RENCANA PEMBELAJARAN 41
Anda dapat Menjumpai Kebahagiaan Sejati
“Berbahagialah kamu yang takut akan Yehuwa, yang hidup menurut kehendak-Nya.”—MZM. 128:1.
LAGU 110 “Sukacita daripada Yehuwa”
PENGENALAN *
1. Apakah itu “keperluan rohani,” dan apakah kaitannya dengan kebahagiaan sejati?
KEBAHAGIAAN sejati bukan sekadar perasaan riang yang sementara, tetapi dapat dinikmati oleh seseorang sepanjang hidupnya. Bagaimanakah kita dapat menikmati kebahagiaan sejati? Yesus menjelaskannya dalam Ceramah Di Atas Gunung dengan berkata, “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.” (Mat. 5:3) Yesus tahu bahawa manusia diciptakan dengan keinginan untuk mengenali dan menyembah Pencipta mereka, iaitu Tuhan Yehuwa. Itulah “keperluan rohani” kita. Memandangkan Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira,” orang yang menyembah-Nya juga dapat berasa gembira.—1 Tim. 1:11.
2-3. (a) Menurut Yesus, siapakah yang dapat hidup bahagia? (b) Apakah yang ingin diajarkan oleh Yesus, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Adakah kita akan berasa bahagia hanya jika hidup kita bebas daripada masalah? Tidak. Dalam ceramahnya, Yesus berkata bahawa “orang yang berdukacita,” iaitu orang yang dibebani rasa bersalah kerana dosa mereka, atau orang yang mengalami masalah yang serius, dapat berasa bahagia. Yesus juga berkata bahawa “orang yang dianiaya kerana melakukan apa yang benar,” atau orang yang dihina kerana menjadi pengikutnya, pun dapat hidup bahagia. (Mat. 5:4, 10, 11) Apakah maksud Yesus?
3 Yesus ingin mengajar kita bahawa tidak kira apa situasi hidup kita, kita akan hidup bahagia jika kita memenuhi keperluan rohani kita dan menghampiri Tuhan. (Yak. 4:8) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Rencana ini akan membincangkan tiga langkah yang membawa kebahagiaan sejati.
MENYANTAP MAKANAN ROHANI
4. Apakah langkah pertama untuk menjumpai kebahagiaan sejati? (Mazmur 1:1-3)
4 LANGKAH 1: Untuk menikmati kebahagiaan sejati, kita harus menyantap makanan rohani. Manusia dan binatang memerlukan makanan fizikal untuk hidup, tetapi hanya manusia yang memerlukan makanan rohani. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.” (Mat. 4:4) Maka setiap hari, kita harus menyantap makanan rohani dengan membaca Firman Tuhan. Seorang penulis mazmur menyatakan, ‘Berbahagialah orang yang suka akan hukum Yehuwa, dan yang membacanya siang dan malam.’—Baca Mazmur 1:1-3.
5-6. (a) Apakah yang dapat kita belajar daripada Bible? (b) Apakah manfaat membaca Bible?
5 Oleh sebab Yehuwa mengasihi kita, Dia mengajar kita cara untuk hidup bahagia. Daripada Bible, kita belajar tentang tujuan-Nya bagi kita, bagaimana kita dapat menghampiri-Nya, dan apa yang patut kita lakukan supaya dosa kita diampunkan. Kita juga belajar tentang harapan masa depan yang dijanjikan oleh Tuhan. (Yer. 29:11) Kebenaran yang kita pelajari dalam Bible sememangnya membuat kita bersukacita!
6 Bible juga mengandungi banyak nasihat yang praktikal untuk kehidupan seharian. Apabila kita mengikut nasihat Bible, kita akan hidup bahagia. Jadi, setiap kali anda berasa tawar hati kerana masalah hidup, luangkanlah lebih banyak masa untuk membaca dan merenungkan Firman Yehuwa. Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”—Luk. 11:28.
