Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 15

Tirulah Yesus agar Tetap Tenteram

Tirulah Yesus agar Tetap Tenteram

“Kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”​—FLP. 4:7.

LAGU 113 Kedamaian Milik Kita

PENGENALAN *

1-2. Mengapakah Yesus berasa susah hati?

YESUS berasa susah hati pada hari terakhirnya sebagai manusia. Yesus risau, bukan sahaja kerana dia bakal dibunuh dengan kejam oleh orang jahat, tetapi juga kerana dia ingin tetap setia semasa menghadapi cubaan yang besar itu. Yesus sangat mengasihi Bapanya dan ingin menggembirakan hati-Nya, maka dia ingin tetap setia supaya dapat menegakkan nama Yehuwa. Yesus juga mengasihi manusia, maka dia ingin tetap setia sampai mati supaya mereka berpeluang untuk hidup selama-lamanya.

2 Walaupun Yesus menghadapi tekanan yang besar, dia berasa tenteram. Dia memberitahu para rasulnya, “Aku memberi kamu kedamaianku.” (Yoh. 14:27) Oleh sebab Yesus mempunyai hubungan yang akrab dengan Yehuwa, dia memiliki ketenteraman, atau “kesejahteraan daripada Tuhan.” Kesejahteraan itu telah menenangkan hati dan minda Yesus.​—Flp. 4:6, 7.

3. Apakah yang akan kita kaji dalam rencana ini?

3 Kita tidak akan menghadapi tekanan yang dialami Yesus, tetapi sebagai pengikutnya, kita semua akan dicubai dan berasa khuatir dari masa ke masa. (Mat. 16:24, 25; Yoh. 15:20) Apakah yang dapat kita lakukan supaya tidak lemas dalam kekhuatiran dan tidak kehilangan ketenangan minda? Mari kita mengkaji tiga perkara yang dilakukan oleh Yesus semasa dia menginjil di bumi, dan belajar cara untuk meniru teladannya semasa kita dilanda cubaan.

YESUS SERING BERDOA

Doa dapat membantu kita tetap tenteram (Lihat perenggan 4-7)

4. Apakah yang menunjukkan bahawa Yesus sering berdoa pada hari terakhirnya sebagai manusia? Apakah nasihat yang diberikan kepada orang Kristian di 1 Tesalonika 5:17?

4 Baca 1 Tesalonika 5:17. Sepanjang hari terakhir Yesus sebagai manusia, dia sering berdoa. Semasa mengasaskan peringatan kematiannya, Yesus berdoa sebelum mengedarkan roti dan wain. (1 Kor. 11:23-25) Sebelum meninggalkan tempat menyambut Paska, Yesus berdoa bersama murid-muridnya. (Yoh. 17:1-26) Sewaktu mereka tiba di Getsemani, Yesus berdoa berkali-kali. (Mat. 26:36-39, 42, 44) Kata-kata Yesus yang terakhir sebelum kematiannya juga merupakan doa. (Luk. 23:46) Ya, Yesus telah berdoa kepada Yehuwa tentang segala-gala yang terjadi pada hari terakhirnya sebagai manusia.

5. Mengapakah para rasul menjadi takut?

5 Satu sebab Yesus dapat menghadapi cubaan dengan tabah adalah kerana dia bergantung pada Bapanya dan berdoa untuk memohon bantuan-Nya. Para rasul pula tidak berdoa dengan tekun pada malam Yesus ditangkap, oleh itu mereka menjadi takut semasa ditimpa cubaan. (Mat. 26:40, 41, 43, 45, 56) Jika kita ingin tetap setia semasa dicubai, kita mesti mengikut teladan Yesus dan terus berdoa. Apakah yang dapat kita doakan?

6. Bagaimanakah iman membantu kita agar tetap tenteram?

6 Kita boleh berdoa agar Yehuwa memberi kita “lebih banyak iman.” (Luk. 17:5; Yoh. 14:1) Kita memerlukan iman kerana Syaitan akan menguji semua orang yang mengikut Yesus. (Luk. 22:31) Bagaimanakah iman membantu kita tetap tenteram semasa kita ditimpa masalah demi masalah? Setelah kita melakukan apa yang terdaya untuk menangani suatu cabaran, iman akan mendorong kita untuk menyerahkan perkara itu ke dalam tangan Yehuwa. Kita yakin bahawa Dia tahu cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah kita, oleh itu hati dan minda kita tetap tenang, dan kita tidak akan terlalu khuatir.​—1 Ptr. 5:6, 7.

7. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Robert?

7 Doa dapat membantu kita agar tetap bertenang tidak kira apa cubaan yang dihadapi. Robert, seorang penatua yang kini berusia 80-an, berkata, “Nasihat di Filipi 4:6, 7 telah membantu saya mengharungi banyak cubaan dalam kehidupan saya. Saya pernah mengalami masalah kewangan, dan saya pernah diberhentikan daripada tugas sebagai penatua.” Apakah yang membantunya tetap tenteram? Robert menjelaskan, “Sebaik sahaja saya berasa risau, saya akan berdoa. Apabila saya berdoa dengan lebih kerap dan lebih bersungguh-sungguh, saya berasa lebih tenteram.”

