RENCANA PEMBELAJARAN 35
Teruslah Bersabar
“Hendaklah kamu mengenakan . . . kesabaran.”—KOL. 3:12.
LAGU 114 “Bersabarlah”
PENGENALAN a
1. Mengapakah anda suka orang yang sabar?
KITA semua suka orang yang sabar. Mengapa? Kita suka orang yang dapat menunggu tanpa berasa geram. Kita menghargai orang yang bersabar dengan kesilapan kita. Kita gembira kerana guru Bible kita bersabar dengan kita semasa kita lambat memahami, menerima, atau menerapkan ajaran Bible. Yang terpenting, kita bersyukur kerana Tuhan Yehuwa bersabar dengan kita!—Rm. 2:4.
2. Bilakah kita mungkin berasa susah untuk bersabar?
2 Walaupun kita suka akan orang yang sabar, ada kalanya kita sendiri mungkin berasa susah untuk bersabar. Contohnya, kita mungkin hilang sabar semasa kita perlu mengejar masa dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Kita mungkin tidak sabar dengan orang yang menjengkelkan. Kita juga mungkin susah bersabar kerana dunia baharu yang dijanjikan Yehuwa seolah-olah lambat tiba. Inginkah anda menjadi lebih sabar? Rencana ini akan membincangkan maksud kesabaran, sebabnya sifat ini begitu penting, dan apa yang dapat membantu kita menjadi lebih sabar.
APAKAH MAKSUD KESABARAN?
3. Apakah reaksi orang yang sabar semasa tersinggung?
3 Perhatikan empat cara kita dapat menunjukkan kesabaran. Pertama, orang yang sabar tidak cepat naik marah. Semasa dia tersinggung atau tertekan, dia akan cuba bertenang dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Kali pertama ungkapan “tidak cepat murka” muncul dalam Bible adalah semasa Yehuwa digambarkan sebagai “Tuhan yang tidak cepat murka,” yang “berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.”—Kel. 34:6.
4. Apakah reaksi orang yang sabar apabila harus menunggu?
4 Kedua, orang yang sabar dapat menunggu dengan tenang. Dia tidak akan menjadi rimas atau geram apabila perlu menunggu lebih lama daripada yang dijangkakan. (Mat. 18:26, 27) Terdapat banyak situasi hidup yang memerlukan kesabaran. Contohnya, apabila seseorang sedang bercakap, kita harus mendengar dengan sabar dan tidak mencelah. (Ayb. 36:2) Kita juga mungkin perlu bersabar semasa membantu pelajar kita memahami ajaran Bible atau mengatasi tabiat buruk.
5. Apakah satu lagi cara untuk menunjukkan kesabaran?
5 Ketiga, orang yang sabar tidak terburu-buru. Memang benar, dalam sesetengah situasi, tindakan yang segera diperlukan. Namun, semasa diberi tugas yang mustahak, orang yang sabar tidak akan memulakannya dengan terburu-buru, dan dia tidak akan tergesa-gesa menyiapkan tugas itu. Sebaliknya, dia memperuntukkan masa yang secukupnya untuk merancang dan melakukan tugas itu dengan teliti.
6. Apakah reaksi orang yang sabar semasa menghadapi kesusahan?
6 Keempat, orang yang sabar cuba menghadapi kesusahan tanpa bersungut-sungut. Oleh itu, kita boleh berkata bahawa kesabaran berkait rapat dengan ketabahan. Sudah tentu, semasa dilanda kesusahan, tiada salahnya kita meluahkan keperitan kita kepada seorang kawan rapat. Meskipun begitu, orang yang sabar akan berusaha untuk terus bersikap positif walaupun menghadapi cabaran. (Kol. 1:11) Sebagai orang Kristian, kita perlu menunjukkan kesabaran dalam keempat-empat cara ini. Mengapa? Perhatikan beberapa sebab.
MENGAPAKAH KESABARAN SANGAT PENTING?
7. Menurut Yakobus 5:7, 8, mengapakah kesabaran sangat penting? (Lihat juga gambar.)
7 Jika kita mahu mendapat kehidupan kekal, kita mesti bersabar. Seperti umat Yehuwa yang setia pada masa dahulu, kita harus bersabar sementara menunggu Yehuwa menunaikan janji-janji-Nya. (Ibr. 6:11, 12) Bible membandingkan situasi kita dengan seorang petani. (Baca Yakobus 5:7, 8.) Seorang petani bekerja keras untuk menanam dan menyiram tanamannya, tetapi dia tidak tahu bila tanamannya akan tumbuh. Maka dia harus tunggu dengan sabar dan percaya bahawa dia pasti akan menuai hasilnya. Seperti petani itu, kita sibuk menjalankan hal-hal rohani biarpun kita “tidak tahu bila Tuan [kita] akan datang.” (Mat. 24:42) Kita menunggu dengan sabar kerana kita yakin Yehuwa pasti akan menunaikan semua janji-Nya pada waktu yang ditetapkan-Nya. Jika kita hilang sabar, kita mungkin beransur-ansur meninggalkan kebenaran. Kita mungkin tidak mahu menunggu berkat-berkat di dunia baharu dan mula mengejar hal-hal yang memuaskan keinginan kita sekarang. Tetapi jika kita sabar, kita dapat bertahan sehingga akhir dan diselamatkan.—Mi. 7:7; Mat. 24:13.
