Pertanyaan Pembaca
Menurut Ibrani 4:12, apakah itu “firman Tuhan” yang “hidup” dan “berkuasa”?
Menurut konteks ayat itu, Rasul Paulus sebenarnya merujuk kepada tujuan Tuhan yang sudah disingkapkan dalam Bible.
Ibrani 4:12 sesuai digunakan dalam bahan bacaan untuk menunjukkan bahawa Bible mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan orang. Namun, adalah baik untuk memahami konteks keseluruhan ayat di Ibrani 4:12. Paulus menggalakkan orang Kristian Ibrani untuk hidup selaras dengan tujuan Tuhan. Sesetengah tujuan Tuhan boleh didapati dalam ayat-ayat suci. Paulus menggunakan contoh orang Israel yang telah diselamatkan dari Mesir. Mereka mempunyai peluang untuk memasuki “suatu negeri yang luas, kaya, dan subur” yang dijanjikan Tuhan dan di sana mereka dapat menikmati hari rehat-Nya.—Kel. 3:8; Ul. 12:9, 10.
Itulah tujuan Tuhan. Namun, orang Israel kemudiannya menolak Yehuwa dan tidak beriman terhadap-Nya. Maka kebanyakan daripada mereka gagal menikmati hari rehat-Nya. (Bil. 14:30; Yos. 14:6-10) Namun Paulus berkata, “Tuhan berjanji bahawa kita masih dapat menikmati hari rehat-Nya.” (Ibr. 3:16-19; 4:1) Jelaslah, janji yang dikatakan itu ialah sebahagian daripada tujuan Tuhan. Seperti orang Kristian Ibrani, kita juga boleh belajar tentang tujuan itu dan hidup selaras dengannya. Untuk menekankan bahawa janji itu adalah berdasarkan Ayat-Ayat Suci, Paulus memetik sebahagian daripada Kejadian 2:2 dan Mazmur 95:11.
Hati kita tersentuh kerana “kita masih dapat menikmati hari rehat-Nya.” Kita yakin bahawa janji ini benar-benar wujud, dan kita telah mengambil langkah untuk menikmatinya. Kita bukan sekadar mengikut Hukum Musa atau melakukan perkara baik untuk mendapat perkenan Yehuwa. Sebaliknya, kita beriman terhadap Tuhan dan gembira untuk tetap hidup selaras dengan tujuan Tuhan. Ribuan orang di serata dunia telah mula mempelajari Bible dan tujuan Tuhan. Ramai orang didorong untuk mengubah kehidupan, beriman, dan dibaptis. Hal ini membuktikan bahawa ‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’ Tujuan Tuhan yang terkandung dalam Bible telah membawa kesan terhadap kehidupan kita dan akan terus berkuasa dalam kehidupan kita.