Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 17

Bergantunglah pada Yehuwa untuk Melawan Roh-Roh Jahat

Bergantunglah pada Yehuwa untuk Melawan Roh-Roh Jahat

‘Kita bergelut melawan roh-roh jahat di syurga.’​—EF. 6:12.

LAGU 55 Jangan Takut akan Mereka!

PENGENALAN *

1. Seperti yang dinyatakan di Efesus 6:10-13, apakah salah satu cara Yehuwa menunjukkan keprihatinan-Nya terhadap kita? Jelaskan.

SALAH satu cara Yehuwa menunjukkan keprihatinan-Nya terhadap kita adalah dengan membantu kita melawan musuh, terutamanya Syaitan dan roh-roh jahat. Yehuwa memberi kita amaran tentang mereka dan menyediakan bantuan supaya kita dapat melawan mereka. (Baca Efesus 6:10-13.) Jika kita menerima bantuan Yehuwa dan bergantung pada-Nya dengan sepenuhnya, kita akan berjaya melawan Iblis. Seperti Rasul Paulus, kita yakin akan hal ini: “Jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah yang dapat melawan kita?”​—Rm. 8:31.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Sebagai orang Kristian sejati, fokus utama kita adalah untuk mengenali Yehuwa dan menyembah-Nya, bukan mengetahui butiran tentang Syaitan dan roh-roh jahat. (Mzm. 25:5) Namun, kita masih perlu tahu sesetengah muslihat Syaitan supaya kita tidak diperdaya olehnya. (2 Kor. 2:11, nota kaki) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan satu cara utama yang digunakan Syaitan dan roh-roh jahat untuk menyesatkan orang. Kita juga akan belajar cara untuk melawan mereka.

CARA ROH-ROH JAHAT MENYESATKAN ORANG

3-4. (a) Apakah maksud spiritisme? (b) Seberapa meluaskah kepercayaan tentang spiritisme?

3 Satu cara utama Syaitan dan roh-roh jahat menyesatkan orang adalah melalui spiritisme. Orang yang terlibat dalam amalan ini berkata bahawa mereka dapat mengetahui atau mengawal hal-hal yang di luar kemampuan manusia. Contohnya, ada yang mendakwa bahawa mereka dapat mengetahui masa depan dengan mengkaji bintang atau menilik nasib. Yang lain kononnya dapat menghubungi orang mati, manakala ada juga yang menggunakan ilmu sihir untuk menjampi orang. *

4 Seberapa meluaskah kepercayaan tentang spiritisme? Sebuah tinjauan yang dijalankan di 18 buah negara Amerika Latin dan Karibia menunjukkan bahawa kira-kira satu pertiga daripada orang yang ditinjau percaya akan kuasa ghaib atau ilmu sihir. Hampir jumlah yang sama juga percaya bahawa manusia dapat berhubung dengan roh. Dalam satu lagi tinjauan di 18 buah negara Afrika, lebih daripada 50 peratus orang yang ditinjau berkata bahawa mereka mempercayai ilmu sihir. Sudah pasti, kita harus berwaspada tentang spiritisme tidak kira di mana sahaja kita tinggal, kerana Syaitan “sedang menyesatkan seluruh dunia.”​—Why. 12:9.

5. Apakah perasaan Yehuwa tentang spiritisme?

5 Yehuwa ialah “sumber kebenaran.” (Mzm. 31:5) Maka, Dia membenci spiritisme! Yehuwa memberitahu orang Israel, “Jangan membakar anak lelaki dan anak perempuan kamu dalam api. Jangan mengamalkan ilmu ramal atau ilmu sihir. Jangan mencari petanda atau menjadi tukang sihir. Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh atau meminta nasihat daripada tukang tilik. Jangan meminta petunjuk daripada orang mati. Yehuwa sangat membenci sesiapa yang melakukan perkara-perkara keji tersebut.” (Ul. 18:10-12) Walaupun orang Kristian tidak perlu mematuhi Hukum yang diberikan kepada orang Israel, kita tahu bahawa perasaan Yehuwa tentang spiritisme tidak pernah berubah.​—Mal. 3:6.