8. Bagaimanakah kesabaran membantu kita menjalin hubungan yang baik dengan orang lain? (Kolose 3:12, 13)
8 Kesabaran membantu kita menjalin hubungan yang baik dengan orang lain. Bagaimana? Kesabaran membantu kita mendengar dengan teliti semasa orang lain bercakap. (Yak. 1:19) Sifat ini juga menyumbang kepada kedamaian. Jika kita sabar, kita tidak akan cepat naik marah dan mengatakan sesuatu yang pedas semasa tertekan. Selain itu, kita tidak akan ambil hati semasa orang lain membuat kita tersinggung. Daripada membalas kejahatan dengan kejahatan, kita akan terus “bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati.”—Baca Kolose 3:12, 13.
9. Bagaimanakah kesabaran membantu kita semasa membuat keputusan? (Amsal 21:5)
9 Kesabaran juga dapat membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak. Daripada membuat keputusan secara terburu-buru, kita akan meluangkan masa untuk mengkaji dan menilai pilihan yang ada. (Baca Amsal 21:5.) Contohnya, jika kita sedang mencari kerja, kita mungkin ingin terima sahaja tawaran kerja yang pertama, biarpun kerja itu akan mengganggu aktiviti rohani kita. Namun jika kita bersabar, kita akan meluangkan masa untuk memikirkan faktor-faktor seperti lokasi, waktu kerja, dan kesan kerja itu terhadap keluarga dan rutin rohani kita. Dengan bersikap sabar, kita dapat membuat keputusan yang bijak.
CARA MENJADI LEBIH SABAR
10. Bagaimanakah seorang Kristian dapat memupuk kesabaran dan terus bersabar?
10 Berdoalah untuk menjadi lebih sabar. Kesabaran ialah salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Maka kita dapat berdoa meminta kuasa suci Tuhan dan memohon agar Yehuwa membantu kita memupuk kesabaran. Jika kita menghadapi situasi yang menguji kesabaran kita, “teruslah meminta” kuasa suci Tuhan untuk membantu kita bersikap sabar. (Luk. 11:9, 13) Kita juga dapat meminta Yehuwa membantu kita melihat sesuatu perkara dari sudut pandangan-Nya. Selepas berdoa, kita harus berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan kesabaran setiap hari. Semakin banyak kita berdoa dan berusaha untuk menunjukkan kesabaran, semakin dalam sikap ini akan berakar dalam hati kita dan menjadi sebati dengan keperibadian kita.
11-12. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesabaran?
11 Renungkan contoh-contoh Bible. Bible mengandungi banyak kisah tentang orang yang sabar. Dengan merenungkan kisah-kisah itu, kita dapat belajar cara untuk menunjukkan kesabaran. Sekarang, mari kita mengkaji teladan yang terbaik dalam menunjukkan kesabaran, iaitu Yehuwa.
12 Di Taman Eden, Syaitan memfitnah nama Yehuwa dan menuduh bahawa Dia bukanlah Pemerintah yang adil dan pengasih. Yehuwa tahu bahawa masa diperlukan untuk membuktikan bahawa cara pemerintahan-Nya adalah yang terbaik. Maka Dia bersabar dan tidak segera membinasakan Syaitan. Sepanjang masa Tuhan menunggu, Dia juga perlu bersabar kerana nama-Nya asyik dicela. Oleh sebab Yehuwa begitu sabar, jutaan orang berpeluang untuk mengenali-Nya dan diberi kehidupan kekal. (2 Ptr. 3:9, 15) Jika kita merenungkan bagaimana kesabaran Yehuwa membawa hasil yang baik, kita akan dibantu untuk bersabar biarpun kita rasa akhir lambat datang.
13. Bagaimanakah Yesus mencerminkan kesabaran Yehuwa dengan sempurna? (Lihat juga gambar.)
13 Yesus mencerminkan kesabaran Yehuwa dengan sempurna. Semasa di bumi, Yesus terus menunjukkan sifat itu, bahkan semasa berdepan dengan jurutulis hukum dan orang Farisi yang bermuka dua. (Yoh. 8:25-27) Seperti Bapanya, Yesus lambat naik marah. Dia tidak membalas dendam semasa orang menghinanya atau cuba membuatnya marah. (1 Ptr. 2:23) Tidak kira apa cabaran yang dihadapinya, Yesus tetap tabah, sabar, dan tidak bersungut-sungut. Itulah sebabnya Bible berkata, “Dia tabah menanggung cacian orang berdosa yang sebenarnya sedang mengutuk diri sendiri. Sesungguhnya, perhatikanlah dia dengan cermat”! (Ibr. 12:2, 3) Dengan bantuan Yehuwa, kita juga dapat terus bersabar dan menghadapi cabaran dengan tabah.
14. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kesabaran Abraham? (Ibrani 6:15) (Lihat juga gambar.)
14 Bagaimana pula jika apa yang kita harapkan belum menjadi kenyataan? Mungkin kita sudah lama menantikan dunia jahat ini dibinasakan, tetapi sekarang kita takut kita akan meninggal sebelum akhir datang. Apakah yang dapat membantu kita untuk terus bersabar? Perhatikan contoh Abraham. Semasa Abraham berumur 75 tahun, dia masih tidak mempunyai anak. Tetapi Tuhan berjanji kepadanya, “Aku akan membuat keturunanmu menjadi bangsa yang besar.” (Kej. 12:1-4) Adakah Abraham melihat janji itu menjadi kenyataan? Ya, tetapi tidak sepenuhnya. Selepas menyeberangi Sungai Efrat, dia perlu menunggu selama 25 tahun sebelum melihat anaknya Ishak dilahirkan, dan selepas itu dia perlu menunggu 60 tahun lagi sebelum cucunya Esau dan Yakub lahir. (Baca Ibrani 6:15.) Tetapi Abraham tidak pernah melihat keturunannya menjadi bangsa besar yang mewarisi Tanah yang Dijanjikan. Biarpun begitu, dia setia kepada Penciptanya dan menikmati hubungan yang rapat dengan-Nya. (Yak. 2:23) Semasa Abraham dibangkitkan nanti, dia pasti sangat gembira apabila mendapat tahu bahawa iman dan kesabarannya telah membawa berkat kepada semua bangsa! (Kej. 22:18) Apakah pengajarannya bagi kita? Kita mungkin tidak berpeluang untuk melihat semua janji Yehuwa menjadi kenyataan di depan mata kita. Namun, jika kita sabar seperti Abraham, Yehuwa pasti memberkati kita sekarang dan di dunia baharu nanti.—Mrk. 10:29, 30.
15. Apakah yang boleh kita kaji semasa membuat pembelajaran peribadi?
15 Terdapat banyak lagi kisah Bible tentang orang yang sabar. (Yak. 5:10) Maka cubalah mengkaji kisah-kisah ini semasa membuat pembelajaran peribadi. b Misalnya, walaupun Daud dipilih sebagai raja Israel pada usia yang muda, dia perlu menunggu bertahun-tahun sebelum dapat memerintah. Simeon dan Hana juga menyembah Yehuwa dengan setia selama bertahun-tahun sambil menantikan kedatangan Mesias yang dijanjikan. (Luk. 2:25, 36-38) Semasa mengkaji kisah-kisah sebegini, tanyalah diri, “Apakah yang membantu watak Bible ini untuk bersabar? Apakah manfaat yang diraihnya kerana dia bersabar? Bagaimanakah saya dapat meniru teladannya?” Sebenarnya, anda juga dapat belajar sesuatu daripada orang yang tidak bersabar. (1 Sam. 13:8-14) Anda boleh menanya diri, “Mengapakah mereka hilang sabar? Apakah akibatnya?”
16. Apakah manfaat bersikap sabar?
16 Fikirkan manfaat bersikap sabar. Apabila kita sabar, kita dapat menjadi lebih gembira dan tenang, dan hal ini bermanfaat untuk kesihatan mental dan fizikal kita. Selain itu, apabila kita bersabar dengan orang lain, kita dapat menjalin hubungan yang lebih rapat dengan mereka, dan sidang kita akan menjadi lebih bersatu. Jika seseorang menyinggung perasaan kita, kesabaran akan membantu kita lambat naik marah dan mencegah situasi daripada menjadi lebih tegang. (Mzm. 37:8, nota kaki; Ams. 14:29) Yang terpenting, apabila kita bersabar, kita sedang meniru teladan Bapa kita yang di syurga dan akan semakin menghampiri-Nya.
17. Apakah seharusnya tekad kita?
17 Sememangnya, kesabaran ialah sifat yang indah dan bermanfaat! Walaupun tidak senang untuk selalu menunjukkan kesabaran, dengan bantuan Yehuwa, kita dapat terus memupuk dan menunjukkan sifat ini. Seraya kita menantikan dunia baharu dengan sabar, kita dapat yakin bahawa “Yehuwa selalu memerhatikan orang yang takut kepada-Nya,” iaitu orang yang ‘sentiasa menantikan-Nya.’ (Mzm. 33:18, 22, nota kaki) Semoga kita semua terus bertekad untuk mengenakan kesabaran.
LAGU 41 Dengarlah Doa Aku
a Ramai orang dalam dunia Syaitan cepat hilang sabar. Namun Bible menasihati kita untuk memupuk kesabaran. Rencana ini akan membincangkan mengapa kesabaran sangat penting dan bagaimana kita dapat menjadi orang yang lebih sabar.
b Untuk maklumat lanjut tentang kesabaran, taip “kesabaran” dalam kotak carian PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower.