Pertanyaan Pembaca
Apakah yang dikatakan Bible tentang sumpah atau ikrar?
Sumpah atau ikrar ialah pengakuan atau janji yang sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Orang yang bersumpah atau berikrar biasanya mengatakan bahawa Tuhan ialah saksi mereka. Sumpah atau ikrar boleh diucapkan atau dibuat dalam bentuk bertulis.
Sesetengah orang berfikir bahawa mereka langsung tidak boleh mengangkat sumpah kerana Yesus pernah berkata, “Jangan sekali-kali bersumpah. . . . Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak, kerana kata-kata yang selebihnya berasal daripada Si Jahat.” (Mat. 5:33-37) Sudah tentu, Yesus tahu bahawa Hukum Musa menghendaki orang Israel mengangkat sumpah dalam situasi tertentu, dan bahawa hamba-hamba Yehuwa yang setia pernah mengangkat sumpah. (Kej. 14:22, 23; Kel. 22:10, 11) Yesus juga tahu bahawa Yehuwa pun pernah bersumpah. (Ibr. 6:13-17) Jadi Yesus tidak bermaksud bahawa kita langsung tidak boleh bersumpah. Sebaliknya, dia ingin mengingatkan pendengarnya untuk tidak mengangkat sumpah dengan sembarangan bagi hal-hal yang remeh. Kita harus sentiasa menepati janji kita kerana itulah yang dikehendaki oleh Yehuwa.
Apakah yang harus anda lakukan jika anda diminta untuk bersumpah atau berikrar? Sebelum membuat keputusan, pertama, pastikan anda dapat menunaikan ikrar itu. Jika anda tidak pasti, lebih baik jangan berikrar. Firman Tuhan mengingatkan kita, “Lebih baik tidak berikrar daripada berikrar lalu tidak menepatinya.” (Pkh. 5:5) Kedua, kajilah prinsip Bible yang berkaitan dengan ikrar itu, dan bertindaklah selaras dengan hati nurani anda yang terlatih. Apakah beberapa prinsip Bible itu?
Sesetengah ikrar selaras dengan kehendak Tuhan. Sebagai contoh, Saksi-Saksi Yehuwa yang berkahwin akan melafazkan ikrar perkahwinan di hadapan Tuhan dan saksi lain. Ikrar ini merupakan janji bahawa pengantin lelaki dan perempuan akan saling mencintai, menghargai, dan menghormati, “selama [mereka] berdua hidup.” (Sesetengah pengantin mungkin tidak melafazkan kata-kata yang sama, namun mereka masih membuat ikrar perkahwinan di hadapan Tuhan.) Kemudian, mereka akan diisytiharkan sebagai suami dan isteri, dan ikatan perkahwinan mereka harus kekal seumur hidup. (Kej. 2:24; 1 Kor. 7:39) Ikrar perkahwinan merupakan aturan yang baik dan selaras dengan kehendak Tuhan.
Sesetengah ikrar bercanggahan dengan kehendak Tuhan. Contohnya, orang Kristian sejati tidak akan berikrar untuk mempertahankan negara dengan menggunakan senjata. Mereka juga tidak akan berikrar untuk meninggalkan kepercayaan mereka. Perbuatan sedemikian melanggar perintah Tuhan. Orang Kristian “bukan sebahagian daripada dunia,” jadi mereka tidak akan terlibat dalam perbalahan dan peperangan di dunia.—Yoh. 15:19; Yes. 2:4; Yak. 1:27.
Sesetengah keputusan sama ada untuk berikrar atau tidak, harus dibuat berdasarkan hati nurani. Ada kalanya, sebelum kita memutuskan untuk berikrar atau tidak, kita perlu memikirkan dengan teliti nasihat Yesus: “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”—Contohnya, seorang Kristian ingin memohon kewarganegaraan atau pasport di sesebuah negara, dan dia diberitahu bahawa dia perlu melafazkan ikrar taat setia. Jika ikrar itu mengandungi janji bahawa dia akan melakukan sesuatu yang melanggar hukum Tuhan, hati nuraninya tidak akan membenarkannya melafazkan ikrar tersebut. Meskipun begitu, pihak kerajaan mungkin membenarkannya untuk mengubah kata-kata dalam ikrar itu supaya hati nuraninya mengizinkannya untuk melafazkan ikrar tersebut.
Jika seorang Kristian melafazkan ikrar yang diubah sesuai dengan hati nuraninya, apa yang dilakukannya mungkin selaras dengan prinsip di Roma 13:1, iaitu “setiap orang harus taat kepada pihak berkuasa.” Memandangkan Yehuwa menghendaki umat-Nya untuk mentaati pihak berkuasa asalkan hal itu tidak melanggar prinsip Bible, seorang Kristian mungkin berasa bahawa tiada salahnya jika dia melafazkan ikrar sedemikian.
Anda juga perlu membuat keputusan berdasarkan hati nurani jika anda diminta untuk menggunakan suatu objek atau berada dalam posisi yang tertentu semasa berikrar. Orang Roma dan orang Skithia zaman kuno bersumpah dengan menggunakan pedang mereka. Dengan itu, mereka bersumpah demi dewa perang bahawa mereka pasti menunaikan janji mereka. Orang Yunani pula akan mengangkat tangan ke arah langit semasa berikrar. Dengan itu, mereka mengaku bahawa kata-kata dan tindakan mereka diperhatikan oleh dewa atau dewi, dan mereka harus bertanggungjawab kepadanya.
Sudah tentu, hamba Yehuwa tidak akan bersumpah dengan menggunakan lambang negara yang dipuja atau yang berkaitan dengan ibadat palsu. Namun, bagaimana pula jika pihak mahkamah menyuruh anda meletakkan tangan di atas Bible dan bersumpah untuk bercakap benar? Dalam catatan Bible, terdapat hamba Tuhan yang menggunakan gerak tangan tertentu semasa bersumpah. (Kej. 24:2, 3, 9; 47:29-31) Oleh itu, anda boleh memilih untuk meletakkan tangan di atas Bible semasa bersumpah. Namun, ingatlah bahawa jika anda bersumpah dalam cara sebegini, anda sedang bersumpah di hadapan Tuhan untuk bercakap benar. Maksudnya anda mesti menjawab semua soalan yang diajukan oleh pihak mahkamah dengan jujur.
Oleh sebab kita sangat menghargai hubungan kita dengan Yehuwa, kita harus berdoa dan berfikir dengan teliti sebelum berikrar atau bersumpah. Kita tidak ingin melafazkan ikrar yang melanggar prinsip Bible atau yang akan mengganggu hati nurani kita. Jadi, jika anda memutuskan untuk berikrar, pastikan bahawa anda menepatinya.—1 Ptr. 2:12.