Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ibu Bapa, Binalah Iman Anak-Anak Anda

Ibu Bapa, Binalah Iman Anak-Anak Anda

‘Pemudi dan pemuda, hendaklah mereka semua memuji nama Yehuwa!’​—MZM. 148:12, 13.

LAGU: 88, 115

1, 2. (a) Apakah cabaran yang dihadapi ibu bapa, dan bagaimanakah mereka dapat menanganinya? (b) Apakah empat perkara yang akan dibincangkan?

“KAMI percaya kepada Yehuwa. Tetapi hal itu tidak bermaksud bahawa anak kami percaya,” kata suami isteri dari Perancis. Mereka menambah, “Iman bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Anak perlu memupuk iman sedikit demi sedikit.” Seorang saudara di Australia menulis, “Membantu anak memupuk iman mungkin merupakan cabaran yang terbesar. Anda perlu menggunakan semua bahan yang sedia ada. Anda mungkin berfikir dia sudah puas dengan jawapan anda. Tetapi dia tanya lagi! Cara yang digunakan untuk menjawab soalan anak pada hari ini mungkin tidak lagi berkesan pada kemudian hari. Anda mungkin harus menjelaskan subjek itu berkali-kali.”

2 Sebagai ibu bapa, pernahkah anda tertanya-tanya sama ada anda dapat mengajar dan membentuk anak menjadi orang dewasa yang beriman? Sebenarnya, kita tidak dapat melakukan tugas ini dengan kebijaksanaan sendiri! (Yer. 10:23) Tetapi dengan bimbingan Tuhan, kita boleh berjaya. Perhatikan empat cara yang dapat membantu anda: (1) Kenali anak dengan baik. (2) Ajar anak tentang perkara dalam hati anda. (3) Gunakan contoh yang berkesan. (4) Bersabar dan sentiasa berdoa.

KENALI ANAK ANDA DENGAN BAIK

3. Bagaimanakah ibu bapa boleh meniru contoh Yesus semasa mengajar?

3 Yesus tidak berasa takut untuk menanya para pengikutnya tentang apa yang dipercayai mereka. (Mat. 16:13-15) Contohilah teladannya. Adalah baik untuk membantu anak anda meluahkan perasaannya dalam suasana yang santai. Kita boleh membincangkan keraguan mereka. Seorang saudara yang berusia 15 tahun di Australia menulis, “Ayah sering berbincang dengan saya tentang iman saya dan membantu saya menaakul. Dia bertanya, ‘Apakah yang dikatakan Bible?’ ‘Adakah kamu percayainya?’ ‘Mengapa kamu percaya?’ Dia ingin saya menjawab dengan kata-kata sendiri, bukannya mengulangi kata-kata dia atau Ibu. Seraya saya membesar, saya harus menjawab dengan lebih terperinci.”

4. Mengapakah penting untuk memandang serius soalan-soalan anak kita? Berikan contoh.

4 Jika anak anda tidak yakin dengan sesetengah ajaran, janganlah berikan reaksi yang keterlaluan. Sebaliknya, sabarlah dan bantulah dia untuk menaakul. Seorang ayah berkata, “Soalan anak harus dipandang serius. Jangan meremehkannya dan jangan elakkan topik yang anda tidak selesa untuk dibincangkan.” Sebenarnya, adalah baik untuk memandang soalan anak sebagai tanda yang menunjukkan bahawa mereka mengambil berat dan ingin tahu. Semasa Yesus berumur 12 tahun, dia juga menanya soalan yang mendalam. (Baca Lukas 2:46.) Seorang remaja yang berusia 15 tahun di Denmark berkata, “Apabila saya menanya sama ada kami mempunyai agama benar, ibu bapa saya tetap tenang walaupun mereka mungkin risau akan saya. Mereka menjawab semua soalan saya dengan menggunakan Bible.”

5. Bagaimanakah ibu bapa menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang iman anak mereka?

5 Berusahalah untuk mengenali anak anda dengan baik. Cubalah memahami pemikiran, perasaan, dan kerisauan mereka. Janganlah anggap bahawa mereka memiliki iman hanya kerana mereka menghadiri perjumpaan dan menginjil bersama anda. Bincangkanlah perkara rohani semasa menjalankan aktiviti seharian. Berdoalah bersama anak. Cubalah kenal pasti perkara yang menguji iman mereka dan bantulah mereka menanganinya.

AJAR ANAK TENTANG PERKARA DALAM HATI ANDA

6. Apabila ibu bapa menanam kebenaran Bible dalam hati sendiri, bagaimanakah hal ini dapat membantu mereka mengajar anak?

6 Sebagai seorang guru, Yesus dapat mencapai hati orang kerana dia mengasihi Yehuwa, Firman-Nya, dan manusia. (Luk. 24:32; Yoh. 7:46) Kasih yang sama boleh membantu ibu bapa untuk mencapai hati anak mereka. (Baca Ulangan 6:5-8; Lukas 6:45.) Maka, ibu bapa perlu mempelajari Bible dan bahan bacaan dengan tekun. Pupuklah minat terhadap penciptaan dan bacalah rencana dalam bahan bacaan mengenai topik ini. (Mat. 6:26, 28) Dengan demikian, pengetahuan anda akan diluaskan, penghargaan terhadap Yehuwa dapat diperdalam, dan anda akan dilengkapi untuk mengajar anak.​—Luk. 6:40.

7, 8. Apabila hati ibu bapa dipenuhi penghargaan terhadap kebenaran Bible, apakah hasilnya? Berikan contoh.

7 Apabila hati anda dipenuhi penghargaan terhadap kebenaran Bible, anda akan mengongsinya dengan keluarga anda. Hal itu boleh dilakukan bukan hanya sewaktu membuat persiapan untuk perjumpaan atau semasa penyembahan keluarga, tetapi pada bila-bila masa. Perbincangan sebegitu tidak seharusnya dipaksa, tetapi berlaku secara spontan dalam perbualan harian. Sepasang suami isteri di Amerika Syarikat bercakap tentang Yehuwa dengan anak mereka sewaktu menikmati keindahan alam semula jadi atau merasai makanan yang sedap. Mereka berkata, “Kami sering mengingatkan anak kami tentang kasih dan keprihatinan Yehuwa dalam cara Dia menyediakan segala-galanya bagi kita.” Sewaktu berkebun dengan dua anak perempuan mereka, sepasang suami isteri di Afrika Selatan bercakap tentang penciptaan, contohnya mengenai keajaiban biji benih yang boleh bercambah menjadi tumbuhan. Mereka berkata, “Kami cuba memupuk hormat terhadap kehidupan dan keajaibannya dalam diri anak kami.”

8 Seorang bapa di Australia membawa anak lelakinya yang berumur 10 tahun ke muzium. Dia ingin membantu anaknya untuk mengukuhkan iman kepada Tuhan dan penciptaan. Dia berkata, “Kami melihat pameran mengenai makhluk lautan kuno yang dipanggil ammonoid dan trilobite. Hal itu sangat mengagumkan kerana makhluk yang telah pupus itu sangat cantik, rumit, dan lengkap, sama seperti haiwan hari ini. Jadi, jika kehidupan ringkas berevolusi menjadi lebih rumit, mengapakah makhluk kuno itu sudah pun begitu rumit? Hal itu memang suatu pengajaran yang mengagumkan dan saya kongsi kepada anak saya.”

GUNAKAN CONTOH YANG BERKESAN

9. Mengapakah contoh merupakan cara mengajar yang berkesan? Bagaimanakah seorang ibu menggunakan contoh?

9 Yesus sering menggunakan contoh yang menggugah fikiran, mencapai hati, dan mudah diingati. (Mat. 13:34, 35) Anak-anak mempunyai imaginasi yang kuat. Jadi ibu bapa, gunakanlah contoh semasa mengajar. Itulah yang dilakukan seorang ibu di Jepun. Apabila dua anak lelakinya berumur 8 dan 10 tahun, dia ingin mengajar mereka bahawa cara Yehuwa menciptakan atmosfera bumi menunjukkan keprihatinan-Nya bagi manusia. Jadi ibu itu memberi mereka susu, gula, dan kopi, lalu meminta mereka membuat kopi baginya. Ibu itu berkata, “Mereka membuat kopi itu dengan teliti. Apabila saya tanya mengapa mereka begitu teliti, mereka menjawab bahawa mereka ingin membuat kopi dalam cara yang saya suka. Jadi saya terangkan bahawa Tuhan juga mencampurkan gas-gas di atmosfera dengan teliti supaya sesuai bagi kita.” Contoh ini berpadanan dengan umur mereka. Anak-anak itu juga seronok belajar dan tidak melupakannya.

