RENCANA PEMBELAJARAN 39
Adakah Nama Anda Dicatat dalam “Kitab Peringatan”?
‘Nama setiap orang yang takut akan Yehuwa dicatat dalam kitab peringatan.’—MAL. 3:16.
LAGU 61 Majulah Saksi-Saksi!
PENGENALAN *
1. Menurut Maleakhi 3:16, apakah buku yang dimiliki oleh Yehuwa, dan apakah kandungannya?
SELAMA ribuan tahun, Yehuwa memiliki sebuah buku yang istimewa. Buku ini mengandungi senarai nama bermula dengan nama saksi setia yang pertama, iaitu Habel. * (Luk. 11:50, 51) Selama berabad-abad, Yehuwa telah menambahkan nama lain ke dalam buku ini. Kini, buku ini mengandungi jutaan nama. Dalam Bible, buku ini dipanggil “kitab peringatan” dan “kitab kehidupan.” Dalam rencana ini, kita akan merujuk kepada buku ini sebagai “kitab kehidupan.”—Baca Maleakhi 3:16; Why. 3:5; 17:8.
2. Nama siapakah yang tertulis dalam kitab kehidupan? Apakah yang perlu kita lakukan agar nama kita ditulis dalam kitab itu?
2 Kitab kehidupan mengandungi nama semua orang yang menyembah Yehuwa, takut akan-Nya, dan mencintai nama-Nya. Mereka berpeluang menerima kehidupan kekal. Nama kita juga dapat ditulis dalam kitab itu jika kita memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa berdasarkan korban tebusan Anak-Nya, Yesus Kristus. (Yoh. 3:16, 36) Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga atau di bumi, kita semua mahu nama kita dicatat dalam kitab kehidupan.
3-4. (a) Jika nama kita terdapat dalam kitab kehidupan sekarang, adakah hal ini bermaksud kita pasti diberi kehidupan kekal? Jelaskan. (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini dan rencana seterusnya?
3 Jika nama kita terdapat dalam kitab kehidupan sekarang, adakah hal ini bermaksud kita pasti diberi kehidupan kekal? Jawapannya terdapat di Keluaran 32:33. Dalam ayat itu, Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sesiapa yang berdosa terhadap-Ku, nama orang itulah yang akan Aku hapuskan daripada kitab-Ku.” Maksudnya, nama yang terdapat dalam buku itu sekarang boleh dihapuskan atau dipadamkan. Yehuwa seolah-olah menulis nama itu dengan pensel terlebih dahulu. (Why. 3:5) Kita pula harus memastikan nama kita tetap berada dalam buku itu sehingga Yehuwa menuliskannya dengan pen.
4 Sudah tentu sesetengah soalan akan timbul. Sebagai contoh, apakah yang dikatakan dalam Bible tentang orang yang nama mereka tercatat dalam kitab kehidupan dan orang yang nama mereka tidak tercatat di situ? Bilakah orang yang nama mereka tercatat dalam kitab kehidupan akan menerima kehidupan kekal? Bagaimana pula dengan orang yang telah meninggal tetapi tidak berpeluang untuk mengenali Yehuwa? Mungkinkah nama mereka dicatat dalam kitab ini? Soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam rencana ini dan rencana yang berikutnya.
NAMA SIAPAKAH YANG TERCATAT DALAM KITAB KEHIDUPAN?
5-6. (a) Menurut Filipi 4:3, nama siapakah yang tercatat dalam kitab kehidupan? (b) Bilakah nama mereka akan kekal dalam kitab itu buat selama-lamanya?
5 Nama siapakah yang tercatat dalam kitab kehidupan? Kita akan membincangkan tiga kumpulan orang yang nama mereka tercatat dalam kitab itu dan dua kumpulan orang yang nama mereka tidak tercatat dalam kitab itu.
6 Kumpulan yang pertama ialah orang yang dipilih untuk memerintah bersama Yesus di syurga. Adakah nama mereka tertulis dalam kitab kehidupan sekarang? Ya. Menurut kata-kata Rasul Paulus kepada ‘rakan sekerjanya’ di Filipi, nama orang Kristian terurap yang dijemput untuk memerintah bersama Yesus sudah ditulis dalam kitab kehidupan. (Baca Filipi 4:3.) Namun, mereka mesti tetap setia supaya nama mereka terus berada dalam kitab itu. Bilakah nama mereka akan kekal dalam kitab itu buat selama-lamanya? Semasa mereka menerima meterai terakhir, iaitu sejurus sebelum mereka meninggal atau sebelum kesengsaraan besar bermula.—Why. 7:3.
