Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menjayakan Perkahwinan Kristian Anda

Menjayakan Perkahwinan Kristian Anda

“Setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.”​—EF. 5:33.

LAGU: 87, 3

1. Perkahwinan memang mendatangkan sukacita. Namun, apakah yang akan dihadapi oleh mereka yang berkahwin? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

APABILA pengantin lelaki melihat pengantin perempuan, kata-kata tidak dapat menjelaskan perasaan sukacita mereka. Semasa berdating, kasih mereka semakin mendalam sehingga mereka bersedia untuk melafazkan ikrar kesetiaan dalam perkahwinan. Sudah tentu, banyak perubahan diperlukan kerana mereka akan hidup bersama sebagai satu keluarga. Namun melalui Bible, Pengasas perkahwinan, iaitu Yehuwa, memberikan nasihat kepada mereka kerana Dia ingin mereka bahagia. (Ams. 18:22) Walau bagaimanapun, Bible menyatakan bahawa mereka yang berkahwin “akan menghadapi banyak kesusahan.” (1 Kor. 7:28) Bagaimanakah kesusahan ini dapat dikurangkan? Apakah yang boleh menjayakan perkahwinan Kristian anda?

2. Apakah jenis kasih yang perlu ditunjukkan oleh pasangan suami isteri?

2 Bible menekankan kepentingan kasih. Kasih sayang (Yunani, phi·liʹa) diperlukan dalam perkahwinan. Kasih romantik (eʹros) membawa sukacita, dan kasih kepada keluarga (stor·geʹ) diperlukan semasa membesarkan anak-anak. Namun, kasih yang berdasarkan prinsip Bible (a·gaʹpe) merupakan kunci kepada perkahwinan yang berjaya. Mengenai kasih ini, Rasul Paulus menulis, “Setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.”​—Ef. 5:33.

MENELITI PERANAN SUAMI ISTERI

3. Seberapa dalamkah kasih yang patut ditunjukkan antara pasangan Kristian?

3 Paulus menulis, “Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi sidang dan menyerahkan dirinya untuk sidang.” (Ef. 5:25) Pengikut Yesus harus mengasihi satu sama lain sepertimana Yesus mengasihi mereka. (Baca Yohanes 13:34, 35; 15:12, 13.) Kasih antara suami isteri harus mendalam sehingga mereka rela mengorbankan diri bagi pasangan. Namun jika pertengkaran berlaku, sifat mengorbankan diri bagi pasangan mungkinlah perkara terakhir dalam minda mereka. Walaupun demikian, kasih a·gaʹpe dapat “menanggung segala beban, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.” Ya, kasih itu “tidak pernah gagal.” (1 Kor. 13:7, 8, nota kaki) Dengan mengingati ikrar untuk mengasihi satu sama lain dengan setia, pasangan Kristian didorong untuk menerapkan prinsip Bible supaya dapat menyelesaikan masalah.

4, 5. (a) Apakah tanggungjawab suami sebagai kepala keluarga? (b) Apakah sepatutnya pandangan isteri terhadap kepala keluarga? (c) Apakah perubahan yang harus dibuat oleh sebuah pasangan?

4 Mengenai peranan suami isteri, Paulus menulis, “Isteri haruslah taat kepada suami sebagaimana mereka taat kepada Tuan kita. Hal ini demikian kerana suami ialah kepala isteri sebagaimana Kristus ialah kepala sidang.” (Ef. 5:22, 23) Aturan ini tidak bermakna bahawa isteri mempunyai kedudukan yang lebih rendah daripada suami. Hal ini sebenarnya membantu isteri untuk memainkan peranan yang diberikan Tuhan. Tuhan berkata, “Tidak baik manusia [Adam] hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” (Kej. 2:18) Sepertimana “kepala sidang,” iaitu Yesus, menunjukkan kasih, kepala keluarga juga harus menunjukkan kasih. Dengan demikian, isterinya akan berasa selamat dan rela menghormati, menyokong, dan mentaatinya.

