Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tunjukkan Kebaikan Hati dan Sifat Bertimbang Rasa seperti Yehuwa

Tunjukkan Kebaikan Hati dan Sifat Bertimbang Rasa seperti Yehuwa

“Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang lemah.”​—MZM. 41:1.

LAGU: 130, 107

1. Bagaimanakah umat Tuhan menunjukkan kasih kepada satu sama lain?

UMAT Tuhan merupakan sebuah keluarga rohani yang saling mengasihi. (1 Yoh. 4:16, 21) Kasih itu ada kalanya dicerminkan melalui pengorbanan yang besar, tetapi lebih sering diungkapkan melalui kata-kata dan perbuatan yang kecil. Dengan bersikap baik hati dan bertimbang rasa, kita sedang mengikut “teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.”​—Ef. 5:1.

2. Bagaimanakah Yesus meniru kasih Tuhan?

2 Yesus meneladani Bapanya dengan sempurna. “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat,” kata Yesus, “dan aku akan menyegarkan kamu . . . , kerana aku lemah lembut dan rendah hati.” (Mat. 11:28, 29) Apabila kita mengikut teladan Kristus dengan “mengambil berat terhadap orang yang lemah,” kita sedang menggembirakan Yehuwa dan akan meraih sukacita yang besar. (Mzm. 41:1) Mari kita lihat beberapa cara untuk bertimbang rasa terhadap ahli keluarga, ahli sidang, dan orang di kawasan penyebaran.

BERTIMBANG RASA TERHADAP AHLI KELUARGA

3. Bagaimanakah seorang suami dapat menunjukkan pemahaman dan sikap bertimbang rasa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Suami harus menjadi teladan dalam soal bertimbang rasa. (Ef. 5:25; 6:4) Contohnya, mereka digesa agar tinggal bersama isteri “dengan penuh pengetahuan.” Ungkapan itu juga boleh diterjemahkan sebagai “teruslah bertimbang rasa terhadap isteri” atau “teruslah memahami isteri.” (1 Ptr. 3:7; nota kaki) Pemahaman dan sikap bertimbang rasa saling melengkapi. Misalnya, seorang suami yang memahami isterinya akan sedar bahawa meskipun terdapat banyak perbezaan antara dirinya dengan isterinya, dia tidak mempunyai kedudukan yang lebih istimewa daripada isterinya. (Kej. 2:18) Oleh itu, suami akan mengambil kira perasaan isteri dan menghormatinya. Seorang isteri di Kanada berkata, “Suami saya tidak pernah meremehkan perasaan saya atau berkata, ‘Kamu tidak patut berasa begitu.’ Dia juga pendengar yang baik. Semasa membetulkan pandangan saya, dia akan melakukannya dengan baik hati.”

4. Bagaimanakah seorang suami dapat bertimbang rasa terhadap isterinya semasa melayan wanita lain?

4 Suami yang bertimbang rasa tidak akan bermain cinta atau menunjukkan minat yang tidak sewajarnya terhadap wanita lain. Dia juga tidak akan berbuat demikian semasa menggunakan Internet atau media sosial. (Ayb. 31:1) Dia akan tetap setia kepada isterinya, bukan hanya kerana dia mencintai isterinya, tetapi juga kerana dia mengasihi Tuhan dan membenci kejahatan.—Baca Mazmur 19:14; 97:10.

5. Bagaimanakah seorang isteri dapat bertimbang rasa terhadap suaminya?

5 Apabila seorang suami mengikut teladan kepalanya, iaitu Yesus Kristus, dia akan membantu isterinya untuk ‘menghormatinya dengan mendalam.’ (Ef. 5:22-25, 33) Rasa hormat ini akan mendorong isteri untuk bertimbang rasa terhadap suami, contohnya semasa suaminya perlu meluangkan lebih banyak masa untuk tanggungjawab rohani, atau semasa dia sedang runsing akibat masalah. “Ada kalanya, isteri saya akan tahu daripada perangai saya bahawa terdapat masalah yang mengganggu saya,” kata seorang suami di Britain. “Kemudian dia akan mengikut prinsip di Amsal 20:5, biarpun hal itu bermaksud dia perlu menunggu sehingga waktu yang sesuai untuk ‘menimba’ fikiran saya jika masalah itu bukan maklumat sulit.”

6. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan anak-anak untuk bertimbang rasa? Apakah manfaatnya bagi anak-anak?

6 Ibu bapa yang bertimbang rasa terhadap satu sama lain sedang memberikan teladan yang baik kepada anak-anak. Mereka juga bertanggungjawab untuk mengajar anak-anak supaya bertimbang rasa terhadap orang lain. Contohnya, anak-anak perlu diajar supaya menunggu orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu semasa di jamuan atau tidak berlari di Dewan Perjumpaan. Sudah pasti, semua ahli sidang dapat menyokong usaha ibu bapa. Misalnya, jika seorang anak membuka pintu untuk kita, pujilah dia. Dengan itu, dia akan berasa gembira dan yakin bahawa “lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—Kis. 20:35.

