RENCANA PEMBELAJARAN 33
Yehuwa Memerhatikan Umat-Nya
“Yehuwa selalu memerhatikan orang yang takut kepada-Nya.”—MZM. 33:18.
LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”
PENGENALAN *
1. Mengapakah Yesus meminta Yehuwa untuk melindungi para pengikutnya?
PADA malam sebelum Yesus dibunuh, dia memohon kepada Bapanya untuk melindungi para pengikutnya. (Yoh. 17:15, 20) Sudah tentu Yehuwa sentiasa menjaga dan melindungi umat-Nya. Tetapi, Yesus tahu bahawa para pengikutnya akan menghadapi tentangan yang luar biasa daripada Syaitan. Yesus juga sedar bahawa mereka memerlukan bantuan Yehuwa untuk melawan serangan Syaitan.
2. Menurut Mazmur 33:18-20, mengapakah kita tidak perlu takut semasa berdepan dengan masalah?
2 Orang Kristian hari ini menghadapi tekanan yang besar daripada dunia Syaitan. Cabaran yang kita hadapi boleh membuat kita berasa tawar hati dan bahkan menguji kesetiaan kita kepada Yehuwa. Namun, seperti yang akan dibincangkan dalam rencana ini, kita tidak perlu berasa takut. Mengapa? Kerana Yehuwa sedang memerhatikan kita. Dia nampak cabaran yang kita hadapi, dan Dia bersedia membantu kita untuk menanganinya. Sekarang mari kita lihat dua contoh Bible yang menunjukkan bagaimana Yehuwa “selalu memerhatikan orang yang takut kepada-Nya.”—Baca Mazmur 33:18-20.
SEMASA KITA BERASA KESEORANGAN
3. Bilakah kita mungkin berasa keseorangan?
3 Walaupun kita ada keluarga rohani yang besar, kadangkala kita mungkin berasa keseorangan. Sebagai contoh, kaum muda mungkin berasa keseorangan semasa perlu menjelaskan kepercayaan mereka di depan rakan sekelas atau apabila mereka berpindah ke sidang yang baharu. Sesetengah orang dalam kalangan kita berasa sedih dan perlu bergelut dengan perasaan negatif. Kita mungkin teragak-agak untuk memberitahu orang lain perasaan kita kerana kita risau mereka tidak akan memahami kita. Ada juga yang fikir bahawa tiada orang yang mengambil berat terhadap mereka dan mereka perlu berdepan dengan masalah seorang diri. Perasaan sebegini boleh buat kita rasa risau dan patah semangat. Yehuwa tidak mahu kita berasa begitu. Bagaimana kita tahu?
4. Mengapakah Nabi Elia berkata, “Aku seorang sahaja yang tertinggal”?
4 Perhatikan contoh Nabi Elia. Izebel telah bersumpah untuk membunuhnya, jadi dia perlu melarikan diri untuk lebih daripada 40 hari. (1 Raj. 19:1-9) Akhirnya, semasa dia seorang diri di dalam sebuah gua, dia berseru kepada Yehuwa, “Aku seorang sahaja yang tertinggal.” (1 Raj. 19:10) Sebenarnya, masih terdapat nabi lain di negeri Israel kerana Obaja berjaya menyelamatkan 100 orang nabi agar tidak dibunuh oleh Izebel. (1 Raj. 18:7, 13) Jadi, mengapakah Elia berasa keseorangan? Adakah dia berfikir bahawa nabi-nabi yang diselamatkan oleh Obaja sudah dibunuh? Adakah dia berasa kecewa kerana orang lain tidak menyembah Yehuwa bersamanya selepas apa yang berlaku di Gunung Karmel? Adakah dia berasa bahawa tiada orang tahu atau peduli bahawa nyawanya terancam? Bible tidak menjelaskan perasaan Elia secara terperinci. Namun, kita tahu bahawa Yehuwa memahami sebabnya Elia berasa keseorangan dan mengetahui cara yang terbaik untuk membantunya.
5. Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan Elia bahawa dia tidak keseorangan?