6. (a) Bagaimanakah Syaitan menggunakan spiritisme? (b) Menurut Pengkhutbah 9:5, apakah keadaan sebenar orang mati?

6 Yehuwa mengingatkan kita untuk menjauhi spiritisme kerana spiritisme itu berbahaya. Syaitan menggunakan amalan itu untuk menyebarkan dusta, termasuk ajaran palsu bahawa orang mati masih hidup di alam lain. (Baca Pengkhutbah 9:5.) Syaitan juga menggunakan spiritisme untuk menakutkan orang dan membuat mereka berpaling daripada Yehuwa. Syaitan ingin orang percaya kepada roh-roh jahat dan bukannya Yehuwa.

CARA KITA MELAWAN ROH-ROH JAHAT

7. Apakah yang diajarkan oleh Yehuwa kepada kita?

7 Seperti yang dinyatakan tadi, Yehuwa mengajar kita supaya kita tidak disesatkan oleh Syaitan dan roh-roh jahat. Mari kita lihat beberapa langkah yang dapat diambil untuk melawan Syaitan dan roh-roh jahat.

8. (a) Apakah cara utama untuk melawan roh-roh jahat? (b) Bagaimanakah Mazmur 146:4 mendedahkan dusta Syaitan?

8 Membaca dan merenungkan Firman Tuhan. Inilah cara utama untuk menolak dusta roh-roh jahat. Firman Tuhan adalah seperti pedang yang tajam, yang dapat melawan ajaran palsu Syaitan. (Ef. 6:17) Contohnya, Bible mendedahkan dusta Syaitan yang menyatakan bahawa orang mati dapat berkomunikasi dengan orang hidup. (Baca Mazmur 146:4.) Firman Tuhan juga mengingatkan kita bahawa hanya Yehuwa yang dapat meramalkan masa depan dengan tepat. (Yes. 45:21; 46:10) Jika kita selalu membaca dan merenungkan Bible, kita akan dilengkapi untuk menolak dan membenci dusta yang disebarkan oleh roh-roh jahat.

9. Apakah contoh amalan spiritisme yang kita elakkan?

9 Jangan terlibat dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan spiritisme. Sebagai orang Kristian sejati, kita tidak akan mencari bomoh atau mencuba menghubungi orang mati melalui apa-apa cara. Dalam rencana sebelumnya, kita belajar bahawa kita akan mengelakkan upacara kematian yang berdasarkan kepercayaan bahawa orang mati masih hidup di tempat lain. Kita juga tidak akan menilik nasib atau menggunakan ilmu ramal untuk mengetahui masa depan. (Yes. 8:19) Kita tahu bahawa semua amalan itu sangat berbahaya dan mungkin membuat kita terdedah secara langsung kepada pengaruh Syaitan dan roh-roh jahat.

Tirulah orang Kristian zaman dahulu dengan membuang atau memusnahkan semua benda yang berkaitan dengan ilmu sihir. Jauhilah hiburan yang mengandungi unsur spiritisme (Lihat perenggan 10-12)

10-11. (a) Setelah mempelajari kebenaran, apakah yang dilakukan sesetengah orang pada abad pertama? (b) Menurut 1 Korintus 10:21, mengapakah kita patut mengikut teladan orang Kristian abad pertama? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

10 Buang benda-benda yang berkaitan dengan spiritisme. Pada abad pertama, sesetengah penduduk Efesus mengamalkan spiritisme. Selepas mempelajari kebenaran, “sebilangan besar orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakarnya di hadapan semua orang.” (Kis. 19:19) Mereka mengambil tindakan tegas untuk melawan roh-roh jahat. Walaupun buku-buku sihir itu sangat mahal, mereka tidak menjualnya atau memberikannya kepada orang lain. Sebaliknya, mereka membakar buku-buku itu, kerana bagi mereka, menyenangkan hati Yehuwa jauh lebih penting.

11 Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan orang Kristian abad pertama? Janganlah menyimpan barang-barang yang bersangkut paut dengan ilmu sihir, seperti tangkal, azimat, atau benda-benda lain yang diguna atau dipakai untuk melindungi diri daripada kuasa jahat.​—Baca 1 Korintus 10:21.

12. Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan semasa memeriksa hiburan kita?

12 Periksa hiburan anda. Tanyalah diri, “Adakah saya membaca buku, majalah, atau maklumat di Internet tentang ilmu sihir? Adakah muzik yang saya dengar, wayang atau rancangan TV yang saya tonton, atau permainan video yang saya main berkaitan dengan spiritisme? Adakah hiburan saya mengandungi unsur seperti puntianak, zombi, atau paranormal? Adakah hiburan saya memaparkan kuasa sihir, jampi, atau guna-guna sebagai perbuatan yang seronok dan tidak berbahaya?” Sudah pasti, bukan semua cerita fantasi atau cerita dongeng ada kaitan dengan spiritisme. Namun, semasa memilih hiburan, bertekadlah untuk menjauhi apa sahaja yang dibenci Yehuwa. Berusahalah agar “memiliki hati nurani yang bersih” di hadapan Tuhan kita.​—Kis. 24:16. *

13. Apakah perbuatan yang ingin kita elakkan?

13 Elakkan daripada bercerita tentang roh-roh jahat. Kita harus meniru teladan Yesus. (1 Ptr. 2:21) Dia pernah hidup di syurga, jadi dia sangat mengenali Syaitan dan roh-roh jahat. Tetapi semasa di bumi, Yesus tidak bercerita tentang perbuatan roh-roh jahat. Dia mahu bertumpu kepada Yehuwa, bukan kepada Syaitan. Seperti Yesus, kita tidak mahu menyebarkan cerita tentang roh-roh jahat. Sebaliknya, biarlah kata-kata kita mencerminkan “sesuatu yang menyenangkan,” iaitu kebenaran.​—Mzm. 45:1.

Kita tidak perlu takut akan roh-roh jahat, kerana Yehuwa, Yesus, dan para malaikat jauh lebih berkuasa daripada mereka (Lihat perenggan 14-15) *

14-15. (a) Mengapakah kita tidak perlu takut akan roh-roh jahat? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa sedang melindungi umat-Nya pada zaman sekarang?

14 Jangan takut akan roh-roh jahat. Dalam dunia sekarang, kita mungkin ditimpa hal-hal buruk, seperti kemalangan, penyakit, atau kematian. Semasa perkara sebegini berlaku, kita tidak patut terus menyimpulkan bahawa itulah angkara roh-roh jahat. Bible menjelaskan bahawa “waktu dan kejadian yang tidak terduga” dapat menimpa sesiapa sahaja. (Pkh. 9:11) Ingatlah juga bahawa Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada roh-roh jahat. Contohnya, Dia tidak mengizinkan Syaitan membunuh Ayub. (Ayb. 2:6) Pada zaman Musa, Yehuwa juga menunjukkan bahawa Dia lebih berkuasa daripada tukang-tukang sihir di Mesir. (Kel. 8:18; 9:11) Tuhan juga memberi Yesus kuasa untuk membuang Syaitan dan roh-roh jahat dari syurga ke bumi. Tidak lama lagi, mereka akan dicampakkan ke dalam jurang yang dalam dan tidak dapat mencederakan sesiapa pun.​—Why. 12:9; 20:2, 3.

15 Hari ini, Yehuwa juga melindungi umat-Nya. Fikirkan buktinya: Kita melakukan kerja penyebaran dan mengajarkan kebenaran di serata dunia. (Mat. 28:19, 20) Usaha kita membongkar perbuatan jahat Si Iblis, maka dia pasti ingin menghentikan kerja kita. Namun, dia tidak berjaya berbuat demikian. Jelaslah, kita tidak perlu takut akan roh-roh jahat kerana Yehuwa sedang melindungi kita. Kita tahu bahawa “Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi untuk mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.” (2 Taw. 16:9) Jika kita setia kepada Yehuwa, roh-roh jahat tidak akan dapat mendatangkan kecelakaan yang kekal kepada kita.

ORANG YANG BERGANTUNG PADA YEHUWA AKAN DIBERKATI

16-17. Mengapakah kita memerlukan keberanian untuk melawan roh-roh jahat? Berikan contoh.