BERTIMBANG RASA TERHADAP AHLI SIDANG

7. Bagaimanakah Yesus bertimbang rasa terhadap seorang lelaki yang pekak? Apakah yang kita pelajari daripada contoh Yesus?

7 Semasa Yesus melalui kawasan Dekapolis, orang di situ “membawa seorang lelaki yang pekak dan mempunyai masalah pertuturan kepadanya.” (Mrk. 7:31-35) Namun, Yesus tidak menyembuhkannya di situ juga. Mengapa? Lelaki yang pekak itu mungkin berasa tidak selesa ketika berada bersama orang ramai. Maka Yesus bertimbang rasa terhadapnya dan menyembuhkannya di tempat yang lebih sunyi. Sudah pasti, kita tidak dapat menyembuhkan orang secara mukjizat, tetapi kita mampu dan patut mengambil kira perasaan dan keperluan rakan seiman kita. Rasul Paulus menulis, “Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.” (Ibr. 10:24) Yesus bertimbang rasa terhadap lelaki yang pekak itu dan melayannya dengan baik hati. Dia memang contoh yang baik!

8, 9. Bagaimanakah kita dapat bertimbang rasa terhadap mereka yang berusia dan uzur? (Berikan contoh.)

8 Bertimbang rasa terhadap mereka yang lanjut usia dan uzur. Tanda pengenal sidang Kristian ialah kasih, bukan kecekapan. (Yoh. 13:34, 35) Kasih itu mendorong kita agar membantu rakan seiman yang lanjut usia atau kurang upaya untuk menghadiri perjumpaan dan menginjil. Kita sanggup membantu, biarpun hal itu tidak mudah, atau biarpun penglibatan mereka terhad. (Mat. 13:23) Michael, yang bergantung pada kerusi roda, sangat menghargai bantuan keluarganya dan saudara saudari di kumpulan penyebarannya. “Dengan adanya bantuan mereka semua,” katanya, “saya dapat menghadiri kebanyakan perjumpaan dan menginjil secara tetap. Kesaksian awam ialah kegemaran saya.”

9 Di banyak Bethel, terdapat rakan seiman yang berumur dan uzur. Para penyelia yang pengasih bertimbang rasa terhadap mereka dengan mengaturkan kesaksian melalui surat atau telefon. “Kami bersyukur kerana dapat menulis surat,” kata Bill yang berumur 86 tahun, yang menulis surat kepada orang di kawasan terpencil. Nancy yang hampir mencecah 90 tahun berkata, “Bagi saya, menulis surat bukan sekadar mengisi sampul surat. Inilah kerja penyebaran. Orang perlu tahu kebenaran!” Ethel yang lahir pada tahun 1921 berkata, “Kesakitan ialah teman hidup saya. Ada masanya memakai baju pun susah bagi saya.” Namun begitu, dia suka menginjil melalui telefon dan mempunyai beberapa kunjungan kembali yang baik. Barbara, 85 tahun, menjelaskan, “Saya tidak dapat keluar menginjil secara tetap kerana masalah kesihatan. Tetapi kesaksian melalui telefon membolehkan saya bercakap kepada orang lain. Terima kasih Yehuwa!” Tidak sampai setahun, sekumpulan saudara saudari yang berusia telah menggunakan 1,228 jam untuk menginjil, menulis 6,265 pucuk surat, membuat lebih daripada 2,000 panggilan telefon, dan mengedarkan 6,315 bahan bacaan! Mereka amat bernilai di mata Yehuwa, dan usaha mereka pasti menggembirakan-Nya!​—Ams. 27:11.

10. Apakah yang dapat kita lakukan supaya saudara saudari meraih manfaat yang sepenuhnya daripada perjumpaan?

10 Bertimbang rasa di perjumpaan. Sikap ini akan membolehkan saudara saudari meraih manfaat yang sepenuhnya daripada perjumpaan. Maka janganlah tiba lewat supaya kita tidak mengganggu perhatian mereka. Ada masanya, kita mungkin lewat kerana hal yang tidak dapat dielakkan, tetapi jika kita sering terlambat, fikirkanlah bagaimana kita dapat lebih bertimbang rasa. Sudah tentu kita juga ingin menunjukkan hormat kepada Yehuwa dan Yesus, kerana merekalah yang mengundang kita ke perjumpaan!​—Mat. 18:20.

11. Mengapakah saudara-saudara yang mengendalikan bahagian perjumpaan harus mengikut arahan di 1 Korintus 14:40?

11 Bertimbang rasa terhadap rakan seiman juga bermaksud kita akan melakukan segala sesuatu “dengan baik dan teratur.” (1 Kor. 14:40) Contohnya, saudara-saudara yang mengendalikan bahagian perjumpaan akan menamatkan bahagian mereka dalam masa yang ditentukan. Perbuatan sedemikian menunjukkan bahawa mereka bertimbang rasa, bukan sahaja terhadap penceramah seterusnya tetapi juga terhadap ahli sidang, seperti mereka yang tinggal di tempat yang jauh, yang perlu menaiki pengangkutan awam, atau yang mempunyai pasangan yang tidak seiman, yang sedang menunggu kepulangan mereka.

