RENCANA PEMBELAJARAN 14
Serangan Dari Utara!
“Kawanan belalang juta telah bangkit untuk menyerang negeriku.”—YL. 1:6.
LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang
PENGENALAN *
1. Bagaimanakah Saudara Russell dan rakan-rakannya mengkaji Bible? Mengapakah cara yang digunakan mereka berkesan?
LEBIH daripada seratus tahun yang lalu, Saudara C. T. Russell dan sekumpulan kecil pelajar Bible mula mengadakan pertemuan untuk mengkaji Firman Tuhan. Mereka ingin mengetahui ajaran Bible tentang Tuhan Yehuwa, Yesus Kristus, keadaan orang mati, dan tebusan. Cara mereka membuat kajian mudah sahaja. Seorang akan menanyakan soalan, dan semua orang akan mengkaji setiap ayat Bible yang berkaitan. Kemudian, mereka mencatatkan hasil kajian mereka. Dengan adanya berkat Yehuwa, saudara-saudara Kristian itu telah menemui banyak kebenaran penting yang kita hargai sampai hari ini.
2. Apakah yang mungkin menyebabkan kita membuat kesimpulan yang salah semasa memahami nubuat Bible?
2 Pelajar-pelajar Bible itu kemudiannya mendapati bahawa memahami nubuat Bible jauh lebih susah daripada memahami ajaran asas Bible. Mengapa? Salah satu sebab ialah maksud suatu nubuat biasanya menjadi jelas semasa atau selepas nubuat itu menjadi kenyataan. Namun, terdapat satu lagi sebab: Untuk memahami suatu nubuat dengan tepat, kita perlu melihat konteks nubuat itu. Jika kita hanya bertumpu kepada satu bahagian nubuat, kita mungkin membuat kesimpulan yang salah. Nampaknya, itulah yang terjadi semasa kita mengkaji satu nubuat dalam buku Yoel bertahun-tahun yang lalu. Mari kita meneliti semula nubuat itu dan melihat sebabnya pemahaman kita perlu diubah.
3-4. Selama ini, apakah yang kita fahami tentang nubuat di Yoel 2:7-9?
3 Baca Yoel 2:7-9. Yoel menubuatkan bahawa kawanan belalang akan menyerbu negeri Israel. Belalang itu mempunyai gigi seperti gigi singa dan tulang rahang seperti tulang rahang singa, dan akan melahap semua tanaman! (Yl. 1:4, 6) Selama bertahun-tahun, kita memahami bahawa nubuat itu merujuk kepada umat Yehuwa. Seperti kawanan belalang yang tidak dapat dihentikan, mereka menginjil dengan bersungguh-sungguh. Kita juga faham bahawa kegiatan mereka telah menjadi seperti tulah kepada orang yang dikuasai para pemimpin agama. *
4 Jika kita hanya bertumpu kepada Yoel 2:7-9, nampaknya penjelasan tadi memang tepat. Tetapi jika kita melihat konteksnya, kita akan mendapati bahawa pemahaman kita perlu diubah. Mengapa? Mari kita lihat empat sebab.
EMPAT SEBAB PEMAHAMAN KITA PERLU DIUBAH
5-6. Apakah soalan yang timbul semasa kita meneliti (a) Yoel 2:20? (b) Yoel 2:25?
5 Untuk sebab yang pertama, perhatikan janji Yehuwa yang berikut: “Kawanan belalang juta yang datang dari utara akan Aku jauhkan daripada kamu.” (Yl. 2:20) Jika kawanan belalang itu melambangkan Saksi-Saksi Yehuwa yang mentaati perintah Yesus untuk menginjil dan menjadikan orang muridnya, mengapakah Yehuwa berjanji untuk mengusir mereka? (Yeh. 33:7-9; Mat. 28:19, 20) Jelaslah, apa yang akan diusir oleh Yehuwa bukanlah hamba-hamba-Nya yang setia, tetapi sesuatu atau seseorang yang menyerang umat-Nya.
