Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 16

Teruslah Menghargai Tebusan

Teruslah Menghargai Tebusan

Anak Manusia datang untuk menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.’​MRK. 10:45.

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

PENGENALAN *

1-2. Apakah itu tebusan? Mengapakah kita memerlukan tebusan?

SEMASA Adam melanggar perintah Tuhan, dia kehilangan peluang untuk hidup selama-lamanya. Oleh sebab Adam sengaja berdosa, dia tidak boleh dimaafkan dan patut dihukum mati. Bagaimana pula dengan keturunan Adam? Mereka belum dilahirkan semasa dia berdosa, tetapi mereka turut kehilangan harapan untuk hidup selama-lamanya. (Rm. 5:12, 14) Dapatkah mereka diselamatkan? Ya! Tidak lama selepas Adam berdosa, Yehuwa menyingkapkan secara beransur-ansur bagaimana Dia akan menyelamatkan jutaan keturunan Adam daripada dosa dan kematian. (Kej. 3:15) Yehuwa menyatakan bahawa pada masa yang ditentukan-Nya, Dia akan mengutus Anak-Nya dari syurga untuk “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”​—Mrk. 10:45; Yoh. 6:51.

2 Apakah itu tebusan? Dalam Kitab Yunani Kristian, tebusan ialah harga yang dibayar oleh Yesus untuk membeli semula apa yang dihilangkan oleh Adam. (1 Kor. 15:22) Mengapakah kita memerlukan tebusan? Hukum Yehuwa yang adil menyatakan bahawa nyawa harus diganti dengan nyawa. (Kel. 21:23, 24) Adam telah kehilangan nyawanya yang sempurna. Jadi, untuk menggantikan apa yang dihilangkan oleh Adam, Yesus telah mengorbankan nyawanya yang sempurna sebagai manusia. (Rm. 5:17) Dengan berbuat demikian, Yesus menjadi “Bapa Kekal” kepada semua orang yang beriman kepada tebusan.​—Yes. 9:6; Rm. 3:23, 24.

3. Menurut Yohanes 14:31 dan 15:13, mengapakah Yesus rela mengorbankan nyawanya yang sempurna?

3 Yesus rela mengorbankan nyawanya kerana dia sangat mengasihi Bapanya dan kita. (Baca Yohanes 14:31; 15:13.) Kasih itu mendorong Yesus untuk tetap setia sampai mati dan melakukan kehendak Bapanya. Oleh sebab Yesus begitu setia, tujuan asal Yehuwa bagi manusia dan bumi dapat dilaksanakan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa Tuhan membiarkan Yesus menderita sebelum dia mati. Kita juga akan mengkaji teladan seorang penulis Bible yang sangat menghargai korban tebusan. Selepas itu, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai korban tebusan dan cara untuk memperdalam penghargaan kita terhadap kurniaan ini.

MENGAPAKAH YESUS PERLU MENDERITA?

Fikirkan segala penderitaan yang dialami Yesus untuk menyediakan tebusan bagi kita! (Lihat perenggan 4)

4. Gambarkan apa yang berlaku kepada Yesus pada hari dia dibunuh.

4 Bayangkan apa yang berlaku kepada Yesus pada hari dia dibunuh. Walaupun dia dapat meminta beribu-ribu malaikat untuk menyelamatkannya, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia membiarkan askar-askar Roma menangkapnya. Mereka memukulnya tanpa belas kasihan dan menyebatnya dengan cambuk sehingga tubuhnya penuh dengan luka yang berdarah. (Mat. 26:52-54; Yoh. 18:3; 19:1) Kemudian, mereka meletakkan sebatang tiang yang berat pada belakangnya yang masih berdarah, lalu menyuruhnya mengangkat tiang itu ke tempat dia akan dihukum mati. Namun, tidak lama kemudian, Yesus tidak larat untuk mengangkat tiang itu lagi. Jadi, mereka memaksa seorang lelaki untuk menolong Yesus mengangkat tiang itu. (Mat. 27:32) Setibanya di tempat dia akan dihukum mati, tangan dan kaki Yesus dipakukan pada tiang itu. Kemudian, semasa tiang itu ditegakkan, berat badan Yesus menyebabkan luka pada tangan dan kakinya bertambah besar. Semasa melihat keadaannya, sahabat-sahabat dan ibu Yesus berasa sedih dan pilu, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejeknya. (Luk. 23:32-38; Yoh. 19:25) Setelah menderita selama berjam-jam, jantung dan peparu Yesus menjadi semakin lemah, lalu dia berasa semakin susah untuk bernafas. Yesus tahu bahawa dia sudah tetap setia sampai akhir. Maka, dengan nafasnya yang terakhir, dia mengucapkan doa yang terakhir kepada Yehuwa, menundukkan kepalanya, lalu mati. (Mrk. 15:37; Luk. 23:46; Yoh. 10:17, 18; 19:30) Ya, sebelum dia mati, Yesus telah dihina dan diseksa dengan kejam sekali!