5 Yehuwa membantu Elia dalam beberapa cara. Dia menggalakkan Elia untuk meluahkan perasaannya. Dua kali Dia tanya Elia, “Apakah yang engkau buat di sini?” (1 Raj. 19:9, 13) Setiap kali, Yehuwa mendengar dengan teliti semasa Elia mencurahkan isi hatinya. Selepas mendengar luahan Elia, Yehuwa menunjukkan kuasa-Nya yang perkasa dan meyakinkan Elia bahawa Dia ada di sisinya. Selain itu, Dia meyakinkan Elia bahawa Elia ada banyak rakan seiman di Israel. (1 Raj. 19:11, 12, 18) Sudah pasti Elia rasa sangat lega selepas mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan mendengar jawapan Yehuwa. Yehuwa juga memberi Elia beberapa tugasan yang penting. Dia menyuruh Elia mengurapi Hazael sebagai raja Siria, Yehu sebagai raja Israel, dan Elisa sebagai nabi. (1 Raj. 19:15, 16) Dengan memberi Elia tugasan-tugasan ini, Yehuwa membantunya untuk bertumpu pada hal-hal positif. Yehuwa juga memberi Elia seorang kawan yang baik, iaitu Elisa. Bagaimanakah anda dapat menerima bantuan Yehuwa semasa anda rasa keseorangan?
6. Apakah yang dapat anda doakan semasa berasa keseorangan? (Mazmur 62:8)
6 Yehuwa menjemput anda untuk berdoa kepada-Nya. Dia mengetahui masalah anda dan berjanji untuk mendengar doa anda pada bila-bila masa. (1 Tes. 5:17) Dia suka mendengar doa para penyembah-Nya. (Ams. 15:8) Jadi, apakah yang dapat anda doakan semasa berasa keseorangan? Curahkanlah segala isi hati anda kepada Yehuwa, seperti yang dilakukan Elia. (Baca Mazmur 62:8.) Beritahulah Yehuwa perasaan anda dan mengapa anda berasa begitu. Kemudian, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda tahu apa yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, jika anda berasa keseorangan dan takut semasa perlu memberikan kesaksian di sekolah, mintalah keberanian daripada Yehuwa. Anda juga boleh meminta kebijaksanaan supaya dapat menjelaskan kepercayaan anda dalam cara yang terbaik. (Luk. 21:14, 15) Jika anda sedang bergelut dengan emosi yang negatif, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat meluahkan perasaan anda kepada seorang rakan seiman yang matang. Anda juga boleh berdoa untuk orang yang mendengar luahan hati anda supaya dia memahami masalah anda. Jadi, semasa anda berasa keseorangan, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa, perhatikanlah bagaimana Dia menjawab doa anda, dan terimalah bantuan yang diberikan oleh orang lain.
7. Apakah yang dapat anda belajar daripada teladan Mauricio?
7 Yehuwa telah memberi kita kerja yang sangat memuaskan. Dia melihat dan menghargai segala usaha anda untuk menginjil dan melakukan tugasan dalam sidang. (Mzm. 110:3) Jika anda rasa keseorangan, mengapakah anda patut bergiat dalam hal-hal rohani? Mari kita lihat contoh seorang saudara muda yang bernama Mauricio. * Tidak lama selepas Mauricio dibaptis, kawan baiknya beransur-ansur meninggalkan kebenaran. Mauricio berkata, “Hal itu telah mempengaruhi keyakinan diri saya. Saya rasa saya tidak mampu menunaikan ikrar pembaktian saya dan tetap berada dalam keluarga Yehuwa. Saya rasa keseorangan dan berfikir tiada orang yang memahami perasaan saya.” Jadi apakah yang telah membantu Mauricio? Dia berkata, “Saya meningkatkan usaha dalam kerja penyebaran. Hal itu membantu saya agar tidak bertumpu pada diri sendiri atau perasaan negatif saya. Saya rasa lebih gembira dan tidak begitu keseorangan semasa dapat menginjil bersama orang lain.” Biarpun sekarang kita tidak dapat keluar menginjil bersama rakan seiman, kita dapat dikuatkan semasa menyertai aktiviti seperti memberikan kesaksian melalui surat dan telefon bersama mereka. Apakah hal lain yang telah membantu Mauricio? Dia berkata, “Saya juga tetap sibuk dalam sidang. Saya membuat persiapan yang teliti dan cuba menyampaikan tugasan dengan baik. Semua ini membantu saya rasa dihargai oleh Yehuwa dan orang lain.”
SEMASA KITA SEDANG LEMAS DALAM MASALAH
8. Bagaimanakah cubaan yang berat mungkin mempengaruhi kita?
8 Kita tahu bahawa kita akan menghadapi masalah pada hari-hari terakhir. (2 Tim. 3:1) Namun, kita masih akan terperanjat semasa dilanda masalah yang tidak dijangkakan. Kita mungkin tiba-tiba menghadapi masalah kewangan, masalah kesihatan, atau kehilangan orang tersayang. Pada masa sedemikian, kita mungkin rasa buntu dan celaru, terutamanya jika masalah kita nampaknya berlaku secara bertubi-tubi, atau jika kita perlu menghadapi banyak masalah pada masa yang sama. Namun ingatlah bahawa Yehuwa sedang memerhatikan kita. Dengan bantuan-Nya, kita dapat menghadapi apa sahaja cubaan dengan tabah.