7. Bagaimanakah Wahyu 7:16, 17 menjelaskan bila nama orang daripada kumpulan besar akan tercatat dalam kitab kehidupan secara kekal?
7 Kumpulan yang kedua terdiri daripada kumpulan besar biri-biri lain. Adakah nama mereka tercatat dalam kitab kehidupan sekarang? Ya. Adakah nama mereka masih tercatat dalam kitab kehidupan selepas mereka selamat mengharungi Armagedon? Ya. (Why. 7:14) Yesus berkata bahawa mereka yang bersifat seperti biri-biri “akan hidup selama-lamanya.” (Mat. 25:46) Namun mereka yang selamat mengharungi Armagedon tidak akan segera menerima kehidupan kekal. Nama mereka seolah-olah ditulis dalam kitab kehidupan dengan pensel. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, Yesus “akan menggembala mereka dan memimpin mereka ke mata air kehidupan.” Jika mereka mengikut bimbingan Kristus dan tetap setia semasa ujian terakhir, nama mereka akan kekal buat selama-lamanya dalam kitab kehidupan.—Baca Wahyu 7:16, 17.
8. Nama siapakah yang tidak akan tercatat dalam kitab kehidupan? Apakah yang akan berlaku kepada mereka?
8 Kumpulan yang ketiga terdiri daripada orang yang bersifat seperti kambing, yang akan dimusnahkan semasa Armagedon. Nama mereka tidak tercatat dalam kitab kehidupan. Yesus kata mereka “akan mati selama-lamanya.” (Mat. 25:46) Paulus memberitahu kita bahawa “hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka ialah kebinasaan yang kekal.” (2 Tes. 1:9; 2 Ptr. 2:9) Kesudahan yang sama menantikan semua orang yang sengaja berdosa terhadap kuasa suci Tuhan. Mereka juga akan dibinasakan buat selama-lamanya. Maka mereka tidak akan dibangkitkan untuk menerima kehidupan kekal. (Mat. 12:32; Mrk. 3:28, 29; Ibr. 6:4-6) Sekarang, mari kita lihat dua kumpulan orang yang akan dibangkitkan di bumi.
MEREKA YANG AKAN DIBANGKITKAN
9. Menurut Kisah 24:15, apakah dua kumpulan orang yang akan dibangkitkan di bumi, dan apakah perbezaan antara dua kumpulan ini?
9 Bible menyatakan bahawa terdapat dua kumpulan orang yang akan dibangkitkan dan diberi peluang untuk hidup selama-lamanya di bumi, iaitu “orang yang baik” dan “orang yang tidak baik.” (Baca Kisah 24:15.) “Orang yang baik” ialah orang yang menyembah Yehuwa dengan setia semasa mereka masih hidup. “Orang yang tidak baik” pula tidak menyembah Yehuwa dan mungkin berkelakuan buruk. Memandangkan orang daripada kedua-dua kumpulan ini akan dibangkitkan, adakah hal ini bermaksud nama mereka ditulis dalam kitab kehidupan? Untuk menjawab soalan itu, mari kita mengkaji setiap kumpulan dengan lebih teliti.
10. Mengapakah “orang yang baik” akan dibangkitkan, dan apakah tanggungjawab yang diberikan kepada sesetengah antara mereka? (Lihat juga “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah ini tentang pembangkitan di bumi.)
10 “Orang yang baik” ialah kumpulan yang keempat. Sebelum mati, nama mereka sudah pun ditulis dalam kitab kehidupan. Adakah nama mereka dikeluarkan daripada kitab itu semasa mereka mati? Tidak, kerana mereka “masih hidup” dalam pandangan Tuhan. Yehuwa “ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati.” (Luk. 20:38) Maksudnya, semasa orang yang baik dibangkitkan di bumi, nama mereka masih terdapat dalam kitab kehidupan. Namun, nama mereka seolah-olah ditulis dengan pensel. (Luk. 14:14) Ada antara mereka yang akan diberi tanggungjawab untuk menjadi “penguasa di seluruh bumi.”—Mzm. 45:16.
