Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda, Kukuhkanlah Iman Anda

Kaum Muda, Kukuhkanlah Iman Anda

“Iman ialah bukti yang kukuh bahawa apa yang dipercayai adalah nyata meskipun hal-hal itu tidak dapat dilihat.”​—IBR. 11:1.

LAGU: 41, 69

1, 2. Apakah tekanan yang mungkin dialami oleh kaum muda? Apakah langkah-langkah yang boleh membantu mereka menangani hal ini?

SEORANG saudari muda di Britain disindir kerana mempercayai Tuhan. Rakan sekolahnya berkata, “Kamu sangat pandai tetapi kamu masih percaya Tuhan.” Seorang saudara di Jerman menulis, “Guru-guru saya menganggap catatan Bible mengenai penciptaan sebagai cerita dongeng. Mereka berasa bahawa semua pelajar percaya dalam evolusi.” Seorang saudari muda di Perancis berkata, “Para guru di sekolah berasa hairan kerana masih terdapat pelajar yang percaya Bible.”

2 Banyak orang tidak percaya bahawa Tuhan telah menciptakan kita. Jika anda seorang penyembah Yehuwa yang muda atau sedang mempelajari tentang-Nya, anda mungkin terfikir bagaimana anda boleh membuktikan bahawa Tuhan ialah Pencipta kita. Terdapat langkah-langkah yang boleh terus menguatkan iman anda. Salah satunya adalah menggunakan daya pemikiran yang dikurniakan Tuhan kerana hal ini “akan melindungimu” daripada ajaran manusia yang boleh menghancurkan iman anda.​—Baca Amsal 2:10-12.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Iman adalah berdasarkan pengetahuan tepat tentang Tuhan. (1 Tim. 2:4) Semasa mempelajari Firman Tuhan dan bahan bacaan Kristian, janganlah hanya membaca dengan sekilas pandang. Gunakanlah daya pemikiran supaya dapat ‘memahami’ apa yang dibaca. (Mat. 13:23) Dengan demikian, anda dapat melihat “bukti yang kukuh” bahawa Yehuwa ialah Pencipta, dan Bible adalah daripada-Nya. (Ibr. 11:1) Mari kita lihat bagaimana kita dapat melakukan hal ini.

CARA MENGUKUHKAN IMAN ANDA

4. Mengapakah mempercayai evolusi sama seperti mempercayai penciptaan? Apakah yang patut kita lakukan?

4 Orang mungkin berkata, “Saya percaya dalam evolusi kerana para saintis berkata bahawa hal itu benar. Bagaimana mungkin kamu percaya kepada Tuhan memandangkan tiada orang pernah nampak-Nya?” Memang, kita tidak pernah melihat Tuhan atau cara sesuatu diciptakan. (Yoh. 1:18) Tetapi bagaimana pula dengan orang yang percaya kepada evolusi? Mereka juga percaya kepada sesuatu yang tidak pernah dilihat. Saintis atau manusia tidak pernah melihat seekor binatang bertukar menjadi binatang lain. Contohnya, tiada orang yang pernah melihat seekor monyet bertukar menjadi manusia. (Ayb. 38:1, 4) Maka, kita semua mesti memeriksa bukti dengan menggunakan daya pemikiran supaya dapat membuat kesimpulan logik. Mengenai penciptaan, Rasul Paulus menulis, “Sifat-sifat [Tuhan] yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan kedudukan-Nya sebagai Tuhan, dapat dilihat dengan jelas melalui perkara-perkara yang diciptakan-Nya. Itulah sebabnya mereka tidak dapat berdalih.”​—Rm. 1:20.

Gunakanlah bahan kajian yang tersedia dalam bahasa anda supaya dapat menaakul dengan orang lain (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah umat Tuhan dibantu untuk mengasah daya pemikiran mereka?

