Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 18

“Berlari dalam Perlumbaan sampai ke Akhir”

“Berlari dalam Perlumbaan sampai ke Akhir”

“Aku sudah berlari dalam perlumbaan sampai ke akhir.”​—2 TIM. 4:7.

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

PENGENALAN *

1. Apakah yang mesti kita semua lakukan?

INGINKAH anda berlari dalam perlumbaan yang susah, khususnya semasa anda letih atau sakit? Mungkin tidak. Namun, Rasul Paulus berkata bahawa semua orang Kristian sejati sedang berlari dalam suatu perlumbaan. (Ibr. 12:1) Tidak kira kita tua atau muda, letih atau bertenaga, kita mesti terus berlari sampai akhir, barulah kita dapat menerima ganjaran yang dijanjikan Yehuwa.​—Mat. 24:13.

2. Menurut 2 Timotius 4:7, 8, mengapakah Paulus dapat memberikan nasihat itu?

2 Paulus dapat menasihati orang Kristian untuk berlari dengan tabah kerana dia sendiri sudah “berlari dalam perlumbaan sampai ke akhir.” (Baca 2 Timotius 4:7, 8.) Namun, apakah perlumbaan yang dimaksudkan Paulus?

APAKAH PERLUMBAAN ITU?

3. Apakah perlumbaan yang dimaksudkan Paulus?

3 Paulus pernah menggunakan ciri-ciri dalam perlumbaan Yunani kuno untuk menyampaikan pengajaran yang penting. (1 Kor. 9:25-27; 2 Tim. 2:5) Dalam beberapa suratnya, dia menyamakan acara lumba lari dengan haluan hidup orang Kristian. (1 Kor. 9:24; Gal. 2:2; Flp. 2:16) Seseorang menyertai “perlumbaan” ini semasa dia membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. (1 Ptr. 3:21) Dia merentasi garisan penamat semasa Yehuwa mengurniainya kehidupan kekal.​—Mat. 25:31-34, 46; 2 Tim. 4:8.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Apakah persamaan antara lumba lari jarak jauh dengan kehidupan orang Kristian? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga persamaan. Pertama, kita perlu mengikut haluan yang betul. Kedua, kita mesti bertumpu kepada garisan penamat. Ketiga, kita perlu terus berlari bahkan semasa menghadapi cabaran.

MENGIKUT HALUAN YANG BETUL

Kita semua mesti mengikut haluan hidup orang Kristian (Lihat perenggan 5-7) *

5. Apakah haluan yang mesti kita ikut? Mengapa?

5 Untuk memenangi hadiah, pelari mesti berlari mengikut haluan yang ditetapkan pihak penganjur. Begitu juga, untuk menerima hadiah berupa kehidupan kekal, kita mesti mengikut haluan hidup orang Kristian. (Kis. 20:24; 1 Ptr. 2:21) Namun, Syaitan dan orang yang mengikut teladannya tidak mahu kita berbuat demikian. Mereka ingin kita terus “berlari bersama mereka.” (1 Ptr. 4:4) Mereka mengejek kita kerana mengikut haluan Kristian, dan mereka mendakwa bahawa haluan mereka lebih baik dan membawa kebebasan. Namun, janganlah ditipu.​—2 Ptr. 2:19.

6. Apakah yang anda pelajari daripada contoh Brian?

6 Sesiapa yang berlari bersama orang yang dipengaruhi dunia Syaitan akan sedar bahawa haluan hidup itu tidak membawa kebebasan, malah menyebabkan mereka menjadi hamba kepada Syaitan dan nafsu berdosa. (Rm. 6:16) Perhatikan contoh Brian. Ibu bapanya menggalakkannya untuk mengikut haluan Kristian, tetapi semasa berumur belasan tahun, Brian berasa bahawa haluan itu tidak akan membuatnya bahagia. Maka, dia memilih untuk berlari bersama orang yang dipengaruhi Syaitan. Dia berkata, “Saya tidak sangka ‘kebebasan’ yang saya dambakan itu akan membuat saya dicengkam ketagihan. Saya mengambil dadah, hidup tidak bermoral, dan menjadi kaki botol. Kemudian, saya mula mengambil dadah yang lebih kuat dan berbahaya, lalu ketagihan saya menjadi lebih teruk. . . . Saya mula jual dadah untuk menampung gaya hidup saya.” Akhirnya, Brian memutuskan untuk hidup menurut prinsip Yehuwa. Dia mengubah haluan hidupnya dan dibaptis pada tahun 2001. Kini, dia benar-benar bahagia kerana berlari mengikut haluan Kristian. *

7. Menurut Matius 7:13, 14, apakah dua pilihan yang kita ada?

7 Syaitan ingin kita berhenti berlari di jalan sempit yang “menuju kehidupan” dan berlari di jalan yang lebar. Jalan itu memang lebih mudah, dan banyak orang di dunia mengikut jalan itu. Namun, jalan lebar itu “menuju kebinasaan.” (Baca Matius 7:13, 14.) Itulah sebabnya kita mesti memilih haluan hidup yang betul! Untuk terus mengikut haluan yang betul dan tidak disimpangkan, kita mesti percaya kepada Yehuwa dan mendengar cakap-Nya.

