Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 36

Bawalah Apa yang Perlu, dan Buanglah yang Selebihnya

Bawalah Apa yang Perlu, dan Buanglah yang Selebihnya

“Marilah kita juga membuang segala beban  . . . Marilah kita berlari dengan tabah dalam perlumbaan yang ditetapkan di hadapan kita.”​—IBR. 12:1.

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

PENGENALAN a

1. Menurut Ibrani 12:1, apakah yang perlu kita lakukan agar dapat berlari sehingga ke garisan penamat dalam perlumbaan Kristian kita?

 BIBLE menyamakan kehidupan orang Kristian dengan lumba lari. Mereka yang sampai ke garisan penamat akan diberi kehidupan kekal. (2 Tim. 4:7, 8) Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk terus berlari, kerana garisan penamat sudah sangat dekat. Rasul Paulus telah berjaya menghabiskan perlumbaan Kristiannya, dan dia mengongsi dengan kita cara untuk menang. Dia menulis bahawa kita perlu “membuang segala beban dan . . . berlari dengan tabah dalam perlumbaan yang ditetapkan di hadapan kita.”​—Baca Ibrani 12:1.

2. Apakah maksud “membuang segala beban”?

2 Semasa Paulus menulis bahawa kita harus “membuang segala beban,” adakah dia bermaksud bahawa kita tidak perlu membawa apa-apa semasa berlari? Tidak. Maksud Paulus ialah kita harus membuang hal-hal yang tidak diperlukan, iaitu beban yang dapat membuat kita jadi lambat dan penat. Jika kita mahu berlari dengan tabah, kita mesti mengenal pasti dan segera membuang hal-hal itu. Namun, pada masa yang sama, kita mesti berhati-hati agar tidak membuang hal-hal yang perlu kita bawa. Jika tidak, kita mungkin tidak layak meneruskan perlumbaan kita. (2 Tim. 2:5) Apakah hal-hal yang mesti kita bawa?

3. (a) Menurut Galatia 6:5, apakah yang mesti kita bawa dalam perlumbaan Kristian kita? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini, dan mengapa?

3 Baca Galatia 6:5. Dalam ayat ini, Paulus menulis bahawa dalam perlumbaan Kristian kita, kita mesti membawa “tanggungan masing-masing.” Itulah tanggungjawab yang diberikan oleh Tuhan kepada semua penyembah-Nya, dan tiada sesiapa pun yang dapat memikul tanggungjawab itu bagi kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa “tanggungan” itu dan bagaimana kita dapat memikulnya. Kita juga akan mengenal pasti hal-hal yang mungkin sedang membebankan kita dan belajar bagaimana kita dapat membuangnya. Jika kita terus membawa tanggungan kita dan membuang beban yang tidak diperlukan, kita dapat berjaya dalam perlumbaan Kristian kita.

TANGGUNGAN YANG MESTI KITA BAWA

Tanggungan yang mesti kita bawa merangkumi ikrar pembaktian kita, tanggungjawab keluarga kita, dan akibat daripada keputusan kita (Lihat perenggan 4-9)

4. Mengapakah ikrar pembaktian kita bukanlah suatu beban? (Lihat juga gambar.)

4 Ikrar pembaktian kita. Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berjanji untuk menyembah-Nya dan melakukan kehendak-Nya. Kita mesti menunaikan ikrar itu. Memang benar, ikrar pembaktian ialah tanggungjawab yang besar, namun hal itu bukanlah suatu beban. Mengapa? Fikirkan hal ini: Yehuwa mencipta kita untuk melakukan kehendak-Nya. (Why. 4:11) Dia mencipta kita menurut gambaran-Nya dan memberi kita keinginan untuk mengenali-Nya dan menyembah-Nya. Jadi, apabila kita menghampiri Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya, kita berasa gembira. (Mzm. 40:8) Tambahan lagi, apabila kita melakukan kehendak Tuhan dan meniru Anak-Nya, jiwa kita akan “pulih segar.”​—Mat. 11:28-30.

(Lihat perenggan 4-5)

5. Apakah yang dapat membantu anda memenuhi ikrar pembaktian anda? (1 Yohanes 5:3)

5 Bagaimanakah anda dapat memikul tanggungan itu? Perhatikan dua cara. Pertama, kuatkanlah kasih anda kepada Yehuwa. Anda dapat berbuat demikian dengan merenungkan segala hal baik yang telah Yehuwa lakukan untuk anda dan berkat masa depan yang dijanjikan-Nya. Semakin dalam kasih anda kepada Yehuwa, semakin senang bagi anda untuk mematuhi-Nya. (Baca 1 Yohanes 5:3.) Kedua, tirulah teladan Yesus. Dia berjaya melakukan kehendak Tuhan kerana dia berdoa kepada Yehuwa untuk meminta bantuan-Nya dan dia bertumpu kepada ganjarannya. (Ibr. 5:7; 12:2) Seperti Yesus, berdoalah kepada Yehuwa untuk meminta kekuatan dan teruslah merenungkan harapan kehidupan kekal. Apabila anda semakin mengasihi Tuhan dan terus meniru teladan Anak-Nya, anda dapat memenuhi ikrar pembaktian anda.

