KISAH HIDUP
Saya Suka Belajar dan Mengajar tentang Yehuwa
SAYA membesar di Easton, Pennsylvania, A.S. Semasa kecil, matlamat saya adalah untuk pergi ke universiti dan menjadi seorang yang berjaya. Saya suka belajar, dan saya mendapat markah yang cemerlang dalam subjek matematik dan sains. Pada tahun 1956, sebuah organisasi hak sivil telah memberi saya 25 dolar kerana saya mendapat markah tertinggi antara semua pelajar berkulit hitam. Namun kemudian, matlamat saya berubah. Mengapa?
SAYA BELAJAR TENTANG YEHUWA
Pada awal tahun 1940-an, ibu bapa saya belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka kemudiannya berhenti belajar, tetapi ibu saya terus mendapat majalah Watchtower dan Awake! daripada mereka. Pada tahun 1950, sebuah konvensyen antarabangsa telah diadakan di Bandar Raya New York, dan keluarga saya telah menghadirinya.
Tidak lama selepas itu, Saudara Lawrence Jeffries mula mengunjungi kami dan ingin membantu saya belajar Bible. Saya memberitahunya bahawa saya tidak menyetujui pendirian Saksi-Saksi Yehuwa yang enggan terlibat dalam hal politik dan ketenteraan. Saya berkata bahawa jika semua orang di Amerika tidak pergi berperang, pihak musuh dapat menakluki negara kami dengan mudah. Dengan sabar, Saudara Jeffries menjawab, “Jika semua orang di Amerika menyembah Yehuwa dan mereka diserang musuh, kamu rasa apa yang akan Yehuwa lakukan?” Kata-katanya tentang hal itu dan hal lain membantu saya sedar bahawa pandangan saya salah. Hasilnya, saya lebih berminat untuk belajar Bible.
Ibu saya menyimpan majalah The Watchtower dan Awake! yang lama di bilik bawah tanah, dan saya menghabiskan masa berjam-jam untuk membacanya. Akhirnya, saya sedar bahawa apa yang saya pelajari ialah kebenaran. Jadi saya setuju untuk belajar Bible dengan Saudara Jeffries dan menghadiri perjumpaan secara tetap. Saya sangat mencintai kebenaran lalu memutuskan untuk menjadi penyiar. Apabila saya faham bahawa “hari besar Yehuwa sudah dekat,” saya mengubah matlamat saya. (Zef. 1:14) Saya tidak lagi ingin pergi ke universiti, tetapi ingin membantu orang lain mempelajari kebenaran Bible.
Saya telah tamat sekolah pada 13 Jun 1956, dan tiga hari kemudian, saya dibaptis semasa perhimpunan litar. Saya tidak sangka saya akan mendapat begitu
banyak berkat kerana menggunakan kehidupan saya untuk belajar dan mengajar tentang Yehuwa.BELAJAR DAN MENGAJAR SEMASA MERINTIS
Enam bulan selepas dibaptis, saya menjadi perintis biasa. Kingdom Ministry terbitan Disember 1956 mengandungi sebuah rencana yang bertajuk, “Dapatkah Anda Berkhidmat di Tempat yang Memerlukan Lebih Banyak Penyiar?” Saya ingin menyahut seruan ini dan berkhidmat di kawasan yang hanya mempunyai sedikit penyiar.—Mat. 24:14.
Jadi, saya berpindah ke Edgefield di Carolina Selatan. Sidang di sana hanya mempunyai lima orang penyiar, termasuk saya. Kami menggunakan bilik depan rumah seorang saudara untuk mengadakan perjumpaan. Setiap bulan, saya meluangkan 100 jam dalam kerja penyebaran. Selain itu, saya sangat sibuk mengambil pimpinan dalam kerja menginjil dan mengendalikan bahagian perjumpaan. Yang menariknya, semakin banyak kerja yang saya lakukan dalam sidang, semakin baik saya mengenali Yehuwa.
