Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 17

Yehuwa Menghargai Anda!

Yehuwa Menghargai Anda!

“Yehuwa berkenan kepada umat-Nya.”​—MZM. 149:4.

LAGU 108 Kasih Setia Tuhan

PENGENALAN *

Bapa kita yang di syurga “berkenan kepada” setiap seorang daripada kita (Lihat perenggan 1)

1. Apakah yang diperhatikan oleh Yehuwa dalam diri kita?

TUHAN YEHUWA “berkenan kepada umat-Nya.” (Mzm. 149:4) Yehuwa memperhatikan sifat-sifat kita yang baik. Dia juga nampak potensi kita, dan Dia memimpin kita kepada-Nya. Jika kita tetap setia kepada-Nya, Dia akan tetap berada di sisi kita selama-lamanya. Tidakkah hal ini menggembirakan hati kita?​—Yoh. 6:44.

2. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa mengasihi mereka?

2 Sesetengah orang mungkin berkata, “Saya tahu bahawa Yehuwa memang mengasihi umat-Nya, tetapi bagaimanakah saya dapat yakin bahawa Yehuwa menghargai saya secara individu?” Apakah yang mungkin membuat mereka berfikir begitu? Oksana, * yang pernah mengalami peristiwa buruk semasa zaman kanak-kanak, berkata, “Saya sangat gembira semasa saya dibaptis dan mula merintis. Namun 15 tahun kemudian, kenangan buruk kembali menghantui saya. Saya mula berfikir bahawa saya kehilangan perkenan Yehuwa dan tidak layak mendapat kasih-Nya.” Saudari Yua, seorang perintis yang juga mengalami peristiwa buruk semasa kecil, berkata, “Saya membaktikan diri kepada Yehuwa kerana saya ingin membuat-Nya gembira. Namun saya yakin bahawa saya tidak layak dikasihi-Nya.”

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Seperti dua orang saudari yang setia tadi, anda mungkin berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa mengasihi anda walaupun anda sangat mengasihi-Nya. Mengapakah anda perlu diyakinkan bahawa Dia benar-benar mengasihi anda? Apakah yang dapat anda lakukan jika anda mula berfikir bahawa Yehuwa tidak mengasihi anda? Mari kita bincangkan jawapannya.

MERAGUI KASIH YEHUWA ITU BERBAHAYA

4. Mengapakah berbahaya untuk meragui kasih Yehuwa terhadap kita?

4 Jika kita yakin bahawa Yehuwa mengasihi dan menyokong kita, kita akan mendapat dorongan yang kuat untuk terus menyembah-Nya dengan sepenuh hati meskipun menghadapi pelbagai cabaran hidup. Namun, jika kita meragui kasih Tuhan terhadap kita, ‘kekuatan kita akan berkurang.’ (Ams. 24:10) Jika kita menjadi tawar hati dan mula berfikir bahawa Tuhan tidak mengasihi kita, Syaitan akan dapat menyerang kita dengan mudah.​—Ef. 6:16.

5. Apakah yang berlaku kepada sesetengah orang kerana meragui kasih Tuhan?

5 Sesetengah orang Kristian yang setia pada zaman moden telah menjadi lemah secara rohani kerana meragui kasih Tuhan. Seorang penatua yang bernama James berkata, “Saya berkhidmat di Bethel dan sangat gembira kerana dapat berkhidmat di sidang bahasa asing. Namun, saya berasa susah untuk percaya bahawa pengorbanan saya diterima oleh Yehuwa. Saya bahkan pernah tertanya-tanya jika Yehuwa mendengar doa saya.” Eva, yang juga merupakan pekhidmat sepenuh masa, berkata, “Saya dapati bahawa meragui kasih Yehuwa sangat berbahaya kerana ibadat kita akan terjejas. Kita akan hilang minat terhadap hal-hal rohani dan tidak dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita.” Michael, seorang penatua yang merupakan perintis biasa, berkata, “Jika kita tidak percaya bahawa Tuhan mengambil berat terhadap kita, kita akan beransur-ansur menjauhi-Nya.”