TETAP BERFOKUS SEMASA BERLARI

Kita mesti tetap berfokus dan mengelak daripada membuat orang lain tersandung (Lihat perenggan 8-12) *

8. Apakah yang dilakukan seorang pelari jika dia terjatuh?

8 Pelari dalam perlumbaan jarak jauh akan terus bertumpu kepada jalan di hadapan mereka supaya tidak terjatuh. Namun, ada kalanya mereka mungkin terlanggar pelari lain atau terpijak lubang lalu terjatuh. Meskipun begitu, mereka akan cepat-cepat bangun dan meneruskan larian. Mereka tidak berfokus kepada apa yang menyebabkan mereka terjatuh. Sebaliknya, mereka bertumpu kepada garisan penamat dan hadiah yang menantikan mereka.

9. Apakah yang harus kita lakukan jika kita tersandung?

9 Dalam perlumbaan Kristian kita, kita mungkin tersandung banyak kali kerana kesilapan diri sendiri atau kesilapan rakan seiman kita. Hal itu tidak menghairankan kerana kita semua tidak sempurna dan sering berbuat silap dalam kata-kata dan perbuatan kita. Tambahan lagi, kita berlari bersama-sama di jalan yang sempit, jadi sudah pasti kita akan “terlanggar” satu sama lain dari masa ke masa. Paulus menyatakan bahawa ada kalanya, kita akan membuat satu sama lain tersinggung. (Kol. 3:13) Namun, sekiranya kita tersandung, janganlah bertumpu kepada apa yang menyebabkan kita tersandung. Sebaliknya, bertumpulah kepada ganjaran yang menantikan kita. Bangkitlah semula dan teruskan larian kita. Jika kita naik marah, berdendam, dan enggan bangkit semula, kita tidak akan sampai di garisan penamat dan tidak akan menerima ganjaran. Selain itu, jika kita tidak bangun, kita akan menjadi batu sandungan dan menghalang orang lain yang sedang berlari di jalan sempit yang menuju kehidupan.

10. Apakah yang dapat kita lakukan supaya tidak menjadi “batu sandungan” kepada orang lain?

10 Satu lagi cara kita mengelak daripada menjadi “batu sandungan” kepada orang lain adalah dengan sudi mengalah dan tidak berkeras mempertahankan hak kita sendiri. (Rm. 14:13, 19-21; 1 Kor. 8:9, 13) Ingatlah, perlumbaan Kristian berbeza daripada perlumbaan sebenar. Dalam perlumbaan sebenar, setiap pelari hanya memikirkan kepentingan diri. Mereka akan bersaing dengan orang lain supaya mereka mendahului peserta lain dan memenangi hadiah. Kita pula tidak bersaing dengan satu sama lain. (Gal. 5:26; 6:4) Sebaliknya, kita ingin membantu seberapa ramai orang yang mungkin untuk sampai di garisan penamat bersama kita dan menerima hadiah berupa kehidupan. Oleh itu, kita berusaha menerapkan nasihat Paulus ini: “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”​—Flp. 2:4.

11. Apakah yang menjadi tumpuan pelari? Mengapa?

11 Selain bertumpu kepada jalan di hadapan mereka, para pelari juga akan berfokus kepada garisan penamat. Biarpun garisan itu masih jauh, mereka dapat membayangkan saatnya mereka merentasi garisan itu dan menerima hadiah. Dengan terus memikirkan hal itu, mereka dapat berlari dengan bersemangat.

12. Apakah jaminan yang diberikan Yehuwa?

12 Yehuwa menjamin bahawa asalkan kita berlari dalam perlumbaan sampai ke garisan penamat, kita pasti akan menerima ganjaran berupa kehidupan kekal, sama ada di syurga atau di bumi. Bible sudah menggambarkan berkat-berkat yang menantikan kita. Maka, biarlah harapan itu tetap membara dalam hati dan minda kita, agar kita berazam untuk terus berlari dengan tabah.

