RENCANA PEMBELAJARAN 44
Pastikan Harapan Anda Tetap Teguh
“Berharaplah kepada Yehuwa.”—MZM. 27:14.
LAGU 144 Tataplah Pahala!
PENGENALAN *
1. Apakah harapan yang telah Yehuwa berikan kepada kita?
YEHUWA telah memberi kita harapan untuk hidup selama-lamanya. Ada dalam kalangan kita akan hidup selama-lamanya di syurga sebagai makhluk roh yang tidak dapat mati. (1 Kor. 15:50, 53) Kebanyakan daripada kita pula akan hidup selama-lamanya di bumi. Kita akan menikmati kesihatan yang sempurna dan kebahagiaan yang sejati. (Why. 21:3, 4) Tidak kira kita akan hidup selama-lamanya di syurga atau di bumi, harapan kita sangat berharga.
2. Harapan kita berdasarkan apa? Jelaskan.
2 Dalam Bible, perkataan “harapan” membawa maksud “percaya sesuatu yang baik akan berlaku.” Harapan masa depan kita terjamin kerana harapan itu diberikan oleh Yehuwa. (Rm. 15:13) Kita tahu apa yang dijanjikan-Nya, dan kita tahu Dia sentiasa menepati janji-Nya. (Bil. 23:19) Selain itu, kita yakin bahawa Yehuwa memiliki keinginan dan kemampuan untuk melaksanakan segala yang dijanjikan-Nya. Oleh itu, harapan kita bukanlah mimpi atau angan-angan, tetapi berdasarkan bukti yang kukuh.
3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Mazmur 27:14)
3 Bapa kita yang di syurga mengasihi kita, dan Dia mahu kita mempercayai-Nya. (Baca Mazmur 27:14.) Jika harapan kita kepada Yehuwa teguh, kita dapat bertabah semasa cubaan melanda, dan kita dapat menghadapi masa depan dengan berani dan sukacita. Sekarang, mari kita bincang bagaimana harapan kita adalah seperti sauh dan topi besi yang dapat melindungi kita. Kemudian kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menguatkan harapan kita.
HARAPAN KITA SEPERTI SAUH
4. Bagaimanakah harapan kita adalah seperti sauh? (Ibrani 6:19)
4 Dalam buku Ibrani, Rasul Paulus menyamakan harapan kita dengan sauh. (Baca Ibrani 6:19.) Paulus selalu mengadakan perjalanan melalui laut. Maka dia tahu bahawa sauh digunakan untuk memastikan kapal tidak beransur-ansur hanyut. Pernah sekali, semasa dia menaiki kapal, ribut kencang telah melanda. Semasa ribut itu, dia nampak anak kapal menurunkan sauh untuk menghalang kapal daripada melanggar batu. (Kis. 27:29, 39-41) Sepertimana sauh menstabilkan kapal, harapan kita menstabilkan kita agar cabaran hidup tidak membuat kita beransur-ansur meninggalkan Yehuwa. Harapan yang teguh membantu kita untuk menghadapi cabaran kerana kita yakin bahawa masa yang lebih baik akan tiba. Ingatlah, Yesus telah memberitahu kita bahawa kita akan dianiaya. (Yoh. 15:20) Dengan merenungkan harapan masa hadapan, kita akan dibantu untuk menyembah Yehuwa dengan tabah.
5. Bagaimanakah harapan membantu Yesus semasa dia diancam maut?
5 Perhatikan bagaimana harapan membantu Yesus tetap teguh meskipun dia bakal dibunuh dengan kejam. Pada Pentakosta 33 M, Rasul Petrus memetik sebuah nubuat daripada buku Mazmur yang menggambarkan keyakinan Yesus: “Aku akan hidup dengan penuh harapan kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di Kuburan, atau membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia untuk reput. . . . Engkau akan memenuhi aku dengan sukacita yang besar di hadirat-Mu.” (Kis. 2:25-28; Mzm. 16:8-11) Meskipun Yesus tahu dia akan mati, dia memiliki harapan yang teguh bahawa Tuhan akan membangkitkannya, dan bahawa dia akan bersatu semula dengan Bapanya di syurga dan menikmati sukacita yang besar.—Ibr. 12:2, 3.
