Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Mengapakah catatan tentang awal kehidupan Yesus di buku Matius dan Lukas berbeza?

Kisah Matius tentang kelahiran dan awal kehidupan Yesus berbeza daripada kisah Lukas, kerana mereka menceritakannya mengikut sudut pandangan yang berbeza.

Matius bertumpu kepada Yusuf, seperti reaksinya semasa mendengar Maria mengandung, apa yang berlaku semasa malaikat muncul dalam mimpinya, dan bagaimana dia menerima penjelasan malaikat itu. (Mat. 1:19-25) Matius juga menceritakan bagaimana Yusuf mengikut arahan malaikat untuk membawa keluarganya ke Mesir, dan kemudiannya kembali ke Israel dan menetap di Nasaret.​—Mat. 2:13, 14, 19-23.

Lukas pula berfokus kepada Maria, seperti masanya Maria dilawat oleh Gabriel, kunjungannya ke tempat Elisabet, dan pujiannya kepada Yehuwa. (Luk. 1:26-56) Lukas juga menyebut tentang kata-kata Simeon kepada Maria mengenai penderitaan yang akan dialami Yesus. Semasa mengisahkan peristiwa yang berlaku kepada Yesus dan keluarganya ketika pergi ke Rumah Tuhan, Lukas memetik kata-kata Maria dan menceritakan bagaimana peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Maria. (Luk. 2:19, 34, 35, 48, 51) Jelaslah, tumpuan Matius adalah kepada kegiatan dan pengalaman Yusuf, manakala Lukas bertumpu kepada peranan dan pengalaman Maria.

Catatan salasilah Yesus yang diberikan oleh dua orang penulis ini juga berbeza. Matius menyebut tentang salasilah nenek moyang Yusuf yang menunjukkan bahawa Yesus ialah anak angkat Yusuf dan pewaris sah takhta Daud, iaitu pewaris yang mempunyai hak untuk memerintah. Mengapa? Kerana Yusuf ialah keturunan Raja Salomo anak Raja Daud. (Mat. 1:6, 16) Tetapi Lukas menyebut tentang salasilah nenek moyang Maria yang menunjukkan bahawa Yesus ialah pewaris sejati takhta Daud, iaitu pewaris yang benar-benar datang daripada keturunan Daud. (Rm. 1:3) Mengapa? Kerana Maria ialah keturunan Natan anak Daud. (Luk. 3:31) Jadi, mengapakah Lukas tidak menyenaraikan Maria dalam catatan salasilah tersebut sebagai anak perempuan Heli? Sebab salasilah rasmi biasanya menyebut tentang nenek moyang sebelah lelaki. Maka apabila Lukas menyenaraikan Yusuf sebagai anak Heli, apa yang dimaksudkan ialah Yusuf merupakan anak menantu Heli.​—Luk. 3:23.

Catatan salasilah yang diberikan oleh Matius dan Lukas jelas menunjukkan bahawa Yesus ialah Mesias yang dijanjikan. Salasilah Yesus dapat dikenal pasti dengan begitu terperinci sehingga orang Farisi dan Saduki pun tidak dapat menafikannya. Kini, kedua-dua catatan salasilah itu merupakan asas yang membentuk iman dan keyakinan kita terhadap janji-janji Tuhan.