5. Apakah yang membuat Yesus paling menderita?

5 Namun, yang membuat Yesus paling menderita bukanlah cara dia dihukum mati tetapi tuduhan yang menyebabkannya dihukum mati. Mengapa? Yesus sangat mengasihi Yehuwa, tetapi dia difitnah menghina Tuhan. (Mat. 26:64-66) Oleh itu, semasa Yesus terfikir bahawa dia akan dihukum mati sebagai orang yang mengutuk Tuhan, hati Yesus sangat terseksa sehingga dia merayu kepada Bapanya agar dia tidak perlu menanggung tuduhan itu. (Mat. 26:38, 39, 42) Jadi, mengapakah Yehuwa membiarkan Anak kesayangan-Nya menderita dan mati? Mari kita memperhatikan tiga sebab.

6. Mengapakah Yesus perlu digantung pada tiang seksaan?

6 Pertama, Yesus harus digantung pada tiang untuk membebaskan orang Yahudi daripada satu kutukan. (Gal. 3:10, 13) Mereka telah berjanji untuk mematuhi Hukum Tuhan tetapi gagal melakukannya. Jadi, selain mewarisi dosa daripada Adam, mereka juga dikutuk oleh Tuhan. (Rm. 5:12) Menurut Hukum Tuhan, seseorang yang melakukan kesalahan besar harus dihukum mati, dan ada kalanya mayat orang itu akan digantung pada tiang. * Hukum Tuhan juga menyatakan bahawa orang yang digantung pada tiang dikutuk oleh Tuhan. (Ul. 21:22, 23; 27:26) Jadi, semasa Yesus digantung pada tiang, dia telah menanggung kutukan yang sepatutnya ditanggung oleh orang Yahudi. Cara Yesus dihukum mati telah membebaskan orang Yahudi daripada kutukan Tuhan dan membolehkan orang Yahudi yang beriman untuk meraih manfaat daripada korban tebusan.

7. Apakah sebab kedua Tuhan mengizinkan Anak-Nya menderita?

7 Kedua, Yehuwa mengizinkan Anak-Nya menderita kerana Dia ingin melatih Yesus untuk menjadi Imam Agung kita. Semasa Yesus menghadapi cubaan yang berat di bumi, dia berasa begitu tertekan sehingga dia memohon bantuan Tuhan “dengan seruan dan tangisan.” Jadi, Yesus tahu betapa susahnya untuk seseorang mematuhi Tuhan di bawah cubaan yang berat. Oleh itu, Yesus memahami keperluan kita dan dapat membantu kita semasa kita diuji. Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa telah melantik seorang Imam Agung yang berbelas kasihan, yang “dapat bersimpati terhadap kelemahan kita”?​—Ibr. 2:17, 18; 4:14-16; 5:7-10.

8. Apakah sebab ketiga Tuhan mengizinkan Yesus menderita?

8 Ketiga, Yehuwa mengizinkan Yesus diuji dengan berat untuk menjawab satu soalan yang penting: Adakah manusia dapat tetap setia kepada Tuhan meskipun dilanda cubaan yang berat? Syaitan mendakwa bahawa semua manusia menyembah Tuhan demi kepentingan diri, dan dia percaya bahawa mereka adalah seperti Adam yang tidak benar-benar mengasihi Yehuwa. (Ayb. 1:9-11; 2:4, 5) Namun, Yehuwa yakin bahawa Anak-Nya akan tetap setia. Jadi, Dia mengizinkan Yesus mengalami ujian yang berat sekali. Yesus telah tetap setia sampai mati dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta.

