Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Orang Israel Kuno Pergi Berperang—Mengapa Kita Tidak?

Orang Israel Kuno Pergi Berperang—Mengapa Kita Tidak?

“JIKA kamu enggan berperang melawan Perancis atau England, kamu semua akan mati!” Itulah yang dikatakan oleh seorang pegawai Nazi kepada sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa semasa Perang Dunia Kedua. Biarpun terdapat askar-askar yang bersenjata berhampiran mereka, tiada seorang pun daripada saudara kita yang menyerah kepada ancaman itu. Mereka sangat berani! Hal ini jelas menunjukkan pendirian Saksi-Saksi Yehuwa: Kita enggan terlibat dalam perang dunia ini. Biarpun diancam maut, kita tetap berpendirian neutral dalam konflik dunia ini.

Namun, bukan semua orang yang menggelar diri Kristian bersetuju dengan pendirian para Saksi. Mereka percaya bahawa orang Kristian boleh dan patut mempertahankan negara sendiri. Mereka mungkin berkata, “Orang Israel kuno ialah umat Tuhan, dan mereka pergi berperang. Kenapa orang Kristian hari ini tidak boleh?” Bagaimanakah anda akan menjawab mereka? Kita perlu menjelaskan bahawa situasi orang Israel kuno sangat berbeza daripada situasi umat Tuhan sekarang. Perhatikan lima perbezaan.

1. UMAT TUHAN DAHULU BERASAL DARIPADA SATU BANGSA

Pada zaman kuno, umat Yehuwa terdiri daripada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Israel. Yehuwa menggambarkan mereka sebagai ‘umat pilihan-Nya antara semua bangsa.’ (Kel. 19:5) Tuhan juga memberi mereka kawasan tertentu sebagai tempat tinggal. Jadi, semasa Dia menyuruh mereka untuk berperang melawan bangsa lain, mereka tidak akan melawan atau membunuh rakan seiman mereka. *

Hari ini, umat Tuhan berasal daripada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.” (Why. 7:9) Jadi, jika umat Tuhan pergi berperang, mereka mungkin melawan dan bahkan membunuh rakan seiman mereka.

2. YEHUWA MENGARAHKAN ORANG ISRAEL UNTUK BERPERANG

Pada zaman kuno, Yehuwa menentukan bila dan mengapa orang Israel harus pergi berperang. Sebagai contoh, orang Kanaan melakukan banyak hal yang jahat. Mereka menyembah roh jahat, melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, dan mempersembahkan anak mereka kepada dewa dewi palsu. Maka, agar orang Israel tidak dipengaruhi oleh orang Kanaan, Yehuwa menyuruh mereka untuk menyingkirkan orang Kanaan daripada Tanah yang Dijanjikan. (Im. 18:24, 25) Selepas orang Israel menetap di Tanah yang Dijanjikan, ada kalanya Yehuwa mengarahkan mereka untuk berperang bagi mempertahankan negeri mereka daripada serangan musuh. (2 Sam. 5:17-25) Namun, Yehuwa tidak mengizinkan orang Israel untuk menentukan sendiri bila mereka ingin berperang. Apabila mereka mengingkari-Nya, mereka selalu mendapat padah.​—Bil. 14:41-45; 2 Taw. 35:20-24.

Hari ini, Yehuwa tidak mengarahkan manusia untuk berperang. Lagipun dalam peperangan sekarang, bangsa-bangsa selalunya menjaga kepentingan sendiri dan bukannya melakukan kehendak Tuhan. Mereka mungkin ingin mendapat lebih banyak kawasan jajahan, mendapat lebih banyak wang, atau memaksa orang menerima fahaman politik mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang kononnya berperang demi nama Tuhan untuk mempertahankan agama mereka atau membunuh musuh Tuhan? Ingatlah, Yehuwa akan melindungi para penyembah-Nya dan membinasakan musuh-Nya semasa perang pada masa depan, iaitu perang Armagedon. (Why. 16:14, 16) Pada masa itu, angkatan tentera Tuhan akan terdiri sepenuhnya daripada makhluk roh di syurga dan bukannya para penyembah-Nya di bumi.​—Why. 19:11-15.

3. ORANG ISRAEL TIDAK MEMBUNUH ORANG YANG BERIMAN KEPADA YEHUWA

Rahab dan keluarganya tidak dibunuh oleh askar Israel kerana mereka beriman. Adakah orang yang beriman hari ini akan dilindungi oleh askar-askar semasa perang?

Pada zaman kuno, askar-askar Israel sering menunjukkan belas kasihan terhadap mereka yang beriman kepada Tuhan. Mereka hanya membunuh orang yang dijatuhkan hukuman mati oleh Yehuwa. Perhatikan dua contoh berikut: Semasa Yehuwa menyuruh orang Israel untuk memusnahkan kota Yerikho, orang Israel tidak membunuh Rahab dan keluarganya kerana mereka beriman kepada Yehuwa. (Yos. 2:9-16; 6:16, 17) Pada kemudian hari, penduduk kota Gibeon juga tidak dibunuh kerana mereka menunjukkan hormat kepada Yehuwa.​—Yos. 9:3-9, 17-19.