6 Sebab kedua terdapat di Yoel 2:25. Yehuwa berfirman, “Kawanan belalang juta yang telah Aku utus ke tengah-tengah kamu bagaikan pasukan tentera yang besar. Meskipun hasil tanaman kamu dimakan oleh kawanan belalang pelahap, belalang bersayap, belalang muda, dan belalang pemusnah, Aku akan mengganti segala kerugian yang kamu alami pada tahun-tahun tersebut.” Perhatikan bahawa Yehuwa berjanji untuk “mengganti segala kerugian” yang disebabkan oleh kawanan belalang. Jika kawanan belalang itu melambangkan para penginjil, maksudnya berita yang dikhabarkan oleh mereka membawa kerugian. Tetapi hakikatnya, berita yang disampaikan mereka dapat mendorong orang jahat untuk bertaubat. (Yeh. 33:8, 19) Jadi berita itu tidak membawa kerugian tetapi merupakan berkat!
7. Bagaimanakah perkataan “kemudian” di Yoel 2:28, 29 membantu kita memahami nubuat Yoel?
7 Baca Yoel 2:28, 29. Sebab ketiga berkaitan dengan urutan peristiwa dalam nubuat Yoel. Setelah menggambarkan serangan kawanan belalang, Yehuwa berfirman, “Kemudian Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku.” Fikirkan, jika kawanan belalang melambangkan para penginjil, mengapakah Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya selepas mereka selesai memberikan kesaksian? Memandangkan kerja penyebaran sering ditentang dan bahkan diharamkan, mustahil para penginjil dapat terus memberikan kesaksian selama puluhan tahun tanpa bantuan kuasa suci Tuhan.
8. Kawanan belalang yang digambarkan di Wahyu 9:1-11 melambangkan siapa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
8 Baca Wahyu 9:1-11. Perhatikan sebab yang keempat. Sebelum ini, kita memahami bahawa serangan kawanan belalang dalam buku Yoel melambangkan kerja penyebaran, kerana buku Wahyu juga mengandungi satu nubuat tentang kawanan belalang. Kawanan belalang dalam buku Wahyu mempunyai muka seperti muka manusia dan memakai “sesuatu yang kelihatan seperti mahkota emas.” (Why. 9:7) Selama lima bulan, iaitu jangka hayat belalang, kawanan belalang itu menyeksa “orang [musuh Tuhan] yang tidak mempunyai meterai Tuhan pada dahi mereka.” (Why. 9:4, 5) Nubuat dalam buku Wahyu nampaknya menggambarkan hamba-hamba Yehuwa yang terurap. Oleh sebab mereka mengumumkan dengan berani bahawa Tuhan akan menghukum dunia jahat ini, semua orang yang menyokong sistem dunia Syaitan berasa terseksa.
9. Apakah perbezaan besar antara kawanan belalang dalam nubuat Yoel dengan kawanan belalang dalam buku Wahyu?
9 Sekilas pandang, nubuat dalam buku Wahyu memang nampaknya sama dengan nubuat Yoel. Tetapi terdapat beberapa perbezaan yang besar. Sebagai contoh, dalam nubuat Yoel, kawanan belalang memakan habis semua tanaman. (Yl. 1:4, 6, 7) Tetapi dalam buku Wahyu, kawanan belalang ‘diberitahu supaya tidak merosakkan tanaman di bumi.’ (Why. 9:4) Dalam nubuat Yoel, kawanan belalang datang dari utara. (Yl. 2:20) Tetapi dalam buku Wahyu, Yohanes nampak kawanan belalang keluar daripada jurang yang dalam. (Why. 9:2, 3) Dalam nubuat Yoel, kawanan belalang itu diusir, tetapi dalam buku Wahyu, kawanan belalang itu dibiarkan menghabiskan tugas mereka. Bible tidak menyatakan bahawa Yehuwa murka dengan kawanan belalang dalam buku Wahyu.—Lihat kotak “ Nubuat-Nubuat tentang Belalang—Nampak Sama tetapi Berbeza.”
10. (a) Adakah belalang dalam buku Yoel dan Wahyu melambangkan hal yang sama? (b) Sebutkan satu contoh dalam Bible yang menunjukkan bahawa perkara yang sama dapat melambangkan hal yang berbeza.
Wahyu 5:5, Yesus digelar “singa daripada suku Yehuda,” manakala di 1 Petrus 5:8, Si Iblis digambarkan sebagai seekor “singa yang mengaum.” Setelah meneliti empat sebab tadi, jelaslah bahawa kita perlu mengubah penjelasan kita bagi nubuat Yoel. Jadi, apakah maksud nubuat itu?
