Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Sejurus sebelum kematiannya, mengapakah Yesus memetik kata-kata Daud di Mazmur 22:1?

Sebelum Yesus mati, dia telah mengucapkan kata-kata di Matius 27:46, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?” Yesus mengucapkan kata-kata ini untuk memenuhi nubuat Daud yang tercatat di Mazmur 22:1. (Mrk. 15:34) Namun dia tidak memetik kata-kata itu kerana berasa kecewa atau kerana imannya menjadi lemah. Sebaliknya, Yesus memahami sepenuhnya mengapa dia harus mati, dan dia rela mengorbankan nyawanya. (Mat. 16:21; 20:28) Yesus juga tahu bahawa semasa dia mati, Yehuwa perlu berhenti melindunginya. (Ayb. 1:10) Perbuatan Yehuwa akan membolehkan Yesus untuk membuktikan bahawa dia akan tetap setia biarpun dia harus menderita sampai mati.​—Mrk. 14:35, 36.

Jadi, mengapakah Yesus memetik kata-kata di mazmur ini? Kita tidak pasti. Namun mari kita lihat beberapa kemungkinan. *

Yesus mungkin ingin menegaskan bahawa Yehuwa tidak akan melindunginya daripada kematian. Untuk membayar tebusan, Yesus perlu mengorbankan nyawanya sebagai manusia dan “merasai kematian bagi setiap orang.” (Ibr. 2:9) Jadi, Yehuwa tidak boleh melindunginya daripada kematian.

Yesus mungkin ingin menghalakan perhatian pendengarnya kepada semua kata-kata di Mazmur 22. Pada zaman Yesus, orang Yahudi biasanya menghafal banyak mazmur. Jadi, apabila mereka mendengar satu ayat daripada mana-mana mazmur, mereka akan teringat seluruh mazmur itu. Jadi dengan memetik kata-kata di Mazmur 22:1, Yesus mungkin ingin mengingatkan para pengikutnya yang berbangsa Yahudi tentang seluruh Mazmur 22. Mazmur itu mengandungi banyak nubuat tentang apa yang akan berlaku semasa dia dihukum mati. (Mzm. 22:7, 8, 15, 16, 18, 24) Selain itu, bahagian akhir mazmur itu mengandungi pujian kepada Yehuwa dan gambaran tentang bagaimana Dia akan memerintah seluruh bumi.​—Mzm. 22:27-31.

Yesus mungkin ingin mengatakan bahawa dia tidak bersalah. Sebelum Yesus dihukum mati, dia diadili dan didapati bersalah kerana menghina Tuhan. (Mat. 26:65, 66) Namun, perbicaraannya tidak sah kerana diadakan secara tergesa-gesa pada lewat malam dan tidak mengikut undang-undang. (Mat. 26:59; Mrk. 14:56-59) Jadi, dengan memetik kata-kata di Mazmur 22:1, Yesus seolah-olah berkata, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku padahal aku tidak bersalah?”

Yesus mungkin mahu mengingatkan orang lain tentang Daud, iaitu penulis Mazmur 22. Meskipun Daud mengalami penderitaan, hal itu tidak bermaksud bahawa dia kehilangan perkenan Yehuwa. Adakah Daud berkata, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?” kerana imannya lemah? Tidak. Selepas menanya soalan itu, Daud meluahkan keyakinannya bahawa Yehuwa pasti menyelamatkan umat-Nya, dan Yehuwa juga terus memberkati Daud. (Mzm. 22:23, 24, 27) Begitu juga, walaupun Yesus, iaitu “Anak Daud,” perlu menderita pada tiang seksaan, hal ini tidak bermaksud bahawa dia kehilangan perkenan Yehuwa.​—Mat. 21:9.

Yesus mungkin meluahkan rasa sedihnya kerana Yehuwa terpaksa berhenti melindunginya supaya dia dapat membuktikan kesetiaannya dengan sepenuhnya. Sebelum pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa tidak pernah menghendaki Anak-Nya menderita dan mati. Namun, untuk menjawab isu yang dibangkitkan oleh Syaitan dan untuk menyediakan tebusan, Yesus perlu menderita dan mati walaupun dia tidak bersalah. (Mrk. 8:31; 1 Ptr. 2:21-24) Jadi, buat kali pertama dalam kehidupan Yesus, Yehuwa terpaksa berhenti melindunginya buat seketika.

Yesus mungkin ingin membantu para pengikutnya untuk memikirkan sebabnya Yehuwa membiarkannya mati pada tiang seksaan. * Yesus tahu bahawa cara dia mati sebagai seorang penjenayah akan menyebabkan ramai orang tersandung. (1 Kor. 1:23) Namun, jika para pengikutnya bertumpu kepada sebabnya Yesus perlu mati, mereka akan memandangnya sebagai penyelamat dan bukannya sebagai penjenayah.​—Gal. 3:13, 14.

Tidak kira apa sebabnya Yesus memetik kata-kata di Mazmur 22:1, dia tahu bahawa apa yang berlaku kepadanya merupakan sebahagian daripada kehendak Yehuwa baginya. Tidak lama selepas memetik kata-kata itu, Yesus berseru, “Sudah selesai!” (Yoh. 19:30; Luk. 22:37) Ya, oleh sebab Yehuwa berhenti melindungi Yesus buat seketika, Yesus dapat menyelesaikan segala yang perlu dilaksanakannya di bumi dan memenuhi segala yang tertulis tentangnya “dalam Hukum Musa, Ajaran Para Nabi, dan Mazmur.”​—Luk. 24:44.

^ per. 2 Lihat juga perenggan 9 dan 10 dalam rencana “Apa yang Kita Pelajari daripada Kata-Kata Terakhir Yesus” dalam terbitan ini.

^ per. 4 Semasa Yesus di bumi, ada kalanya dia mengatakan atau menanyakan sesuatu yang tidak semestinya mencerminkan perasaannya. Dia berbuat demikian supaya memberi peluang kepada pengikutnya untuk meluahkan pendapat mereka.​—Mrk. 7:24-27; Yoh. 6:1-5; lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Oktober 2010, ms. 4-5.