Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 14

“Mengikut Jejaknya dengan Teliti”

“Mengikut Jejaknya dengan Teliti”

“Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.”​—1 PTR. 2:21.

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

PENGENALAN *

Yesus telah meninggalkan jejaknya supaya kita dapat mengikutnya dengan teliti (Lihat perenggan 1-2)

1-2. Apakah perumpamaan yang dapat membantu kita memahami kata-kata di 1 Petrus 2:21?

BAYANGKAN anda dan sekumpulan orang sedang berjalan melalui kawasan berbahaya yang diliputi salji. Ketua kumpulan anda yang sangat berpengalaman berjalan di hadapan, dan sambil berjalan, dia meninggalkan jejak kakinya di salji. Jadi, walaupun dia tiba-tiba hilang daripada pandangan anda, anda tidak berasa cemas. Sebaliknya, anda dan ahli-ahli kumpulan anda berusaha untuk mengikut jejaknya dengan teliti.

2 Sebagai orang Kristian sejati, kita seperti sedang berjalan melalui kawasan yang berbahaya, iaitu dunia jahat ini. Namun, Yehuwa telah memberi kita Ketua yang terbaik, iaitu Anak-Nya, Yesus Kristus, supaya kita dapat mengikut jejaknya dengan teliti. (1 Ptr. 2:21) Petrus telah menyamakan Yesus dengan seorang ketua yang berjalan di hadapan kita. Seperti ketua dalam perumpamaan tadi, Yesus telah meninggalkan jejaknya supaya kita dapat mengikutnya. Sekarang, mari kita membincangkan tiga soalan yang berikut: Apakah maksud mengikut jejak Yesus? Mengapakah kita ingin mengikut jejaknya? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

APAKAH MAKSUD MENGIKUT JEJAK YESUS?

3. Apakah maksud mengikut jejak seseorang?

3 Apakah maksud mengikut jejak seseorang? Dalam Bible, perkataan “berjalan” dan “kaki” ada kalanya menggambarkan haluan hidup seseorang. (Kej. 6:9, nota kaki; Ams. 3:23) Jadi, mengikut jejak seseorang bermaksud kita meniru teladannya atau haluan hidupnya.

4. Apakah maksud mengikut jejak Yesus?

4 Jadi, apakah maksud mengikut jejak Yesus? Maksudnya kita meniru teladannya. Dalam ayat tema bagi rencana ini, Rasul Petrus menyebut tentang bagaimana Yesus menjadi teladan yang baik kerana bertabah menghadapi penderitaan. (1 Ptr. 2:18-25) Namun, Yesus juga menjadi teladan bagi kita dalam banyak hal yang lain. Sebenarnya, seluruh kehidupan Yesus, termasuk kata-kata dan perbuatannya, merupakan teladan bagi kita.

5. Dapatkah manusia yang tidak sempurna benar-benar mengikut teladan Yesus? Jelaskan.

5 Sebagai manusia yang tidak sempurna, dapatkah kita benar-benar mengikut teladan Yesus? Ya, sudah pasti. Ingatlah, Petrus menggesa kita untuk “mengikut jejak [Yesus] dengan teliti,” bukannya dengan sempurna. Jadi, jika kita berusaha sedaya upaya untuk mengikut jejak Yesus dengan teliti, kita sedang mematuhi nasihat Rasul Yohanes untuk ‘terus hidup mengikut jejak Yesus.’​—1 Yoh. 2:6.

MENGAPAKAH KITA INGIN MENGIKUT JEJAK YESUS?

6-7. Jika kita mengikut jejak Yesus, mengapakah kita lebih menghampiri Yehuwa?

6 Jika kita mengikut jejak Yesus, kita akan lebih menghampiri Yehuwa. Mengapa? Pertama, Yesus telah memberikan teladan yang terbaik tentang cara hidup yang menyenangkan hati Tuhan. (Yoh. 8:29) Jika kita mengikut jejak Yesus, kita pun dapat menyenangkan hati Yehuwa, dan Dia pasti menghampiri orang yang berusaha untuk menjadi sahabat-Nya.​—Yak. 4:8.