6. Apakah yang dikatakan oleh seorang saudara tentang harapan?
6 Harapan kita telah membantu banyak saudara saudari untuk bertabah. Mari kita lihat pengalaman Saudara Leonard Chinn. Dia seorang saudara yang tinggal di England semasa Perang Dunia Pertama. Pada masa itu, dia dipenjarakan kerana enggan menyertai khidmat tentera. Selama dua bulan, dia dikurung seorang diri, kemudian dia dipaksa untuk melakukan kerja buruh. Dia menulis, “Pengalaman saya menunjukkan pentingnya harapan untuk membantu kita bertabah. Kita mempunyai teladan Yesus, para rasul, dan para nabi. Kita juga ada janji-janji yang berharga dalam Bible. Semua ini memberi kita harapan yang cerah untuk masa depan dan menguatkan kita untuk bertabah.” Sebagaimana harapan menjadi seperti sauh bagi Leonard, harapan dapat menjadi seperti sauh bagi kita juga.
7. Bagaimanakah cubaan menguatkan harapan kita? (Roma 5:3-5; Yakobus 1:12)
7 Setiap kali kita bertabah menghadapi cabaran dan merasai bantuan dan perkenan Yehuwa, harapan kita akan menjadi semakin kuat. (Baca Roma 5:3-5; Yakobus 1:12.) Hasilnya, kita memiliki harapan yang lebih teguh berbanding masanya kita baru mendengar berita baik. Syaitan ingin menggunakan cabaran yang kita hadapi untuk mematahkan semangat kita. Namun dengan bantuan Yehuwa, kita dapat menghadapi setiap cabaran dengan berjaya.
HARAPAN KITA SEPERTI TOPI BESI
8. Bagaimanakah harapan adalah seperti topi besi? (1 Tesalonika 5:8)
8 Bible juga menyamakan harapan kita dengan topi besi. (Baca 1 Tesalonika 5:8.) Seorang askar memakai topi besi untuk melindungi kepalanya daripada serangan musuh. Dalam perang rohani kita, kita perlu melindungi minda kita daripada serangan Syaitan kerana dia suka menggunakan godaan dan fikiran yang salah untuk merosakkan minda kita. Sebagaimana topi besi dapat melindungi kepala askar, harapan dapat melindungi fikiran kita supaya kita dapat tetap setia kepada Yehuwa.
9. Apakah yang akan berlaku jika orang tidak mempunyai harapan?
9 Harapan untuk hidup selama-lamanya membantu kita untuk membuat keputusan yang bijak. Jika harapan kita menjadi pudar, kita mungkin dikuasai oleh keinginan sendiri dan tidak lagi berusaha untuk mendapat kehidupan kekal. Perhatikan apa yang berlaku kepada sesetengah orang Kristian di Korintus. Mereka hilang iman terhadap satu janji Tuhan yang penting, iaitu harapan pembangkitan. (1 Kor. 15:12) Paulus menulis bahawa mereka yang tidak mempercayai harapan pembangkitan, hidup hanya untuk memuaskan nafsu sendiri. (1 Kor. 15:32) Kebanyakan orang hari ini tidak mempercayai harapan yang diberikan oleh Tuhan. Oleh itu, mereka sibuk mengejar keseronokan. Tetapi kita percaya sepenuhnya kepada janji Tuhan bagi masa depan. Harapan kita adalah seperti topi besi yang melindungi pemikiran kita dan membantu kita untuk tidak hanya menjaga kepentingan sendiri, kerana hal itu akan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa.—1 Kor. 15:33, 34.