Anda boleh menggunakan objek yang biasa ditemui untuk membina iman anak anda terhadap Tuhan dan penciptaan (Lihat perenggan 10)

10, 11. (a) Apakah contoh yang boleh digunakan untuk membina iman anak anda? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah contoh-contoh berkesan yang pernah anda gunakan?

10 Anda juga boleh menggunakan contoh resipi untuk memupuk iman anak. Bagaimana? Semasa membuat kek atau biskut, terangkan kegunaan resipi. Kemudian berikan sebiji buah, seperti epal, kepada anak. Tanyalah dia, “Tahukah kamu epal ini ada resipi juga?” Selepas itu, potongkan epal dan berinya biji epal. Anda boleh memberitahunya bahawa terdapat resipi yang tertulis dalam biji itu, tetapi resipi ini jauh lebih rumit daripada arahan dalam buku resipi. Tanyalah dia, “Jika ada orang menulis resipi untuk kek, siapakah yang menulis resipi bagi epal?” Bagi anak yang lebih besar, anda boleh menjelaskan bahawa resipi untuk epal, atau pokok epal, terdapat dalam DNA. Kemudian anda boleh melihat contoh-contoh pada muka surat 10 hingga 20 dalam brosur Asal Mula Kehidupan​—Lima Pertanyaan yang Patut Direnungkan yang terdapat dalam bahasa Indonesia.

11 Ramai ibu bapa suka membincangkan rencana “Apakah Ini Dirancang?” dalam majalah Sadarlah! dengan anak. Jika anak-anak mereka masih kecil, ibu bapa boleh menggunakan penjelasan yang mudah difahami. Contohnya, sepasang suami isteri di Denmark membandingkan kapal terbang dengan burung. Mereka berkata, “Kapal terbang seperti burung, tetapi bolehkah kapal terbang bertelur dan menetaskan kapal terbang yang kecil? Adakah burung perlu landasan untuk mendarat? Antara bunyi kapal terbang dengan kicauan burung, manakah yang lebih merdu? Jadi siapakah yang lebih bijak, pereka kapal terbang atau Pencipta burung?” Contoh sebegini, berserta soalan-soalan, dapat membantu anak untuk meningkatkan daya pemikiran dan membina iman mereka terhadap Tuhan.​—Ams. 2:10-12.

12. Bagaimanakah memberikan contoh boleh membantu memupuk iman anak anda terhadap Bible?

12 Anda juga boleh meyakinkan anak anda mengenai ketepatan Bible dengan menggunakan contoh. Fikirkan ayat di Ayub 26:7. (Baca.) Bagaimanakah anda boleh membuktikan bahawa ayat ini diilhami Tuhan? Anda boleh menggunakan fakta-fakta. Tetapi cara yang lebih baik adalah dengan merangsang imaginasi anak. Anda boleh menjelaskan bahawa orang pada zaman Ayub tidak percaya bahawa bumi tergantung pada angkasa hampa. Mereka tahu bahawa semua objek, seperti bola atau batu, memerlukan sesuatu untuk menampungnya. Memandangkan pada zaman Ayub tiada teleskop dan kapal angkasa, mereka tidak tahu bahawa bumi tergantung pada angkasa hampa. Oleh itu, kita sedar bahawa walaupun Bible ditulis lama dahulu, Bible selalu tepat kerana diilhami Yehuwa.​—Neh. 9:6.

JELASKAN NILAI PRINSIP-PRINSIP BIBLE

13, 14. Bagaimanakah ibu bapa dapat menekankan nilai prinsip-prinsip Bible kepada anak mereka?

13 Adalah penting bagi anda untuk menekankan kepentingan prinsip-prinsip Bible kepada anak anda. (Baca Mazmur 1:1-3.) Misalnya, anda boleh meminta anak anda untuk bayangkan bahawa mereka berpindah ke sebuah pulau yang terpencil dan perlu memilih orang untuk hidup bersama mereka. Kemudian, tanyalah mereka, “Apakah sifat yang harus dimiliki setiap orang jika mereka ingin hidup berdamai?” Anda boleh mengongsi dengan mereka bimbingan bijak yang tercatat di Galatia 5:19-23.