7. Bagaimanakah anda dapat meraih manfaat yang terbesar semasa membaca Firman Tuhan?
7 Semasa membaca Firman Tuhan, luangkanlah masa yang secukupnya untuk menghayati apa yang anda baca. Fikirkan contoh ini: Katakan seseorang memasak makanan kegemaran anda, tetapi oleh sebab anda mengejar masa atau sibuk memikirkan sesuatu, anda telan habis makanan itu tanpa menikmatinya. Sudah pasti anda menyesal selepas itu. Pernahkah hal yang sama berlaku semasa anda membaca Bible? Untuk menikmati pembacaan Bible anda, luangkanlah masa untuk membayangkan apa yang sedang berlaku, bunyi-bunyi yang kedengaran, dan berfikir secara mendalam tentang apa yang sedang anda baca. Dengan demikian, pembacaan Bible akan membuat anda lebih bahagia.
8. Bagaimanakah “hamba yang setia dan bijaksana” melaksanakan tanggungjawab mereka? (Lihat juga nota kaki.)
8 Yesus melantik “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menyediakan makanan rohani pada masa yang tepat, dan kita semua diberi makanan rohani yang melimpah. * (Mat. 24:45) Bible merupakan ramuan utama yang digunakan oleh hamba yang setia untuk menyediakan makanan rohani. (1 Tes. 2:13) Dengan adanya makanan rohani ini, kita dapat memahami fikiran Yehuwa yang dicatatkan dalam Bible. Itulah sebabnya kita membaca majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! serta rencana di jw.org. Kita juga membuat persiapan untuk perjumpaan pertengahan minggu dan hujung minggu. Selain itu, kita menonton program Siaran JW setiap bulan. Dengan menyantap makanan rohani yang secukupnya, kita dapat mengambil langkah kedua yang membawa kebahagiaan sejati.
HIDUP SELARAS DENGAN PIAWAIAN YEHUWA
9. Apakah langkah kedua yang membawa kebahagiaan sejati?
9 LANGKAH 2: Untuk menikmati kebahagiaan sejati, kita harus hidup selaras dengan piawaian Yehuwa. Seorang pemazmur menulis, “Berbahagialah kamu yang takut akan Yehuwa, yang hidup menurut kehendak-Nya.” (Mzm. 128:1) Takut akan Yehuwa bermaksud kita begitu menghormati Yehuwa sehingga tidak mahu melakukan apa-apa yang menyakiti hati-Nya. (Ams. 16:6) Kita sentiasa berusaha untuk hidup selaras dengan piawaian Yehuwa tentang apa yang betul dan apa yang salah. (2 Kor. 7:1) Kita akan hidup bahagia jika kita melakukan apa yang Yehuwa suka dan menolak apa yang Dia benci.—Mzm. 37:27; 97:10; Rm. 12:9.
10. Menurut Roma 12:2, apakah tanggungjawab kita?
10 Baca Roma 12:2. Seseorang mungkin tahu bahawa Yehuwa berhak menentukan apa yang betul dan salah. Namun dia juga perlu memilih untuk mematuhi piawaian Tuhan. Fikirkan contoh ini: Seseorang mungkin tahu bahawa pihak kerajaan berhak menentukan had laju di jalan raya. Namun, dia mungkin memilih untuk tidak mematuhinya. Begitu juga, jika kita percaya bahawa mematuhi piawaian Yehuwa ialah cara hidup yang terbaik, kita akan menunjukkannya melalui kelakuan kita. (Ams. 12:28) Daud memiliki kepercayaan yang sama. Dia berkata kepada Yehuwa, “Engkau menunjukkan jalan kehidupan kepadaku. Sukacitaku melimpah kerana aku berada di hadirat-Mu; kegembiraanku kekal abadi kerana aku berada di sebelah kanan-Mu.”—Mzm. 16:11.
11-12. (a) Semasa kita risau atau tawar hati, kita harus berhati-hati untuk tidak melakukan apa? (b) Bagaimanakah kata-kata di Filipi 4:8 membantu kita memilih hiburan yang sihat?