SEORANG PENULIS BIBLE YANG SANGAT MENGHARGAI TEBUSAN

9. Apakah teladan baik Rasul Yohanes?

9 Ajaran tentang tebusan telah menguatkan iman banyak orang Kristian. Hasilnya, mereka dapat terus menginjil dan menghadapi pelbagai cubaan dengan tabah seumur hidup mereka. Fikirkan contoh Rasul Yohanes. Selama lebih daripada 60 tahun, dia menyebarkan kebenaran tentang Kristus dan tebusan. Semasa dia berumur hampir 100 tahun, kerajaan Roma menganggapnya berbahaya lalu memenjarakannya di Pulau Patmos. Apakah kesalahan Yohanes? Dia “bercakap tentang Tuhan dan memberikan kesaksian tentang Yesus.” (Why. 1:9) Tidakkah kita kagum dengan iman dan ketabahannya?

10. Bagaimanakah surat-surat Yohanes menunjukkan bahawa dia menghargai tebusan?

10 Surat-surat Yohanes menunjukkan bahawa dia amat mengasihi Yesus dan menghargai tebusan. Dia telah menyebut tentang tebusan atau manfaat yang dapat diraih menerusi tebusan lebih daripada 100 kali. Misalnya dia menulis, “Jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus, yang ada bersama Bapa.” (1 Yoh. 2:1, 2) Yohanes juga menekankan pentingnya “memberikan kesaksian tentang Yesus.” (Why. 19:10) Jelaslah, Yohanes amat menghargai tebusan. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian juga?

TUNJUKKAN BAHAWA ANDA MENGHARGAI TEBUSAN

Jika kita benar-benar menghargai tebusan, kita akan melawan godaan untuk berdosa (Lihat perenggan 11) *

11. Apakah yang dapat membantu kita melawan godaan?

11 Melawan godaan untuk berbuat dosa. Jika kita benar-benar menghargai korban tebusan, kita tidak akan berfikir, “Saya tidak perlu berusaha melawan godaan. Saya masih boleh melakukan dosa dan selepas itu saya akan minta pengampunan.” Sebaliknya, semasa digoda untuk berdosa, kita seharusnya berfikir, “Yehuwa dan Yesus telah membuat banyak pengorbanan untuk saya. Bagaimana mungkin saya melakukan dosa ini?” Kita juga boleh memohon kekuatan daripada Yehuwa dan merayu kepada-Nya supaya tidak membiarkan kita “terjerat oleh godaan.”​—Mat. 6:13.

12. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat di 1 Yohanes 3:16-18?

12 Mengasihi saudara saudari anda. Dengan menunjukkan kasih sedemikian, kita juga menunjukkan bahawa kita menghargai korban tebusan. Mengapa? Yesus telah mengorbankan nyawanya bukan sahaja untuk kita, tetapi juga untuk saudara saudari kita. Jadi, mereka pun sangat berharga bagi Yesus. (Baca 1 Yohanes 3:16-18.) Kita menunjukkan kasih kepada saudara saudari menerusi cara kita melayan mereka. (Ef. 4:29, 31–5:2) Sebagai contoh, kita akan membantu mereka semasa mereka sakit atau ditimpa cubaan, seperti bencana alam. Namun, apakah yang harus kita lakukan jika mereka menyinggung perasaan kita?

13. Mengapakah kita harus rela mengampuni?

13 Adakah anda berasa susah untuk mengampuni rakan seiman anda? (Im. 19:18) Jika ya, ikutlah nasihat ini: “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati, biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.” (Kol. 3:13) Ingatlah, setiap kali kita mengampuni saudara atau saudari kita, kita sedang menunjukkan kepada Bapa kita yang di syurga bahawa kita benar-benar menghargai tebusan. Apakah yang dapat kita lakukan supaya penghargaan kita terhadap kurniaan ini bertambah dalam?