Seorang wanita yang merupakan pelajar Bible saya memiliki rumah urus mayat di Johnston, sebuah pekan yang tidak jauh dari tempat kami. Wanita itu sangat baik hati kerana memberi saya pekerjaan separuh masa dan mengizinkan kami untuk menggunakan sebuah bangunan kecil yang dimilikinya sebagai Dewan Perjumpaan.
Saudara Jolly Jeffries, anak kepada guru Bible saya, kemudiannya berpindah dari Brooklyn, New York, ke Carolina Selatan, dan menjadi rakan perintis saya. Kami tinggal dalam sebuah treler kecil yang dipinjamkan oleh seorang saudara.
Gaji di kawasan kami sangat rendah. Selepas bekerja sehari suntuk, kami hanya mendapat dua atau tiga dolar. Pernah sekali, saya menggunakan wang saya yang terakhir untuk membeli makanan di kedai runcit. Semasa saya keluar, seorang lelaki datang dan bertanya, “Kamu mahu kerja? Saya bayar kamu satu dolar sejam.” Saya telah bekerja untuknya selama tiga hari untuk membersihkan tapak pembinaan. Jelaslah, Yehuwa sedang membantu saya untuk terus berkhidmat di Edgefield. Pada tahun 1958, saya telah menghadiri konvensyen antarabangsa di Bandar Raya New York.
Pada hari kedua konvensyen, sesuatu yang istimewa berlaku. Saya berjumpa dengan Ruby Wadlington, seorang perintis biasa di Gallatin, Tennessee. Kami berdua ingin menjadi mubaligh, jadi kami menghadiri perjumpaan di konvensyen itu yang disediakan bagi mereka yang berminat untuk menghadiri Sekolah Gilead. Kemudian kami saling menghubungi melalui surat. Semasa dijemput ke Gallatin untuk memberikan ceramah umum, saya melamar Ruby. Selepas itu, saya berpindah ke sidang Ruby, dan kami berkahwin pada tahun 1959.
BELAJAR DAN MENGAJAR DALAM SIDANG
Semasa saya berumur 23 tahun, saya dilantik sebagai hamba sidang (kini dipanggil koordinator badan penatua) di Gallatin. Masa itu, Charles Thompson baru sahaja menjadi penyelia litar, dan sidang kami ialah sidang pertama yang dilawatnya. Walaupun dia sangat berpengalaman, dia masih meminta pandangan saya tentang keperluan saudara saudari dan bagaimana penyelia litar lain menjaga keperluan sidang. Daripada teladannya, saya belajar
bahawa adalah baik untuk rajin bertanya dan mendapatkan maklumat yang secukupnya sebelum membuat keputusan.Pada Mei 1964, saya dijemput untuk menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Lansing Selatan selama sebulan. Kursus ini telah menguatkan keinginan saya untuk terus belajar tentang Yehuwa dan menguatkan hubungan saya dengan-Nya.
BELAJAR DAN MENGAJAR SEMASA MEMBUAT KERJA LAWATAN
Pada Januari 1965, saya dan Ruby dijemput untuk membuat kerja litar. Litar kami sangat besar dan merangkumi kawasan dari Knoxville, Tennessee, sehingga kawasan yang berhampiran Richmond, Virginia. Kami melawat sidang-sidang di Carolina Utara, Kentucky, dan Virginia Barat. Namun, kami hanya melawat sidang-sidang yang terdiri daripada saudara saudari berkulit hitam, kerana pada masa itu, terdapat masalah pengasingan kaum di bahagian selatan Amerika Syarikat, dan saudara saudari yang berkulit hitam tidak boleh berhimpun bersama saudara saudari yang berkulit putih. Saudara saudari kami sangat miskin, jadi kami belajar untuk mengongsi apa yang kami miliki dengan mereka. Seorang penyelia litar yang sangat berpengalaman memberi saya nasihat yang penting ini: “Semasa melawat sidang-sidang, jangan berlagak seperti bos. Jadilah saudara kepada rakan seiman kamu. Kamu dapat membantu mereka hanya jika mereka menganggap kamu sebagai saudara mereka.”
