Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bekerja Bersama Yehuwa Setiap Hari

Bekerja Bersama Yehuwa Setiap Hari

“Kami ialah rakan sekerja Tuhan.”​—1 KOR. 3:9.

LAGU: 64, 111

1. Apakah sesetengah cara untuk bekerja bersama Yehuwa?

SETELAH menciptakan manusia, Yehuwa mahu mereka bekerjasama dengan-Nya untuk mencapai tujuan-Nya. Biarpun manusia kini sudah tidak sempurna, orang yang setia masih dapat bekerjasama dengan Yehuwa setiap hari. Contohnya, dengan menginjil dan membantu orang menjadi murid Yesus, kita menjadi “rakan sekerja Tuhan.” (1 Kor. 3:5-9) Tidakkah kita berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Pencipta yang maha kuasa dalam kerja yang begitu penting? Namun, itu bukanlah satu-satunya cara untuk bekerja bersama Yehuwa. Rencana ini akan membincangkan beberapa cara lain untuk berbuat demikian, iaitu dengan membantu ahli keluarga dan rakan seiman, dengan bersikap ramah mesra, dengan menawarkan diri untuk projek organisasi, dan dengan meluaskan khidmat suci kita.​—Kol. 3:23.

2. Mengapakah kita tidak patut membandingkan usaha kita demi Yehuwa dengan usaha orang lain?

2 Semasa mengupas rencana ini, janganlah membandingkan diri dengan orang lain. Ingatlah bahawa usia, kesihatan, kebolehan, dan keadaan setiap orang berbeza-beza. Rasul Paulus berkata, “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”​—Gal. 6:4.

BANTULAH KELUARGA DAN RAKAN SEIMAN

3. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa orang yang menjaga keluarganya sedang bekerjasama dengan Tuhan?

3 Yehuwa mahu hamba-hamba-Nya menjaga keluarga sendiri. Contohnya, anda mungkin perlu bekerja untuk menyara orang tersayang. Ramai ibu perlu tinggal di rumah untuk menjaga bayi. Sesetengah orang juga perlu menjaga ibu bapa yang tua dan uzur. Firman Tuhan menyatakan, “Jika sesiapa tidak menyediakan keperluan orang di bawah jagaannya, terutamanya anggota rumah tangganya, dia sudah menyangkal iman dan lebih teruk daripada orang yang tidak beriman.” (1 Tim. 5:8) Oleh itu, jika tanggungjawab keluarga mengehadkan masa yang dapat anda luangkan untuk kegiatan rohani, janganlah tawar hati. Ingatlah bahawa Yehuwa berasa senang hati apabila anda menjaga keperluan ahli keluarga.​—1 Kor. 10:31.

4. Bagaimanakah ibu bapa dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan? Apakah hasilnya?

4 Ibu bapa Kristian yang membantu anak-anak mengejar matlamat rohani juga sedang bekerjasama dengan Yehuwa. Hasilnya, ramai anak-anak Kristian telah berkhidmat sepenuh masa di tempat yang jauh. Ada yang menjadi mubaligh, yang lain merintis di tempat yang lebih memerlukan bantuan, dan ada juga yang berkhidmat di Bethel. Oleh sebab mereka hidup berjauhan, ibu bapa mungkin tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak dengan kerap. Namun, ibu bapa yang rela berkorban menggalakkan anak mereka untuk terus berkhidmat. Mengapa? Mereka sangat gembira dan puas kerana anak mereka mengutamakan Kerajaan Tuhan. (3 Yoh. 4) Ramai antara mereka berasa seperti Hana, yang ‘meminjamkan’ anaknya Samuel kepada Yehuwa. Mereka berbesar hati untuk bekerjasama dengan Yehuwa dalam cara sebegini.​—1 Sam. 1:28, nota kaki.