16 Kita memerlukan keberanian untuk melawan roh-roh jahat, terutamanya semasa ditentang oleh sahabat atau saudara-mara yang berniat baik. Namun, jika kita bertindak dengan berani, Yehuwa akan memberkati kita. Fikirkan contoh Saudari Erica dari Ghana, yang mempelajari Bible semasa berusia 21 tahun. Apabila bapanya yang merupakan seorang bomoh mempersembahkan daging kepada roh nenek moyang, Erica disuruh menyertai upacara itu dan makan daging tersebut. Semasa Erica enggan berbuat demikian, keluarganya menganggap dia menghina nenek moyang, dan mereka percaya bahawa mereka akan dihukum dengan penyakit mental dan fizikal.

17 Keluarga Erica mencuba memaksanya mengikut adat mereka, namun dia tidak berganjak. Akhirnya Erica perlu meninggalkan rumahnya, tetapi Yehuwa telah memberkati Erica dan memberinya keluarga baharu. Beberapa orang Saksi telah menyambutnya ke rumah mereka dan menjadi seperti adik-beradik kandungnya. (Mrk. 10:29, 30) Meskipun saudara-mara Erica memutuskan hubungan dengannya dan bahkan membakar barang-barangnya, dia tetap setia kepada Yehuwa dan kemudiannya dibaptis. Kini, Erica seorang perintis biasa, dan dia tidak takut akan roh-roh jahat. Dia berkata, “Setiap hari, saya berdoa agar keluarga saya dapat mengenali Yehuwa. Saya harap mereka berpeluang menikmati berkat kerana menyembah Tuhan kita yang pengasih, dan dibebaskan daripada roh-roh jahat.”

18. Apakah berkat yang akan kita terima kerana percaya kepada Yehuwa?

18 Bukan semua orang akan menghadapi cubaan sebesar itu. Namun, kita semua perlu melawan roh-roh jahat dan percaya kepada Yehuwa. Jika kita berbuat demikian, kita akan menerima banyak berkat. Kita tidak akan diperdaya oleh Syaitan, dan kita tidak akan begitu takut kepada roh-roh jahat sehingga berhenti menyembah Yehuwa. Yang terpenting, persahabatan kita dengan Yehuwa akan bertambah erat. Yakobus menulis, “Taatlah kepada Tuhan dan lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu. Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”​—Yak. 4:7, 8.

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

^ per. 5 Yehuwa mengasihi kita, maka Dia memberi kita amaran tentang roh-roh jahat dan masalah yang dapat ditimbulkan oleh mereka. Bagaimanakah roh-roh jahat menyesatkan orang? Bagaimanakah kita dapat melawan mereka? Rencana ini akan membincangkan cara Yehuwa membantu kita agar kita tidak disesatkan roh-roh jahat.

^ per. 3 MAKSUD UNGKAPAN: Spiritisme merupakan kepercayaan yang berkaitan dengan roh-roh jahat, termasuk kepercayaan bahawa orang mati mempunyai roh yang dapat berkomunikasi dengan orang hidup, khasnya melalui seorang pengantara. Spiritisme juga merangkumi amalan seperti astrologi, ilmu ramal, tilik nasib, ilmu ghaib, jampi, dan kepercayaan karut. Spiritisme tidak merujuk kepada pertunjukan silap mata, yang hanya melibatkan penggunaan teknik atau peralatan untuk mengaburi mata penonton.

^ per. 12 Para penatua tidak berhak membuat peraturan mengenai hiburan. Semasa membuat pilihan dalam hal ini, setiap orang Kristian harus menggunakan hati nurani sendiri yang dilatih Bible. Ketua keluarga yang bijak akan memastikan bahawa hiburan keluarga mereka selaras dengan prinsip Bible.​—Lihat rencana di jw.org® yang bertajuk “Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mengharamkan Wayang, Buku, atau Lagu Tertentu?” di bahagian MENGENAI KAMI > SOALAN LAZIM.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Yesus digambarkan sebagai Raja yang berkuasa di syurga bersama angkatan tentera para malaikat.