Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Teruslah Bergelut untuk Mendapatkan Berkat Yehuwa

Teruslah Bergelut untuk Mendapatkan Berkat Yehuwa

“Engkau telah bergelut dengan Tuhan dan manusia, dan akhirnya engkau menang.”​—KEJ. 32:28, NW.

LAGU: 60, 38

1, 2. Penyembah Yehuwa harus bergelut dengan apa?

SEJAK manusia setia yang pertama, iaitu Habel, sehingga kini, umat Tuhan yang setia perlu bergelut. Rasul Paulus menulis kepada orang Kristian Ibrani bahawa mereka harus “berjuang dengan gigih sambil menanggung penderitaan dengan tabah” supaya mendapatkan perkenan dan berkat Tuhan. (Ibr. 10:32-34) Paulus membandingkan pergelutan orang Kristian dengan ahli sukan dalam pertandingan orang Yunani seperti larian, gusti, dan tinju. (Ibr. 12:1, 4) Hari ini, kita dalam perlumbaan Kristian dan ada banyak musuh yang ingin mengalihkan perhatian kita, membuat kita tersandung, mengurangkan sukacita kita, dan menghalang kita daripada mendapat ganjaran.

2 Kita harus “bergelut” dengan Syaitan dan dunianya. (Ef. 6:12) Adalah penting bagi kita untuk menolak doktrin, falsafah, dan tabiat buruk seperti perbuatan yang tidak bermoral, merokok, meminum alkohol secara berlebihan, dan penyalahgunaan dadah. Kita juga mesti bergelut dengan keinginan berdosa dan perasaan tawar hati.​—2 Kor. 10:3-6; Kol. 3:5-9.

3. Bagaimanakah Tuhan melatih kita untuk melawan musuh kita?

3 Dapatkah kita menang dalam pergelutan ini? Ya, tetapi kita harus berusaha dengan gigih. Paulus membandingkan dirinya sebagai seorang petinju dan berkata, “Aku menghalakan tumbukanku sedemikian rupa supaya aku tidak menumbuk udara.” (1 Kor. 9:26) Sepertimana petinju menangkis pukulan lawannya, kita juga harus menangkis serangan musuh kita. Yehuwa melatih dan membantu kita untuk melawan musuh kita. Dia memberikan nasihat kepada kita menerusi Firman-Nya, bahan bacaan Kristian, perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Adakah anda mengikut nasihat Tuhan? Jika tidak, anda seperti “menumbuk udara” dan tidak dapat mengalahkan musuh.

4. Bagaimanakah kita dapat mengelak daripada dikalahkan oleh kejahatan?

4 Musuh kita boleh menyerang kita pada masa yang tidak dijangkakan dan semasa kita lemah. Maka kita harus berwaspada. Bible memberikan amaran, “Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.” (Rm. 12:21) Kata-kata “janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan” menunjukkan bahawa kita dapat mengalahkan kejahatan. Kita boleh berbuat demikian jika kita menentang kejahatan tanpa berputus asa. Sebaliknya, jika kita tidak berwaspada serta berputus asa, kita akan dikalahkan oleh Syaitan, dunianya, dan keinginan berdosa. Janganlah tewas kepada Syaitan!​—1 Ptr. 5:9.

5. (a) Apakah yang perlu kita lakukan untuk mendapat berkat Tuhan? (b) Kita akan membincangkan teladan siapa?

5 Untuk memenangi pergelutan ini, kita harus ingat matlamat kita, iaitu mendapatkan perkenan dan berkat Tuhan. Ibrani 11:6 berkata, “Sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” Ungkapan “mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh” dalam bahasa Yunani bermaksud bahawa kita harus berusaha dengan sepenuhnya. (Kis. 15:17) Bible mengandungi teladan lelaki dan wanita yang mencari berkat Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Antara mereka ialah Yakub, Rahel, Yusuf, dan Paulus. Walaupun mereka menghadapi cabaran dari segi emosi dan fizikal, mereka terus bertabah dan berjaya mendapat berkat Yehuwa. Bagaimanakah kita boleh meneladani mereka?