6. Apakah yang harus anda lakukan jika anda mula berfikir bahawa Tuhan tidak mengasihi anda?

6 Pengalaman saudara saudari tadi menunjukkan bahawa meragui kasih Yehuwa sangat berbahaya. Jadi, apakah yang harus anda lakukan jika anda mula berfikir bahawa Tuhan tidak mengasihi anda? Tolaklah fikiran itu dengan serta-merta. Mintalah bantuan Yehuwa untuk menyingkirkan keraguan anda dan memberi anda ‘kesejahteraan daripada Tuhan, yang akan menjaga hati dan fikiran anda.’ (Flp. 4:6, 7) Pada masa yang sama, ingatlah bahawa anda tidak bersendirian. Terdapat ramai saudara saudari yang setia, yang juga bergelut dengan perasaan negatif sebegini. Sebenarnya, hamba-hamba Yehuwa pada masa lampau pun menghadapi cabaran yang sama. Mari kita belajar daripada teladan Rasul Paulus.

APA YANG KITA PELAJARI DARIPADA PAULUS

7. Apakah masalah yang dihadapi oleh Paulus?

7 Adakah anda kadang-kadang berasa bahawa tanggungjawab anda terlalu berat? Sebenarnya, Paulus juga berasa demikian. Dia berasa khuatir, bukan sahaja untuk satu sidang tetapi banyak sidang. (2 Kor. 11:23-28) Adakah anda sering kehilangan sukacita kerana masalah kesihatan yang berterusan? Paulus juga mempunyai “duri dalam daging,” yang mungkin merupakan masalah kesihatan yang berlanjutan. Penyakit itu membuat dia amat menderita dan dia sangat ingin disembuhkan. (2 Kor. 12:7-10) Adakah anda berasa tawar hati kerana ketidaksempurnaan anda? Paulus juga berasa begitu. Dia perlu terus bergelut dengan ketidaksempurnaannya sehingga dia berkata, “Alangkah malangnya aku ini!”​—Rm. 7:21-24.

8. Apakah yang membantu Paulus mengatasi cabarannya?

8 Meskipun Paulus menghadapi pelbagai cabaran, termasuk ketidaksempurnaannya, dia tetap menyembah Yehuwa. Apakah yang membantunya berbuat demikian? Paulus memiliki iman yang teguh kepada tebusan. Dia tahu akan janji Yesus bahawa ‘setiap orang yang beriman kepada Yesus akan mendapat kehidupan kekal.’ (Yoh. 3:16; Rm. 6:23) Paulus juga yakin bahawa kerana adanya tebusan, Yehuwa sudi mengampuni orang yang melakukan dosa yang serius jika mereka bertaubat.​—Mzm. 86:5.

9. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata Paulus di Galatia 2:20?

9 Paulus juga beriman bahawa Tuhan mengasihinya kerana Tuhan telah mengutus Yesus untuk mati deminya. (Baca Galatia 2:20.) Perhatikan kata-kata Paulus di hujung ayat 20, “Anak Tuhan . . . mengasihi aku dan telah menyerahkan dirinya bagi aku.” Paulus tidak berasa bahawa dia terlalu jahat untuk dikasihi Yehuwa, dan dia juga tidak berfikir, “Saya tahu Yehuwa mengasihi saudara saudari yang lain, tetapi Dia tidak mungkin mengasihi saya.” Sebaliknya, Paulus mengingatkan orang Kristian di Roma, “Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa.” (Rm. 5:8) Ya, kasih Tuhan terhadap kita tiada batasnya.

10. Apakah yang kita pelajari daripada Roma 8:38, 39?

10 Baca Roma 8:38, 39. Paulus yakin sepenuhnya bahawa Tuhan mengasihinya dengan mendalam. Dia menulis bahawa tiada apa-apa yang “dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan.” Paulus tahu bagaimana Yehuwa telah bersabar dengan bangsa Israel dan berbelas kasihan terhadapnya. Jadi dalam kata lain, maksud Paulus ialah: “Jika Yehuwa sudah mengutus anak-Nya untuk mati demi saya, patutkah saya meragui kasih-Nya?”​—Rm. 8:32.