9. Apakah sesetengah cabaran yang dihadapi oleh Ayub?
9 Perhatikan bagaimana Yehuwa membantu Ayub. Ayub menghadapi beberapa cubaan yang teruk dalam jangka masa yang singkat. Dalam sehari, Ayub kehilangan ternakannya, hamba-hambanya, dan bahkan semua anaknya. (Ayb. 1:13-19) Tidak lama selepas itu, semasa dia masih bersedih, Ayub menghidap penyakit yang teruk dan menyakitkan. (Ayb. 2:7) Dia begitu sengsara sehingga berkata, “Aku membenci hidupku; aku tidak mahu hidup lagi.”—Ayb. 7:16.
10. Bagaimanakah Yehuwa membantu Ayub menghadapi cubaan dengan tabah? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
10 Yehuwa mengasihi Ayub dan memerhatikannya. Oleh itu, Dia membantunya untuk bertabah. Yehuwa bercakap kepada Ayub dan mengingatkannya bahawa Dia Maha Bijaksana dan mengambil berat terhadap ciptaan-Nya. Yehuwa juga menyebut tentang beberapa binatang yang menakjubkan. (Ayb. 38:1, 2; 39:9, 13, 19, 27; 40:15; 41:1, 2) Selain itu, Tuhan menggunakan seorang pemuda yang setia, iaitu Elihu, untuk menguatkan dan menggalakkan Ayub. Elihu meyakinkan Ayub bahawa Yehuwa pasti memberkati penyembah-Nya yang tabah. Namun, Yehuwa juga menggunakan Elihu untuk membetulkan fikiran Ayub. Elihu membantu Ayub agar tidak terlalu bertumpu kepada diri sendiri dengan mengingatkannya bahawa manusia sangat kecil berbanding Yehuwa, iaitu Pencipta alam semesta. (Ayb. 37:14) Tambahan lagi, Yehuwa memberi Ayub tugasan untuk berdoa bagi tiga orang rakannya yang berdosa. (Ayb. 42:8-10) Dewasa ini, bagaimanakah Yehuwa memberi kita sokongan semasa kita menghadapi cubaan yang berat?
11. Bagaimanakah Bible membantu kita menghadapi cubaan dengan tabah?
11 Hari ini, Yehuwa tidak bercakap kepada kita sepertimana Dia bercakap kepada Ayub. Namun, Dia bercakap kepada kita melalui Bible. (Rm. 15:4) Dalam Bible, Dia memberi kita harapan tentang masa depan yang cerah. Mari kita lihat beberapa ayat Bible yang dapat menggalakkan kita semasa kita menghadapi cubaan. Contohnya, Yehuwa meyakinkan kita bahawa tiada apa-apa, termasuk cubaan yang teruk, yang ‘dapat memisahkan kita daripada kasih-Nya.’ (Rm. 8:38, 39) Selain itu, Dia meyakinkan kita bahawa Dia “dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya.” (Mzm. 145:18) Yehuwa juga berjanji bahawa jika kita bergantung pada-Nya, kita dapat menghadapi apa-apa cubaan dengan sukacita. (1 Kor. 10:13; Yak. 1:2, 12) Tambahan lagi, Firman Tuhan mengingatkan kita bahawa cubaan kita hanyalah sementara berbanding kehidupan kekal yang dijanjikan-Nya. (2 Kor. 4:16-18) Yehuwa juga memberi kita harapan bahawa Dia akan melenyapkan punca masalah kita, iaitu Syaitan Si Iblis dan pengikutnya. (Mzm. 37:10) Sudahkah anda menghafal beberapa ayat Bible yang dapat membantu anda menghadapi cubaan masa depan dengan tabah?
12. Apakah yang perlu kita lakukan untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada Firman Tuhan?
12 Kita perlu meluangkan masa untuk mengkaji Bible secara tetap dan merenungkan apa yang telah kita baca. Apabila kita menerapkan apa yang dipelajari, iman kita akan bertambah kuat dan kita akan lebih menghampiri Bapa kita yang di syurga. Hasilnya, kita akan mendapat kekuatan untuk menghadapi cubaan dengan tabah. Yehuwa juga memberikan kuasa suci-Nya kepada orang yang bergantung pada bimbingan Firman-Nya. Kuasa suci Tuhan dapat memberi kita “kuasa luar biasa” untuk menghadapi apa sahaja cubaan dengan tabah.—2 Kor. 4:7-10.