KETABAHAN MEMBAWA BERKAT

6. Apakah yang membantu Yakub untuk bertabah, dan apakah ganjarannya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Yakub bergelut dan bertabah kerana dia mengasihi Yehuwa, menghargai perkara rohani, dan beriman terhadap janji Yehuwa untuk memberkati keturunannya. (Kej. 28:3, 4) Hal ini menjelaskan mengapa Yakub yang berusia kira-kira 100 tahun melakukan sedaya upaya untuk mendapatkan berkat Tuhan. Dia bahkan bergelut dengan malaikat yang menjelma menjadi manusia. (Baca Kejadian 32:24-28.) Adakah Yakub mempunyai kekuatan dan ketabahan yang diperlukan untuk bergelut dengan malaikat yang berkuasa itu? Sudah tentu tidak! Namun, dia sangat bertekad untuk mendapatkan berkat itu! Oleh sebab ketabahannya, dia diberi ganjaran iaitu namanya ditukar kepada Israel, (maksudnya “Dia yang Bergelut dengan Tuhan” atau “Tuhan Bergelut.”) Seperti Yakub, kita juga menginginkan perkenan dan berkat Yehuwa.

7. (a) Apakah situasi susah yang dihadapi Rahel? (b) Bagaimanakah Rahel tetap bertabah dan kemudiannya diberkati?

7 Isteri kesayangan Yakub, iaitu Rahel, juga ingin melihat bagaimana Yehuwa menunaikan janji-Nya kepada suaminya. Tetapi dia mempunyai halangan yang sukar diatasi. Dia mandul. Pada zamannya, situasi sebegini dianggap sebagai penderitaan yang besar. Jadi, bagaimanakah Rahel mendapat kekuatan emosi dan jasmani untuk terus bergelut dalam situasi yang berada di luar kawalannya? Dia tidak berputus asa. Sebaliknya, dia tetap bertabah dan berdoa secara bersungguh-sungguh. Yehuwa mengabulkan rayuan ikhlas Rahel, dan dia kemudiannya diberkati dengan anak. Itulah sebabnya Rahel pernah berkata, “Aku telah berjuang mati-matian melawan . . . dan aku sudah menang.”​—Kej. 30:8, 20-24.

8. Apakah cabaran susah yang dihadapi oleh Yusuf? Bagaimanakah reaksinya menjadi teladan baik yang patut dicontohi?

8 Teladan baik yang ditetapkan oleh Yakub dan Rahel tentu membawa kesan yang besar terhadap anak mereka, iaitu Yusuf. Hal ini membantunya semasa imannya diuji. Apabila Yusuf berumur 17 tahun, kehidupannya mengalami perubahan yang besar. Abang-abangnya menjualnya sebagai hamba kerana iri hati terhadapnya. Kemudian, dia harus bertabah selama bertahun-tahun kerana dipenjarakan dengan tidak adil di Mesir. (Kej. 37:23-28; 39:7-9, 20, 21) Namun, Yusuf tidak berputus asa kerana menghadapi kekecewaan. Dia juga tidak menyimpan atau membalas dendam. Sebaliknya, minda dan hatinya berfokus kepada hubungannya dengan Yehuwa. (Im. 19:18; Rm. 12:17-21) Teladan Yusuf memang dapat membantu kita. Misalnya, walaupun kita mempunyai pengalaman buruk semasa zaman kanak-kanak atau kini menghadapi situasi yang mengecewakan, kita perlu tetap bergelut dan bertabah. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa pasti akan memberkati kita.​—Baca Kejadian 39:21-23.