11. Apakah yang perlu dipelajari oleh “orang yang tidak baik” agar nama mereka dicatat dalam kitab kehidupan?
11 Akhirnya, kita akan bincang tentang kumpulan kelima, iaitu “orang yang tidak baik.” Oleh sebab mereka tidak mengetahui hukum Yehuwa, mereka tidak melakukan apa yang benar sebelum mereka mati. Jadi nama mereka tidak tercatat dalam kitab kehidupan. Namun, Tuhan akan membangkitkan mereka dan memberi mereka peluang agar nama mereka dapat dicatat dalam kitab itu. Walau bagaimanapun, “orang yang tidak baik” memerlukan banyak bantuan. Sebelum mereka mati, ada antara mereka melakukan hal-hal yang sangat jahat. Jadi mereka perlu belajar cara untuk hidup selaras dengan standard Yehuwa. Untuk melaksanakan hal ini, Kerajaan Tuhan akan mengadakan program pendidikan yang teragung dalam sejarah manusia.
12. (a) Siapakah yang akan mengajar orang yang tidak baik? (b) Apakah yang akan berlaku kepada mereka yang enggan menerapkan apa yang dipelajari?
12 Siapakah yang akan mengajar orang yang tidak baik? Kumpulan besar manusia dan orang baik yang dibangkitkan. Jika orang yang tidak baik ingin nama mereka ditulis dalam kitab kehidupan, mereka perlu menjalin hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan membaktikan diri kepada-Nya. Kemajuan rohani mereka akan diperhatikan oleh Yesus Kristus dan kaum terurap yang di syurga. (Why. 20:4) Sesiapa yang enggan menerapkan apa yang dipelajari akan dibinasakan, biarpun mereka sudah hidup selama 100 tahun. (Yes. 65:20) Yehuwa dan Yesus dapat membaca hati orang. Jadi mereka akan memastikan agar tiada orang dibenarkan “mengakibatkan kecederaan atau kerosakan” di dunia baharu.—Yes. 11:9; 60:18; 65:25; Yoh. 2:25.
DIBANGKITKAN UNTUK MERAIH KEHIDUPAN KEKAL ATAU DIHAKIMI
13-14. (a) Apakah pemahaman kita yang dahulu tentang kata-kata Yesus di Yohanes 5:29? (b) Apakah butiran yang perlu kita perhatikan dalam ayat ini?
13 Yesus juga bercakap tentang mereka yang akan dibangkitkan di bumi. Contohnya, dia berkata, “Janganlah kamu hairan akan hal ini kerana masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya lalu keluar. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan meraih kehidupan kekal, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihakimi.” (Yoh. 5:28, 29) Apakah maksud Yesus?
14 Dahulu, kita fikir bahawa kata-kata Yesus merujuk kepada perbuatan seseorang selepas dia dibangkitkan. Maksudnya, sesetengah orang akan bangkit lalu berbuat baik manakala yang lain akan berbuat jahat. Namun perhatikan Yesus tidak berkata bahawa mereka yang keluar dari makam peringatan akan berbuat baik atau akan berbuat jahat. Maka, kata-katanya pasti merujuk kepada perbuatan mereka sebelum mereka mati. Penjelasan ini masuk akal kerana di dunia baharu nanti, tiada sesiapa pun yang akan diizinkan untuk berbuat jahat. Jika demikian, apakah maksud kata-kata Yesus bahawa ada orang “akan bangkit dan meraih kehidupan kekal” dan ada orang “akan bangkit dan dihakimi”?
15. Siapakah yang “akan bangkit dan meraih kehidupan kekal,” dan mengapa?
15 Orang yang berbuat baik sebelum mereka mati “akan bangkit dan meraih kehidupan kekal” kerana nama mereka sudah ditulis dalam kitab kehidupan. Dalam kata lain, pembangkitan “orang yang berbuat baik” yang disebut di Yohanes 5:29 adalah sama dengan pembangkitan “orang yang baik” yang disebut di Kisah 24:15. Penjelasan ini selaras dengan prinsip di Roma 6:7 yang menyatakan, “Apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.” Semasa orang yang baik mati, hutang dosa mereka sudah dibatalkan. Tetapi perbuatan baik dan kesetiaan mereka tetap dikenang. (Ibr. 6:10) Sudah tentu, selepas dibangkitkan, mereka perlu tetap setia supaya nama mereka kekal dalam kitab kehidupan.
