Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 37

Anda Dapat Mempercayai Saudara Saudari Anda

Anda Dapat Mempercayai Saudara Saudari Anda

“Kasih . . . mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu.”​—1 KOR. 13:7.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALAN *

1. Ramai orang dalam dunia ini berasa susah untuk mempercayai orang lain. Mengapakah hal itu tidak menghairankan?

 RAMAI orang dalam dunia Syaitan tidak tahu siapa yang boleh dipercayai. Mereka sering dikecewakan oleh ahli perniagaan, pemimpin politik, dan pemimpin agama. Oleh itu, mereka mula meragui sahabat, jiran, dan bahkan ahli keluarga sendiri. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible sudah menubuatkan, “Pada hari-hari terakhir, . . .  manusia akan . . . tidak setia, . . . suka memfitnah, . . . suka berkhianat.” Maksudnya, kebanyakan orang akan mencerminkan keperibadian Syaitan, iaitu tuhan sistem dunia ini yang langsung tidak dapat dipercayai.—2 Tim. 3:1-4; 2 Kor. 4:4.

2. (a) Siapakah dan apakah yang dapat kita percayai dengan sepenuhnya? (b) Apakah soalan yang mungkin difikirkan oleh sesetengah orang?

2 Sebagai orang Kristian, kita tahu bahawa kita boleh mempercayai Yehuwa dengan sepenuhnya. (Yer. 17:7, 8) Kita yakin bahawa Dia mengasihi kita dan “tidak akan meninggalkan” sahabat-Nya. (Mzm. 9:10) Kita juga dapat mempercayai Kristus Yesus kerana dia telah menyerahkan nyawanya untuk kita. (1 Ptr. 3:18) Selain itu, kita boleh mempercayai Bible kerana kita sendiri telah meraih manfaat daripada bimbingannya. (2 Tim. 3:16, 17) Sememangnya kita dapat mempercayai Yehuwa, Yesus, dan Bible. Namun, sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, “Adakah saudara saudari di sidang selalu dapat dipercayai? Jika ya, mengapa?”

KITA MEMERLUKAN SAUDARA SAUDARI KITA

Di serata dunia, kita ada saudara saudari yang dapat dipercayai dan yang mengasihi Yehuwa seperti kita (Lihat perenggan 3)

3. Apakah penghormatan istimewa yang kita miliki? (Markus 10:29, 30)

3 Yehuwa telah memilih kita untuk menyertai keluarga rohani-Nya. Hal ini sesungguhnya penghormatan istimewa yang membawa banyak manfaat! (Baca Markus 10:29, 30.) Di serata dunia, kita mempunyai saudara saudari yang mengasihi Yehuwa seperti kita, dan yang berusaha sebaik-baiknya untuk hidup menurut prinsip-Nya. Bahasa, budaya, dan pakaian kita mungkin berbeza, tetapi kita berasa rapat dengan mereka biarpun kita baru berjumpa dengan mereka buat kali pertama. Kita sangat suka memuji dan menyembah Bapa kita yang di syurga bersama-sama mereka.—Mzm. 133:1.

4. Mengapakah kita memerlukan saudara saudari kita?

4 Kita perlu bersatu padu dengan saudara saudari kita, lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Mengapa? Kita memerlukan mereka. Ada kalanya, mereka membantu memikul beban kita. (Rm. 15:1; Gal. 6:2) Mereka juga dapat menggalakkan kita untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa dan mempunyai hubungan yang rapat dengan-Nya. (1 Tes. 5:11; Ibr. 10:23-25) Bayangkan perasaan kita jika kita tidak mempunyai perlindungan dan bantuan sidang untuk melawan musuh kita, iaitu Syaitan Si Iblis dan dunia jahat ini. Lagipun, tidak lama lagi Syaitan dan konco-konconya akan menyerang umat Tuhan. Pada masa itu, kita pasti sangat bersyukur kerana mempunyai saudara saudari di sisi kita!

5. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk mempercayai saudara saudari mereka?