6. Mengapakah kita mesti menjalankan tanggungjawab keluarga kita? (Lihat juga gambar.)

6 Tanggungjawab keluarga kita. Dalam perlumbaan Kristian kita, kita mesti lebih mengasihi Yehuwa dan Yesus daripada mengasihi ahli keluarga sendiri. (Mat. 10:37) Namun hal ini tidak bermaksud bahawa kita boleh mengabaikan tanggungjawab keluarga dan menganggapnya sebagai beban yang menghalang kita daripada berkhidmat kepada Yehuwa dan Yesus. Sebenarnya, jika kita ingin menyenangkan hati Tuhan dan Kristus, kita mesti menjalankan tanggungjawab keluarga kita. (1 Tim. 5:4, 8) Dengan berbuat demikian, kita akan lebih bahagia. Yehuwa tahu bahawa apabila suami isteri saling mengasihi dan menghormati, apabila ibu bapa menyayangi dan melatih anak-anak mereka, dan apabila anak-anak mematuhi ibu bapa, seluruh keluarga akan hidup bahagia.​—Ef. 5:33; 6:1, 4.

(Lihat perenggan 6-7)

7. Bagaimanakah anda dapat memenuhi peranan anda dalam keluarga?

7 Bagaimanakah anda dapat memikul tanggungan itu? Tidak kira apa peranan anda dalam keluarga, bertindaklah mengikut nasihat bijak dalam Bible dan bukannya mengikut emosi, budaya, ataupun kata-kata orang lain. (Ams. 24:3, 4) Kajilah bahan bacaan Bible untuk mengetahui bagaimana anda dapat menerapkan prinsip Bible dalam keluarga anda. Contohnya, di jw.org terdapat maklumat yang spesifik tentang cabaran yang dihadapi oleh pasangan suami isteri, ibu bapa, dan remaja. b Bertekadlah untuk menerapkan nasihat Bible walaupun ahli keluarga anda yang lain tidak berbuat demikian. Jika anda menerapkan nasihat Bible, keluarga anda akan meraih manfaat, dan anda akan menikmati berkat Yehuwa.​—1 Ptr. 3:1, 2.

8. Bagaimanakah keputusan kita mempengaruhi kita?

8 Akibat daripada keputusan kita. Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih dan Dia mahu kita membuat keputusan yang baik dan meraih manfaatnya. Tetapi pada masa yang sama, jika kita membuat keputusan yang salah, Yehuwa tidak melindungi kita daripada akibat buruknya. (Gal. 6:7, 8) Oleh itu, kita harus bertanggungjawab atas keputusan buruk yang kita buat, kata-kata yang melulu, dan perbuatan yang terburu-buru. Kita bahkan mungkin dibelenggu rasa bersalah. Namun, memandangkan kita tahu bahawa kita perlu bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat, kita akan mengakui dosa, membetulkan kesilapan kita, dan berusaha agar tidak mengulanginya lagi. Dengan berbuat demikian, kita dapat terus berlari dalam perlumbaan Kristian kita.

(Lihat perenggan 8-9)

9. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda pernah membuat keputusan yang tidak bijak? (Lihat juga gambar.)

9 Bagaimanakah anda dapat memikul tanggungan itu? Jika nasi sudah menjadi bubur, anda tidak dapat mengubah apa yang sudah terjadi. Oleh itu, janganlah membuang masa dan tenaga untuk membela diri, menyalahkan diri, atau menyalahkan orang lain. Sebaliknya, akuilah kesilapan anda dan cubalah melakukan apa yang terdaya dalam situasi anda sekarang. Jika hati nurani anda berasa terganggu, berdoalah kepada Yehuwa untuk mengakui dosa anda dan mintalah pengampunan daripada-Nya. (Mzm. 25:11; 51:3, 4) Minta maaflah kepada orang yang telah anda sakiti, dan dapatkanlah bantuan para penatua jika perlu. (Yak. 5:14, 15) Belajarlah daripada kesilapan anda dan berusahalah agar tidak mengulanginya. Jika anda melakukan hal-hal ini, Yehuwa pasti berbelas kasihan kepada anda dan memberi anda bantuan yang diperlukan.​—Mzm. 103:8-13.