16. Apakah maksud ungkapan “bangkit dan dihakimi”?
16 Bagaimana pula dengan mereka yang berbuat jahat sebelum mereka mati? Walaupun hutang dosa mereka dibatalkan semasa mereka mati, mereka belum lagi menyembah Yehuwa dengan setia. Jadi nama mereka tidak tercatat dalam kitab kehidupan. Maka pembangkitan “orang yang berbuat jahat” adalah sama dengan pembangkitan “orang yang tidak baik” yang disebutkan di Kisah 24:15. Mereka “akan bangkit dan dihakimi.” * Mereka akan dinilai buat satu jangka masa untuk menentukan sama ada nama mereka layak dicatat dalam kitab kehidupan atau tidak. (Luk. 22:30) Mereka harus menolak haluan hidup yang jahat dan membaktikan diri kepada Yehuwa, barulah nama mereka akan tercatat dalam kitab kehidupan.
17-18. Semua orang yang dibangkitkan di bumi perlu melakukan apa? Apakah “perbuatan” yang dimaksudkan di Wahyu 20:12, 13?
17 Semua orang yang dibangkitkan harus mematuhi perintah dalam kitab-kitab baharu yang akan dibuka semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes “nampak orang yang mati, baik orang yang berpangkat tinggi mahupun orang biasa, berdiri di hadapan takhta, dan kitab-kitab pun dibuka. Selepas itu, sebuah kitab yang lain dibuka, iaitu kitab kehidupan. Orang mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis dalam kitab-kitab itu.”—Why. 20:12, 13.
18 Orang yang dibangkitkan akan dihakimi berdasarkan “perbuatan” apa? Adakah hal ini merujuk kepada perbuatan mereka sebelum mereka mati? Tidak. Ingatlah, semasa mereka mati, hutang dosa mereka sudah dihapuskan. Jadi perbuatan ini tidak merujuk kepada “perbuatan mereka” yang dahulu. Sebaliknya perbuatan ini merujuk kepada perbuatan mereka setelah mereka dilatih di dunia baharu. Fikirkan: Jika orang yang setia seperti Nuh, Samuel, Daud, dan Daniel pun perlu belajar tentang Yesus Kristus dan beriman kepada korban tebusannya selepas dibangkitkan, apatah lagi orang yang tidak baik. Sudah tentu ada banyak lagi yang perlu mereka belajar!
19. Apakah kesudahan bagi mereka yang menolak peluang untuk menyembah Yehuwa?
19 Apakah kesudahan bagi mereka yang menolak peluang untuk menyembah Yehuwa? Wahyu 20:15 memberitahu kita, “Sesiapa yang namanya tidak tertulis dalam kitab kehidupan juga dicampakkan ke dalam tasik api itu.” Ya, mereka akan dimusnahkan buat selama-lamanya. Maka amatlah penting untuk memastikan nama kita ditulis dalam kitab kehidupan dan tidak dipadamkan dari situ!
20. Apakah kerja menarik yang akan dilakukan semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus? (Lihat gambar pada muka depan.)
20 Sememangnya, Pemerintahan Seribu Tahun Kristus merupakan masa yang sangat mengagumkan! Pada masa itu, program pendidikan yang teragung akan dijalankan di bumi. Selain itu, orang yang baik dan orang yang tidak baik akan dinilai berdasarkan perbuatan mereka. (Yes. 26:9; Kis. 17:31) Namun, bagaimanakah program pendidikan ini akan dijalankan? Dalam rencana seterusnya, kita akan dibantu untuk memahami dan menghargai aturan yang menakjubkan ini.
LAGU 147 Kehidupan Abadi Dijanjikan
^ Rencana ini akan membincangkan pemahaman yang dikemaskinikan tentang kata-kata Yesus yang tercatat di Yohanes 5:28, 29 mengenai orang yang “akan bangkit dan meraih kehidupan kekal” dan orang yang “akan bangkit dan dihakimi.” Kita akan belajar tentang dua pembangkitan ini dan siapa yang akan dibangkitkan.
^ Buku ini mula ditulis “sejak dunia diasaskan,” iaitu sejak adanya orang yang dapat ditebus daripada dosa. (Mat. 25:34; Why. 17:8) Jadi nampaknya, nama orang pertama yang tertulis dalam kitab kehidupan ialah Habel.
^ Sebenarnya, perkataan “dihakimi” boleh membawa maksud “dihukum” atau “dinilai.” Sebelum ini, kita faham bahawa perkataan “dihakimi” dalam ayat ini bermaksud “dihukum.” Tetapi dalam konteks ini, Yesus menggunakan perkataan “dihakimi” dalam erti yang lebih luas, yang merangkumi maksud “penilaian” atau “tempoh percubaan.” Menurut sebuah kamus Bible bahasa Yunani, perkataan ini bermaksud “memerhatikan kelakuan dengan teliti.”