5 Sesetengah orang berasa susah untuk mempercayai saudara saudari mereka, mungkin kerana rakan seiman mereka pernah membocorkan rahsia mereka atau gagal menepati janji. Atau seseorang dalam sidang mungkin telah mengatakan atau melakukan sesuatu yang membuat mereka sangat terluka. Hal sebegini mungkin membuat kita susah mempercayai orang lain. Jadi, apakah yang dapat membantu kita untuk membina kepercayaan terhadap saudara saudari kita?

KASIH MEMBANTU KITA MEMBINA KEPERCAYAAN

6. Bagaimanakah kasih membantu kita membina kepercayaan? (1 Korintus 13:4-8)

6 Kasih ialah dasar untuk membina kepercayaan. Satu Korintus bab 13 menyebut ciri-ciri kasih yang dapat membantu kita mempercayai atau membina semula kepercayaan terhadap rakan seiman kita. (Baca 1 Korintus 13:4-8.) Contohnya, ayat 4 kata, “Kasih itu sabar dan baik hati.” Yehuwa bersabar dengan kita, biarpun kita berdosa terhadap-Nya. Jadi, kita juga patut bersabar dengan saudara saudari kita, biarpun mereka mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti kita. Ayat 5 menambah, “[Kasih] tidak cepat naik marah. Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai.” Jadi kita tidak patut “menyimpan dendam apabila dilukai,” atau asyik mengingat kesalahan rakan seiman kita. Pengkhutbah 7:9 menasihati kita, “Jangan cepat tersinggung.” Kita memang bijak jika kita mengikut nasihat di Efesus 4:26 yang kata, “Janganlah membiarkan kemarahan kamu berlanjutan sampai matahari terbenam”!

7. Bagaimanakah prinsip di Matius 7:1-5 membantu kita untuk membina kepercayaan terhadap saudara saudari?

7 Satu lagi hal yang dapat membantu kita membina kepercayaan terhadap saudara saudari adalah untuk memupuk pandangan Yehuwa terhadap mereka. Yehuwa mengasihi mereka dan tidak asyik memperhatikan kesilapan mereka. Jadi, kita harus meniru teladan Yehuwa. (Mzm. 130:3) Daripada asyik bertumpu kepada kesilapan mereka, kita mahu mencari sifat-sifat baik mereka dan melihat potensi mereka. (Baca Matius 7:1-5.) Kita juga tidak mempersoalkan niat mereka, kerana kasih “mempercayai segala sesuatu.” (1 Kor. 13:7) Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa Yehuwa mahu kita mempercayai orang lain secara membabi buta. Sebaliknya, Dia mahu kita mempercayai rakan seiman kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka layak dipercayai. *

8. Bagaimanakah anda dapat membina kepercayaan terhadap saudara saudari anda?

8 Anda memerlukan masa untuk membina kepercayaan terhadap saudara saudari anda. Bagaimanakah anda dapat melakukannya? Kenalilah mereka dengan lebih baik. Bercakaplah dengan mereka semasa di sidang dan menginjil bersama mereka. Bersabarlah terhadap mereka dan berilah mereka peluang untuk menunjukkan bahawa mereka dapat dipercayai. Pada mulanya, anda mungkin tidak akan mengongsi semua hal peribadi dengan seseorang yang baru anda kenal. Tetapi apabila anda semakin rapat dengannya, anda akan lebih selesa untuk meluahkan perasaan anda. (Luk. 16:10) Namun, apakah yang dapat anda lakukan jika seseorang mengecewakan anda? Janganlah cepat berputus asa terhadapnya dan biarlah masa berlalu. Selain itu, janganlah mengizinkan perbuatan satu atau dua orang membuat anda hilang kepercayaan terhadap semua rakan seiman anda. Sekarang, mari kita lihat beberapa contoh penyembah Yehuwa pada masa lalu yang tetap mempercayai orang lain biarpun mereka pernah dikecewakan.