Hari ini, bangsa yang berperang tidak berbelas kasihan kepada orang yang beriman kepada Tuhan. Kadangkala, rakyat biasa dibunuh semasa peperangan.

4. ORANG ISRAEL HARUS IKUT PERATURAN TUHAN SEMASA BERPERANG

Pada zaman kuno, Yehuwa menyediakan garis panduan untuk askar-askar Israel. Sebagai contoh, kadangkala Tuhan menyuruh mereka “mengisytiharkan tawaran perdamaian” kepada musuh. (Ul. 20:10) Yehuwa juga menghendaki mereka untuk menjaga kebersihan dari segi fizikal dan moral. (Ul. 23:9-14) Askar-askar daripada bangsa-bangsa lain sering merogol wanita di kawasan yang ditakluki. Tetapi Yehuwa melarang askar Israel berbuat demikian. Jika mereka ingin mengahwini wanita dari sebuah kota yang ditawan, mereka harus menunggu sebulan selepas menawan kota itu.​—Ul. 21:10-13.

Hari ini, kebanyakan negara menandatangani perjanjian antarabangsa untuk melindungi rakyat biasa. Sedihnya, perjanjian sebegini sering dilanggar semasa peperangan.

5. TUHAN BERPERANG DEMI UMAT-NYA

Hari ini, adakah Tuhan berperang bagi mana-mana negara sepertimana Dia berperang bagi orang Israel di Yerikho?

Pada zaman kuno, Yehuwa berperang demi orang Israel dan memberi mereka kemenangan secara mukjizat. Sebagai contoh, Dia membantu orang Israel untuk mengalahkan penduduk Yerikho. Bagaimana? Di bawah arahan Yehuwa, orang Israel ‘berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu roboh.’ Maka mereka dapat menawan kota itu dengan senang sekali. (Yos. 6:20) Semasa orang Israel berperang melawan orang Amori, “Yehuwa menurunkan hujan batu yang besar ke atas mereka . . . Sebenarnya, lebih banyak orang yang terbunuh disebabkan hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel dengan pedang.”​—Yos. 10:6-11.

Hari ini, Yehuwa tidak berperang demi mana-mana negara. Dia sudah mendirikan Kerajaan-Nya dan melantik Yesus sebagai Raja. Kerajaan-Nya “bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Yoh. 18:36) Semua kerajaan manusia sebenarnya dikuasai oleh Syaitan. Peperangan yang kejam di dunia ini mencerminkan sifatnya yang keji.​—Luk. 4:5, 6; 1 Yoh. 5:19.

ORANG KRISTIAN SEJATI SUKA BERDAMAI

Seperti yang telah kita bincang, situasi kita hari ini sangat berbeza daripada situasi orang Israel kuno. Namun, terdapat sebab-sebab lain kita tidak pergi berperang. Contohnya, Tuhan telah menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, orang yang diajar oleh-Nya “tidak akan belajar berperang lagi.” Jadi mereka tidak akan pergi berperang. (Yes. 2:2-4) Selain itu, Kristus berkata bahawa para pengikutnya “bukan sebahagian daripada dunia.” Oleh itu, mereka akan tetap neutral dalam konflik dunia ini.​—Yoh. 15:19.

Namun, Kristus bukan sahaja mengajar para pengikutnya untuk bersikap neutral. Dia juga mengajar mereka untuk menjauhi sikap-sikap yang akan menyebabkan orang berdendam, naik marah, dan berperang. (Mat. 5:21, 22) Selain itu, dia mengajar murid-muridnya agar “berusaha mewujudkan kedamaian” dan mengasihi musuh mereka.​—Mat. 5:9, 44.

Bagaimana pula dengan kita sebagai individu? Kita mungkin tidak ingin pergi berperang, tetapi adakah kita berasa bahawa seseorang dalam sidang ialah musuh kita? Semoga kita berusaha untuk menyingkirkan perasaan sedemikian daripada hati kita.​—Yak. 4:1, 11.

Daripada menyertai peperangan dunia ini, kita ingin menyumbang kepada kedamaian dan kasih dalam kalangan rakan seiman. (Yoh. 13:34, 35) Semoga kita tetap berpendirian neutral seraya kita menantikan masanya Yehuwa melenyapkan peperangan buat selama-lamanya.​—Mzm. 46:9.

^ Kadangkala, suku-suku Israel melawan satu sama lain, walaupun hal itu tidak menyenangkan hati Yehuwa. (1 Raj. 12:24) Namun ada kalanya, Yehuwa membenarkan orang Israel menyerang suku-suku tertentu yang menentang-Nya atau berdosa terhadap-Nya.​—Hak. 20:3-35; 2 Taw. 13:3-18; 25:14-22; 28:1-8.