Yang penting bagi Tuhan ialah apa yang kita lakukan sekarang dan pada masa hadapan, bukan kesilapan kita pada masa lampau (Lihat perenggan 11) *

11. Walaupun Paulus pernah melakukan dosa yang disebut di 1 Timotius 1:12-15, mengapakah dia yakin bahawa Tuhan mengasihinya?

11 Baca 1 Timotius 1:12-15. Paulus tentu pernah berasa bersalah kerana apa yang dilakukannya pada masa lampau. Dia berkata bahawa dia ialah pendosa “yang paling teruk.” Mengapa? Sebelum mengetahui kebenaran, Paulus pergi dari kota ke kota untuk menganiaya orang Kristian, memenjarakan mereka, dan menyokong keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati atas mereka. (Kis. 26:10, 11) Jadi, dapatkah anda bayangkan perasaan Paulus semasa berjumpa dengan seorang pemuda Kristian yang ibu bapanya dihukum mati kerana Paulus? Paulus memang menyesali kesilapannya, tetapi dia tahu bahawa dia tidak dapat mengubah kisah silamnya. Jadi apakah yang meyakinkannya bahawa Tuhan mengasihinya? Paulus percaya bahawa Kristus telah mati deminya, dan dia percaya bahawa Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang unggul terhadapnya. (1 Kor. 15:3, 10) Apakah yang dapat anda pelajari daripada Paulus? Percayalah bahawa Kristus telah mati demi anda supaya anda dapat menjalin hubungan yang rapat dengan Yehuwa. (Kis. 3:19) Selain itu, ingatlah bahawa yang penting bagi Tuhan ialah apa yang anda lakukan sekarang dan pada masa hadapan, bukan kesilapan anda pada masa lampau atau tidak kira anda sudah menjadi seorang Saksi ketika itu atau belum.​—Yes. 1:18.

12. Jika kita berasa tidak berguna atau tidak layak dikasihi, bagaimanakah kata-kata di 1 Yohanes 3:19, 20 dapat membantu kita?

12 Semasa anda berfikir bahawa Yesus telah mati untuk menutupi dosa anda, anda mungkin berkata, “Saya tidak layak menerima kurniaan yang begitu berharga.” Apakah yang mungkin membuat seseorang berfikir begitu? Hati kita yang tidak sempurna mungkin memperdaya kita dan membuat kita berasa bahawa kita tidak berguna atau tidak layak dikasihi. (Baca 1 Yohanes 3:19, 20.) Semasa anda mula berfikir begitu, ingatlah bahawa “Tuhan lebih besar daripada hati kita.” Maksudnya, kita perlu yakin bahawa Bapa kita yang di syurga amat mengasihi kita dan ingin mengampuni kita. Untuk memiliki keyakinan itu, kita mesti sering mengkaji Bible, berdoa, dan bergaul dengan umat Tuhan. Mengapakah tiga perkara itu amat penting?

BAGAIMANA BIBLE, DOA, DAN SAHABAT YANG SETIA DAPAT MEMBANTU

13. Bagaimanakah mengkaji Firman Tuhan dapat membantu kita? (Lihat juga kotak “ Bagaimana Firman Tuhan Membantu Mereka.”)

13 Mengkaji Firman Tuhan setiap hari. Dengan itu, anda akan lebih memahami sifat-sifat Yehuwa dan merasai kasih-Nya terhadap anda. Jika anda merenungkan Firman Tuhan setiap hari, fikiran dan perasaan anda akan dibetulkan. (2 Tim. 3:16) Kevin, seorang penatua yang perlu bergelut dengan perasaan tidak berguna, berkata, “Setelah membaca dan merenungkan Mazmur 103, fikiran saya dibetulkan dan saya dapat memahami perasaan Yehuwa terhadap saya.” Eva, yang disebut tadi, juga berkata, “Sebelum tidur, saya akan merenungkan perasaan Yehuwa. Dengan itu, hati saya menjadi lebih tenang dan iman saya dikuatkan.”