TERUS BERLARI BAHKAN SEMASA MENGHADAPI CABARAN

Kita ingin terus berlari dalam perlumbaan Kristian biarpun menghadapi cabaran (Lihat perenggan 13-20) *

13. Berbanding pelari sebenar, apakah kelebihan yang kita miliki dalam perlumbaan Kristian?

13 Para pelari dalam perlumbaan Yunani kuno perlu menghadapi cabaran seperti rasa sakit dan letih. Namun, mereka hanya dapat bergantung pada kekuatan mereka sendiri dan latihan yang diterima. Seperti mereka, kita juga diberi latihan untuk berlari dalam perlumbaan Kristian. Namun, kita mempunyai satu kelebihan: Kita dapat menerima kekuatan yang tidak terbatas daripada Yehuwa. Jika kita bergantung pada Yehuwa, Dia bukan sahaja akan melatih kita, tetapi juga akan menguatkan kita!​—1 Ptr. 5:10.

14. Bagaimanakah kata-kata di 2 Korintus 12:9, 10 membantu kita menghadapi cabaran?

14 Paulus menghadapi berbagai-bagai cabaran. Selain dihina dan dianiaya, dia perlu bergelut dengan sesuatu seperti “duri dalam daging,” dan ada kalanya dia berasa lemah. (2 Kor. 12:7) Namun, dia tidak menggunakan cabaran-cabaran itu sebagai alasan untuk berhenti menyembah Yehuwa. Sebaliknya, dia menganggap halangan sedemikian sebagai peluang untuk bergantung pada Yehuwa. (Baca 2 Korintus 12:9, 10.) Oleh sebab Paulus memiliki pandangan itu, Yehuwa membantunya mengharungi segala cabarannya.

15. Apakah yang dapat kita rasai jika kita meniru pandangan Paulus?

15 Kita juga mungkin dihina atau dianiaya kerana kepercayaan kita, dan kita mungkin berasa letih atau menghadapi masalah kesihatan. Tetapi jika kita meniru pandangan Paulus, setiap cabaran itu dapat menjadi peluang untuk merasai kasih dan sokongan Yehuwa.

16. Biarpun anda menghadapi masalah kesihatan, apakah yang dapat anda lakukan?

16 Adakah anda terlantar di katil atau menggunakan kerusi roda? Adakah anda sakit lutut atau tidak dapat melihat dengan jelas? Jika ya, dapatkah anda berlari bersama mereka yang muda dan sihat? Sudah pasti! Ramai saudara saudari yang tua dan sakit dapat berlari di jalan yang menuju kehidupan kerana mereka bergantung pada Yehuwa. Mereka mendapat kekuatan daripada-Nya dengan mendengar program perjumpaan menerusi telefon, atau menontonnya melalui video di JW Streaming. Mereka juga menyertai kerja penyebaran dengan menginjil kepada doktor, jururawat, dan saudara-mara.

17. Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang menghadapi masalah kesihatan?

17 Jangan sekali-kali membiarkan rasa tawar hati atau masalah kesihatan membuat anda berfikir bahawa anda terlalu lemah untuk sampai di garisan penamat. Anda sudah menyembah Yehuwa dengan setia selama bertahun-tahun, dan anda beriman kepada-Nya. Yehuwa amat mengasihi anda, dan Dia tidak akan meninggalkan anda. Pada saat anda paling memerlukan bantuan-Nya, Dia akan semakin menghampiri anda. (Mzm. 9:10) Seorang saudari yang menghadapi pelbagai masalah kesihatan berkata, “Apabila masalah kesihatan saya semakin bertambah, peluang saya untuk mengongsi kebenaran semakin berkurang. Tetapi saya tahu bahawa biarpun saya dapat melakukan sedikit sahaja, Yehuwa sudah rasa gembira, dan hal itu buat saya gembira.” Ketika anda rasa tawar hati, ingatlah bahawa anda tidak bersendirian. Fikirkanlah teladan Paulus dan kata-katanya ini: ‘Aku berasa senang hati semasa aku lemah, kerana apabila aku lemah, aku menjadi kuat.’​—2 Kor. 12:10.

18. Apakah cabaran besar yang dihadapi sesetengah orang?

18 Sesetengah pelari dalam perlumbaan Kristian menghadapi cabaran yang berbeza. Mereka berdepan dengan situasi yang tidak dapat dilihat atau difahami orang lain, seperti masalah kemurungan atau kekhuatiran yang melampau. Mengapakah situasi sebegini amat mencabar? Apabila seseorang patah tangan atau menggunakan kerusi roda, semua orang dapat melihat kesusahannya dan ingin membantunya. Tetapi jika seseorang mengalami masalah emosi atau mental, penderitaannya tidak jelas kelihatan. Sebenarnya, kepedihan orang itu sama teruknya dengan kesakitan orang yang patah tangan, tetapi oleh sebab penderitaannya tidak dapat dilihat, dia mungkin tidak diberi jagaan dan kasih sayang yang diperlukan.