MEMPERDALAM PENGHARGAAN ANDA TERHADAP TEBUSAN

14. Apakah salah satu cara kita dapat memperdalam penghargaan kita terhadap tebusan?

14 Berterima kasih kepada Yehuwa untuk korban tebusan. Joanna, seorang saudari dari India yang berumur 83 tahun, berkata, “Saya rasa sangat penting untuk menyebut tentang korban tebusan setiap hari dalam doa saya dan mengucapkan terima kasih kepada Yehuwa untuk tebusan.” Semasa kita berdoa secara peribadi, kita juga boleh menyebut tentang kesalahan yang kita lakukan dalam sehari secara spesifik dan memohon Yehuwa untuk mengampuni kita. Sudah tentu, jika kita melakukan kesalahan yang serius, kita perlu meminta bantuan para penatua. Mereka akan mendengar kita dan memberikan nasihat yang pengasih daripada Bible. Mereka juga akan berdoa bersama kita dan meminta Yehuwa untuk mengampuni kita, supaya kita dapat mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa lagi.​—Yak. 5:14-16.

15. Mengapakah kita harus meluangkan masa untuk mengkaji dan merenungkan tebusan?

15 Merenungkan tebusan. Rajamani, seorang saudari yang berumur 73 tahun, berkata, “Semasa saya membaca tentang penderitaan Yesus, air mata saya mula bergenang.” Semasa anda memikirkan apa yang dilalui oleh Anak Tuhan, hati anda juga mungkin berasa sebak. Namun, semakin kerap anda merenungkan pengorbanan Yesus, semakin mendalam kasih anda kepada Yesus dan Bapanya. Jadi, dapatkah anda menjadikan tebusan sebagai topik bagi projek pembelajaran anda?

Dengan menggunakan satu jamuan yang ringkas, Yesus mengajar murid-muridnya cara untuk memperingati pengorbanannya (Lihat perenggan 16)

16. Apakah manfaatnya jika kita mengajar orang lain tentang tebusan? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

16 Mengajar orang lain tentang tebusan. Setiap kali kita memberitahu orang lain tentang tebusan, penghargaan kita terhadap tebusan pun akan bertambah. Kita mempunyai banyak bahan bacaan yang berguna untuk mengajar orang lain sebabnya Yesus perlu mati demi kita. Misalnya, kita dapat menggunakan brosur Berita Baik daripada Tuhan!, pelajaran 4, yang bertajuk, “Siapakah Yesus Kristus?” Kita juga dapat menggunakan buku Apakah yang Diajarkan Bible?, bab 5, yang bertajuk, “Tebusan—Kurniaan Terbesar daripada Tuhan.” Selain itu, setiap tahun kita dapat memperdalam penghargaan kita terhadap tebusan dengan menghadiri Peringatan kematian Yesus dan dengan menjemput orang lain untuk menghadirinya. Sesungguhnya, Yehuwa telah memberi kita penghormatan yang besar untuk mengajar orang lain tentang Anak-Nya.

17. Mengapakah tebusan merupakan kurniaan terbesar daripada Tuhan kepada manusia?

17 Kita memang mempunyai sebab yang baik untuk memupuk dan memperdalam penghargaan kita terhadap tebusan. Kerana tebusan, kita dapat menjadi sahabat rapat Yehuwa meskipun kita tidak sempurna. Kerana tebusan, segala perbuatan Iblis akan dihancurkan. (1 Yoh. 3:8) Kerana tebusan, tujuan asal Yehuwa bagi bumi akan tercapai. Pada masa itu, seluruh bumi akan menjadi Firdaus, dan semua orang yang kita jumpai ialah orang yang mengasihi dan menyembah Yehuwa. Oleh itu, marilah kita berusaha mencari peluang setiap hari untuk menunjukkan bahawa kita menghargai tebusan​—kurniaan terbesar daripada Tuhan kepada manusia.

LAGU 20 Engkau Mengurniakan Anak-Mu yang Tersayang

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan mengapa Yesus perlu diseksa sehingga mati dan bagaimana kita dapat memperdalam penghargaan kita terhadap tebusan.

^ per. 6 Orang Roma biasanya memakukan atau mengikat penjenayah hidup-hidup pada tiang. Yehuwa membenarkan Anak-Nya dibunuh dengan cara sedemikian.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Tiga orang saudara melawan godaan yang berlainan. Mereka enggan melihat gambar yang tidak senonoh, merokok, atau menerima rasuah.