YESUS MENGINJIL DENGAN BERSEMANGAT

Kerja penyebaran dapat membantu kita tetap tenteram (Lihat perenggan 8-10)

8. Menurut Yohanes 8:29, apakah satu lagi sebab Yesus dapat tetap tenteram?

8 Baca Yohanes 8:29. Hati Yesus tetap tenteram bahkan semasa dia dianiaya, kerana dia tahu bahawa kesetiaannya menyenangkan hati Bapanya. Yesus sentiasa mentaati Bapanya, walaupun ada kalanya hal itu susah. Dia mengasihi Yehuwa dan menggunakan seluruh kehidupannya untuk berkhidmat kepada Bapanya. Semasa di syurga, Yesus ialah jurubina di sisi Tuhan. (Ams. 8:30) Semasa di bumi, Yesus mengajar orang dengan tekun tentang Bapanya. (Mat. 6:9; Yoh. 5:17) Kerja itu telah memberinya sukacita yang besar.​—Yoh. 4:34-36.

9. Apabila kita sibuk menginjil, bagaimanakah hal itu membantu kita tetap tenteram?

9 Kita dapat meniru Yesus dengan mentaati Yehuwa dan “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.” (1 Kor. 15:58) Apabila kita berfokus kepada kerja penyebaran, kita dapat memupuk pandangan yang lebih positif tentang masalah kita. (Kis. 18:5) Ramai orang di kawasan penyebaran kita mengalami masalah yang lebih besar. Namun apabila mereka mengasihi Yehuwa dan menerapkan nasihat-Nya, kehidupan mereka menjadi lebih baik dan bahagia. Setiap kali kita melihat hal itu berlaku, kita bertambah yakin bahawa Yehuwa akan menjaga kita, dan keyakinan itu membantu kita agar tetap tenteram. Itulah yang dialami oleh seorang saudari yang perlu melawan kemurungan dan perasaan tidak berguna. Dia berkata, “Semasa saya sibuk menginjil, saya berasa lebih gembira dan lebih mampu mengawal emosi sendiri. Saya rasa sangat dekat kepada Yehuwa semasa melakukan kerja penyebaran.”

10. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Brenda?

10 Fikirkan contoh Saudari Brenda. Dia dan anak perempuannya menghidap penyakit saraf yang serius. Brenda cepat letih dan perlu menggunakan kerusi roda. Oleh itu, dia akan menginjil dari rumah ke rumah semasa dia mampu berbuat demikian, tetapi biasanya dia memberikan kesaksian dengan menulis surat. Brenda berkata, “Apabila saya menyedari dan menerima hakikat bahawa penyakit saya tidak dapat diubati dalam sistem dunia ini, saya dapat lebih bertumpu kepada kerja penyebaran. Semasa menginjil, saya tidak memikirkan masalah sendiri, tetapi berfokus kepada orang yang saya hubungi di kawasan sidang kami. Kerja penyebaran juga sentiasa mengingatkan saya tentang harapan masa depan saya.”

YESUS MENERIMA BANTUAN DARIPADA SAHABAT-SAHABATNYA

Pergaulan dengan sahabat baik dapat membantu kita tetap tenteram (Lihat perenggan 11-15)

11-13. (a) Bagaimanakah para rasul dan orang lain menunjukkan bahawa mereka ialah sahabat sejati Yesus? (b) Apakah perasaan Yesus kerana memiliki sahabat-sahabat sebegini?

11 Sepanjang masa Yesus menginjil di bumi, dia dibantu oleh para rasul yang setia. Mereka memang sahabat sejati yang “lebih karib daripada saudara kandung.” (Ams. 18:24) Pada masa itu, tiada seorang pun daripada adik-beradik Yesus yang beriman kepadanya. (Yoh. 7:3-5) Pernah sekali, saudara-mara Yesus bahkan berfikir bahawa dia sudah gila. (Mrk. 3:21) Namun, para rasul sangat berbeza dan amat dihargai Yesus. Pada malam sebelum kematiannya, Yesus memberitahu mereka, “Semasa aku menghadapi cubaan, kamu sentiasa bersama-samaku.”​—Luk. 22:28.

12 Para rasul pernah menghampakan Yesus, tetapi dia tidak bertumpu kepada kesilapan mereka. Sebaliknya, dia menghargai iman mereka terhadapnya. (Mat. 26:40; Mrk. 10:13, 14; Yoh. 6:66-69) Pada malamnya yang terakhir bersama rasul-rasul yang setia, Yesus memberitahu mereka, “Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.” (Yoh. 15:15) Sahabat-sahabat Yesus telah memberinya banyak galakan. Sokongan yang diberikan oleh mereka dalam kerja penyebaran juga membuat Yesus sangat bersukacita.​—Luk. 10:17, 21.

