuk melakukannya.

11. Apakah sifat-sifat rohani yang boleh kita pupuk, dan mengapakah hal ini penting?

11 Memupuk sifat-sifat rohani. Dengan membaca dan merenungkan Firman Tuhan, kita dapat memperoleh kebijaksanaan, pengertian, daya penilaian, pengetahuan, serta pemikiran yang baik dan sihat. Sifat-sifat tersebut penting kepada mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang. (Ams. 1:1-4; Tit. 1:7-9) Apabila kita membaca bahan bacaan Bible, kita dapat lebih memahami pemikiran Yehuwa tentang banyak perkara. Setiap hari, kita perlu membuat pilihan mengenai hiburan, cara pemakaian, mengurus kewangan, dan hubungan kita dengan orang lain. Dengan menerapkan apa yang dipelajari daripada Bible, kita boleh membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa.

12. Bagaimanakah ahli-ahli sidang boleh membuktikan bahawa mereka boleh dipercayai?

12 Buktikan bahawa anda boleh dipercayai. Tidak kira kita saudara atau saudari, kita perlu melaksanakan tugasan teokratik dengan sebaik-baiknya. Sebagai gabenor, Nehemia perlu mencari orang untuk memikul tanggungjawab. Siapakah yang akan dilantiknya? Dia memilih orang yang takut akan Tuhan dan boleh dipercayai. (Neh. 7:2; 13:12, 13) Hari ini, mereka yang setia dan bekerja keras akan mempunyai reputasi yang baik dan mungkin diberikan lebih banyak tanggungjawab. (1 Kor. 4:2) Maka, perbuatan baik yang kita lakukan tentu dihargai.—Baca 1 Timotius 5:25.

13. Bagaimanakah anda boleh meniru teladan Yusuf jika anda dilayan dengan tidak adil?

13 Biarlah Yehuwa membentuk anda. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda dilayan dengan tidak adil? Anda boleh cuba menyelesaikan masalah itu dengan segera. Namun dengan membela diri, anda mungkin memburukkan lagi keadaan. Fikirkan contoh Yusuf. Abang-abang dia melayannya dengan teruk, tetapi dia tidak menyimpan dendam. Yusuf juga dipenjarakan atas tuduhan palsu. Walaupun demikian, dia membiarkan Yehuwa membimbingnya dalam situasi yang sukar. Hasilnya, firman Yehuwa telah membentuknya. (Mzm. 105:19) Melalui pengalaman itu, sifat-sifat Yusuf dimurnikan dan dia layak melaksanakan kerja yang lebih penting. (Kej. 41:37-44; 45:4-8) Apabila anda menangani masalah yang menyakitkan hati, berdoalah untuk kebijaksanaan, bertindaklah dan bercakaplah dengan lemah lembut, dan mintalah kekuatan daripada Yehuwa. Yehuwa pasti membantu anda.​—Baca 1 Petrus 5:10.

MEMBUAT KEMAJUAN DALAM KERJA PENYEBARAN

14, 15. (a) Mengapakah kita harus “memberikan perhatian” terhadap cara kita menginjil? (b) Bagaimanakah anda dapat mencapai lebih banyak orang? (Lihat gambar pada permulaan rencana, dan kotak “ Sudikah Anda Mencuba Kaedah Lain?”)

14 Paulus memberitahu Timotius, “Teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum, memberikan nasihat, dan mengajar. Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.” (1 Tim. 4:13, 16) Timotius merupakan seorang penyiar berpengalaman. Namun, dia harus terus “memberikan perhatian” terhadap ajarannya supaya kerja penyebarannya membuahkan hasil. Dia tidak boleh berfikir bahawa semua orang akan menyambut kebenaran jika dia hanya menggunakan penyampaian yang sama. Jadi untuk mencapai hati pendengar, dia harus menyesuaikan cara mengajarnya mengikut keperluan orang. Kita juga perlu berbuat demikian.

15 Sering kali, kita tidak dapat berjumpa dengan orang semasa menginjil dari rumah ke rumah. Di sesetengah tempat, kita tidak boleh memasuki pangsapuri dan kawasan yang dikawal. Jika anda menghadapi situasi yang serupa, sudikah anda menggunakan kaedah yang lain untuk menginjil?

