RENCANA PEMBELAJARAN 40
“Memimpin Banyak Orang ke Haluan yang Benar”
“Mereka yang memimpin banyak orang ke haluan yang benar adalah seperti bintang, yang akan bersinar buat selama-lamanya.”—DAN. 12:3.
LAGU 151 Dia Akan Memanggil
PENGENALAN *
1. Apakah peristiwa menakjubkan yang menantikan kita semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?
SEMUA orang yang kehilangan orang tersayang merindui mereka dan tidak sabar-sabar untuk berjumpa semula dengan mereka. Yehuwa juga merindui umat-Nya yang setia yang telah meninggal. (Ayb. 14:15) Bayangkan betapa gembiranya semua orang apabila pembangkitan berlaku semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus! Seperti yang telah kita pelajari dalam rencana yang sebelumnya, “orang yang baik,” iaitu orang yang nama mereka tertulis dalam kitab kehidupan, akan “bangkit dan meraih kehidupan kekal.” (Kis. 24:15; Yoh. 5:29) Nampaknya banyak daripada orang kesayangan kita akan dibangkitkan terlebih dahulu. * Tambahan lagi, “orang yang tidak baik,” iaitu orang yang tidak berpeluang untuk mengenali Yehuwa atau berkhidmat kepada-Nya dengan setia sebelum mereka meninggal, “akan bangkit dan dihakimi.”
2-3. (a) Menurut Yesaya 11:9, 10, apakah yang akan diajarkan semasa program pendidikan yang teragung dalam sejarah manusia, dan mengapa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Semua orang yang dibangkitkan perlu diajar. (Yes. 26:9; ) Jadi program pendidikan yang teragung dalam sejarah manusia perlu dilaksanakan. (Baca 61:11Yesaya 11:9, 10.) Apakah tujuannya? Orang yang tidak baik yang dibangkitkan perlu belajar tentang Yesus Kristus, Kerajaan Tuhan, korban tebusan, dan isu yang berkaitan dengan nama Yehuwa dan kedaulatan-Nya. Sebenarnya orang baik yang dibangkitkan pun perlu diajar maklumat terkini yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai tujuan-Nya bagi bumi. Ada antara mereka yang meninggal lama sebelum seluruh Bible disiapkan. Jelaslah ada banyak hal yang perlu dipelajari oleh orang yang baik dan orang yang tidak baik.
3 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji soalan-soalan berikut: Bagaimanakah program pendidikan agung ini akan dilaksanakan? Bagaimanakah reaksi orang terhadap program pendidikan ini menentukan sama ada nama mereka akan kekal dalam kitab kehidupan atau tidak? Jawapan kepada soalan-soalan ini sangat penting untuk kita hari ini. Seperti yang akan kita bincangkan nanti, sesetengah nubuat yang tercatat dalam buku Daniel dan Wahyu akan membantu kita lebih memahami apa yang bakal berlaku semasa orang mati dibangkitkan. Mula-mula, mari kita mengkaji peristiwa yang menarik dalam nubuat di Daniel 12:1, 2.
“RAMAI ORANG YANG SUDAH MATI AKAN BANGKIT”
4-5. Apakah yang disingkapkan di Daniel 12:1 tentang hari-hari terakhir?
4 Baca Daniel 12:1. Buku Daniel menyingkapkan turutan peristiwa menarik yang akan berlaku sepanjang hari-hari terakhir. Sebagai contoh, Daniel 12:1 menubuatkan bahawa Mikhael, iaitu Yesus Kristus yang “bertindak bagi pihak [umat Tuhan], akan bangkit.” Nubuat itu mula menjadi kenyataan pada tahun 1914, semasa Yesus dilantik sebagai Raja Kerajaan Tuhan di syurga.
5 Daniel juga menubuatkan bahawa Yesus akan “bertindak” pada “masa kesusahan yang tidak pernah terjadi sejak pembentukan bangsa sehingga waktu itu.” “Masa kesusahan” ini adalah sama dengan “kesengsaraan besar” yang disebutkan di Matius 24:21. Pada akhir masa itu, iaitu semasa Armagedon, Yesus akan bertindak untuk melindungi umat Tuhan. Buku Wahyu menggambarkan umat Tuhan yang dilindungi itu sebagai “kumpulan besar manusia” yang “selamat mengharungi kesengsaraan besar.”—Why. 7:9, 14.