5 Untuk “memahami” sesuatu bermaksud kita sedar akan sesuatu hal walaupun hal itu tidak dapat dilihat dengan mudah. (Ibr. 11:3) Maka orang yang berusaha “memahami” sesuatu bukan sahaja menggunakan mata dan telinga mereka, tetapi juga menggunakan minda mereka. Organisasi Yehuwa telah menyediakan banyak bahan kajian yang dapat membantu kita “melihat” Pencipta menerusi iman. (Ibr. 11:27) Antara bahan ini ialah brosur yang berjudul Adakah Kehidupan Diciptakan? Selain itu, terdapat bahan lain dalam bahasa Indonesia seperti video Keajaiban Ciptaan Menyingkapkan Kemuliaan Tuhan, brosur Asal Mula Kehidupan—Lima Pertanyaan yang Patut Direnungkan, buku Apakah Ada Pencipta yang Mempedulikan Anda?, serta majalah Sadarlah! Dalam majalah Sadarlah!, terdapat bahagian temu ramah yang menerangkan mengapa para saintis dan pakar lain mempercayai kewujudan Tuhan. Satu lagi siri rencana yang berjudul “Apakah Ini Dirancang?” menyerlahkan keajaiban reka bentuk yang didapati dalam alam semula jadi. Para saintis berusaha untuk meniru reka bentuk sebegini.

6. Apakah manfaat yang diraih dengan menggunakan bahan kajian yang sedia ada? Bagaimanakah anda mendapat manfaat?

6 Seorang saudara yang berumur 19 tahun di Amerika Syarikat mendapat manfaat daripada dua brosur tentang penciptaan dalam bahasa Inggeris. Dia berkata, “Brosur-brosur ini sangat bernilai. Saya telah berulang kali mengkajinya.” Seorang saudari di Perancis menulis, “Siri rencana ‘Apakah Ini Dirancang?’ sangat mengagumkan! Rencana itu menunjukkan bahawa jurutera ingin meniru reka bentuk dalam alam semula jadi, tetapi hasil karya mereka tidak setanding alam semula jadi.” Sepasang suami isteri mempunyai anak yang berusia 15 tahun di Afrika Selatan. Mereka berkata, “Rencana pertama yang dibaca oleh anak perempuan kami apabila menerima majalah Sadarlah! ialah rencana yang mengandungi temu ramah.” Adakah anda memanfaatkan semua bahan bacaan dengan sepenuhnya? Bahan bacaan sebegini dapat membantu iman anda berakar umbi seperti sepohon pokok yang kuat. Dengan demikian, iman anda akan tetap kukuh walaupun ditiup angin ajaran palsu.​—Yer. 17:5-8.

IMAN ANDA TERHADAP BIBLE

7. Mengapakah Tuhan ingin anda menggunakan daya pemikiran anda?

7 Adakah salah untuk menanyakan kesahihan ajaran Bible? Tidak! Yehuwa ingin anda menggunakan “daya pemikiran” untuk membuktikan kebenaran itu kepada diri sendiri. Dia tidak ingin anda mempercayai sesuatu hanya kerana orang lain mempercayainya. Maka, gunakanlah daya pemikiran anda untuk memperoleh pengetahuan tepat. Dengan demikian, pengetahuan itu akan menjadi asas yang kukuh bagi iman anda. (Baca Roma 12:1, 2; 1 Timotius 2:4.) Anda boleh mendapat pengetahuan sedemikian dengan mengadakan projek pembelajaran.

8, 9. (a) Apakah projek pembelajaran yang dinikmati oleh sesetengah orang? (b) Bagaimanakah sesetengah orang memperoleh manfaat daripada merenungkan apa yang dipelajari?

8 Sesetengah orang memilih untuk mengkaji ketepatan Bible dari segi sejarah, arkeologi, dan sains atau meneliti nubuat Bible. Contohnya, nubuat di Kejadian 3:15 memperkenalkan tema utama Bible, iaitu cara Kerajaan Tuhan akan menegakkan kedaulatan Tuhan dan menyucikan nama-Nya. Dengan menggunakan bahasa kiasan, ayat itu menjelaskan bagaimana Yehuwa akan menghapuskan segala penderitaan yang dialami umat manusia sejak Taman Eden. Bagaimanakah anda boleh mengkaji nubuat di Kejadian 3:15? Anda boleh menyenaraikan ayat-ayat Bible yang memberikan perincian tentang bagaimana nubuat itu menjadi kenyataan. Kemudian, anda juga boleh menyelidiki bila ayat-ayat itu ditulis dan menyusunnya mengikut urutan. Anda akan sedar bahawa penulis Bible hidup pada zaman yang berbeza tetapi tulisan mereka tidak bercanggah. Sebaliknya, apa yang ditulis mereka menjadikan nubuat Bible di Kejadian 3:15 semakin jelas. Anda akan yakin bahawa para nabi dan penulis Bible ‘didorong oleh daya aktif Tuhan.’​—2 Ptr. 1:21.