5 Kehidupan seseorang berubah selepas berkahwin. Cathy [1] berkata, “Semasa bujang, saya sangat berdikari dan dapat menjaga diri. Selepas berkahwin, saya perlu berubah dan bergantung pada suami. Walaupun hal ini tidak senang, saya semakin erat dengan suami kerana mengikut cara Yehuwa.” Suaminya, Fred berkata, “Membuat keputusan bukannya senang bagi saya. Setelah berkahwin, membuat keputusan bagi dua orang lebih mencabar. Tetapi dengan meminta bimbingan Yehuwa serta mendengar cadangan isteri, hal ini menjadi semakin senang. Saya dan isteri dapat bekerjasama seperti satu pasukan!”

6. Semasa masalah timbul dalam perkahwinan, bagaimanakah kasih menjadi “ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna”?

6 Perkahwinan yang berjaya terdiri daripada dua orang yang bertolak ansur dengan kesilapan satu sama lain. Mereka ‘terus bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati.’ Ya, kedua-dua pihak akan berbuat salah. Apabila hal itu berlaku, mereka berpeluang untuk belajar daripada kesilapan itu, memaafkan satu sama lain, dan menunjukkan kasih yang merupakan “ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kol. 3:13, 14) Kasih juga “sabar dan baik hati. . . . Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai.” (1 Kor. 13:4, 5) Bagi pasangan Kristian, segala salah faham harus diselesaikan dengan segera sebelum hari itu berakhir. (Ef. 4:26, 27) Selain itu, kita harus rendah hati dan berani untuk meluahkan kata-kata seperti, “Saya meminta maaf kerana menyakitimu.” Hal ini sangat membantu untuk mengeratkan hubungan suami isteri dan menyelesaikan masalah.

MEMERLUKAN KELEMAHLEMBUTAN

7, 8. (a) Apakah nasihat Bible mengenai hubungan intim dalam perkahwinan? (b) Mengapakah pasangan suami isteri perlu memperlakukan satu sama lain dengan lemah lembut?

7 Bible memberikan nasihat yang dapat membantu pasangan suami isteri untuk mempunyai pandangan yang seimbang terhadap kewajipan mereka dalam perkahwinan. (Baca 1 Korintus 7:3-5.) Suami isteri harus mempertimbangkan perasaan dan keperluan satu sama lain. Jika isteri tidak dilayan dengan lemah lembut, hal itu membuatnya berasa sukar untuk menikmati hubungan intim. Suami perlu memperlakukan isteri “dengan penuh pengetahuan,” iaitu dengan “memahami mereka.” (1 Ptr. 3:7, nota kaki) Hubungan intim tidak seharusnya dipaksa atau dituntut, tetapi hal itu perlu dilakukan dengan rela. Nafsu seks lelaki biasanya lebih cepat dibangkitkan berbanding wanita, namun suami isteri harus sedar bahawa mereka harus memenuhi keperluan emosi satu sama lain pada masa yang sesuai.

8 Bible tidak menetapkan peraturan mengenai jenis perbuatan asmara yang dibenarkan. Tetapi Bible ada menyebut tentang luahan cinta sebegini. (Kid. 1:2; 2:6) Oleh itu, pasangan suami isteri Kristian harus memperlakukan satu sama lain dengan lemah lembut.

9. Mengapakah mengadakan hubungan dengan orang yang bukan pasangan kita adalah dilarang?

9 Jika kita mempunyai kasih yang mendalam terhadap Tuhan dan orang lain, kita tidak akan membiarkan sesiapa atau apa-apa menjejaskan ikatan perkahwinan kita. Sesetengah perkahwinan menjadi tegang atau terjejas akibat salah satu pasangan ketagihan pornografi. Kita harus menolak apa jua kecenderungan yang boleh menggoda kita untuk mengadakan hubungan dengan orang yang bukan pasangan kita. Perbuatan yang menunjukkan bahawa kita seolah-olah ingin memikat seseorang yang bukan pasangan kita seharusnya dielakkan. Kita harus ingat bahawa Tuhan mengetahui segala fikiran dan perbuatan kita. Maka kita harus bertekad untuk menyenangkan hati-Nya dan tetap murni dalam perbuatan kita.​—Baca Matius 5:27, 28; Ibrani 4:13.