6. Apakah yang akan berlaku selepas kumpulan besar manusia selamat mengharungi kesengsaraan besar? Jelaskan. (Lihat juga “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah ini tentang pembangkitan di bumi.)
6 Baca Daniel 12:2. Apakah yang akan berlaku selepas kumpulan besar manusia selamat mengharungi masa kesusahan itu? Dahulu, kita fikir bahawa nubuat ini menggambarkan bagaimana kerja penyebaran berlangsung dengan giat selepas hampir dihentikan oleh para penentang pada tahun 1918. Namun sekarang, kita memahami bahawa nubuat ini menggambarkan bagaimana orang mati akan dibangkitkan di dunia baharu. * Pembangkitan ini akan berlaku selepas tamatnya hari-hari terakhir dan perang Armagedon.
7. (a) Bagaimanakah sesetengah orang yang dibangkitkan akan “menikmati kehidupan kekal”? (b) Mengapakah pembangkitan ini ialah “pembangkitan yang lebih baik”?
7 Namun, Daniel 12:2 menyatakan bahawa sesetengah orang yang dibangkitkan akan “menikmati kehidupan kekal.” Apakah maksudnya? Hal ini bermaksud bahawa jika orang yang dibangkitkan mengenali, dan terus mengenali, serta mematuhi Yehuwa dan Yesus, mereka akan diberi kehidupan kekal selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. (Yoh. 17:3) Pembangkitan ini ialah “pembangkitan yang lebih baik” berbanding pembangkitan pada masa lalu. (Ibr. 11:35) Mengapa? Kerana orang yang dibangkitkan pada masa lalu akhirnya mati lagi.
8. Bagaimanakah sesetengah orang yang dibangkitkan akan “dimalukan dan dibenci buat selama-lamanya”?
8 Namun, bukan semua orang yang dibangkitkan akan sudi menerima pendidikan daripada Yehuwa. Nubuat Daniel menyatakan bahawa sesetengah orang yang dibangkitkan “akan dimalukan dan dibenci buat selama-lamanya.” Oleh sebab mereka bersikap suka memberontak, nama mereka tidak akan ditulis dalam kitab kehidupan dan mereka tidak akan diberi kehidupan kekal. Sebaliknya mereka akan dibenci, atau dibinasakan, “buat selama-lamanya.” Jadi, Daniel 12:2 sedang menggambarkan kesudahan bagi semua orang yang dibangkitkan, dan kesudahan itu ditentukan berdasarkan perbuatan mereka selepas mereka dibangkitkan. * (Why. 20:12) Ada antara mereka yang akan diberi kehidupan kekal, manakala yang lain pula tidak.
“MEMIMPIN BANYAK ORANG KE HALUAN YANG BENAR”
9-10. Apakah hal lain yang akan berlaku selepas kesengsaraan besar? Siapakah yang “akan bersinar terang di ruang angkasa”?
9 Baca Daniel 12:3. Apakah hal lain yang akan berlaku selepas “masa kesusahan” itu? Daniel 12:3 menggambarkan satu lagi hal yang akan berlaku selepas kesengsaraan besar.
10 Siapakah yang akan “bersinar terang di ruang angkasa”? Jawapannya terdapat dalam kata-kata Yesus di Matius 13:43 yang kata, “Pada masa itu, orang yang mendapat perkenan Tuhan akan bersinar terang seperti matahari dalam Kerajaan Bapa mereka.” Semasa Yesus mengucapkan kata-kata itu, dia sedang menggambarkan “anak-anak Kerajaan Tuhan,” iaitu saudara-saudaranya yang terurap yang akan memerintah bersamanya dalam Kerajaan di syurga. (Mat. 13:38) Jadi kata-kata di Daniel 12:3 menggambarkan kaum terurap dan kerja yang akan dilakukan oleh mereka semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.