Semasa kami melawat sebuah sidang yang kecil, Ruby mula belajar Bible dengan seorang wanita muda yang mempunyai seorang anak yang berumur satu tahun. Tiada seorang pun dalam sidang itu yang dapat belajar bersama wanita itu, jadi Ruby terus belajar bersamanya menerusi surat. Pada kunjungan kami yang seterusnya, wanita itu menghadiri semua perjumpaan. Apabila dua orang saudari perintis khas ditugaskan ke sidang itu, mereka meneruskan pembelajaran bersama wanita itu, dan tidak lama kemudian, wanita itu dibaptis. Kira-kira 30 tahun kemudian, pada tahun 1995 di Bethel Paterson, seorang saudari muda memperkenalkan diri kepada Ruby. Rupa-rupanya dia ialah anak kepada wanita yang pernah belajar bersama Ruby dahulu. Dia dan suaminya sedang menghadiri kelas Gilead yang ke-100.
Litar kami yang kedua merangkumi bahagian tengah Florida. Pada masa itu, kami memerlukan kereta, jadi kami telah membeli sebuah kereta dengan harga yang sangat murah. Tetapi dalam seminggu, pam air kereta itu rosak dan kami tiada duit untuk membaikinya. Saya menghubungi seorang saudara, dan dia menyuruh pekerjanya untuk membaiki kereta kami. Semasa kami ingin membayarnya, dia enggan menerima duit kami dan berkata, “Sudah beres.” Dia bahkan memberi kami sejumlah wang sebagai hadiah. Pengalaman itu mengingatkan kami bahawa Yehuwa menjaga hamba-hamba-Nya, dan bahawa kami harus bersikap murah hati.
Tidak kira sidang mana yang kami kunjungi, kami akan tinggal di rumah saudara saudari tempatan. Hasilnya, kami mendapat banyak kawan yang baik. Suatu hari, semasa saya membuat laporan sidang, saya perlu keluar. Jadi saya meninggalkan laporan saya di dalam mesin taip. Semasa saya balik pada waktu malam, saya mendapati bahawa laporan saya sudah “siap.” Rupa-rupanya, seorang anak yang berumur tiga tahun di rumah itu telah “membantu” saya menaip laporan saya. Selama bertahun-tahun, saya asyik bergurau dengan budak itu tentang peristiwa tersebut.
Pada tahun 1971, saya diberitahu bahawa saya ditugaskan sebagai penyelia distrik di Bandar Raya New York. Saya dan Ruby sangat terkejut semasa mendapat tahu hal itu. Saya hanya berumur 34 tahun, dan saya penyelia distrik pertama di situ yang berkulit hitam. Namun, saudara saudari di situ menyambut saya dengan mesra.
Sebagai penyelia distrik, saya sangat menikmati kerja mengajar tentang Yehuwa setiap hujung minggu semasa perhimpunan litar. Sebenarnya, banyak penyelia litar di situ lebih berpengalaman daripada saya. Contohnya, seorang daripada mereka telah memberikan ceramah pembaptisan saya. Seorang lagi saudara, iaitu Theodore Jaracz, kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan. Terdapat juga banyak saudara yang berpengalaman dari Bethel Brooklyn. Saya sangat bersyukur kerana para penyelia litar dan ahli Bethel membuat saya berasa sangat selesa. Saya dapat lihat bahawa mereka ialah gembala yang pengasih, yang bergantung pada Firman Tuhan dan setia menyokong organisasi Tuhan. Kerendahan
hati mereka membuat saya berasa lebih senang untuk berkhidmat sebagai penyelia distrik.MELAKUKAN KERJA LITAR SEMULA
Pada tahun 1974, Badan Pimpinan menugaskan sekumpulan lagi penyelia litar sebagai penyelia distrik. Maka saya kembali melakukan kerja litar. Kali ini, saya ditugaskan ke litar di Carolina Selatan. Pada masa itu, saudara saudari daripada pelbagai kaum sudah boleh berhimpun bersama-sama, dan mereka sangat gembira.