9 Seorang saudara di Jerman menerangkan bahawa setiap buku Bible mengandungi perincian tentang Kerajaan Tuhan. Dia berkata, “Hal itu berlaku walaupun 40 orang lelaki yang berbeza menulis Bible dan kebanyakan mereka hidup pada zaman yang berbeza serta tidak mengenali satu sama lain.” Seorang saudari dari Australia tersentuh apabila membaca majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Disember 2013, tentang maksud sambutan Paska. Sambutan istimewa itu berkait rapat dengan Kejadian 3:15 dan kedatangan Mesias. Dia menulis, “Rencana itu membuka mata saya dan membantu saya mengetahui betapa agungnya Yehuwa. Dia telah membuat aturan ini untuk bangsa Israel dan memastikan aturan ini menjadi kenyataan menerusi Yesus. Saya telah berhenti sejenak dan merenungkan betapa menakjubkan sambutan Paska!” Mengapakah saudari ini berasa sedemikian? Kerana dia memikirkan dengan mendalam tentang apa yang dibaca dan “memahaminya.” Hal ini telah menguatkan imannya dan mengeratkan hubungannya dengan Yehuwa.​—Mat. 13:23.

10. Bagaimanakah kejujuran penulis Bible membina iman kita terhadap Bible?

10 Satu lagi aspek yang menguatkan iman kita ialah keberanian dan kejujuran penulis Bible. Banyak penulis pada zaman kuno mengangkat-angkat pemimpin mereka dan memuliakan kerajaan mereka. Namun, nabi yang diutus Yehuwa sentiasa bercakap benar. Mereka rela mendedahkan kesilapan bangsa mereka, bahkan raja mereka. (2 Taw. 16:9, 10; 24:18-22) Mereka juga menyebut tentang kegagalan sendiri dan hamba Tuhan yang lain. (2 Sam. 12:1-14; Mrk. 14:50) Seorang saudara muda di Britain berkata, “Kejujuran sebegini jarang ditemui. Hal ini membina iman kita bahawa Bible memang diilhami Yehuwa.”

11. Bagaimanakah bimbingan dalam Bible meyakinkan kita bahawa Bible adalah daripada Tuhan?

11 Banyak orang yakin bahawa Bible diilhami Tuhan kerana mengandungi prinsip-prinsip yang baik. (Baca Mazmur 19:8-12.) Seorang saudari muda di Jepun menulis, “Dengan menerapkan ajaran Bible, keluarga saya menjadi bahagia. Kami menikmati kedamaian, perpaduan, dan kasih.” Prinsip Bible melindungi kita daripada penyembahan palsu dan kepercayaan karut. (Mzm. 115:3-8) Bible membimbing orang untuk bergantung pada Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa, dan menjanjikan masa depan yang baik. Tetapi, sesetengah orang tidak mengakui kewujudan Tuhan Pencipta dan menjadikan alam semula jadi sebagai tuhan mereka. Ada pula yang berkata bahawa manusia dapat menjamin masa depan kita. Tetapi apabila kita melihat apa yang dilakukan manusia, mereka tidak berupaya menyelesaikan masalah dunia ini.​—Mzm. 146:3, 4.

MENAAKUL DENGAN ORANG LAIN

12, 13. Apakah cara yang berkesan untuk membincangkan penciptaan atau Bible dengan rakan, guru, atau orang lain?

12 Bagaimanakah anda boleh menaakul dengan orang mengenai penciptaan dan Bible? Pertama, jangan simpulkan bahawa anda mengetahui apa yang dipercayai orang. Sesetengah orang mengatakan bahawa mereka percaya evolusi dan pada masa yang sama percaya dalam kewujudan Tuhan. Mereka berfikir bahawa Tuhan menggunakan evolusi untuk menciptakan pelbagai jenis kehidupan. Ada pula yang berkata bahawa mereka percaya evolusi kerana hal tersebut diajar di sekolah. Yang lain pula tidak lagi percaya kepada Tuhan kerana mereka kecewa dengan agama. Jadi, apabila anda berbincang dengan orang tentang asal usul kehidupan, tanyalah soalan dahulu. Ketahuilah apa kepercayaannya. Jika anda munasabah dan rela mendengar, orang itu mungkin berminat untuk mendengar apa yang anda kongsi.—Tit. 3:2.