16. Mengapakah kesaksian awam membuahkan hasil baik?

16 Kesaksian awam ialah cara yang berkesan untuk menyebarkan berita baik. Ramai saudara saudari mendapat hasil baik menerusi cara ini. Mereka menginjil di stesen kereta api dan bas, di pasar, di taman, dan di tempat awam yang lain. Mereka memulakan perbincangan dengan menyebut tentang berita semasa, memuji anak seseorang, atau menanya soalan tentang pekerjaan mereka. Lama-kelamaan, penyiar membincangkan topik Bible dan melihat reaksi orang tersebut. Biasanya, sebuah perbincangan Bible boleh dimulakan.

17, 18. (a) Bagaimanakah anda boleh menjadi lebih yakin semasa melakukan kesaksian awam? (b) Mengapakah anda harus meniru semangat Daud semasa melakukan kerja penyebaran?

17 Jika anda berasa susah untuk melakukan kesaksian awam, janganlah putus asa. Eddie, seorang perintis di Bandar Raya New York, berasa segan untuk memulakan perbincangan semasa kesaksian awam. Namun lama-kelamaan, dia menjadi lebih yakin. Apakah yang membantunya? Dia berkata, “Semasa penyembahan keluarga, saya dan isteri membuat penyelidikan untuk mencari jawapan kepada bantahan dan pendapat yang diajukan oleh orang. Kami juga meminta cadangan daripada Saksi lain.” Kini Eddie menikmati kesaksian awam.

18 Seraya anda menjadi lebih mahir dan yakin dalam kerja penyebaran, kemajuan rohani anda akan menjadi lebih ketara. (Baca 1 Timotius 4:15.) Selain itu, anda akan memuji Bapa yang di syurga dengan meniru semangat Daud yang berkata, ‘Aku akan sentiasa bersyukur kepada Yehuwa; aku tidak akan berhenti memuji Dia. Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira.’ (Mzm. 34:2, 3) Menerusi kerja penyebaran anda, “orang yang tertindas” berpeluang untuk menyembah Yehuwa bersama anda.

MEMULIAKAN TUHAN DENGAN MEMBUAT KEMAJUAN ROHANI

19. Mengapakah seorang hamba Yehuwa boleh berasa gembira walaupun keadaannya mengehadkan khidmatnya kepada Yehuwa?

19 Daud juga menulis, ‘Semua makhluk ciptaan-Mu akan memuji Engkau, ya Yehuwa, dan segenap umat-Mu akan bersyukur kepada-Mu. Mereka akan menceritakan kemuliaan pemerintahan-Mu sebagai Raja, dan mengisytiharkan keperkasaan-Mu, supaya semua orang mengetahui perbuatan-Mu yang hebat, dan pemerintahan-Mu yang mulia dan semarak.’ (Mzm. 145:10-12) Kata-kata itu jelas menyingkapkan perasaan semua Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, jika anda menghidapi penyakit atau lanjut usia, ingatlah bahawa anda boleh mengongsi kebenaran dengan orang di sekeliling, seperti orang yang menjaga anda. Khidmat suci anda tentu memuliakan Tuhan. Jika anda dipenjarakan kerana iman anda, anda mungkin masih dapat mengongsi kebenaran. Hal ini menyenangkan hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Yehuwa juga gembira kerana anda terus giat dalam aktiviti rohani walaupun keluarga anda tidak menyembah-Nya. (1 Ptr. 3:1-4) Ya, walaupun dalam situasi yang susah, anda dapat memuji Yehuwa dan membuat kemajuan rohani.

20, 21. Jika anda diamanahkan dengan lebih banyak kerja dalam organisasi Yehuwa, bagaimanakah anda boleh membawa manfaat kepada orang lain?

20 Yehuwa pasti akan memberkati anda jika anda terus membuat kemajuan rohani. Dengan mengubah jadual atau gaya hidup, anda akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mengongsi kebenaran dengan mereka yang memerlukan harapan. Tambahan lagi, kemajuan rohani dan semangat rela berkorban anda akan membawa banyak manfaat kepada rakan seiman. Oleh itu, anda akan menerima kasih, penghargaan, dan sokongan daripada mereka.

21 Tidak kira berapa lama kita telah berkhidmat kepada Yehuwa, kita semua masih dapat membuat kemajuan rohani. Namun, bagaimanakah seorang Kristian yang matang dapat membantu orang baharu untuk membuat kemajuan rohani? Kita akan membincangkan topik ini dalam pembelajaran seterusnya.