Pada hujung tahun 1976, saya ditugaskan ke sebuah litar di Georgia yang terletak di antara Atlanta dengan Columbus. Ketika di situ, saya memberikan ceramah pengebumian bagi lima orang anak berkulit hitam yang mati semasa orang membakar rumah mereka. Ibu mereka pula dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan. Pada masa itu, banyak Saksi yang berkulit hitam dan berkulit putih datang ke hospital untuk melegakan mereka. Kasih mereka sangat menakjubkan. Apabila umat Tuhan menunjukkan belas kasihan sebegini terhadap satu sama lain, mereka dapat bertabah mengharungi apa sahaja cubaan.
BELAJAR DAN MENGAJAR DI BETHEL
Pada tahun 1977, kami dijemput ke Bethel Brooklyn untuk membantu dalam sebuah projek. Beberapa bulan kemudian, semasa projek itu hampir selesai, dua orang ahli Badan Pimpinan berjumpa dengan saya dan menanya jika saya dan Ruby sudi terus berkhidmat di Bethel. Kami menerima tugasan itu.
Selama 24 tahun, saya berkhidmat dalam Bahagian Kerja Penyebaran. Para saudara dalam bahagian ini sering perlu menangani isu yang sensitif dan soalan yang rumit. Untuk membantu kami, Badan Pimpinan telah menyediakan panduan yang berdasarkan prinsip Bible. Panduan ini bukan sahaja digunakan untuk menjawab soalan yang diajukan, tetapi juga untuk melatih para penyelia litar, para penatua, dan para perintis. Latihan ini telah membantu banyak orang bertumbuh secara rohani. Hasilnya, organisasi Yehuwa telah dikuatkan.
Dari tahun 1995 hingga 2018, saya berpeluang berkhidmat sebagai wakil ibu pejabat, yang dahulunya dikenali sebagai penyelia zon. Semasa melawat pejabat cawangan di negara lain, saya bertemu dengan ahli Jawatankuasa Cawangan, ahli Bethel, dan para mubaligh, untuk menggalakkan mereka dan melihat jika mereka memerlukan apa-apa bantuan. Semasa lawatan sebegini, saya dan Ruby selalu digalakkan semasa mendengar pengalaman saudara saudari. Contohnya, semasa melawat Rwanda pada tahun 2000, kami sangat tersentuh semasa mendengar bagaimana saudara saudari dan ahli Bethel di situ telah menghadapi pembunuhan kaum pada tahun 1994. Meskipun ramai antara mereka telah kehilangan orang tersayang, mereka tidak kehilangan iman, harapan, dan sukacita mereka.
Sekarang, kami berumur 80-an. Selama 20 tahun yang lalu, saya berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Syarikat. Saya tidak pernah menerima pendidikan di universiti, namun saya telah mendapat pendidikan tertinggi daripada Yehuwa dan organisasi-Nya. Pendidikan ini telah melengkapi saya untuk mengajar orang lain kebenaran Bible yang membawa manfaat kepada mereka untuk selama-lamanya. (2 Kor. 3:5; 2 Tim. 2:2) Saya telah melihat bagaimana mesej Bible membantu orang menikmati hidup yang lebih bermakna dan membina persahabatan dengan Tuhan. (Yak. 4:8) Saya dan Ruby terus menggalakkan orang lain agar menghargai peluang untuk belajar tentang Yehuwa dan mengajar kebenaran Bible, kerana inilah penghormatan terbesar bagi penyembah Yehuwa!