11 Semasa kita risau atau tawar hati, kita mungkin ingin melakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian kita daripada masalah kita. Hal itu tidak salah. Tetapi kita harus berhati-hati agar tidak terpancing untuk melakukan sesuatu yang dibenci Yehuwa.—Ef. 5:10-12, 15-17.
12 Dalam suratnya kepada sidang di Filipi, Rasul Paulus menggesa orang Kristian untuk terus memikirkan “perkara yang diperkenankan Tuhan, . . . perkara yang murni, . . . perkara yang patut dikasihi, . . . [dan] perkara yang baik.” (Baca Filipi 4:8.) Walaupun Paulus tidak menyebut tentang hiburan dalam ayat ini, prinsip yang ditulisnya dapat membimbing kita semasa memilih hiburan. Cubalah aktiviti ini: Setiap kali perkataan “perkara” muncul dalam ayat Bible ini, gantikannya dengan perkataan “lagu,” “wayang,” “buku,” atau “video game.” Dengan berbuat demikian, anda dapat mengenal pasti hal apa yang diterima atau tidak diterima oleh Tuhan. Apabila kita menyelaraskan kehidupan kita menurut piawaian Yehuwa, kita akan memiliki hati nurani yang bersih dan dapat mengambil langkah seterusnya yang membawa kebahagiaan sejati.—Mzm. 119:1-3; Kis. 23:1.
MENGUTAMAKAN IBADAT KEPADA YEHUWA
13. Apakah langkah ketiga yang membawa kebahagiaan sejati? (Yohanes 4:23, 24)
13 LANGKAH 3: Jadikan ibadat anda kepada Yehuwa keutamaan hidup anda. Oleh sebab Yehuwa menciptakan kita, kita patut menyembah-Nya. (Why. 4:11; 14:6, 7) Jadi, kita patut mengutamakan ibadat kita kepada-Nya dan menyembah-Nya dengan cara yang betul, iaitu “dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.” (Baca Yohanes 4:23, 24.) Kita ingin kuasa suci-Nya membimbing penyembahan kita supaya cara kita beribadat selaras dengan kebenaran Bible. Kita mesti mengutamakan ibadat kita kepada Tuhan biarpun kita tinggal di negara yang menyekat atau mengharamkan kerja kita. Sekarang, lebih daripada 100 orang saudara saudari dipenjarakan kerana menyembah Yehuwa. * Biarpun begitu, mereka bersukacita kerana dapat melakukan apa yang terdaya untuk berdoa, mengkaji Bible, dan memberitahu orang lain tentang Tuhan dan Kerajaan-Nya. Semasa kita dihina atau dianiaya, kita bersukacita kerana mengetahui bahawa Yehuwa menyertai kita dan akan memberkati kita.—Yak. 1:12; 1 Ptr. 4:14.
KISAH BENAR
14. Apakah yang berlaku kepada seorang saudara muda di Tajikistan, dan mengapa?
14 Terdapat banyak kisah benar yang membuktikan bahawa tidak kira apa situasi hidup kita, tiga langkah yang baru kita bincang tadi dapat membawa kebahagiaan sejati. Perhatikan pengalaman Jovidon Bobojonov dari Tajikistan. Semasa dia berumur 19 tahun, dia enggan menyertai khidmat tentera. Oleh itu, pada 4 Oktober 2019, pihak berkuasa memecah masuk ke dalam rumahnya, menahannya selama berbulan-bulan, dan melayannya seperti seorang penjenayah. Layanan buruk pihak berkuasa terhadapnya telah mendapat perhatian media antarabangsa. Menurut laporan, mereka memukulnya semasa cuba memaksanya mengangkat sumpah sebagai askar dan memakai pakaian seragam tentera. Selepas itu, dia disabitkan bersalah dan dihantar ke penjara. Akhirnya, presiden Tajikistan telah mengampuninya dan mengarahkan agar dia dibebaskan. Sepanjang masa itu, Jovidon tetap setia kepada Tuhan dan tetap bersukacita. Bagaimanakah dia dapat melakukannya? Dia sentiasa sedar akan keperluan rohaninya.