10 Melalui perbezaan-perbezaan itu, kita dapat menyimpulkan bahawa dua nubuat tersebut menggambarkan hal yang berbeza. Maksudnya, “belalang” dalam nubuat Yoel tidak sama dengan “belalang” dalam buku Wahyu. Dalam Bible, benda yang sama ada kalanya digunakan untuk melambangkan hal yang berlainan. Contohnya, diAPAKAH MAKSUDNYA?
11. Bagaimanakah Yoel 1:6 dan 2:1, 8, 11 membantu kita memahami siapa yang dilambangkan oleh kawanan belalang?
11 Setelah meneliti konteks nubuat Yoel, kita dapat memahami bahawa nubuat itu menggambarkan serangan tentera. (Yl. 1:6; 2:1, 8, 11) Yehuwa telah berfirman bahawa Dia akan menggunakan satu “pasukan tentera yang besar” (askar Babilon) untuk menghukum orang Israel yang derhaka. (Yl. 2:25) Tentera itu dikatakan “datang dari utara,” sebab orang Babilon akan menyerang negeri Israel dari arah utara. (Yl. 2:20) Yoel menggambarkan tentera itu seperti kawanan belalang yang teratur. Mereka “mara ke depan,” “menyerbu ke dalam kota dan berlari di atas tembok,” dan “memanjat rumah-rumah dan masuk melalui jendela seperti pencuri.” (Yl. 2:8, 9) Dapatkah anda membayangkan keadaannya? Seluruh kota penuh dengan askar. Tiada seorang pun dapat bersembunyi atau melarikan diri daripada pedang askar Babilon!
12. Bagaimanakah nubuat Yoel tentang kawanan belalang menjadi kenyataan?
12 Seperti kawanan belalang, tentera Babilon (atau Kasdim) telah menyerbu kota Yerusalem pada tahun 607 SM. Bible menyatakan, ‘Raja orang Kasdim membunuh pemuda mereka dengan pedang. Raja itu tidak mengasihani orang yang tua dan yang uzur serta pemuda atau gadis. Tuhan menyerahkan semuanya ke dalam tangan raja itu. Raja itu membakar rumah Tuhan yang benar, merobohkan tembok Yerusalem, membakar semua menara yang kukuh, dan menghancurkan segala sesuatu yang berharga.’ (2 Taw. 36:17, 19) Setelah orang Babilon menghanguskan negeri Israel, orang yang melihat keadaannya hanya dapat berkata, “Tanah ini tandus dan tidak didiami manusia dan haiwan. Tanah ini telah diserahkan kepada orang Kasdim.”—Yer. 32:43.
13. Jelaskan maksud Yeremia 16:16, 18.
13 Kira-kira 200 tahun selepas Yoel mencatatkan nubuatnya, Yehuwa menyuruh Yeremia untuk menubuatkan satu lagi butiran tentang serangan tentera Babilon: Mereka akan mencari dan menangkap setiap orang Israel yang berbuat jahat. “‘Aku akan mengutus banyak nelayan,’ firman Yehuwa, ‘dan nelayan-nelayan itu akan menangkap mereka. Selepas itu, Aku akan mengutus banyak pemburu, dan pemburu-pemburu itu akan memburu mereka di setiap gunung dan bukit, serta di celah-celah bukit batu. . . . Aku akan menghukum mereka setimpal dengan dosa dan kesalahan mereka.’” Ya, biarpun orang Israel yang jahat bersembunyi di lautan atau di hutan, mereka tidak dapat melarikan diri daripada askar Babilon.—Yer. 16:16, 18.
PEMULIHAN
14. Bilakah nubuat di Yoel 2:28, 29 menjadi kenyataan?
14 Namun, Yoel juga mempunyai berita baik: Yl. 2:23-26) Pada masa depan akan tibanya waktu apabila ramai orang berpeluang menimba pengetahuan tentang kebenaran. Yehuwa berfirman, “Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang. Anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat . . . Aku juga akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku.” (Yl. 2:28, 29) Namun, Tuhan tidak mencurahkan kuasa suci-Nya sebaik sahaja orang Israel kembali ke tanah air mereka. Nubuat Yoel menjadi kenyataan ratusan tahun kemudian, iaitu pada Pentakosta 33 M. Bagaimanakah kita tahu?