APABILA IKATAN PERKAHWINAN MENJADI TEGANG

10, 11. (a) Seberapa kerapkah perceraian hari ini? (b) Apakah pandangan Bible terhadap perpisahan? (c) Apakah yang dapat membantu suami isteri supaya tidak berpisah?

10 Apabila masalah berlaku dalam perkahwinan, suami isteri mungkin ingin berpisah atau bercerai. Di sesetengah tempat, lebih daripada separuh pasangan yang berkahwin akhirnya bercerai. Memang, perceraian tidak berleluasa dalam sidang Kristian. Walau bagaimanapun, semakin banyak pasangan Kristian menghadapi masalah perkahwinan.

11 Bible memberikan arahan ini, “Seorang isteri tidak patut berpisah dengan suaminya. Namun, jika dia berpisah dengan suaminya, dia harus tetap tidak berkahwin. Jika tidak, dia harus berbaik semula dengan suaminya. Seorang suami juga tidak patut meninggalkan isterinya.” (1 Kor. 7:10, 11) Perpisahan tidak boleh dianggap remeh. Walaupun perpisahan nampaknya dapat menyelesaikan masalah, perpisahan sebenarnya menyebabkan lebih banyak masalah. Yesus mengulangi kata-kata Tuhan bahawa seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya. Kemudian dia berkata, “Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.” (Mat. 19:3-6; Kej. 2:24) Hal ini bermaksud bahawa suami isteri harus memandang perkahwinan sebagai ikatan seumur hidup. (1 Kor. 7:39) Kita harus ingat bahawa kita bertanggungjawab kepada Tuhan. Hal ini harus menggerakkan kita untuk menyelesaikan masalah perkahwinan dengan cepat sebelum hal itu menjadi serius.

12. Apakah yang boleh menyebabkan seseorang ingin berpisah dengan teman hidupnya?

12 Suami isteri yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap pasangan mereka biasanya menghadapi masalah perkahwinan. Apabila impian perkahwinan tidak tercapai, mereka berasa tidak puas, tertipu, dan marah. Mereka mungkin menghadapi masalah kerana mempunyai emosi atau latar belakang yang berbeza. Selain itu, mereka mungkin bertengkar tentang wang, mentua, atau cara membesarkan anak. Namun kebanyakan pasangan Kristian dapat mencari penyelesaian kepada masalah perkahwinan kerana mereka mengikut bimbingan Tuhan.

13. Apakah beberapa alasan munasabah bagi perpisahan?

13 Hanya terdapat beberapa alasan munasabah untuk berpisah. Antaranya ialah pasangan seseorang enggan menyara keluarga, menderanya dengan teruk, atau menghalangnya daripada menyembah Yehuwa. Orang Kristian yang mempunyai masalah serius harus mendapatkan bantuan penatua. Para penatua akan membantu mereka untuk menerapkan nasihat Bible. Semasa menyelesaikan masalah perkahwinan, kita harus berdoa meminta daya aktif Tuhan serta bantuan untuk menerapkan prinsip Bible dan menunjukkan buah daya aktif Tuhan.​—Gal. 5:22, 23. [2]

14. Apakah nasihat Bible kepada orang Kristian yang pasangannya bukan penyembah Yehuwa?

14 Sesetengah orang Kristian sudah pun berkahwin dengan orang yang bukan penyembah Yehuwa. Walaupun begitu, mereka harus terus hidup bersama. (Baca 1 Korintus 7:12-14.) Sebenarnya, pasangan yang bukan Saksi itu telah “disucikan” kerana sudah pun berkahwin dengan seorang penyembah Yehuwa. Anak kecil mereka juga dipandang “suci” dan menikmati perlindungan Tuhan. Paulus berkata, “Hai isteri, bagaimana kamu tahu bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suami kamu? Hai suami, bagaimana kamu tahu bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isteri kamu?” (1 Kor. 7:16) Dalam sidang Kristian, terdapat banyak teladan baik saudara saudari yang telah membantu pasangan mereka menjadi penyembah Yehuwa.