11-12. Apakah kerja yang akan dilakukan oleh 144,000 kaum terurap semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?
11 Bagaimanakah kaum terurap akan “memimpin banyak orang ke haluan yang benar”? Mereka akan bekerjasama dengan Yesus Kristus untuk memimpin program pendidikan yang akan berlangsung di bumi semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Ingatlah, 144,000 orang Kristian terurap bukan sahaja akan memerintah sebagai raja, tetapi juga berkhidmat sebagai imam. (Why. 1:6; 5:10; 20:6) Oleh itu, mereka akan membantu “menyembuhkan bangsa-bangsa” dan membantu semua manusia beransur-ansur menjadi sempurna. (Why. 22:1, 2; Yeh. 47:12) Kerja ini pasti membawa sukacita yang besar bagi mereka!
12 Siapakah “banyak orang” yang akan dipimpin ke haluan yang benar? Mereka merangkumi orang yang akan dibangkitkan, orang yang akan selamat mengharungi Armagedon, dan anak-anak yang akan dilahirkan di dunia baharu. Pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, semua manusia di bumi akan menjadi sempurna. Namun, adakah hal ini bermaksud bahawa nama mereka akan ditulis dengan pen dalam kitab kehidupan pada masa itu?
UJIAN TERAKHIR
13-14. Apakah yang perlu ditunjukkan oleh semua orang sempurna di bumi sebelum mereka menerima kehidupan kekal?
13 Kita harus ingat bahawa sekadar menjadi sempurna tidak bermaksud bahawa seseorang layak mendapat kehidupan kekal secara automatik. Fikirkan contoh Adam dan Hawa. Mereka sempurna, tetapi mereka perlu menunjukkan kepatuhan kepada Tuhan Yehuwa sebelum mereka diberi kehidupan kekal. Sedihnya, mereka gagal mematuhi-Nya.—Rm. 5:12.
14 Pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, semua manusia akan menjadi sempurna. Namun, adakah mereka akan menyokong pemerintahan Yehuwa untuk selama-lamanya? Atau adakah mereka akan menjadi seperti Adam dan Hawa yang tidak setia biarpun mereka sempurna? Soalan-soalan ini perlu dijawab. Bagaimana?
15-16. (a) Bilakah semua manusia akan berpeluang untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Yehuwa? (b) Apakah yang akan berlaku selepas ujian terakhir ini?
15 Syaitan akan dikurung semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Sepanjang masa itu, dia tidak dapat menyesatkan manusia. Namun, pada akhir 1,000 tahun itu, dia akan dibebaskan. Pada masa itu, dia akan cuba menyesatkan manusia yang sempurna. Semasa ujian itu, semua manusia yang sempurna di bumi akan berpeluang untuk menunjukkan bahawa mereka mahu menghormati nama Tuhan dan menyokong kedaulatan-Nya. (Why. 20:7-10) Apa yang dilakukan oleh setiap orang semasa ujian terakhir ini akan menentukan sama ada nama mereka akan kekal dalam kitab kehidupan atau tidak.
16 Bible memberitahu kita bahawa sesetengah orang akan menjadi seperti Adam dan Hawa yang menolak pemerintahan Yehuwa. Jadi apakah yang akan berlaku kepada mereka? Wahyu 20:15 memberitahu kita, “Sesiapa yang namanya tidak tertulis dalam kitab kehidupan juga dicampakkan ke dalam tasik api itu.” Ya, orang yang memberontak terhadap Yehuwa akan dimusnahkan buat selama-lamanya. Namun, kebanyakan manusia yang sempurna akan tetap setia semasa ujian terakhir ini. Selepas itu, barulah nama mereka akan tertulis secara kekal dalam kitab kehidupan.
SEMASA “AKHIR ZAMAN”
17. Seperti yang dikatakan satu malaikat kepada Daniel, apakah yang akan berlaku pada zaman kita? (Daniel 12:4, 8-10)
17 Tidakkah kita berasa teruja semasa memikirkan apa yang akan berlaku pada masa depan? Namun satu malaikat juga memberitahu Daniel hal penting yang akan berlaku pada “akhir zaman,” iaitu pada zaman kita. (Baca Daniel 12:4, 8-10; 2 Tim. 3:1-5) Malaikat itu memberitahu Daniel, “Pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah.” Maksudnya, pada akhir zaman, umat Tuhan akan lebih memahami nubuat dalam buku Daniel. Malaikat itu juga menambah bahawa “orang jahat akan berbuat jahat, dan tiada seorang pun antara mereka yang akan memahaminya.”