7 Kedua, Yesus meniru teladan Bapanya dengan sempurna. Itulah sebabnya dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yoh. 14:9) Fikirkan bagaimana Yesus mengasihani seorang pesakit kusta, menunjukkan empati kepada seorang wanita yang sakit, dan berbelas kasihan terhadap mereka yang kehilangan orang tersayang. (Mrk. 1:40, 41; 5:25-34; Yoh. 11:33-35) Jika kita meniru sifat-sifat Yesus dan cara dia melayan orang lain, kita juga sedang meniru teladan Yehuwa. Apabila kita meniru teladan Yehuwa dengan semakin baik, kita pun akan semakin menghampiri-Nya.

8. Jika kita mengikut jejak Yesus, bagaimanakah hal ini dapat membantu kita “menakluki” dunia?

8 Jika kita mengikut jejak Yesus, perhatian kita tidak akan disimpangkan oleh dunia jahat ini. Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia berkata, “Aku sudah menakluki dunia.” (Yoh. 16:33) Kata-kata Yesus bermaksud bahawa dia tidak membiarkan fikiran, matlamat, dan tindakan orang di dunia mempengaruhinya. Sebaliknya, Yesus sentiasa ingat akan tujuan dia diutus ke bumi, iaitu untuk menyucikan nama Yehuwa. Bagaimana pula dengan kita? Terdapat banyak hal di dunia yang dapat menyimpangkan perhatian kita. Namun, jika kita mengikut jejak Yesus dan bertumpu kepada kehendak Yehuwa, kita juga dapat “menakluki” dunia.​—1 Yoh. 5:5.

9. Apakah yang mesti kita lakukan untuk tetap berada pada jalan yang menuju kehidupan kekal?

9 Jika kita mengikut jejak Yesus, kita akan mendapat kehidupan kekal. Semasa seorang lelaki muda yang kaya menanya Yesus apa yang harus dilakukannya supaya diberi kehidupan kekal, Yesus menjawab, “Jadilah pengikutku.” (Mat. 19:16-21) Kepada orang Yahudi yang tidak percaya bahawa dia ialah Kristus, Yesus berkata, “Biri-biriku . . . mengikut aku. Aku memberi mereka kehidupan kekal.” (Yoh. 10:24-29) Semasa Nikodemus, seorang ahli Majlis Orang Yahudi, ingin mengetahui ajaran Yesus dengan lebih lanjut, Yesus memberitahunya bahawa “setiap orang yang beriman kepadanya akan mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Untuk beriman kepada Yesus, kita perlu mematuhi ajarannya dan meniru teladannya. Dengan berbuat demikian, kita akan tetap berada pada jalan yang menuju kehidupan kekal.​—Mat. 7:14.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENGIKUT JEJAK YESUS DENGAN TELITI?

10. Bagaimanakah kita dapat mengenal Yesus dengan semakin baik? (Yohanes 17:3)

10 Untuk mengikut jejak Yesus dengan teliti, kita mesti mengenalnya terlebih dahulu. (Baca Yohanes 17:3.) Kita memerlukan usaha yang berterusan supaya dapat mengenal Yesus dengan semakin baik. Maksudnya, kita perlu terus belajar tentang sifat-sifatnya, pemikirannya, dan standardnya. Ya, tidak kira berapa lama kita sudah mengetahui kebenaran, kita mesti terus berusaha untuk mengenal Yehuwa dan Anak-Nya.

11. Apakah yang terkandung dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes?

11 Untuk membantu kita mengenal Anak-Nya, Yehuwa memastikan agar Firman-Nya mengandungi buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Keempat-empat buku ini mengisahkan kehidupan dan aktiviti penyebaran Yesus, dan mengandungi catatan tentang kata-kata, perbuatan, dan perasaannya. Melalui catatan ini, kita seperti dapat melihat jejak Yesus dan memperhatikan teladannya dengan cermat. (Ibr. 12:3) Jika kita mengkaji buku-buku ini, kita dapat mengenal Yesus dengan semakin baik. Hasilnya, kita akan dapat mengikut jejaknya dengan teliti.

12. Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat yang sepenuhnya daripada kisah hidup Yesus?