10. Bagaimanakah harapan dapat melindungi kita daripada fikiran yang salah?
10 Harapan juga dapat melindungi kita daripada berfikir bahawa kita tidak mungkin dapat menyenangkan hati Yehuwa. Sebagai contoh, ada orang mungkin kata, “Saya tidak cukup baik dan tidak layak untuk hidup selama-lamanya. Mustahil saya dapat ikut standard Tuhan.” Sebenarnya, itulah yang dikatakan oleh Elifas, iaitu sahabat palsu Ayub. Dia berkata kepada Ayub, “Dapatkah manusia fana dianggap suci di mata Tuhan? . . . Ketahuilah, Tuhan tidak mempercayai para malaikat-Nya, bahkan syurga pun tidak suci di mata-Nya.” (Ayb. 15:14, 15) Semua itu dusta belaka! Ingat, Syaitanlah yang ingin anda berfikir sebegitu. Dia tahu bahawa jika anda terus berfikir sebegitu, harapan anda akan menjadi pudar. Jadi, tolaklah dusta Syaitan dan bertumpulah kepada janji-janji Yehuwa. Yakinlah bahawa Yehuwa mahu anda hidup kekal dan akan membantu anda mencapai matlamat itu.—1 Tim. 2:3, 4.
PASTIKAN HARAPAN ANDA TETAP TEGUH
11. Mengapakah tidak mudah untuk memastikan harapan kita tetap teguh?
11 Kita tahu Yehuwa pasti menunaikan janji-Nya dalam cara yang terbaik, tetapi Dia tidak semestinya bertindak pada masa yang kita harapkan. Jadi, kita mungkin hilang sabar dan berasa susah untuk memastikan harapan kita tetap teguh. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa hidup selama-lamanya, dan pandangan-Nya terhadap masa berbeza daripada pandangan kita. (2 Ptr. 3:8, 9) Bagaimanakah kita dapat memastikan harapan kita tetap teguh sementara kita menantikan Yehuwa?—Yak. 5:7, 8.
12. Menurut Ibrani 11:1, 6, apakah kaitan antara harapan dengan iman?
12 Jika kita menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa, iaitu Individu yang menjamin harapan kita, harapan kita akan tetap teguh. Sebenarnya Bible mengaitkan harapan kita dengan iman, dan orang yang beriman harus percaya bahawa Yehuwa wujud dan akan “memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” (Baca Ibrani 11:1, 6.) Semakin nyata Yehuwa kepada kita, semakin besar keyakinan kita bahawa Dia akan menunaikan semua janji-Nya. Sekarang, mari kita lihat cara-cara praktikal untuk menguatkan hubungan kita dengan Yehuwa dan memastikan harapan kita tetap teguh.
13. Bagaimanakah kita dapat menghampiri Tuhan?
13 Berdoa kepada Yehuwa dan membaca Firman-Nya. Walaupun kita tidak dapat melihat Yehuwa, kita dapat menghampiri-Nya. Kita dapat bercakap kepada-Nya menerusi doa, dan kita yakin Dia akan mendengar doa kita. (Yer. 29:11, 12) Tuhan bercakap kepada kita menerusi Firman-Nya. Jadi kita mendengar kata-kata Tuhan semasa kita membaca dan merenungkan Bible. Apabila kita membaca tentang bagaimana Yehuwa menjaga umat-Nya yang setia pada masa lalu, harapan kita akan menjadi semakin kuat. Ingatlah, segala dalam Firman Tuhan “ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan.”—Rm. 15:4.
14. Mengapakah kita harus merenungkan bagaimana Yehuwa menunaikan janji-Nya?
14 Renungkan bagaimana Yehuwa sentiasa menunaikan janji-Nya. Fikirkan apa yang dilakukan oleh Tuhan untuk Abraham dan Sara. Mereka sudah berumur dan tidak dapat beranak. Namun Tuhan berjanji bahawa mereka akan mempunyai seorang anak. (Kej. 18:10) Apakah reaksi Abraham terhadap janji Tuhan? Bible menyatakan, “[Dia] beriman bahawa dia akan menjadi bapa kepada banyak bangsa.” (Rm. 4:18) Biarpun Abraham tidak tahu bagaimana Tuhan akan menunaikan janji-Nya, dia yakin bahawa hal itu pasti berlaku, dan dia tidak dikecewakan. (Rm. 4:19-21) Kisah sebegini mengajar kita bahawa Yehuwa sentiasa menunaikan janji-Nya meskipun hal itu nampaknya mustahil dari sudut pandangan manusia.