15, 16. (a) Apakah nasihat Bible kepada isteri Kristian yang suaminya bukan penyembah Yehuwa? (b) Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang Kristian ‘jika pihak yang tidak seiman memilih untuk meninggalkannya’?

15 Rasul Petrus menasihati isteri Kristian untuk terus mentaati suami. Dia berkata, “Jika suami kamu tidak patuh kepada firman Tuhan, kelakuan kamu dapat menyebabkan mereka patuh. Kamu tidak perlu berkata apa-apa, kerana mereka sudah menyaksikan kelakuan kamu yang murni dan sikap hormat kamu yang mendalam.” Seorang isteri tidak perlu selalu menginjil kepada suaminya. Sebaliknya, dia boleh membantu suami menerima kebenaran dengan menunjukkan “sikap tenang dan lemah lembut . . . yang sangat bernilai di mata Tuhan.”​—1 Ptr. 3:1-4.

16 Bagaimana pula jika pasangan bukan Saksi ingin berpisah? Bible berkata, “Jika pihak yang tidak seiman memilih untuk meninggalkan pasangannya, biarlah dia berbuat demikian. Dalam keadaan sebegini, seorang saudara atau saudari tidak diwajibkan untuk terus hidup bersama pasangannya yang tidak seiman itu. Tuhan telah memberi kamu kedamaian.” (1 Kor. 7:15) Walaupun perpisahan mungkin membawa kelegaan, pasangan Kristian itu tidak boleh berkahwin semula. Tetapi dia tidak perlu memaksa pasangan yang tidak seiman untuk terus hidup bersamanya. Pasangan Kristian juga boleh berharap bahawa temannya yang bukan Saksi itu akan kembali dan rela memulihkan perkahwinan mereka serta menjadi penyembah Yehuwa.

KEUTAMAAN DALAM PERKAHWINAN

Mengutamakan perkara-perkara rohani dapat menambahkan kebahagiaan dalam perkahwinan anda (Lihat perenggan 17)

17. Apakah sepatutnya keutamaan bagi pasangan Kristian?

17 Kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir” dan mengalami “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Tim. 3:1-5) Namun, dengan mengekalkan kerohanian yang kuat, kita dapat menolak pengaruh negatif dunia. Paulus menulis, “Waktu yang ada hanya tinggal sedikit. Mulai sekarang, orang yang beristeri hendaklah menjadi seperti orang yang tidak beristeri; . . . orang yang menggunakan dunia ini hendaklah menjadi seperti orang yang tidak menggunakan dunia ini dengan sepenuhnya.” (1 Kor. 7:29-31) Paulus bukannya menyuruh pasangan yang sudah berkahwin untuk mengabaikan kewajipan perkahwinan mereka. Memandangkan masa hanya tinggal sedikit, mereka harus mengutamakan perkara-perkara rohani.​—Mat. 6:33.

18. Mengapakah orang Kristian dapat menikmati perkahwinan yang berjaya?

18 Walaupun kita hidup pada masa yang mencabar dan terdapat banyak masalah perkahwinan, kita masih dapat menikmati perkahwinan yang berjaya. Jika kita berpaut erat kepada umat Yehuwa, menerapkan nasihat Bible, dan menerima bimbingan daya aktif Tuhan, hal ini dapat mengekalkan ikatan perkahwinan kita yang telah “disatukan oleh Tuhan.”​—Mrk. 10:9.

^ [1] (perenggan 5) Nama-nama telah diubah.

^ [2] (perenggan 13) Lihat buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, bahagian lampiran, “Pandangan Bible tentang Perceraian dan Perpisahan.”