19. Apakah yang kita pelajari daripada Mefiboset?

19 Jika anda menghadapi cabaran yang mengehadkan khidmat anda kepada Yehuwa, dan berasa bahawa orang lain tidak memahami anda, contoh Mefiboset dapat menggalakkan anda. (2 Sam. 4:4) Dia tempang sejak kecil, dan pernah sekali, Raja Daud salah faham terhadapnya sehingga melayannya secara tidak adil. Walaupun apa yang terjadi bukanlah salahnya, Mefiboset tidak marah ataupun berdendam. Sebaliknya, dia menghargai berkat-berkat yang dimilikinya. Dia bersyukur atas kebaikan hati yang pernah ditunjukkan Daud kepadanya. (2 Sam. 9:6-10) Jadi, semasa Daud salah faham terhadapnya, dia cuba melihat situasi itu dari pelbagai sudut. Mefiboset tidak naik marah kerana kesilapan Daud, dan dia tidak menyalahkan Yehuwa atas perbuatan Daud. Mefiboset bertumpu kepada apa yang dapat dilakukannya untuk menyokong raja yang dilantik Yehuwa. (2 Sam. 16:1-4; 19:24-30) Yehuwa memastikan agar contoh Mefiboset dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita.​—Rm. 15:4.

20. Apakah kesan kekhuatiran terhadap sesetengah orang? Namun, mereka dapat yakin akan hal apa?

20 Sesetengah saudara saudari yang mengalami kekhuatiran yang melampau berasa sangat gementar dan tidak selesa semasa mereka bersama banyak orang. Meskipun begitu, mereka masih menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Mereka berasa susah untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali, tetapi mereka masih menginjil. Jika itulah situasi anda, anda tidak bersendirian. Ramai rakan seiman anda juga menghadapi pergelutan ini. Ingatlah bahawa jika anda berusaha dengan sepenuh hati, Yehuwa akan senang hati dengan usaha anda. Sehingga kini, anda masih menyembah Yehuwa dengan setia, dan itulah bukti bahawa Dia sedang memberkati dan menguatkan anda. * (Flp. 4:6, 7; 1 Ptr. 5:7) Apabila anda terus menyembah Yehuwa meskipun menghadapi cabaran dari segi fizikal atau emosi, yakinlah bahawa anda sedang menggembirakan hati Yehuwa.

21. Dengan adanya bantuan Yehuwa, apakah yang dapat kita semua lakukan?

21 Kita bersyukur kerana perlumbaan Kristian kita berbeza daripada perlumbaan yang sebenar. Dalam perlumbaan pada zaman Bible, hanya seorang yang akan memenangi hadiah. Tetapi dalam perlumbaan Kristian, semua orang yang tetap tabah dan setia akan diberi hadiah berupa kehidupan kekal. (Yoh. 3:16) Dalam perlumbaan yang sebenar, semua pelari yang ingin menang mesti sihat dan kuat. Dalam perlumbaan Kristian pula, kita masih dapat berlari dengan tabah biarpun menghadapi masalah kesihatan. (2 Kor. 4:16) Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita semua akan berlari sampai ke garisan penamat!

LAGU 144 Tataplah Pahala!

^ per. 5 Ramai penyembah Yehuwa menderita akibat usia tua atau penyakit, dan kita semua berasa penat dari masa ke masa. Jadi kita mungkin berfikir bahawa kita tidak dapat berlari dalam perlumbaan. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita semua dapat berlari dengan tabah dan meraih kemenangan dalam perlumbaan yang menuju kehidupan.

^ per. 6 Lihat rencana Alkitab Mengubah Kehidupandalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Januari 2013.

^ per. 20 Untuk maklumat lanjut mengenai cara menangani kekhuatiran dan pengalaman tentang mereka yang berjaya menangani masalah itu, sila lihat program Siaran JW bulan Mei 2019 di jw.org®. Lihat PERPUSTAKAAN > SIARAN JW.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Saudara yang berumur ini tetap mengikut haluan Kristian dengan bergiat dalam kerja penyebaran.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Kita mungkin membuat orang tersandung jika kita mendesak mereka untuk minum lebih banyak alkohol atau jika kita sendiri minum berlebihan.

^ per. 67 KETERANGAN GAMBAR: Biarpun terlantar di hospital, saudara ini terus berlari dalam perlumbaan Kristian dengan memberikan kesaksian kepada doktornya.