12 Untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada kisah hidup Yesus, sekadar membacanya tidak mencukupi. Kita juga perlu meluangkan masa untuk mengkaji dan merenungkan catatan-catatan itu dengan teliti. (Bandingkan Yosua 1:8.) Sekarang, mari kita membincangkan dua cadangan yang dapat membantu kita merenungkan kisah hidup Yesus dan menerapkan apa yang kita pelajari.

13. Apakah yang dapat anda lakukan untuk menghayati kisah hidup Yesus?

13 Pertama, hayatilah kisah itu. Gunakan daya imaginasi untuk melihat, mendengar, dan merasai, apa yang berlaku dalam sebuah kisah. Untuk berbuat demikian, lakukanlah penyelidikan dengan menggunakan bahan bacaan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa. Selidikilah konteks, iaitu peristiwa yang berlaku sebelum atau selepas kisah yang sedang anda kaji. Selain itu, carilah maklumat tentang tempat atau orang dalam kisah itu. Anda juga dapat membandingkan catatan Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, bagi kisah yang sedang anda kaji, supaya anda memperoleh butiran yang lebih lengkap.

14-15. Bagaimanakah kita dapat menerapkan pengajaran daripada kisah hidup Yesus?

14 Kedua, terapkan apa yang anda pelajari dalam kehidupan anda. (Yoh. 13:17) Setelah mengkaji kisah hidup Yesus, tanyalah diri, “Adakah apa-apa pengajaran yang dapat saya terapkan dalam kehidupan saya? Bagaimanakah saya dapat menggunakan kisah ini untuk membantu seseorang?” Cuba fikirkan seseorang yang dapat anda bantu. Kemudian pada masa yang sesuai, kongsilah pengajaran yang anda peroleh dengannya dalam cara yang penuh kasih dan tidak menyinggung perasaannya.

15 Sekarang, mari kita menggunakan dua cadangan itu untuk mengkaji kisah tentang balu miskin yang diperhatikan oleh Yesus di Rumah Tuhan.

BALU MISKIN DI RUMAH TUHAN

16. Gambarkan kisah yang tercatat di Markus 12:41.

16 Hayati kisah itu. (Baca Markus 12:41.) Bayangkan apa yang terjadi pada 11 Nisan tahun 33 M, iaitu kurang daripada seminggu sebelum kematian Yesus. Yesus telah menghabiskan banyak masa untuk mengajar orang di Rumah Tuhan, tetapi dia menghadapi banyak cabaran daripada para penentangnya. Ada antara mereka yang mempersoalkan kewibawaannya, dan yang lain menanya banyak soalan untuk memerangkapnya. (Mrk. 11:27-33; 12:13-34) Selepas mengajar orang ramai, Yesus beredar ke kawasan lain di Rumah Tuhan. Barangkali dia pergi ke kawasan yang dipanggil Halaman Kaum Wanita. Di situ terdapat peti-peti sumbangan yang disusun berdekatan dengan dinding halaman. Kemudian, Yesus duduk dan mula memperhatikan orang yang memasukkan wang ke dalam peti sumbangan. Dia nampak banyak orang kaya memasukkan banyak wang, dan dia mungkin dapat mendengar bunyi duit syiling yang jatuh ke dalam peti sumbangan.

17. Apakah yang dilakukan oleh balu miskin yang disebut di Markus 12:42?

17 Baca Markus 12:42. Tidak lama kemudian, Yesus nampak seorang wanita yang datang untuk memberikan sumbangan. Wanita itu “seorang balu miskin.” (Luk. 21:2) Hidupnya sangat susah dan dia mungkin tidak mempunyai barang keperluan asas yang mencukupi. Tetapi dia masih memasukkan dua keping wang syiling yang kecil. Semasa wang itu dimasukkan ke dalam peti sumbangan, kemungkinan besar tiada bunyi yang kedengaran. Namun, Yesus tahu wanita itu telah memasukkan dua lepton, iaitu mata wang yang paling kecil nilainya pada masa itu. Sebenarnya, wang itu tidak cukup untuk membeli seekor burung pipit, padahal burung pipit adalah antara burung termurah yang dijual sebagai makanan pada masa itu.