5. Bagaimanakah anda dapat membantu saudara saudari di sidang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Jika anda tidak mempunyai tanggungjawab keluarga yang mendesak, dapatkah anda membantu rakan seiman yang tua, uzur, atau yang memerlukan bantuan lain? Dapatkah anda membantu saudara saudari yang menjaga mereka? Cubalah perhatikan ahli sidang yang memerlukan pertolongan. Adakah seorang saudari di sidang anda perlu menjaga ibu bapanya yang lanjut usia? Dapatkah anda meluangkan masa bersama mereka supaya saudari itu dapat mengurus hal-hal lain? Dapatkah anda menawarkan diri untuk membantu seseorang, contohnya dengan membawanya ke perjumpaan, untuk membeli barang, atau untuk melawat seseorang di hospital? Semasa berbuat demikian, anda mungkin sedang bekerjasama dengan Yehuwa untuk menjawab doa seorang rakan seiman.​—Baca 1 Korintus 10:24.

SAMBUTLAH ORANG DENGAN RAMAH

6. Bagaimanakah kita dapat menyambut orang dengan ramah?

6 Rakan sekerja Tuhan dikenali kerana suka menyambut orang dengan ramah. Dalam Kitab Yunani Kristian, istilah “menyambut orang dengan ramah” bermaksud “menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang tidak dikenali.” (Ibr. 13:2, nota kaki) Bible mengandungi banyak contoh tentang cara menunjukkan sifat ini. (Kej. 18:1-5) Kita dapat dan harus sentiasa peka terhadap peluang untuk membantu orang, sama ada “yang seiman” atau tidak.​—Gal. 6:10.

7. Apakah manfaatnya apabila anda menyambut pekhidmat sepenuh masa dengan ramah?

7 Dapatkah anda menyambut pekhidmat sepenuh masa dengan ramah? Itulah satu cara untuk bekerja bersama Tuhan. (Baca 3 Yohanes 5, 8.) Keramahan sebegini sering membuka peluang untuk menggalakkan satu sama lain. (Rm. 1:11, 12) Fikirkan pengalaman Olaf. Puluhan tahun lalu, semasa dia masih muda, tiada orang di sidangnya yang dapat menyediakan penginapan untuk penyelia litar mereka yang bujang. Maka Olaf bertanya kepada ibu bapanya yang bukan Saksi jika penyelia litar dapat tinggal bersama mereka. Ibu bapanya setuju, tetapi mereka berkata bahawa Olaf perlu tidur di atas sofa. Olaf tidak menyesali keputusan itu. “Minggu itu sangat seronok!” katanya. “Penyelia litar dan saya bangun awal setiap pagi dan membincangkan banyak topik yang menarik semasa bersarapan. Saya begitu digalakkan sehingga ingin berkhidmat sepenuh masa.” Sejak 40 tahun yang lalu, Olaf telah berkhidmat sebagai mubaligh di beberapa negara.

8. Mengapakah kita patut menunjukkan kebaikan hati walaupun orang tidak menghargainya? Berikan contoh.

8 Terdapat banyak cara untuk berbuat baik kepada orang yang tidak dikenali, biarpun perbuatan anda tidak dihargai pada mulanya. Semasa mengadakan pembelajaran Bible, seorang penyiar di Sepanyol mendapati bahawa pelajarnya Yesica, dari Ecuador, terus menangis. Selepas ditanya sebabnya, Yesica menjelaskan bahawa sebelum berhijrah, dia sangat miskin. Suatu hari, dia kehabisan makanan dan hanya dapat beri bayinya air. Yesica mencuba menidurkan bayinya sambil berdoa meminta bantuan. Tidak lama kemudian, dua orang saudari melawatnya, tetapi Yesica bersikap kasar terhadap mereka. Dia mengoyakkan majalah yang ditawarkan dan bertanya, “Inikah makanan yang harus saya berikan kepada anak perempuan saya?” Mereka cuba menenangkan Yesica, tetapi tidak berjaya. Kemudian, mereka meninggalkan sebakul makanan di depan pintunya. Kebaikan hati mereka membuat Yesica tersentuh, dan dia berasa bersalah kerana tidak mempedulikan jawapan Tuhan kepada doanya. Kini Yesica bertekad untuk menyembah Yehuwa. Kemurahan hati saudari kita telah membawa hasil yang baik!​—Pkh. 11:1, 6.