13 Selain para rasul, terdapat lelaki dan wanita lain yang merupakan sahabat Yesus. Mereka menolongnya dalam kerja penyebaran dan memberinya bantuan yang lain. Ada yang menjemputnya ke rumah untuk makan. (Luk. 10:38-42; Yoh. 12:1, 2) Yang lain mengembara bersamanya dan mengongsi harta milik mereka dengannya. (Luk. 8:3) Kawan-kawan Yesus rela membantunya kerana dia rela membantu mereka. Yesus berbuat baik terhadap mereka dan tidak mengharapkan sesuatu di luar kemampuan mereka. Meskipun Yesus sempurna, dia menghargai sokongan daripada sahabat-sahabatnya yang tidak sempurna. Mereka telah membantunya agar tetap tenteram.

14-15. Apakah caranya untuk mendapat sahabat yang baik? Bagaimanakah mereka dapat membantu kita?

14 Sahabat yang baik akan membantu kita tetap setia kepada Yehuwa. Namun, untuk mendapat sahabat yang baik, kita perlu mencurahkan usaha. (Mat. 7:12) Bible menggalakkan kita agar menggunakan masa dan tenaga untuk membantu orang lain, khususnya “orang yang berkekurangan.” (Ef. 4:28) Adakah sesiapa di sidang anda yang dapat anda bantu? Jika ada penyiar yang tidak dapat keluar dari rumah, dapatkah anda membantunya membeli barang keperluan? Jika ada keluarga yang menghadapi masalah kewangan, dapatkah anda menyediakan makanan untuk mereka? Dapatkah anda membantu saudara saudari di sidang untuk mencari permata rohani di aplikasi JW Library® dan laman web jw.org®? Apabila kita sibuk membantu orang lain, kita akan lebih bahagia.​—Kis. 20:35.

15 Semasa kita menghadapi cubaan, sahabat-sahabat kita akan menyokong kita dan membantu kita agar tetap tenteram. Sebagaimana Elihu memasang telinga semasa Ayub menceritakan kesusahannya, sahabat-sahabat kita akan mendengar dengan sabar ketika kita meluahkan perasaan kita. (Ayb. 32:4) Kita tidak patut menyuruh mereka membuat keputusan bagi kita, tetapi kita ingin mendengar nasihat mereka yang berdasarkan Bible. (Ams. 15:22) Seperti Raja Daud yang rendah hati dan sudi menerima bantuan kawan-kawannya, janganlah kita terlalu sombong untuk menerima bantuan yang dihulurkan oleh sahabat-sahabat kita. (2 Sam. 17:27-29) Hargailah mereka kerana mereka sesungguhnya kurniaan daripada Yehuwa.​—Yak. 1:17.

CARA UNTUK TETAP TENTERAM

16. Menurut Filipi 4:6, 7, apakah yang mesti kita lakukan untuk menerima kesejahteraan daripada Tuhan? Jelaskan.

16 Baca Filipi 4:6, 7. Kesejahteraan daripada Yehuwa hanya dapat diperoleh “melalui Kristus Yesus.” Mengapa? Kerana kita mesti memahami peranan Yesus dan beriman kepadanya, barulah kita dapat menikmati ketenangan hati dan minda yang berkekalan. Contohnya, kita berasa lega kerana korban tebusan Yesus membolehkan semua dosa kita diampunkan. (1 Yoh. 2:12) Kita memiliki harapan yang cerah kerana sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Yesus akan melenyapkan segala penderitaan yang disebabkan oleh Syaitan dan dunianya. (Yes. 65:17; 1 Yoh. 3:8; Why. 21:3, 4) Kita dapat menjadi berani kerana Yesus akan menyertai kita sepanjang hari-hari terakhir dan membantu kita untuk melaksanakan kerja penyebaran yang mencabar. (Mat. 28:19, 20) Kelegaan, harapan, dan keberanian itu merupakan asas kepada ketenangan minda kita.

17. (a) Bagaimanakah orang Kristian dapat tetap tenteram? (b) Seperti yang dinyatakan di Yohanes 16:33, apakah yang dapat kita lakukan?

17 Jadi, bagaimanakah anda dapat tetap tenteram semasa ditimpa cubaan yang berat? Lakukanlah apa yang dilakukan Yesus. Pertama, berdoalah dan teruslah berdoa. Kedua, taatilah Yehuwa dan menginjillah dengan bersemangat, bahkan sewaktu hal itu susah. Ketiga, bergantunglah pada sahabat-sahabat anda. Dengan berbuat demikian, kesejahteraan daripada Tuhan akan menjaga hati dan fikiran anda, supaya anda berjaya menghadapi apa-apa cubaan seperti Yesus.​—Baca Yohanes 16:33.

LAGU 41 Dengarlah Doa Aku

^ per. 5 Kita semua menghadapi masalah yang dapat meragut kedamaian kita. Rencana ini akan membincangkan tiga perkara yang dilakukan oleh Yesus agar tetap tenteram. Apabila kita meniru teladan Yesus, kita juga dapat tetap tenteram bahkan semasa dilanda cubaan yang besar.