BELAJAR DARIPADA MEREKA YANG TETAP MEMPERCAYAI ORANG LAIN

Biarpun dikritik oleh Eli, Hana tetap mempercayai aturan Yehuwa (Lihat perenggan 9)

9. (a) Bagaimanakah Hana menunjukkan bahawa dia tetap mempercayai aturan Yehuwa meskipun dia mengetahui kesalahan sesetengah wakil-Nya? (b) Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Hana tentang mempercayai aturan Yehuwa? (Lihat gambar.)

9 Pernahkah anda berasa kecewa kerana kelakuan seorang saudara yang terlantik? Jika ya, contoh Hana dapat membantu anda. Imam Agung Eli merupakan wakil Yehuwa yang dilantik untuk mengambil pimpinan dalam ibadat sejati. Tetapi anak-anaknya bukanlah teladan yang baik. Walaupun mereka berkhidmat sebagai imam, mereka selalu melakukan perbuatan yang jahat dan tidak bermoral. Meskipun begitu, Eli tidak mendisiplinkan mereka. Walaupun Yehuwa membenarkan Eli terus berkhidmat sebagai imam agung, Hana menunjukkan bahawa dia mempercayai aturan Tuhan. Dia tidak berkata bahawa selagi Eli ialah imam agung, dia tidak akan beribadat di khemah suci. Pernah sekali, Hana berasa sangat susah hati lalu berdoa kepada Yehuwa. Semasa Eli melihatnya, dia menyangka bahawa Hana sudah mabuk, dan tanpa memeriksa apa yang berlaku, dia mengkritik Hana. (1 Sam. 1:12-16) Biarpun begitu, Hana berjanji kepada Yehuwa bahawa jika dia mendapat seorang anak, anak itu akan dihantar ke khemah suci dan berkhidmat di bawah pengawasan Eli. (1 Sam. 1:11) Yehuwa telah mengurniai Hana seorang anak, iaitu Samuel. (1 Sam. 1:17-20) Kemudian Yehuwa juga mengambil tindakan terhadap anak-anak Eli.—1 Sam. 4:17.

10. Bagaimanakah Raja Daud menunjukkan bahawa dia tetap percaya kepada orang lain biarpun sesetengah orang mengkhianatinya?

10 Pernahkah anda dikhianati oleh seorang kawan rapat? Jika ya, fikirkan pengalaman Raja Daud. Salah seorang kawan baik Daud bernama Ahitofel. Apabila anak Daud yang bernama Absalom cuba merampas takhta bapanya, Ahitofel memilih untuk menyokong Absalom. Hal itu merupakan tamparan yang hebat bagi Daud, kerana dia kehilangan sokongan anaknya dan kawan baiknya pada masa yang sama. Namun Daud tidak mengizinkan pengalaman itu untuk menghalangnya daripada terus mempercayai orang lain. Dia mempercayai Husai, seorang kawannya yang setia. Sememangnya kepercayaan Daud terhadap Husai tidak sia-sia. Husai membuktikan dirinya sebagai kawan baik Daud dan bahkan sudi menggadaikan nyawanya untuk membantu Daud.—2 Sam. 17:1-16.

11. Bagaimanakah salah seorang hamba Nabal menunjukkan bahawa dia mempercayai orang lain?

11 Perhatikan juga contoh salah seorang hamba Nabal. Nabal seorang yang kaya, dan Daud dan para pengikutnya telah melindungi hamba-hamba Nabal. Pada kemudian hari, Daud meminta sedikit makanan daripada Nabal, tetapi Nabal menolak permintaannya. Oleh itu, Daud berasa sangat marah dan ingin membunuh Nabal serta semua lelaki dalam rumah tangganya. Salah seorang hamba Nabal telah memberitahu hal itu kepada isteri Nabal, iaitu Abigail. Daripada melarikan diri, hamba itu yakin bahawa Abigail dapat membetulkan situasi itu dan menyelamatkan nyawanya. Hamba itu mempercayai Abigail kerana Abigail dikenali sebagai seorang wanita yang bijak. Kepercayaannya terhadap Abigail tidak sia-sia. Abigail bertindak dengan berani dan berjaya memujuk Daud untuk membatalkan rancangannya. (1 Sam. 25:2-35) Abigail juga percaya bahawa Daud akan bersikap munasabah.

12. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia mempercayai murid-muridnya meskipun mereka melakukan banyak kesilapan?

12 Yesus mempercayai murid-muridnya meskipun mereka melakukan banyak kesilapan. (Yoh. 15:15, 16) Contohnya, semasa Yakobus dan Yohanes meminta agar diberi kedudukan yang istimewa dalam Kerajaan Tuhan, Yesus tidak berfikir bahawa mereka menyembah Yehuwa demi kepentingan diri lalu menolak mereka sebagai rasulnya. (Mrk. 10:35-40) Kemudian, pada malam Yesus ditangkap, semua muridnya meninggalkannya. (Mat. 26:56) Namun Yesus tidak pernah kehilangan kepercayaan terhadap mereka. Dia tahu benar ketidaksempurnaan mereka, tetapi dia “mengasihi mereka sampai akhir.” (Yoh. 13:1) Selepas dibangkitkan, Yesus bahkan memberi 11 orang rasulnya yang setia tanggungjawab yang berat untuk menjaga biri-birinya dan mengambil pimpinan dalam kerja menginjil. (Mat. 28:19, 20; Yoh. 21:15-17) Kepercayaan Yesus terhadap mereka tidak sia-sia. Walaupun mereka tidak sempurna, mereka menyembah Tuhan dengan setia sehingga akhir hayat mereka di bumi. Daripada contoh Hana, Daud, hamba Nabal, Abigail, dan Yesus, kita belajar bahawa kita memang boleh mempercayai manusia yang tidak sempurna.

MEMBINA SEMULA KEPERCAYAAN

13. Apakah satu hal yang boleh membuat kita tidak mempercayai orang lain?

13 Pernahkah anda memberitahu seorang saudara perkara peribadi dan memintanya untuk merahsiakannya, tetapi kemudian mendapati bahawa dia telah membongkar rahsia anda? Anda pasti rasa susah hati. Pernah sekali, seorang saudari memberitahu seorang penatua hal peribadinya. Keesokan hari, isteri penatua itu menelefon saudari tersebut untuk menggalakkannya. Jelas sekali, penatua itu telah membongkar rahsianya. Akibatnya, saudari itu berasa susah untuk mempercayai penatua itu. Syukurlah, saudari itu tidak hilang kepercayaan terhadap semua penatua. Dia telah meminta bantuan daripada seorang lagi penatua, dan penatua itu membantunya untuk membina semula kepercayaan terhadap para penatua.

14. Apakah yang telah membantu seorang saudara untuk membina semula kepercayaannya?

14 Seorang saudara sudah lama berasa marah terhadap dua orang penatua dan berasa bahawa mereka tidak dapat dipercayai. Namun, dia mula berfikir tentang sesuatu yang telah dikatakan oleh seorang penatua yang dihormatinya. Penatua itu berkata, “Musuh kita ialah Syaitan, bukannya saudara saudari kita.” Setelah merenungkan kata-kata penatua itu, saudara tersebut berdoa kepada Yehuwa untuk meminta bantuan-Nya. Akhirnya, dia dapat berdamai dengan dua orang penatua tersebut.