TAWARKAN DIRI UNTUK PROJEK ORGANISASI

9, 10. (a) Apakah peluang untuk membantu yang terbuka kepada orang Israel kuno? (b) Bagaimanakah saudara-saudara dapat menawarkan diri untuk membantu sidang?

9 Pada zaman kuno, orang Israel ada banyak peluang untuk menawarkan bantuan. (Kel. 36:2; 1 Taw. 29:5; Neh. 11:2) Hari ini, anda juga berpeluang menawarkan masa, harta, dan kemahiran sendiri untuk membantu saudara saudari. Usaha ini akan membawa sukacita dan berkat yang besar.

10 Firman Tuhan menggalakkan lelaki dalam sidang untuk bekerja bersama Yehuwa dengan berkhidmat sebagai pembantu sidang dan penatua. (1 Tim. 3:1, 8, 9; 1 Ptr. 5:2, 3) Saudara-saudara sebegini ingin menghulurkan bantuan rohani dan bantuan praktikal. (Kis. 6:1-4) Pernahkah penatua meminta anda berkhidmat sebagai atendan atau membantu mengurus bahan bacaan, peta, dan sebagainya? Mereka yang membantu dalam tugas-tugas sebegini sangat menikmatinya.

Menyertai projek-projek organisasi Tuhan membuka banyak peluang untuk mendapat sahabat baharu (Lihat perenggan 11)

11. Bagaimanakah seorang saudari dibantu oleh sahabat-sahabat yang dikenalinya semasa projek pembinaan?

11 Para pekerja sukarela sering mendapat sahabat baharu. Margie, seorang saudari yang membantu dalam projek pembinaan Dewan Perjumpaan selama 18 tahun, telah melatih dan membantu saudari-saudari yang lebih muda. Dia mengatakan bahawa projek sebegini merupakan peluang yang baik untuk meneguhkan kerohanian satu sama lain. (Rm. 1:12) Semasa Margie menghadapi kesusahan, sahabat-sahabat yang dikenalinya semasa projek pembinaan telah menggalakkannya. Pernahkah anda menawarkan diri untuk menyertai projek pembinaan? Cubalah khidmat ini, walaupun anda tidak memiliki kemahiran pembinaan.

12. Bagaimanakah anda dapat membantu mangsa bencana?

12 Umat Tuhan juga dapat bekerja bersama Tuhan dengan membantu rakan seiman yang menjadi mangsa bencana. Contohnya, kita dapat memberikan bantuan kewangan. (Yoh. 13:34, 35; Kis. 11:27-30) Selain itu, kita dapat membantu dalam kerja pembersihan atau pemulihan. Gabriela, seorang saudari dari Poland, kehilangan rumahnya akibat banjir. Dia sangat gembira semasa rakan seiman dari sidang-sidang berdekatan datang untuk membantunya. Gabriela berkata, “Saya tidak peduli tentang barang saya yang rosak. Saya bersyukur kerana memperoleh banyak berkat. Pengalaman ini meyakinkan saya bahawa menjadi ahli sidang Kristian ialah penghormatan yang istimewa, yang membawa sukacita dan kebahagiaan.” Ramai mangsa bencana yang menerima bantuan juga berasa begitu, manakala mereka yang bekerjasama dengan Yehuwa untuk menghulurkan bantuan juga berasa puas dan bahagia.​—Baca Kisah 20:35; 2 Korintus 9:6, 7.