9. Bagaimanakah kita dapat meneladani Yakub, Rahel, dan Yusuf untuk mendapatkan berkat Yehuwa?

9 Apakah cabaran yang mungkin anda hadapi? Anda mungkin dilayan dengan tidak adil, dipinggirkan, atau diperli. Atau seseorang yang iri hati mungkin membuat tuduhan palsu mengenai anda. Namun, janganlah biarkan tangan anda menjadi lenguh dan mengaku kalah. Sebaliknya, ingatlah apa yang membantu Yakub, Rahel, dan Yusuf untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita. Tuhan telah menguatkan dan memberkati mereka kerana mereka selalu menunjukkan penghargaan yang mendalam terhadap perkara-perkara rohani. Mereka tetap bergelut dan bertindak selaras dengan doa mereka. Kita sedang hidup pada penghujung hari-hari terakhir, maka kita mempunyai sebab yang kukuh untuk berpegang teguh pada harapan yang diberikan oleh Yehuwa! Adakah anda rela berusaha dan berjuang untuk mendapatkan perkenan Yehuwa?

RELA BERJUANG UNTUK MENDAPATKAN BERKAT

10, 11. (a) Apakah situasi yang memerlukan kita untuk berjuang meraih berkat? (b) Apakah yang membantu kita membuat pilihan yang betul dan mengatasi perasaan negatif serta godaan?

10 Apakah situasi yang mungkin memerlukan kita untuk berjuang meraih berkat Yehuwa? Salah satunya adalah semasa bergelut dengan kelemahan diri. Orang lain mungkin perlu berusaha untuk mengekalkan pandangan positif terhadap aktiviti penyebaran. Sesetengah orang mungkin perlu terus bertabah disebabkan masalah kesihatan atau perasaan sepi. Ada juga yang mungkin bergelut untuk memaafkan orang yang telah menyakiti atau membuat salah terhadap mereka. Tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa, kita perlu melawan perkara yang boleh mempengaruhi khidmat kita kepada-Nya. Tuhan memberkati orang yang setia.

Adakah anda bergelut untuk mendapatkan berkat Tuhan? (Lihat perenggan 10, 11)

11 Memang kita perlu bergelut untuk membuat pilihan yang betul dan mengikut haluan Kristian. Hal ini kerana hati kita licik dan menyebabkan kita melakukan hal yang tidak sepatutnya. (Yer. 17:9) Jika anda dipengaruhi oleh perkara negatif, berdoalah memohon daya aktif Tuhan. Doa dan daya aktif dapat memberi anda kekuatan untuk terus menempuh haluan yang benar lalu diberkati Yehuwa. Bertindaklah selaras dengan doa anda. Cubalah membaca petikan Bible setiap hari, dan meluangkan masa untuk membuat pembelajaran peribadi serta mengadakan penyembahan keluarga secara tetap.​—Baca Mazmur 119:32.

12, 13. Bagaimanakah dua orang Kristian telah dibantu mengawal keinginan yang salah?

12 Terdapat banyak pengalaman tentang bagaimana Firman Tuhan, daya aktif Tuhan, dan bahan bacaan Kristian telah membantu orang Kristian untuk mengatasi keinginan yang salah. Seorang remaja membaca rencana “Bagaimana Anda Dapat Melawan Hasrat yang Salah?” dalam majalah Sedarlah! * terbitan 8 Disember 2003. Apakah reaksinya? Dia berkata, “Saya sedang bergelut dengan pemikiran yang salah. Rencana tersebut menyebut, ‘Bagi banyak orang, pergelutan untuk mengalahkan hasrat yang salah sangatlah berat.’ Hal itu membuat saya berasa bahawa saya sebahagian daripada persaudaraan Kristian dan saya tidak berseorangan.” Remaja ini juga meraih manfaat daripada rencana ‘Gaya Hidup Alternatif—Apakah Diperkenan Tuhan?’ dalam majalah Sedarlah! terbitan 8 Oktober 2003. Rencana itu menyebut bahawa pergelutan yang dialami adalah seperti “duri dalam daging” bagi sesetengah orang. (2 Kor. 12:7) Walaupun orang Kristian bergelut untuk tetap murni, mereka memiliki harapan yang positif bagi masa depan. Remaja ini menambah, “Oleh itu, saya dapat setia setiap hari. Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana menggunakan organisasi-Nya untuk membantu kita bergelut mengatasi sistem yang jahat ini hari demi hari.”