18. Menurut Markus 12:43, 44, apakah yang dikatakan Yesus tentang sumbangan balu itu?

18 Baca Markus 12:43, 44. Yesus sangat kagum dengan perbuatan balu ini. Jadi, dia memanggil murid-muridnya dan berkata, “Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang.” Kemudian dia menjelaskan, “Semua orang lain [terutamanya orang kaya] memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.” Apabila balu yang setia ini memberikan semua wang yang dimilikinya, dia menunjukkan keyakinannya bahawa Yehuwa pasti menjaganya.—Mzm. 26:3.

Seperti Yesus, pujilah mereka yang sudah berusaha sedaya upaya untuk memberi Yehuwa yang terbaik (Lihat perenggan 19-20) *

19. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus tentang balu miskin itu?

19 Terapkan pengajarannya. Tanyalah diri, “Apakah yang dapat saya pelajari daripada kata-kata Yesus tentang balu miskin itu?” Fikirkan balu itu. Sudah pasti dia mahu memberikan lebih banyak sumbangan kepada Yehuwa. Namun, dia sudah memberi apa yang mampu diberinya, dan itulah pemberiannya yang terbaik untuk Yehuwa. Yesus tahu bahawa sumbangan balu itu sangat berharga di mata Bapanya. Jadi inilah pengajaran yang penting bagi kita: Yehuwa sangat gembira jika kita memberi-Nya yang terbaik, iaitu berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa. (Mat. 22:37; Kol. 3:23) Tidak kira berapa banyak masa dan tenaga yang dapat kita curahkan untuk menyembah Yehuwa, contohnya untuk menginjil dan menghadiri perjumpaan, kita menyenangkan hati Yehuwa jika kita sudah berusaha dengan sedaya upaya.

20. Bagaimanakah anda dapat menggunakan kisah tentang balu miskin itu untuk membantu orang lain? Berikan contoh.

20 Bagaimanakah anda dapat menggunakan kisah tentang balu miskin itu untuk membantu orang lain? Cuba fikirkan individu tertentu yang mungkin perlu diingatkan bahawa Yehuwa senang hati dengan usaha mereka. Misalnya, adakah anda mengenali seorang saudari tua yang sakit dan lemah, yang berasa bersalah atau tidak berguna kerana dia tidak dapat bergiat dalam kerja penyebaran seperti dahulu? Atau adakah anda mengenali seorang saudara yang menghidap penyakit kronik, yang berasa tawar hati kerana tidak dapat menghadiri semua perjumpaan? Bantulah mereka dengan mengucapkan “kata-kata baik yang dapat menguatkan” mereka. (Ef. 4:29) Kongsilah dengan mereka pengajaran yang kita peroleh daripada kisah tentang balu miskin itu. Dengan itu, mereka akan diyakinkan bahawa biarpun kebolehan mereka nampaknya sangat terhad, Yehuwa berasa senang hati kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya untuk memberi-Nya yang terbaik. (Ams. 15:23; 1 Tes. 5:11) Apabila anda memberikan galakan dan pujian dalam cara sebegini, anda sedang mengikut jejak Yesus dengan teliti.

21. Apakah tekad anda?

21 Tidakkah kita bersyukur kerana catatan Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, mengandungi begitu banyak butiran tentang kehidupan Yesus? Dengan meneliti catatan-catatan itu, kita dapat meniru teladan Yesus dan mengikut jejaknya dengan teliti. Jadi, semasa pembelajaran peribadi atau Penyembahan Keluarga anda yang akan datang, cubalah mengkaji kehidupan Yesus. Ingatlah, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembelajaran kita, kita perlu menghayati kisah hidup Yesus dan menerapkan pengajarannya dalam kehidupan kita. Namun, selain meniru apa yang dilakukan oleh Yesus, kita juga perlu mendengar apa yang dikatakannya. Rencana seterusnya akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada kata-kata terakhir Yesus sebagai seorang manusia.

LAGU 15 Sambutlah Putera Yehuwa!

^ per. 5 Sebagai orang Kristian sejati, kita perlu mengikut jejak Yesus dengan teliti. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga soalan berikut: Apakah maksud mengikut jejak Yesus? Mengapakah kita harus mengikut jejaknya dengan teliti? Bagaimanakah kita dapat melakukannya?

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Setelah merenungkan kata-kata Yesus tentang balu miskin itu, seorang saudari memuji seorang saudari yang tua kerana berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.