12. Mengapakah kita harus menunjukkan “hormat dan kasih yang lebih mendalam” kepada para penatua? (Lihat kotak “ Bertimbang Rasa terhadap Mereka yang Mengambil Pimpinan.”)

12 Para gembala yang bekerja keras dalam sidang dan di kawasan penyebaran patut dihormati dan dikasihi dengan lebih mendalam. (Baca 1 Tesalonika 5:12, 13.) Anda pasti amat menghargai usaha mereka. Maka, sokonglah dan bekerjasamalah dengan para penatua, yang “sedang menjaga kamu dan akan bertanggungjawab kepada Tuhan.”​—Ibr. 13:7, 17.

BERTIMBANG RASA SEMASA MENGINJIL

13. Apakah yang kita pelajari daripada cara Yesus melayan orang?

13 Yesaya bernubuat bahawa Yesus ‘tidak akan menginjak-injak rumput yang layu, dan tidak memadamkan sumbu pelita yang malap.’ (Yes. 42:3) Kasih mendorong Yesus untuk menyelami perasaan orang yang lemah dan patah semangat. Oleh itu, dia bertimbang rasa, baik hati, dan sabar terhadap mereka. Bahkan kanak-kanak pun suka mendampinginya. (Mrk. 10:14) Kita memang tidak memiliki pemahaman atau kebolehan mengajar seperti Yesus. Namun, kita mampu dan patut bertimbang rasa semasa menginjil. Bagaimana? Melalui cara kita bercakap, masa kita melawat, dan tempoh penyampaian kita.

14. Mengapakah cara kita bercakap amat penting?

14 Cara kita bercakap. Hari ini, jutaan orang “ditindas dan diabaikan” oleh pemimpin politik, pemimpin agama, dan peniaga yang tidak berhati perut. (Mat. 9:36) Akibatnya, mereka putus harapan dan susah mempercayai orang. Maka, tunjukkanlah kebaikan hati dan sifat bertimbang rasa melalui kata-kata dan nada suara kita! Ramai orang ingin mendengar berita kita, bukan sahaja kerana pengetahuan atau penjelasan kita, tetapi juga kerana kita prihatin dan menghormati mereka.

15. Apakah sesetengah cara untuk bertimbang rasa terhadap orang di kawasan penyebaran?

15 Terdapat banyak cara untuk bertimbang rasa terhadap orang di kawasan penyebaran. Contohnya, semasa mengajukan soalan, tunjukkanlah sikap hormat dan baik hati. Seorang perintis mendapati bahawa ramai orang di kawasannya pemalu, maka dia mengelakkan soalan yang susah atau yang mungkin membuat mereka berasa kekok. Daripada menanya, “Adakah kamu tahu nama Tuhan?” atau, “Tahukah kamu apa itu Kerajaan Tuhan?” dia akan berkata, “Saya belajar daripada Bible bahawa Tuhan ada nama. Bolehkah saya menunjukkan nama-Nya?” Sudah pasti, setiap orang dan setiap budaya berbeza, tetapi kita patut selalu bertimbang rasa dan menunjukkan hormat. Untuk berbuat demikian, kita perlu mengenali orang tempatan dengan baik.

16, 17. Bagaimanakah kita dapat bertimbang rasa terhadap orang semasa (a) memilih masa kita melawat? (b) menentukan tempoh penyampaian kita?

16 Masa kita melawat. Semasa menginjil dari rumah ke rumah, kita ialah tetamu yang tidak diundang. Oleh itu, kita harus melawat pada masa orang lebih sudi berbual. (Mat. 7:12) Adakah mereka biasanya bangun lebih lewat pada hujung minggu? Jika ya, cubalah menginjil di kawasan awam dahulu, atau melawat kunjungan kembali yang dapat berbual dengan anda.

17 Tempoh penyampaian kita. Orang biasanya sangat sibuk. Maka pastikan lawatan anda singkat, khasnya semasa beberapa kunjungan yang pertama. Lebih baik menamatkan penyampaian kita dengan cepat daripada mengambil terlalu banyak masa. (1 Kor. 9:20-23) Apabila orang melihat bahawa kita mengambil kira jadual mereka yang sibuk, mereka mungkin lebih rela dikunjungi lagi. Dengan menunjukkan buah kuasa suci Tuhan semasa menginjil, kita akan menjadi “rakan sekerja Tuhan” dan bahkan digunakan oleh-Nya untuk membantu orang mengenali kebenaran.​—1 Kor. 3:6, 7, 9.

18. Apakah berkat yang menantikan orang yang bertimbang rasa?

18 Marilah kita berusaha untuk bertimbang rasa terhadap ahli keluarga, ahli sidang, dan orang di kawasan penyebaran. Usaha ini membawa banyak berkat, baik sekarang mahupun pada masa depan. Mazmur 41:1, 2 menyatakan, “Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang lemah; Yehuwa akan menyelamatkannya pada masa kesusahan. Orang itu akan dinyatakan sebagai orang yang berbahagia.”