15. Bagaimanakah Jovidon mendapat makanan rohani semasa di penjara?
15 Semasa di penjara, Jovidon menyantap makanan rohani biarpun dia tidak mempunyai Bible atau bahan bacaan Bible. Bagaimana? Semasa saudara saudari menghantar beg yang berisi makanan kepadanya, mereka akan menulis ayat harian pada beg itu. Maka dia dapat membaca dan merenungkan Bible setiap hari. Selepas dibebaskan dari penjara, dia mengongsi nasihat berikut dengan orang yang belum mengalami cubaan yang besar. Dia berkata, “Semasa anda masih bebas, gunakanlah masa itu untuk membaca Bible dan bahan bacaan Bible supaya anda lebih mengenali Yehuwa.”
16. Jovidon bertumpu kepada apa?
16 Jovidon hidup selaras dengan standard Yehuwa. Daripada memikirkan nafsu yang salah dan terjebak dalam kelakuan buruk, dia bertumpu kepada Yehuwa dan apa yang benar di mata-Nya. Jovidon juga menikmati keindahan ciptaan Tuhan. Setiap pagi dia mendengar kicauan burung, dan pada malam hari dia melihat bulan dan bintang. Dia berkata, “Semua ini ialah kurniaan Yehuwa yang menguatkan dan menggembirakan hati saya.” Apabila kita menghargai pemberian fizikal dan rohani daripada Yehuwa, kita dapat bersukacita, dan sukacita ini dapat membantu kita untuk bertabah.
17. Semasa mengalami situasi yang sama seperti Jovidon, apakah hasilnya jika kita bertabah? (1 Petrus 1:6, 7)
17 Jovidon juga mengutamakan ibadat kepada Yehuwa. Dia tahu betapa pentingnya kesetiaan kepada Tuhan kerana Yesus pernah berkata, “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.” (Luk. 4:8) Semasa para komander dan askar memberi Jovidon tekanan untuk meninggalkan kepercayaannya, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh setiap hari dan setiap malam. Dia meminta Yehuwa untuk membantunya agar tidak berputus asa dan tidak berkompromi. Jovidon tetap setia biarpun dilayan dengan tidak adil. Setelah ditangkap, dipukul, dan dipenjarakan, dia meraih sukacita yang besar kerana memiliki sesuatu yang tidak dimilikinya sebelum itu, iaitu iman yang telah diuji dan dimurnikan.—Baca 1 Petrus 1:6, 7.
18. Bagaimanakah kita dapat tetap hidup bahagia?
18 Yehuwa tahu apa yang kita perlukan untuk menikmati kebahagiaan sejati. Dengan mengikut tiga langkah yang disebut di atas, anda dapat tetap hidup bahagia meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Semoga anda juga dapat berkata dengan yakin, “Berbahagialah umat yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka!”—Mzm. 144:15.
LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati
^ Ramai orang mengejar keseronokan, kekayaan, kemasyhuran, atau kedudukan untuk mendapat kebahagiaan sejati. Tetapi mereka tidak menjumpainya. Semasa Yesus di bumi, dia mengajar orang cara yang betul untuk mendapat kebahagiaan sejati. Rencana ini akan membincangkan tiga langkah yang disebut oleh Yesus.
^ Lihat rencana “Adakah Anda Menerima ‘Makanan pada Waktu yang Ditentukan’?” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Ogos 2014.
^ Untuk maklumat lanjut, cari “Dipenjarakan kerana Iman Mereka” di jw.org.
^ KETERANGAN GAMBAR: Dalam lakonan semula ini, para Saksi memberikan galakan kepada seorang saudara yang ditangkap dan dibawa ke mahkamah.