BEBAN YANG MESTI KITA BUANG

10. Mengapakah harapan yang tidak realistik ialah beban yang berat? (Galatia 6:4)

10 Harapan yang tidak realistik. Salah satu cara kita membebani diri dengan harapan yang tidak realistik adalah dengan membandingkan diri kita dengan orang lain. (Baca Galatia 6:4.) Jika kita asyik membandingkan diri dengan orang lain, kita mungkin akan berasa cemburu dan suka bersaing. (Gal. 5:26) Lagipun, apabila kita ingin melakukan apa yang orang lain lakukan padahal kita tidak mampu melakukannya, kita mungkin sedang mengundang masalah. Jika harapan yang tertunda pun sudah membuat kita berasa sedih, apatah lagi harapan yang mustahil tercapai! (Ams. 13:12) Sememangnya, harapan yang tidak realistik hanya akan membuat kita lambat dan penat dalam perlumbaan Kristian kita.​—Ams. 24:10.

11. Bagaimanakah anda dapat menghindari harapan yang tidak realistik?

11 Bagaimanakah anda dapat membuang beban itu? Jangan mempunyai harapan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri. Yehuwa tidak mahu anda memberikan apa yang tidak anda miliki. (2 Kor. 8:12) Lagipun, Yehuwa tidak membandingkan apa yang dapat anda lakukan dengan kemampuan orang lain. (Mat. 25:20-23) Dia menghargai kesetiaan anda, ketabahan anda, dan khidmat anda yang diberikan dengan sepenuh hati. Dengan rendah hati, terimalah hakikat bahawa umur, kesihatan, dan situasi hidup anda mungkin membatasi kemampuan anda. Ikutlah teladan Barzilai, yang sudi menolak penghormatan yang diberikan kerana sedar bahawa dia sudah tua. (2 Sam. 19:35, 36) Seperti Musa, terimalah bantuan dan agihkan tanggungjawab anda kepada orang lain jika sesuai. (Kel. 18:21, 22) Kerendahan hati akan membantu anda untuk menghindari harapan yang tidak realistik dan membantu anda agar tidak putus asa dalam perlumbaan Kristian anda.

12. Adakah kita bertanggungjawab atas keputusan buruk orang lain? Jelaskan.

12 Menyalahkan diri apabila orang lain membuat keputusan yang buruk. Kita tidak boleh membuat keputusan bagi orang lain, dan kita juga tidak selalunya dapat melindungi mereka daripada menanggung akibat buruk keputusan mereka. Contohnya, apabila seorang anak memutuskan untuk berhenti menyembah Yehuwa, ibu bapanya pasti sangat sedih. Namun, jika ibu bapa itu menyalahkan diri atas keputusan anak mereka, mereka sedang memikul beban yang sangat berat padahal Yehuwa tidak ingin mereka memikul beban itu.​—Rm. 14:12.

13. Apakah yang dapat dilakukan oleh ibu bapa jika anak mereka membuat keputusan yang buruk?

13 Bagaimanakah anda dapat membuang beban itu? Ingatlah bahawa Yehuwa telah memberi setiap orang kebebasan untuk memilih. Jadi kita masing-masing perlu memutuskan sama ada kita mahu menyembah Yehuwa atau tidak. Yehuwa tahu anda tidak sempurna. Jadi, Dia hanya mahu anda melakukan apa yang terdaya sebagai ibu bapa. Anda tidak bertanggungjawab atas keputusan anak anda. (Ams. 20:11) Meskipun demikian, anda mungkin rasa bersalah atas sesetengah kesilapan anda pada masa lalu. Jika begitu, beritahulah Yehuwa isi hati anda dan mintalah pengampunan-Nya. Dia tahu bahawa anda tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku. Dia juga tidak mengharapkan anda untuk melindungi anak anda daripada menanggung akibat buruk keputusannya. Ingatlah bahawa jika anak anda kembali kepada Yehuwa, Yehuwa akan menerimanya dengan tangan terbuka.​—Luk. 15:18-20.

14. Mengapakah kita harus membuang rasa bersalah yang melampau?

14 Rasa bersalah yang melampau. Semasa kita berdosa, memang masuk akal jika kita rasa bersalah. Namun, Yehuwa tidak mahu kita dibebani rasa bersalah yang melampau. Itulah beban yang harus kita buang. Bagaimanakah kita tahu sama ada rasa bersalah kita melampau atau tidak? Jika kita sudah mengakui dosa, bertaubat, dan berusaha agar tidak mengulangi dosa yang sama, kita dapat yakin bahawa Yehuwa telah mengampuni kita. (Kis. 3:19) Selepas kita mengambil langkah-langkah itu, Yehuwa tidak mahu kita terus dihantui rasa bersalah. Dia tahu rasa bersalah yang berterusan sangat berbahaya. (Mzm. 31:10) Jika kita dibanjiri rasa bersalah, kita mungkin berputus asa dalam perlumbaan Kristian kita.​—2 Kor. 2:7.

