Pertanyaan Pembaca
Bagaimanakah rencana “Semoga Nama-Mu Disucikan” dalam Menara Pengawal Jun 2020 membantu kita lebih memahami isu tentang nama Yehuwa dan kedaulatan-Nya?
Dalam rencana tersebut, kita belajar bahawa semua malaikat dan manusia sebenarnya berdepan dengan satu isu sahaja, iaitu penyucian nama agung Yehuwa. Isu kedaulatan, iaitu persoalan tentang cara pemerintahan Yehuwa, dan isu kesetiaan manusia kepada Tuhan, berkaitan dengan penyucian nama-Nya.
Mengapakah kita mengatakan bahawa penyucian nama Yehuwa ialah isu yang terpenting? Perhatikan tiga sebab yang berikut.
Pertama, Syaitan mencemari nama atau reputasi Yehuwa di Taman Eden. Syaitan cuba membuat Hawa percaya bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang kedekut dan suka mengongkong kebebasan umat-Nya. Kemudian, Syaitan memberitahu Hawa bahawa kata-kata Yehuwa tidak benar. Dengan berbuat demikian, dia memfitnah Yehuwa dan menuduh-Nya sebagai pendusta. Itulah sebabnya dia dipanggil “Si Iblis,” yang bermaksud “pemfitnah.” (Yoh. 8:44) Oleh sebab Hawa mempercayai dusta Syaitan, dia mengingkari Tuhan dan menolak pemerintahan-Nya. (Kej. 3:1-6) Sampai hari ini, Syaitan memfitnah Tuhan dan menyebarkan dusta tentang-Nya. Orang yang mempercayai dusta Syaitan sering kali melanggar perintah Yehuwa. Jadi bagi umat Tuhan, fitnah Syaitan terhadap nama Yehuwa ialah ketidakadilan yang paling teruk. Segala penderitaan dan kejahatan di dunia berpunca daripada fitnah itu.
Kedua, demi manfaat segala ciptaan-Nya, Yehuwa pasti menyucikan nama-Nya yang telah dicela. Dalam pandangan Yehuwa, itulah hal yang terpenting. Dia berkata, “Aku pasti akan menyucikan nama-Ku yang agung.” (Yeh. 36:23) Yesus juga menyatakan apa yang harus diutamakan semasa berdoa. Dia berkata, “Semoga nama-Mu disucikan.” (Mat. 6:9) Bible berulang kali menekankan pentingnya memuliakan nama Yehuwa. Perhatikan beberapa contoh: “Muliakanlah Yehuwa kerana nama-Nya yang gemilang.” (1 Taw. 16:29; Mzm. 96:8) “Bernyanyilah untuk memuji nama-Nya yang agung.” (Mzm. 66:2) “Aku akan memuliakan nama-Mu buat selama-lamanya.” (Mzm. 86:12) Pernah sekali, semasa di Rumah Tuhan di Yerusalem, Yesus berdoa, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Kemudian, kedengaran suara Yehuwa dari langit, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”—Yoh. 12:28. a
Ketiga, tujuan Yehuwa akan sentiasa berkait rapat dengan nama-Nya, atau reputasi-Nya. Fikirkan apa yang akan berlaku selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Apakah pandangan manusia dan malaikat terhadap nama Yehuwa pada masa itu? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita fikirkan dua isu yang berkaitan dengan isu penyucian nama Tuhan, iaitu isu kesetiaan manusia dan isu kedaulatan Yehuwa. Adakah manusia yang berjaya mengharungi ujian terakhir
masih perlu membuktikan kesetiaan mereka? Tidak. Mereka sudah menjadi sempurna dan diberi kehidupan kekal. Adakah manusia dan malaikat masih akan mempersoalkan kedaulatan Yehuwa? Tidak. Pada masa itu, mereka semua sudah mengaku bahawa Yehuwa memang layak memerintah dan cara pemerintahan-Nya adalah yang terbaik. Bagaimana pula dengan nama Yehuwa?Ketika itu, nama Yehuwa sudah disucikan dengan sepenuhnya, dan tiada sesiapa pun yang akan memfitnah nama-Nya lagi. Namun, semua penyembah Tuhan yang di syurga dan di bumi akan terus mengagungkan nama Yehuwa. Mengapa? Kerana mereka akan terus melihat perbuatan Yehuwa yang menakjubkan. Selepas Yesus menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada Yehuwa, “Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah atas semuanya.” (1 Kor. 15:28) Kemudian, manusia di bumi akan “menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:21) Akhirnya, tujuan Yehuwa, iaitu untuk mengumpulkan semua penyembah-Nya di syurga dan di bumi menjadi sebuah keluarga yang bersatu padu, akan tercapai.—Ef. 1:10.
Selepas semua hal itu berlaku, apakah perasaan keluarga Yehuwa yang di syurga dan di bumi? Kita masih akan mempunyai keinginan yang kuat untuk terus memuji nama Yehuwa yang mulia. Pemazmur Daud menulis, “Pujilah Tuhan Yehuwa . . . Pujilah nama-Nya yang mulia buat selama-lamanya.” (Mzm. 72:18, 19) Sehingga waktu yang tidak terhingga, kita akan sentiasa mempunyai sebab yang baik untuk memuji nama Yehuwa.
Nama Yehuwa merangkumi segala sesuatu tentang diri-Nya. Nama-Nya mengingatkan kita tentang kasih-Nya. (1 Yoh. 4:8) Kita akan sentiasa ingat bahawa kasihlah yang mendorong Yehuwa untuk menciptakan kita dan menyediakan korban tebusan. Kita juga akan ingat bahawa cara pemerintahan Yehuwa selalu adil dan berdasarkan kasih. Tetapi kita akan terus melihat bagaimana Yehuwa menunjukkan kasih yang melimpah kepada semua ciptaan-Nya. Kita akan terdorong untuk menghampiri Bapa kita dan bernyanyi untuk memuji nama-Nya yang mulia buat selama-lamanya.—Mzm. 73:28.