14 Contoh itu memberikan dua pengajaran penting. Pertama, piawaian Tuhan menggalakkan kedamaian dan perpaduan. Kedua, dengan mendidik kita sekarang, Yehuwa sedang mempersiapkan kita untuk kehidupan di dunia baharu. (Yes. 54:13; Yoh. 17:3) Anda boleh membantu anak anda memahami pengajaran ini dengan menggunakan pengalaman daripada bahan terbitan, seperti siri rencana “Bible Mengubah Hidup” dalam majalah Menara Pengawal. Selain itu, jika seseorang dalam sidang anda telah membuat perubahan besar agar dapat menyenangkan Yehuwa, jemputlah dia untuk mengongsi pengalamannya. Contoh-contoh sebegini menunjukkan betapa bernilainya prinsip Bible!​—Ibr. 4:12.

15. Apakah seharusnya matlamat anda semasa mengajar anak?

15 Semasa mengajar anak, adalah penting supaya pembelajaran itu tidak membosankan. Cubalah gunakan daya imaginasi anda. Rangsanglah pemikiran anak dan sesuaikan pembelajaran mengikut tahap umur mereka. Buatlah pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan supaya membina iman mereka. Seorang ayah berkata, “Janganlah putus asa. Cubalah cara baharu untuk menjelaskan topik yang selalu dibincangkan.”

SETIA, SABAR, DAN SENTIASA BERDOA

16. Semasa mengajar anak-anak, mengapakah kesabaran amat penting? Berikan contoh.

16 Daya aktif Tuhan diperlukan untuk menghasilkan iman yang kuat. (Gal. 5:22, 23) Seperti buah-buahan yang mengambil masa untuk bertumbuh, iman juga mengambil masa untuk dipupuk. Maka, anda perlu bersabar dan bertabah semasa mengajar anak. Seorang ayah di Jepun yang mempunyai dua orang anak berkata, “Saya dan isteri selalu berikan perhatian kepada anak. Sejak mereka kecil, saya belajar dengan mereka selama 15 minit setiap hari kecuali pada hari perjumpaan. Tempoh 15 minit itu tidak terlalu susah bagi kami atau anak-anak.” Seorang penyelia litar menulis, “Semasa remaja, saya mempunyai banyak soalan dan keraguan yang tidak diluahkan. Namun, kebanyakan daripadanya dibincangkan dalam perjumpaan, semasa penyembahan keluarga, atau pembelajaran peribadi. Maka, adalah penting bagi ibu bapa untuk terus mengajar anak.”

Jika anda ingin menjadi guru yang mahir, tanamlah Firman Tuhan dalam hati anda dahulu (Lihat perenggan 17)

17. Mengapakah teladan ibu bapa penting? Bagaimanakah sepasang suami isteri menunjukkan teladan baik kepada anak perempuan mereka?

17 Sudah tentu, adalah sangat penting agar ibu bapa mempunyai iman yang kuat. Anak akan melihat teladan anda dan hal ini membawa kesan yang baik kepada mereka. Jadi sebagai ibu bapa, teruslah kukuhkan iman anda agar anak dapat melihat seberapa nyata Yehuwa dalam hidup anda. Semasa sepasang suami isteri di Bermuda menghadapi kerisauan, mereka berdoa dengan anak mereka untuk meminta bimbingan Yehuwa. Mereka juga menggalakkan anak mereka untuk berdoa secara peribadi. Mereka berkata, “Kami memberitahu anak sulung kami, ‘Yakinlah sepenuhnya pada Yehuwa, sibukkan diri dalam aktiviti rohani, dan jangan terlalu risau.’ Apabila anak perempuan kami melihat hasilnya, dia tahu bahawa Yehuwa sedang membantu kami. Hal ini telah menguatkan imannya terhadap Tuhan dan Bible.”

18. Apakah hal penting yang harus diakui oleh ibu bapa?

18 Hakikatnya ialah anak-anak perlu mengembangkan iman sendiri. Sebagai ibu bapa, anda boleh terus menanam dan menyiram. Tetapi, hanya Tuhanlah yang dapat menyebabkannya bertumbuh. (1 Kor. 3:6) Jadi, berdoalah untuk daya aktif Tuhan dan terus berusaha untuk mengajar anak anda yang disayangi. Dengan itu, Yehuwa akan memberkati usaha anda.​—Ef. 6:4.