13. Bagaimanakah makanan rohani yang disediakan oleh “hamba yang setia dan bijaksana” membantu kita menghadapi cubaan dengan tabah?
13 Dengan bantuan Yehuwa, “hamba yang setia dan bijaksana” telah menghasilkan banyak rencana, video, dan muzik yang membantu kita untuk berjaga-jaga secara rohani dan membina iman yang kuat. (Mat. 24:45) Kita mahu menggunakan semua pemberian ini dengan sebaik-baiknya. Baru-baru ini, seorang saudari dari Amerika Syarikat mengungkapkan penghargaannya bagi semua makanan rohani yang diterima. Dia berkata, “Saya sudah berkhidmat kepada Yehuwa selama 40 tahun dan kesetiaan saya diuji berkali-kali.” Dia menghadapi cubaan yang sangat teruk. Contohnya, datuknya meninggal akibat dilanggar oleh seorang pemandu yang mabuk, ibu bapanya menghidap penyakit teruk dan akhirnya meninggal, dan dia terpaksa berjuang melawan kanser sebanyak dua kali. Apakah yang membantu dia bertabah? Dia menjelaskan, “Yehuwa sentiasa menjaga saya. Makanan rohani daripada hamba yang setia dan bijaksana juga membantu saya bertabah. Oleh itu, saya dapat berasa seperti Ayub yang berkata, ‘Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!’”—Ayb. 27:5.
14. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan rakan seiman untuk menyokong kita semasa kita menghadapi cubaan? (1 Tesalonika 4:9)
14 Yehuwa telah melatih umat-Nya untuk mengasihi dan melegakan satu sama lain. (2 Kor. 1:3, 4; baca 1 Tesalonika 4:9.) Seperti Elihu, saudara saudari kita sudi membantu kita untuk tetap setia kepada Yehuwa semasa menghadapi cabaran. (Kis. 14:22) Misalnya, perhatikan bagaimana sidang Diane telah membantunya untuk tetap kuat secara rohani selepas suaminya menghidap penyakit yang serius. Dia berkata, “Selama beberapa bulan itu, situasi kami memang susah. Namun kami tetap merasai kasih dan sokongan Yehuwa. Sidang kami juga menyokong kami. Mereka melawat kami, menelefon kami, dan memeluk kami. Saya tak pandai memandu, tetapi saudara saudari memastikan saya dapat menghadiri perjumpaan dan keluar menginjil.” Tidakkah anda setuju bahawa kita diberkati kerana memiliki keluarga rohani yang begitu pengasih?
MENGHARGAI BANTUAN YEHUWA
15. Mengapakah kita yakin kita dapat menghadapi cubaan dengan tabah?
15 Kita masing-masing akan menghadapi cubaan. Namun, seperti yang telah kita belajar, kita tidak perlu berdepan dengan cubaan seorang diri. Yehuwa ialah Bapa kita yang pengasih dan Dia sentiasa memerhatikan kita. Dia berada di sisi kita dan sudi mendengar rayuan kita. Dia juga sangat ingin menyokong kita. (Yes. 43:2) Maka kita yakin kita dapat tabah menghadapi cubaan kerana Yehuwa telah memberi kita apa sahaja yang diperlukan untuk berjaya. Dia telah memberi kita kurniaan doa, Bible, makanan rohani yang melimpah, dan persaudaraan Kristian yang pengasih untuk membantu kita.
16. Bagaimanakah kita dapat tetap berada di bawah naungan kasih Yehuwa?
16 Alangkah bersyukurnya kita kerana Bapa kita yang di syurga memerhatikan kita! Sememangnya, “hati kita bersukacita kerana Dia.” (Mzm. 33:21) Kita dapat menunjukkan penghargaan kita kepada Yehuwa atas jagaan-Nya yang pengasih dengan menggunakan pemberian-Nya dengan sebaik-baiknya. Selain itu, untuk tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan, kita perlu terus mematuhi arahan Yehuwa dan melakukan apa yang benar di mata-Nya. Dengan itu, kita dapat yakin bahawa Dia akan menjaga dan memerhatikan kita buat selama-lamanya!—1 Ptr. 3:12.
LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku