RENCANA PEMBELAJARAN 16
Berpegang Teguh pada Kebenaran Bible tentang Kematian
“Kita mengenal pasti sama ada pernyataan yang diilhami itu benar atau palsu.”—1 YOH. 4:6.
LAGU 73 Berilah Kami Keberanian
PENGENALAN *
1-2. (a) Bagaimanakah Syaitan memperdaya manusia? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
SYAITAN, “bapa segala dusta,” telah memperdaya manusia sejak zaman Adam dan Hawa. (Yoh. 8:44) Salah satu dustanya merangkumi ajaran palsu tentang kematian dan keadaan orang mati. Ajaran palsu itu telah menjadi dasar kepada banyak adat dan kepercayaan karut. Akibatnya, ramai saudara saudari kita perlu “berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kepercayaan” semasa ahli keluarga atau seseorang yang dikenali mereka meninggal.—Yud. 3.
2 Dalam rencana ini, kita akan melihat ajaran Bible tentang kematian. Kita juga akan mengkaji cara-cara untuk berpegang teguh pada kebenaran Bible semasa di bawah tekanan. (Ef. 6:11) Selepas itu, kita akan mempelajari cara untuk melegakan dan menguatkan rakan seiman yang didesak untuk menyertai adat kematian yang tidak disenangi Tuhan.
KEBENARAN TENTANG KEADAAN ORANG MATI
3. Apakah yang berlaku kepada manusia akibat dusta yang pertama?
3 Yehuwa tidak mahu Adam dan Hawa mati. Namun, untuk hidup selama-lamanya, mereka harus mematuhi satu perintah yang mudah: “Engkau dilarang makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, kerana jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.” (Kej. 2:16, 17) Kemudian, Syaitan menggunakan seekor ular untuk memberitahu Hawa, “Kamu pasti tidak akan mati.” Sedihnya, Hawa mempercayai dusta Syaitan lalu memakan buah itu. Kemudian, suaminya juga makan buah itu. (Kej. 3:4, 6) Sejak itu, dosa dan kematian telah menjangkiti umat manusia.—Rm. 5:12.
4-5. Bagaimanakah Syaitan telah menipu jutaan orang?
4 Seperti yang dinyatakan oleh Tuhan, Adam dan Hawa akhirnya mati. Namun, Syaitan masih menyebarkan dusta tentang kematian, contohnya ajaran bahawa apabila seseorang mati, rohnya akan terus hidup di alam lain. Dusta itu telah memperdaya jutaan orang sampai hari ini.—5 Mengapakah Syaitan berjaya menipu begitu ramai orang? Tuhan menciptakan kita untuk hidup selama-lamanya, oleh itu secara semula jadi kita menganggap kematian sebagai musuh dan tidak ingin mati. (Pkh. 3:11; 1 Kor. 15:26) Syaitan tahu bahawa manusia mempunyai perasaan sedemikian, maka dia menggunakan pengetahuan itu untuk menipu manusia.
6-7. (a) Adakah Syaitan berjaya menutupi kebenaran tentang orang mati? Jelaskan. (b) Bagaimanakah kebenaran Bible membantu kita agar tidak takut akan orang mati?
6 Meskipun begitu, Syaitan tidak berjaya menutupi kebenaran tentang kematian. Hari ini, semakin ramai orang mengetahui dan menyebarkan ajaran Bible tentang keadaan orang mati dan harapan bagi mereka. (Pkh. 9:5, 10; Kis. 24:15) Kebenaran Bible melegakan hati kita dan membantu kita supaya tidak terlalu takut dan khuatir. Contohnya, kita tidak takut akan orang mati ataupun risau bahawa mereka akan ditimpa kecelakaan. Kita tahu bahawa mereka tidak hidup di alam lain dan tidak dapat mencederakan orang lain. Mereka seperti tidur nyenyak sahaja. (Yoh. 11:11-14) Kita juga tahu bahawa orang mati tidak sedar bahawa masa sedang berlalu. Maka, semasa pembangkitan, orang yang sudah meninggal selama ratusan tahun pun akan berasa bahawa jangka masa itu berlalu dalam sekelip mata sahaja.