Negeri Israel akan menjadi makmur semula. (15. Menurut Kisah 2:16, 17, apakah perubahan yang dilakukan oleh Petrus semasa memetik Yoel 2:28? Kata-kata Petrus itu menunjukkan apa?
15 Di bawah ilham Tuhan, Petrus mengaitkan Yoel 2:28, 29 dengan mukjizat yang berlaku pada hari Pentakosta. Kira-kira pada jam sembilan pagi, Tuhan mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas sekumpulan orang, lalu mereka mula menggunakan pelbagai bahasa untuk mengisytiharkan “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.” (Kis. 2:11) Namun, adakah anda perhatikan bahawa Petrus telah mengubah satu perkataan semasa dia memetik nubuat Yoel? (Baca Kisah 2:16, 17.) Nubuat Yoel menyatakan, “Tuhan berfirman, ‘Kemudian Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang,’” tetapi di bawah ilham Tuhan, Petrus berkata, “Tuhan berfirman, ‘Pada hari-hari terakhir, Aku akan mencurahkan . . . kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang.’” “Hari-hari terakhir” yang dimaksudkan Petrus merujuk kepada masa sebelum Yerusalem dan Rumah Tuhan dibinasakan pada tahun 70 M. Kata-katanya menunjukkan bahawa masa yang agak panjang telah berlalu sebelum nubuat Yoel menjadi kenyataan.
16. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu kerja penyebaran pada abad pertama dan pada zaman ini?
16 Selepas Tuhan mencurahkan kuasa suci-Nya pada abad pertama, kerja penyebaran mula berkembang maju. Sekitar tahun 61 M, semasa Rasul Paulus menulis suratnya kepada sidang di Kolose, dia menyatakan bahawa berita baik sudah disebarkan “kepada semua ciptaan di bawah langit.” (Kol. 1:23) Pada zaman Paulus, “semua ciptaan” itu merujuk kepada kawasan-kawasan yang dapat dikunjungi oleh Paulus dan orang Kristian yang lain. Dengan adanya bantuan kuasa suci Tuhan, kerja penyebaran telah dilakukan “sampai ke hujung bumi” pada zaman kita!—Kis. 13:47; lihat kotak “ Aku Akan Mencurahkan Kuasa Suci-Ku.”
APAKAH YANG BERUBAH?
17. Apakah yang berubah dalam pemahaman kita tentang nubuat Yoel?
17 Jadi, apakah yang berubah? Kini, kita memahami nubuat di Yoel 2:7-9 dengan lebih tepat. Nubuat itu tidak menggambarkan kerja penyebaran, tetapi menggambarkan bagaimana tentera Babilon menyerang Yerusalem pada tahun 607 SM.
18. Apakah yang tidak berubah bagi umat Yehuwa?
18 Apakah yang tidak berubah? Umat Yehuwa akan terus menggunakan pelbagai cara untuk menginjil di mana-mana sahaja. (Mat. 24:14) Tiada kerajaan manusia yang dapat menghalang kita daripada melaksanakan tugas itu. Dengan adanya berkat Yehuwa, kita menggandakan usaha kita untuk menyebarkan berita baik dengan berani! Semoga kita terus bergantung pada bantuan Yehuwa untuk memahami nubuat Bible, kerana kita yakin bahawa apabila tiba masanya, Dia pasti membimbing kita supaya “memahami seluruh kebenaran.”—Yoh. 16:13.
LAGU 97 Hidup Berpegang pada Firman Tuhan
^ per. 5 Selama bertahun-tahun, kita percaya bahawa nubuat di Yoel bab 1 dan 2 menggambarkan kerja penyebaran kita pada zaman moden. Namun, terdapat empat sebab yang baik untuk mengubah pemahaman kita tentang nubuat tersebut. Apakah sebab-sebab itu?
^ per. 3 Sebagai contoh, lihat rencana “Hikmat Yehuwa Nyata dari Karya Ciptaan” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 April 2009, perenggan 14-16.