13 Perhatikan juga pengalaman seorang saudari di Amerika Syarikat. Dia menulis, “Saya ingin berterima kasih kerana sentiasa menyediakan makanan rohani yang kami perlukan pada masa yang tepat. Saya selalu berasa bahawa rencana-rencana tersebut ditulis untuk saya. Selama bertahun-tahun saya bergelut melawan keinginan yang dibenci Yehuwa. Kadangkala, saya ingin berputus asa dan berhenti bergelut. Saya tahu Yehuwa berbelas kasihan dan suka mengampuni, tetapi oleh sebab saya mempunyai keinginan yang salah dan tidak membenci keinginan itu, saya berasa bahawa saya tidak layak menerima bantuan Yehuwa. Pergelutan yang berterusan ini telah membuat kehidupan saya sukar. . . . Selepas membaca rencana ‘Adakah Hati Anda Memiliki Kemahuan untuk Mengenal Yehuwa?’ dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 Mac 2013, saya dapat merasakan keinginan Yehuwa untuk membantu saya.”

14. (a) Apakah perasaan Paulus terhadap peperangan dalam dirinya? (b) Bagaimanakah kita boleh berjaya mengatasi kelemahan diri?

14 Baca Roma 7:21-25. Paulus tahu betapa sukarnya untuk bergelut mengatasi keinginan yang salah dan kelemahan diri. Namun, dia yakin sepenuhnya bahawa dia dapat memenangi peperangan dalam dirinya dengan berdoa memohon bantuan Yehuwa dan beriman terhadap korban tebusan Yesus. Bagaimana pula dengan kita? Kita juga boleh berjaya mengatasi kelemahan diri. Bagaimana? Dengan meniru teladan Paulus yang beriman terhadap korban tebusan, serta bergantung sepenuhnya pada Yehuwa dan bukannya pada kekuatan sendiri.

15. Mengapakah doa dapat membantu kita untuk tetap setia dan bertabah semasa menghadapi kesusahan?

15 Ada kalanya, Tuhan mungkin menginginkan kita menunjukkan sejauh mana kita mengambil berat tentang suatu perkara. Contohnya, jika kita (atau ahli keluarga) menghidapi penyakit serius atau mengalami ketidakadilan, apakah reaksi kita? Jika kita yakin sepenuhnya kepada Yehuwa, kita akan berdoa agar mendapat kekuatan untuk tetap setia, bersukacita, dan kuat secara rohani. (Flp. 4:13) Banyak pengalaman orang Kristian pada zaman Paulus dan pada hari ini membuktikan bahawa doa dapat memberikan kekuatan dan membina keyakinan kita supaya dapat terus bertabah.

TERUSLAH BERGELUT UNTUK MENDAPATKAN BERKAT YEHUWA

16, 17. Apakah tekad anda semasa anda bergelut?

16 Si Iblis ingin melihat anda berputus asa dan ditewaskan. Bertekadlah untuk ‘berpaut pada apa yang baik.’ (1 Tes. 5:21) Yakinlah bahawa anda dapat memenangi pertarungan dengan Syaitan, dunianya, dan kecenderungan yang berdosa. Bagaimana? Dengan mempercayai kebolehan Tuhan untuk menguatkan anda.—2 Kor. 4:7-9; Gal. 6:9.

17 Marilah kita terus berlawan, bergelut, berjuang, dan bertabah. Yakinlah bahawa Yehuwa akan “melimpahi kamu dengan segala yang baik.”​—Mal. 3:10.

^ per. 12 Majalah Sedarlah! boleh didapati dalam bahasa Indonesia.