7 Tidakkah anda setuju bahawa kebenaran tentang keadaan orang mati amat jelas, mudah, dan masuk akal? Dusta Syaitan pula bukan sahaja mengelirukan dan menyesatkan orang, malah bertujuan memfitnah Pencipta kita. Untuk memahami masalah yang disebabkan dusta Syaitan, mari kita membincangkan soalan-soalan ini: Bagaimanakah dusta Syaitan merosakkan nama Yehuwa? Bagaimanakah ajarannya meremehkan kepentingan korban tebusan Kristus? Bagaimanakah dusta Syaitan membuat kesedihan dan penderitaan manusia bertambah parah?
DUSTA SYAITAN MEMBAWA BANYAK MASALAH
8. Seperti yang dinyatakan di Yeremia 19:5, bagaimanakah dusta Syaitan tentang orang mati merosakkan nama Yehuwa?
8 Dusta Syaitan tentang orang yang sudah Yeremia 19:5; 1 Yoh. 4:8) Namun, ajaran tentang api neraka membuat orang percaya bahawa Tuhan itu kejam seperti Iblis. Apakah perasaan anda tentang dusta itu? Lebih penting lagi, apakah perasaan Yehuwa?
mati merosakkan nama Yehuwa. Contohnya, ajaran bahawa orang mati akan diseksa dalam neraka sebenarnya memfitnah Tuhan. Mengapa? Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih, maka Dia membenci segala bentuk kekejaman. (Baca9. Bagaimanakah dusta Syaitan meremehkan kepentingan korban tebusan Kristus yang dinyatakan di Yohanes 3:16 dan 15:13?
9 Dusta Syaitan tentang kematian meremehkan kepentingan korban tebusan Kristus. (Mat. 20:28) Kristus telah mengorbankan nyawanya supaya kita dapat hidup selama-lamanya. Kurniaan itu merupakan bukti yang terbesar bahawa Yehuwa dan Yesus amat mengasihi kita. (Baca Yohanes 3:16; 15:13.) Namun, sekiranya manusia memiliki roh yang tidak dapat mati, maksudnya mereka sudah pun memiliki kehidupan kekal dan tidak memerlukan korban tebusan Kristus. Dusta Syaitan itu telah meremehkan nilai korban tebusan Kristus. Dapatkah anda bayangkan perasaan Yehuwa dan Yesus tentang ajaran itu?
10. Bagaimanakah dusta Syaitan tentang kematian membuat kesedihan dan penderitaan manusia bertambah parah?
10 Dusta Syaitan membuat kesedihan dan penderitaan manusia bertambah parah. Apabila seorang budak meninggal, ibu bapanya mungkin diberitahu bahawa Tuhan sudah membawa anak itu ke syurga untuk menjadi malaikat. Adakah dusta ini melegakan hati mereka atau membuat mereka bertambah sedih? Ajaran tentang api neraka pernah digunakan sebagai alasan untuk menyeksa orang, seperti yang terjadi pada zaman Pasitan Sepanyol. * Orang yang menentang ajaran gereja akan diikat pada tiang dan dibakar sampai mati. Menurut sebuah buku, orang yang melaksanakan hukuman itu mungkin percaya bahawa orang yang dibakar itu akan teringat tentang api neraka yang kekal, lalu bertaubat sebelum mati dan diselamatkan daripada neraka. Di sesetengah negara, ramai orang memuja atau meminta perlindungan daripada nenek moyang. Ada juga yang menyediakan makanan atau membakar persembahan untuk nenek moyang supaya tidak ditimpa musibah. Jelaslah, kepercayaan yang berdasarkan dusta Syaitan tidak membawa kelegaan sejati, malah menyebabkan orang berasa takut dan risau.
CARA UNTUK BERPEGANG TEGUH PADA KEBENARAN BIBLE
11. Bagaimanakah saudara-mara dan sahabat kita mungkin memberi kita tekanan untuk melanggar ajaran Bible?
11 Kasih untuk Yehuwa dan Firman-Nya akan memberi kita kekuatan untuk mentaati Yehuwa bahkan semasa saudara-mara dan sahabat yang berniat baik memberi kita tekanan untuk menyertai upacara kematian yang melanggar ajaran Bible. Mereka mungkin mencuba membuat kita berasa malu dengan berkata bahawa kita tidak menyayangi atau menghormati si mati. Mereka juga mungkin berkata bahawa jika kita tidak mengikuti upacara itu, si mati akan kembali untuk menghantui orang hidup. Bagaimanakah kita dapat berpegang teguh pada kebenaran Bible dalam keadaan sebegini? Perhatikan prinsip-prinsip berikut.
12. Apakah sesetengah adat dan upacara kematian yang bercanggah dengan ajaran Bible?
12 Bertekad untuk ‘mengasingkan diri’ daripada kepercayaan dan adat yang bercanggah dengan ajaran Bible. (2 Kor. 6:17) Di sebuah negara Karibia, ramai orang percaya bahawa selepas seseorang meninggal, dia akan menjadi “hantu” dan membalas dendam terhadap orang yang pernah berbuat jahat kepadanya. Menurut sebuah buku rujukan, jika upacara tertentu tidak dilakukan, hantu itu bahkan mungkin “menimbulkan masalah bagi masyarakat tempatan.” Di Afrika pula, semasa berlakunya kematian, semua cermin dan gambar si mati di rumah akan ditutup, kononnya supaya orang mati itu tidak terlihat dirinya sendiri! Sebagai hamba-hamba Yehuwa, kita tidak mempercayai atau menyertai apa-apa adat atau amalan yang menyokong dusta Syaitan!—1 Kor. 10:21, 22.
13. Menurut Yakobus 1:5, jika anda kurang pasti tentang suatu adat atau amalan, apakah yang harus anda lakukan?
13 Jika anda kurang pasti tentang suatu adat atau amalan, berdoalah dan mintalah kebijaksanaan daripada Yehuwa. (Baca Yakobus 1:5.) Kemudian, kajilah bahan bacaan kita. Jika perlu, tanyalah penatua di sidang anda. Mereka tidak akan memberitahu anda apa yang harus dilakukan, tetapi akan menunjukkan prinsip-prinsip Bible yang berkenaan, seperti yang terdapat dalam rencana ini. Apabila anda berbuat demikian, anda sedang melatih “daya penilaian” sendiri supaya dapat “membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.”—Ibr. 5:14.
14. Apakah yang dapat kita lakukan supaya tidak membuat orang lain tersandung?
14 “Lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan. Janganlah menyebabkan orang lain tersandung.” (1 Kor. 10:31, 32) Semasa memutuskan sama ada untuk menyertai suatu adat atau tidak, fikirkan juga kesannya atas hati nurani orang lain, terutamanya rakan seiman kita. Kita sama sekali tidak ingin membuat mereka tersandung! (Mrk. 9:42) Pada masa yang sama, kita ingin mengambil kira perasaan orang yang bukan Saksi. Janganlah bertengkar dengan mereka ataupun mentertawakan amalan mereka. Sebaliknya, biarlah kasih mendorong kita untuk bersikap hormat dan bertimbang rasa terhadap mereka. Dengan berbuat demikian, kita dapat memuliakan Yehuwa, dan kasih kita bahkan mungkin melembutkan hati para penentang.
15-16. (a) Mengapakah penting untuk memberitahu orang lain tentang kepercayaan anda? Berikan contoh. (b) Bagaimanakah kita dapat menerapkan kata-kata Paulus di Roma 1:16?
15 Biarlah orang lain tahu bahawa anda seorang Saksi-Saksi Yehuwa. (Yes. 43:10) Jiran dan saudara-mara anda mungkin sangat marah jika anda tidak menyertai upacara kematian tertentu. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda memberitahu mereka awal-awal lagi bahawa anda menyembah Tuhan Yehuwa. Francisco, dari Mozambique, menulis, “Semasa saya dan isteri saya Carolina mempelajari kebenaran, kami memberitahu keluarga kami bahawa kami tidak akan menyembah orang mati lagi. Pendirian kami diuji semasa kakak Carolina meninggal. Menurut adat tempatan, jenazah harus dimandikan, dan seorang ahli keluarga yang terdekat harus bermalam selama tiga hari di tempat air mandi itu dibuang. Amalan ini dikatakan dapat menenteramkan roh orang mati. Keluarga Carolina mahu dia melakukan upacara tersebut.”
16 Apakah yang dilakukan Francisco dan isterinya? Francisco menjelaskan, “Kami mengasihi Yehuwa dan ingin menyenangkan hati-Nya, jadi kami enggan menyertai upacara itu. Keluarga Carolina sangat marah dan menuduh bahawa kami tidak menghormati si mati. Mereka juga berkata bahawa mereka tidak akan melawat atau menolong kami lagi. Memandangkan kami pernah menjelaskan kepercayaan kami kepada mereka, kami tidak membincangkan hal itu semasa mereka marah. Beberapa saudara-mara kami bahkan mempertahankan kami dan menyatakan bahawa kami sudah menjelaskan pendirian kami sebelum itu. Pada kemudian hari, saudara-mara Carolina telah bertenang, dan kami dapat berdamai dengan mereka. Selepas itu, ada antara mereka yang bahkan datang ke rumah kami untuk meminta bahan bacaan Bible.” Semoga kita tidak berasa malu untuk berpendirian teguh demi kebenaran tentang kematian.—Baca Roma 1:16.