Selepas anda bertaubat dengan ikhlas, Yehuwa tidak terus berfikir tentang dosa anda. Anda juga tidak patut berbuat demikian (Lihat perenggan 15)

15. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda dibebani rasa bersalah? (1 Yohanes 3:19, 20) (Lihat juga gambar.)

15 Bagaimanakah anda dapat membuang beban itu? Jika anda dibebani rasa bersalah, ingatlah bahawa Tuhan kita “mengampuni orang dengan sepenuhnya.” (Mzm. 130:4) Setelah mengampuni orang yang bertaubat, Dia berjanji, “Aku tidak akan mengingat dosa mereka.” (Yer. 31:34) Maksudnya, jika Yehuwa sudah mengampunkan dosa anda, Dia tidak akan mengungkit dosa itu lagi pada masa depan. Jadi biarpun anda perlu menanggung akibat buruk dosa anda, janganlah menganggap hal itu sebagai tanda bahawa Yehuwa tidak mengampuni anda. Jika dosa anda pada masa lampau menyebabkan anda kehilangan tanggungjawab dalam sidang, janganlah terus memarahi diri. Yehuwa tidak asyik berfikir tentang kesilapan anda, dan anda juga tidak patut berbuat demikian.​—Baca 1 Yohanes 3:19, 20.

BERLARILAH SUPAYA ANDA MENANG

16. Apakah yang perlu kita kenal pasti sebagai pelari?

16 Dalam perlumbaan Kristian, kita harus berlari dalam cara yang betul agar menang. (1 Kor. 9:24) Kita dapat berbuat demikian jika kita mengenal pasti tanggungan yang mesti kita bawa dan beban yang mesti kita buang. Dalam rencana ini, kita telah membincangkan beberapa contoh tanggungan dan beban ini. Sebenarnya, terdapat hal lain lagi yang perlu kita perhatikan. Contohnya, Yesus pernah mengingatkan kita agar tidak dibebani “dengan makan berlebihan, minum berlebihan, dan kekhuatiran hidup.” (Luk. 21:34) Ayat ini dan ayat-ayat lain dapat membantu anda untuk mengenal pasti perubahan yang harus anda buat agar dapat terus berlari dalam perlumbaan Kristian.

17. Mengapakah kita yakin bahawa kita akan menang dalam perlumbaan Kristian kita?

17 Kita yakin bahawa kita akan menang dalam perlumbaan Kristian kita kerana Yehuwa akan memberi kita kekuatan yang diperlukan. (Yes. 40:29-31) Maka, janganlah berputus asa. Sebaliknya, tirulah teladan Rasul Paulus yang berlari dengan sedaya upaya untuk menang. (Flp. 3:13, 14) Tiada orang lain yang dapat menggantikan anda sebagai pelari dalam perlumbaan ini. Tetapi Yehuwa akan membantu anda memikul tanggungan anda dan membuang beban yang tidak diperlukan. (Mzm. 68:19) Ya, dengan sokongan Yehuwa, anda pasti dapat berlari dengan tabah dan menang!

LAGU 65 Maralah ke Depan!

a Rencana ini akan membantu kita berlari dalam perlumbaan Kristian kita. Semasa berlari, ada sesetengah hal yang mesti kita bawa, seperti ikrar pembaktian kita, tanggungjawab keluarga kita, dan akibat daripada keputusan kita. Namun, kita perlu membuang hal-hal lain yang dapat menghalang kita. Apakah hal-hal itu? Rencana ini akan menjawab soalan tersebut.

b Anda dapat menjumpai siri rencana “Bantuan untuk Keluarga” di jw.org. Beberapa contoh rencana untuk pasangan yang sudah berkahwin ialah “Cara Menunjukkan Hormat” dan “Cara untuk Menunjukkan Kasih Sayang”; untuk ibu bapa, “Mengajar Anak Menggunakan Telefon Pintar dengan Bijak” dan “Bagaimana jika Anak Saya Dibuli?” Kaum remaja dapat membaca rencana seperti, “Adakah Bermain Cinta Tidak Berbahaya?” dan “Bagaimanakah Media Sosial Mempengaruhi Saya?” di bahagian “Kaum Muda Bertanya.”