18. Apakah yang akan berlaku kepada orang jahat tidak lama lagi?
18 Hari ini, ramai orang jahat nampaknya terlepas daripada hukuman. (Mal. 3:14, 15) Namun tidak lama lagi, Yesus akan menghakimi orang jahat yang bersifat seperti kambing dan memisahkan mereka daripada orang yang bersifat seperti biri-biri. (Mat. 25:31-33) Orang jahat tidak akan terselamat semasa kesengsaraan besar, dan mereka tidak akan dibangkitkan di dunia baharu. Nama mereka tidak akan dicatat dalam “kitab peringatan” yang disebut di Maleakhi 3:16.
19. Apakah yang patut kita lakukan sekarang, dan mengapa? (Maleakhi 3:16-18)
19 Sekaranglah masanya bagi kita untuk membuktikan bahawa kita bukan orang yang jahat. (Baca Maleakhi 3:16-18.) Yehuwa sedang mengumpulkan orang yang dianggap-Nya sebagai ‘milik-Nya yang khas.’ Sudah pasti kita mahu tergolong antara milik Yehuwa yang berharga.
20. Apakah yang dijanjikan kepada Daniel, dan mengapakah anda menantikan masanya janji itu ditunaikan?
20 Sememangnya, kita sedang hidup pada masa yang mendebarkan! Namun hal-hal yang lebih menakjubkan akan berlaku tidak lama lagi. Kita akan melihat semua kejahatan dilenyapkan. Selepas itu, kita akan melihat janji Yehuwa yang berikut kepada Daniel ditunaikan: “Kamu akan bangkit untuk menerima bahagianmu pada akhir zaman.” (Dan. 12:13) Adakah anda menanti-nantikan masanya Daniel dan orang tersayang anda dibangkitkan? Jika ya, berusahalah sedaya upaya sekarang untuk tetap setia supaya nama anda kekal dalam kitab kehidupan Yehuwa!
LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’
^ Rencana ini mengandungi penjelasan yang dikemaskinikan tentang program pendidikan agung yang digambarkan di Daniel 12:2, 3. Kita akan mengkaji bila program ini akan berlaku dan siapa yang terlibat. Kita juga akan membincangkan bagaimana program pendidikan ini akan mempersiapkan orang di bumi untuk menghadapi ujian terakhir pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.
^ Nampaknya, pembangkitan mungkin berlaku secara berperingkat, iaitu generasi demi generasi. Penyembah Yehuwa yang mati semasa hari-hari terakhir mungkin dibangkitkan terlebih dahulu, diikuti dengan generasi yang sebelumnya, sehingga semua orang mati yang ada dalam ingatan Yehuwa dibangkitkan. Jika hal ini berlaku, setiap generasi orang akan dapat menyambut kembali orang yang dikenali mereka. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti, tetapi memandangkan Bible sudah menyatakan bahawa pembangkitan ke syurga akan berlaku dengan teratur, iaitu “setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing,” kita yakin bahawa pembangkitan di bumi juga akan berlaku dengan teratur.—1 Kor. 14:33; 15:23.
^ Pemahaman ini ialah pemahaman yang dikemaskinikan dan menggantikan maklumat dalam Perhatikanlah Nubuat Daniel! bab 17 dalam bahasa Indonesia, dan dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan tahun 1987 (Seri 38), ms. 17-21.
^ Tidak seperti apa yang digambarkan di Daniel 12:2, ungkapan “orang yang baik” dan “orang yang tidak baik” di Kisah 24:15 dan ungkapan “orang yang berbuat baik” dan “orang yang berbuat jahat” di Yohanes 5:29 menggambarkan perbuatan orang yang dibangkitkan sebelum mereka mati.