MENYOKONG DAN MELEGAKAN MEREKA YANG BERKABUNG
17. Apakah yang harus kita lakukan semasa rakan Kristian kita kehilangan orang tersayang?
17 Semasa rakan Kristian kita kehilangan orang tersayang, berusahalah untuk menjadi sahabat sejati yang “bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.” (Ams. 17:17) Bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat sedemikian, terutamanya sewaktu mereka menghadapi tekanan untuk menyertai amalan yang melanggar ajaran Bible? Terdapat dua prinsip Bible yang dapat membantu kita.
18. Mengapakah Yesus menangis? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladannya?
18 “Menangislah bersama orang yang menangis.” (Rm. 12:15) Ada kalanya, kita tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada orang yang bersedih. Namun, air mata kita dapat mencerminkan keprihatinan kita. Semasa Lazarus meninggal, Maria, Marta, dan sahabatnya meratapi kematiannya. Empat hari kemudian, apabila Yesus tiba, dia menangis walaupun dia tahu bahawa dia akan membangkitkan Lazarus tidak lama lagi. (Yoh. 11:17, 33-35) Air mata Yesus mencerminkan perasaan Bapanya dan menunjukkan kasihnya terhadap keluarga Lazarus. Hal itu pasti telah melegakan hati Maria dan Marta. Begitu juga, apabila saudara saudari kita merasai kasih dan keprihatinan kita, mereka tidak akan berasa bersendirian, kerana terdapat sahabat-sahabat di sisi mereka yang mengasihi dan menyokong mereka.
19. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat di Pengkhutbah 3:7 semasa melegakan rakan seiman yang berkabung?
19 “Ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap.” (Pkh. 3:7) Satu lagi cara untuk melegakan rakan seiman yang berkabung adalah dengan menjadi pendengar yang baik. Biarlah saudara atau saudari kita meluahkan isi hatinya, dan janganlah tersinggung jika dia mengucapkan “kata-kata yang melulu.” (Ayb. 6:2, 3) Dia mungkin menghadapi tekanan yang besar daripada saudara-mara yang bukan Saksi, maka berdoalah bersamanya dan rayulah kepada “Pendengar doa” untuk menguatkannya dan memberinya ketenangan minda. (Mzm. 65:2) Jika dapat, bacalah bersamanya ayat-ayat Bible atau sebuah rencana yang sesuai, seperti kisah hidup yang menggalakkan.
20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?
20 Kita amat bersyukur kerana mengetahui kebenaran tentang orang mati dan harapan bagi mereka yang berada dalam makam peringatan! (Yoh. 5:28, 29) Maka, semoga kita menjunjung kebenaran Bible dengan berani melalui kata-kata dan perbuatan kita, dan kongsilah kebenaran ini pada setiap kesempatan yang sesuai. Rencana seterusnya akan membincangkan satu lagi perangkap yang digunakan Syaitan untuk menghalang orang daripada mengenali kebenaran, iaitu spiritisme, atau ilmu sihir. Kita akan mengkaji sebabnya kita perlu mengelakkan amalan dan hiburan yang berkaitan dengan perangkap itu.
LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa
^ per. 5 Syaitan dan roh-roh jahat telah menipu manusia tentang keadaan sebenar orang mati. Akibatnya, ramai orang mengikut adat kematian yang melanggar ajaran Bible. Rencana ini akan membantu anda tetap setia kepada Yehuwa semasa orang lain mendesak anda untuk menyertai adat sebegini.
^ per. 10 Pasitan Sepanyol ialah sebuah mahkamah pada zaman dahulu yang menganiaya dan menyeksa orang yang kepercayaannya bertentangan dengan ajaran gereja.
^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Dua orang Saksi melegakan saudara-mara mereka yang berkabung.
^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Seorang Saksi membuat penyelidikan tentang adat kematian, lalu menjelaskan kepercayaannya dengan sopan kepada saudara-maranya.
^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Penatua-penatua sidang melegakan dan menyokong seorang Saksi yang kehilangan orang tersayang.