13 Bagaimanakah anda boleh menjawab orang yang mempersoalkan kepercayaan anda tentang penciptaan? Dengan hormat, anda boleh memintanya menjelaskan bagaimana kehidupan bermula tanpa Pencipta. Jika kehidupan bermula dengan evolusi, benda hidup yang pertama harus berupaya membiak. Seorang profesor kimia mengatakan bahawa benda hidup yang membiak memerlukan (1) membran yang melindunginya, (2) kebolehan memperoleh dan memproses tenaga, (3) maklumat dalam gen, dan (4) keupayaan untuk menyalin maklumat itu. Profesor itu berkata, “Benda hidup yang paling ringkas sangat mengagumkan kerana kerumitannya!”

14. Apakah yang boleh anda lakukan jika anda berasa kurang yakin untuk membincangkan evolusi atau penciptaan?

14 Semasa membincangkan evolusi atau penciptaan, anda boleh meniru cara Paulus menaakul. Dia menulis, “Setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.” (Ibr. 3:4) Penjelasan logik ini sangat munasabah dan berkesan! Ya, ciptaan yang rumit merupakan karya minda yang bijak. Selain itu, anda boleh menggunakan bahan bacaan. Seorang saudari menggunakan dua brosur mengenai penciptaan dengan seorang lelaki muda yang percaya kepada evolusi dan bukannya Tuhan. Seminggu kemudian, lelaki itu berkata, “Sekarang saya percaya kepada Tuhan.” Dia mula mempelajari Bible dan telah menjadi saudara kita.

15, 16. Bagaimanakah kita boleh menyesuaikan cara kita semasa membincangkan Bible, dan apakah matlamat kita?

15 Anda juga boleh menggunakan cara menaakul yang sama dengan orang yang mempunyai keraguan tentang Bible. Fahamilah apa yang dipercayainya dan topik yang menarik minatnya. (Ams. 18:13) Jika dia berminat dalam hal saintifik, anda boleh kongsi dengannya tentang ketepatan Bible dari segi sains. Sesetengah orang mungkin berminat apabila melihat Bible mempunyai nubuat dan sejarah yang tepat. Orang lain mungkin berminat terhadap prinsip Bible seperti yang terkandung dalam Ceramah Di Atas Gunung.

16 Ingatlah bahawa matlamat anda adalah untuk mencapai hati orang, bukannya membuktikan bahawa mereka salah. Maka, jadilah pendengar yang baik. Tanyalah soalan yang ikhlas dan luahkan pendapat anda dengan lemah lembut dan penuh hormat, terutamanya apabila bercakap dengan orang yang lebih tua. Dengan demikian, mereka akan menghormati pandangan anda. Orang juga akan melihat bahawa anda telah memikirkan kepercayaan anda dengan mendalam walaupun anda masih muda. Sudah tentu, anda tidak perlu menjawab orang yang tidak munasabah atau yang hanya ingin mengejek kepercayaan anda.​—Ams. 26:4.

SEBATIKAN KEBENARAN DENGAN HIDUP ANDA

17, 18. (a) Bagaimanakah anda boleh menyebatikan kebenaran dengan hidup anda? (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Iman yang kuat bukan hanya berdasarkan pengetahuan yang asas. Maka anda perlu menggali Firman Tuhan untuk mencari permata rohani. (Ams. 2:3-6) Gunakanlah bahan kajian yang tersedia dalam bahasa anda seperti PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower dan Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapkanlah matlamat untuk membaca seluruh Bible. Anda boleh melakukannya dalam masa setahun. Hal ini sangat berkesan untuk menguatkan iman anda. Seorang penyelia litar mengenang kembali zaman mudanya dan berkata, “Salah satu sebab saya percaya bahawa Bible merupakan Firman Tuhan adalah kerana saya membaca seluruh Bible. Akhirnya, saya benar-benar memahami cerita Bible yang pernah saya baca semasa kecil. Itulah yang mendorong perkembangan rohani saya.”

18 Ibu bapa, anda memainkan peranan penting dalam perkembangan rohani anak anda. Bagaimanakah anda boleh membantu anak membina iman yang kuat? Rencana seterusnya membincangkan hal ini.