13. Bagaimanakah kerja sukarela merapatkan hubungan kita dengan Yehuwa? Berikan contoh.

13 Stephanie dan penyiar lain berpeluang bekerja bersama Tuhan semasa membantu mencari rumah dan perabot bagi para Saksi yang melarikan diri ke Amerika Syarikat akibat peperangan. “Semasa mereka merasai kasih persaudaraan sedunia, mereka sangat gembira dan menghargainya. Kami tersentuh semasa melihat reaksi mereka,” kata Stephanie. “Mereka fikir kami telah bantu mereka, tetapi sebenarnya merekalah yang banyak membantu kami. Kasih, perpaduan, iman, dan keyakinan mereka terhadap Yehuwa telah memperdalam kasih kami untuk Yehuwa dan penghargaan kami terhadap segala pemberian yang disediakan melalui organisasi-Nya.”

LUASKAN KHIDMAT ANDA

14, 15. (a) Apakah sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Yesaya? (b) Bagaimanakah para penyiar dapat meniru sikap Yesaya?

14 Inginkah anda bekerja bersama Yehuwa dengan lebih sepenuhnya? Sudikah anda berpindah ke kawasan yang lebih memerlukan bantuan? Sudah tentu, hamba-hamba Tuhan tidak perlu berpindah jauh untuk menunjukkan sikap murah hati. Namun, keadaan sesetengah saudara saudari mengizinkan mereka untuk berkhidmat di tempat yang lebih jauh. Mereka memiliki sikap seperti Yesaya. Apabila Yehuwa bertanya, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapakah yang rela pergi bagi pihak kita?” dia menjawab, “Inilah aku! Utuslah aku!” (Yes. 6:8) Adakah anda mampu dan rela menolong organisasi Yehuwa? Apakah sesetengah cara untuk membantu?

15 Yesus berkata, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.” (Mat. 9:37, 38) Ya, kita memerlukan banyak pekerja untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. Maka, dapatkah anda merintis di tempat yang lebih memerlukan penyiar? Atau dapatkah anda membantu seseorang untuk berbuat demikian? Ramai saudara saudari berasa bahawa cara terbaik untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain adalah dengan merintis di kawasan yang memerlukan lebih banyak pekerja. Dapatkah anda memikirkan cara yang lain? Apabila anda berikhtiar untuk meluaskan khidmat suci, anda akan menuai sukacita yang berlimpah-limpah.

16, 17. Apakah sesetengah cara lain untuk meluaskan khidmat anda kepada Yehuwa?

16 Adakah anda rela berkhidmat di Bethel atau membantu dalam projek pembinaan, sama ada sebagai pekerja sementara atau pekhidmat ulang-alik? Organisasi Yehuwa sentiasa memerlukan saudara saudari yang rela pergi ke mana-mana sahaja untuk melakukan apa-apa tugas yang diberikan, biarpun mereka mungkin lebih cekap dalam bidang kerja yang lain. Yehuwa menghargai semua orang yang rela berkorban untuk memberikan apa sahaja bantuan yang diperlukan.​—Mzm. 110:3.

17 Adakah anda ingin menerima lebih banyak latihan supaya dapat melaksanakan tugas suci anda dengan lebih mahir? Jika ya, anda boleh memohon untuk menghadiri Sekolah Latihan Penginjil. Sekolah itu melatih pekhidmat sepenuh masa yang matang supaya mereka dapat meluaskan khidmat mereka di kawasan penyebaran. Sesiapa yang menyertai sekolah ini haruslah rela menerima apa sahaja tugasan. Sudikah anda menggunakan peluang ini untuk meluaskan khidmat anda kepada Yehuwa?​—1 Kor. 9:23.

18. Apakah manfaatnya jika kita bekerja bersama Yehuwa setiap hari?

18 Sebagai umat Yehuwa, kita didorong oleh kasih, kebaikan, dan kebaikan hati, untuk bermurah hati dan mengambil berat terhadap orang lain setiap hari. Apabila kita berbuat demikian, kita meraih sukacita, kedamaian, dan kebahagiaan. (Gal. 5:22, 23) Tidak kira apa situasi anda, anda pasti bahagia jika anda meniru kemurahan hati Yehuwa dan berusaha untuk menjadi rakan sekerja-Nya!​—Ams. 3:9, 10.