14. Bagaimanakah doa dapat membantu kita?

14 Berdoa sentiasa. (1 Tes. 5:17) Untuk menjadi sahabat seseorang, kita perlu sentiasa bercakap dengannya dan memberitahunya perasaan kita. Begitu juga, untuk menjadi sahabat rapat Yehuwa, kita perlu meluahkan perasaan, fikiran, dan kerisauan kita menerusi doa. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita percaya kepada-Nya dan tahu bahawa Dia mengasihi kita. (Mzm. 94:17-19; 1 Yoh. 5:14, 15) Saudari Yua, yang disebut tadi, berkata, “Semasa berdoa, saya tidak hanya melaporkan kegiatan seharian saya, tetapi saya juga meluahkan isi hati saya kepada Yehuwa. Lama-kelamaan, saya tidak menganggap Yehuwa seperti bos dalam syarikat, tetapi sebagai Bapa yang penyayang.”​—Lihat kotak “ Sudahkah Anda Membacanya?

15. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan keprihatinan-Nya terhadap kita?

15 Bergaul dengan sahabat yang setia, kerana mereka adalah kurniaan daripada Yehuwa. (Yak. 1:17) Bapa kita yang di syurga menunjukkan keprihatinan-Nya terhadap kita dengan memberi kita keluarga rohani, iaitu saudara saudari yang “sentiasa menunjukkan kasih.” (Ams. 17:17) Dalam surat Paulus kepada sidang di Kolose, dia menyebut tentang beberapa orang Kristian yang menyokongnya dan ‘menjadi sumber kelegaan hati yang besar baginya.’ (Kol. 4:10, 11) Sebenarnya, Yesus Kristus pun memerlukan dan menghargai sokongan yang diberikan oleh sahabatnya, tidak kira malaikat ataupun manusia.​—Luk. 22:28, 43.

16. Bagaimanakah sahabat yang setia dapat membantu kita lebih menghampiri Yehuwa?

16 Adakah anda meminta dan menerima bantuan daripada sahabat-sahabat anda dalam sidang? Ingatlah bahawa jika kita meluahkan kekhuatiran kita kepada seorang sahabat yang matang, hal itu tidak bermaksud kita ini lemah. Sebaliknya, perbuatan ini dapat melindungi kita. James, yang disebut tadi, berkata, “Saya menerima banyak bantuan kerana bersahabat dengan orang Kristian yang matang. Semasa saya hampir lemas dalam fikiran yang negatif, mereka akan dengar luahan saya dengan sabar dan mengingatkan saya bahawa mereka mengasihi saya. Melalui mereka, saya dapat merasai kasih dan keprihatinan Yehuwa.” Jadi amatlah penting untuk menjalin dan memelihara hubungan yang akrab dengan saudara saudari kita!

TETAP BERADA DALAM KASIH YEHUWA

17-18. Siapakah yang harus kita dengar, dan mengapa?

17 Syaitan mahu kita berputus asa dan berhenti melakukan apa yang baik. Dia mahu kita percaya bahawa Yehuwa tidak mengasihi kita dan menganggap kita tidak layak diselamatkan. Tetapi kita sudah belajar bahawa semua itu dusta belaka.

18 Ingatlah, Yehuwa mengasihi dan menghargai anda. Jika anda mentaati-Nya, anda akan “tetap berada dalam kasih-Nya” buat selama-lamanya seperti Yesus. (Yoh. 15:10) Jadi, janganlah mendengar dusta Syaitan atau hati anda yang asyik menyalahkan anda. Sebaliknya, dengarlah Yehuwa kerana Dia mengetahui sifat baik setiap seorang daripada kita. Yakinlah bahawa Dia “berkenan kepada umat-Nya,” termasuk anda!

LAGU 141 Mukjizat Kehidupan

^ per. 5 Sesetengah saudara saudari kita berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa mengasihi mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kita dapat yakin bahawa Yehuwa mengasihi setiap seorang daripada kita. Kita juga akan mengkaji apa yang dapat kita lakukan jika kita mula berasa bahawa Yehuwa tidak mengasihi kita.

^ per. 2 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 67 KETERANGAN GAMBAR: Sebelum menjadi pengikut Kristus, Paulus telah memenjarakan banyak orang Kristian. Namun, setelah dia menerima pengorbanan Yesus, dia berubah dan menggalakkan rakan seimannya. Ada antara mereka yang mungkin merupakan saudara-mara kepada orang yang pernah dianiayanya.