15. Mengapakah kita mungkin memerlukan masa untuk membina semula kepercayaan terhadap orang lain? Berikan contoh.

15 Pernahkah anda kehilangan tanggungjawab dalam sidang? Hal itu memang menyakitkan hati. Fikirkan contoh Grete. Dia dan ibunya merupakan Saksi yang setia di Nazi Jerman. Pada tahun 1930-an, semasa kerja kita diharamkan, Grete diberi tanggungjawab untuk menaip majalah Menara Pengawal bagi rakan seimannya. Tetapi, apabila para saudara yang mengambil pimpinan mendapat tahu bahawa bapanya menentang kebenaran, mereka tidak lagi memberi Grete tanggungjawab itu kerana takut bapanya akan memberikan maklumat sidang kepada para penentang. Namun, cabaran Grete belum berakhir. Sepanjang Perang Dunia Kedua, saudara-saudara enggan memberikan majalah Menara Pengawal kepada Grete dan ibunya, dan enggan bercakap kepada mereka semasa bertemu dengan mereka. Grete berasa sangat sedih, dan luka emosinya mengambil masa yang lama untuk sembuh. Apakah yang membantu Grete untuk membina semula kepercayaannya terhadap para saudara? Dia sedar bahawa Yehuwa telah mengampuni mereka, jadi dia pun patut berbuat demikian. *

“Musuh kita ialah Syaitan, bukannya saudara saudari kita”

16. Mengapakah kita harus bekerja keras untuk membina semula kepercayaan terhadap saudara saudari?

16 Jika anda mempunyai pengalaman buruk seperti itu, berusahalah untuk membina semula kepercayaan anda terhadap saudara saudari anda. Hal itu mungkin memerlukan masa, tetapi usaha anda pasti berbaloi. Fikirkan contoh ini: Pernahkah anda mengalami masalah keracunan makanan? Selepas itu, anda mungkin lebih berhati-hati semasa memilih makanan. Tetapi satu pengalaman buruk itu tidak akan membuat anda berhenti memakan, bukan? Begitu juga, kita tidak patut mengizinkan satu pengalaman buruk untuk melemahkan kepercayaan kita terhadap semua rakan seiman. Lagipun, kita harus ingat bahawa kita semua tidak sempurna. Apabila kita membina semula kepercayaan kita terhadap rakan seiman, kita akan lebih gembira dan dapat berfokus kepada apa yang dapat kita lakukan untuk membantu saudara saudari lebih mempercayai satu sama lain.

17. Mengapakah penting untuk mempercayai saudara saudari kita, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Ramai orang dalam dunia Syaitan tidak mempercayai satu sama lain, Namun, kita dapat mempercayai saudara saudari kita kerana kita mengasihi mereka. Kepercayaan sebegini dapat menyumbang kepada sukacita dan perpaduan kita sekarang, dan akan melindungi kita semasa kita menghadapi cabaran pada masa depan. Apakah yang dapat membantu anda jika seseorang telah mengecewakan anda dan anda tidak lagi mempercayainya? Pupuklah pandangan Yehuwa. Terapkan prinsip Bible, kuatkan kasih anda terhadap saudara saudari anda, dan belajar daripada watak-watak Bible. Dengan itu, anda dapat mengatasi perasaan kecewa dan membina semula kepercayaan anda terhadap orang lain. Hasilnya, anda akan mempunyai ramai sahabat “yang lebih karib daripada saudara kandung.” (Ams. 18:24) Namun sekadar mempercayai saudara saudari kita tidak cukup. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan bahawa kita dapat dipercayai oleh saudara saudari kita.

LAGU 99 Berjuta-juta Saudara

^ Kita perlu mempercayai saudara saudari kita. Namun hal itu tidak selalunya mudah kerana kita mungkin pernah dikecewakan oleh mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa prinsip Bible dan contoh penyembah Yehuwa pada masa lalu. Perbincangan ini akan membantu kita membina keyakinan terhadap rakan seiman kita atau memupuk semula kepercayaan terhadap saudara saudari yang pernah menyakiti kita.

^ Bible menyatakan bahawa sesetengah orang di sidang mungkin tidak layak dipercayai. (Yud. 4) Biarpun hal itu jarang berlaku, terdapat saudara palsu yang “memutarbelitkan kebenaran” untuk menyesatkan ahli sidang. (Kis. 20:30) Kita tidak mahu mempercayai mereka atau mendengar kata-kata mereka.

^ Untuk membaca pengalaman Grete, lihat 1974 Yearbook of Jehovah’s Witnesses, ms. 129-131.