15. Mengapakah kita harus memikirkan apa yang telah Yehuwa lakukan untuk kita?
15 Fikirkan apa yang telah Yehuwa lakukan untuk anda. Fikirkan manfaat yang telah anda raih daripada janji-janji Bible yang sudah menjadi kenyataan. Sebagai contoh, Yesus berjanji bahawa Bapanya akan membekalkan keperluan seharian anda. (Mat. 6:32, 33) Yesus juga berjanji bahawa Yehuwa akan memberi anda kuasa suci-Nya semasa anda memintanya. (Luk. 11:13) Yehuwa telah menepati janji-janji itu. Anda mungkin dapat memikirkan janji-janji lain yang ditunaikan oleh Tuhan, seperti janji-Nya untuk memaafkan anda, melegakan hati anda, dan memberi anda makanan rohani. (Mat. 6:14; 24:45; 2 Kor. 1:3) Apabila anda merenungkan segala sesuatu yang dilakukan oleh Tuhan untuk anda, harapan anda bagi masa depan akan menjadi lebih kuat.
BERSUKACITA KERANA HARAPAN KITA
16. Mengapakah harapan merupakan pemberian yang sangat berharga?
16 Harapan untuk hidup selama-lamanya ialah pemberian yang sangat berharga daripada Tuhan. Kita menantikan masa depan yang cerah, dan kita yakin harapan itu pasti menjadi kenyataan. Seperti sauh, harapan kita menstabilkan kita semasa kita menghadapi cubaan, penganiayaan, dan bahkan diancam maut. Seperti topi besi, harapan melindungi fikiran kita supaya kita dapat menolak apa yang salah dan berpaut pada apa yang baik. Dengan adanya harapan ini, kita dapat lebih menghampiri Tuhan dan sedar betapa besarnya kasih-Nya terhadap kita. Ya, jika kita memastikan harapan kita tetap teguh dan membara, kita akan meraih banyak manfaat.
17. Mengapakah harapan kita membawa sukacita?
17 Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian di Roma, “Bersukacitalah kerana harapan kamu.” (Rm. 12:12) Paulus dapat bersukacita kerana dia tahu bahawa jika dia tetap setia, dia pasti mendapat kehidupan kekal di syurga. Harapan kita juga membawa sukacita kerana kita yakin bahawa Yehuwa pasti menunaikan semua janji-Nya. Penulis mazmur berkata, “Berbahagialah orang . . . yang berharap kepada Yehuwa, Tuhannya. . . . Dia tetap setia untuk selama-lamanya.”—Mzm. 146:5, 6.
LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu
^ Yehuwa telah memberi kita harapan yang menakjubkan bagi masa depan. Harapan ini menggalakkan kita dan membantu kita untuk tidak bertumpu kepada masalah yang kita ada sekarang. Harapan ini juga dapat membantu kita untuk terus menyembah Yehuwa, tidak kira apa cabaran yang kita hadapi. Selain itu, harapan ini dapat melindungi kita daripada diracuni pemikiran yang salah. Rencana ini akan membincangkan mengapa semua ini merupakan sebab yang baik untuk memastikan harapan kita tetap teguh.
^ KETERANGAN GAMBAR: Topi besi dapat melindungi kepala askar, dan sauh dapat menstabilkan kapal. Begitu juga, harapan kita dapat melindungi minda kita dan menstabilkan kita pada masa yang susah. Seorang saudari berdoa kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Seorang saudara merenungkan bagaimana Yehuwa menunaikan janji-Nya kepada Abraham. Seorang lagi saudara memikirkan berkat-berkat yang telah diterimanya.