RENCANA PEMBELAJARAN 16
LAGU 64 Menyertai Kerja Menuai dengan Riang
Cara untuk Lebih Menikmati Kerja Penyebaran
“Berkhidmatlah kepada Yehuwa dengan gembira.”—MZM. 100:2.
FOKUS
Rencana ini membincangkan apa yang dapat dilakukan supaya kita lebih menikmati kerja penyebaran.
1. Apakah perasaan sesetengah penyiar terhadap kerja penyebaran? (Lihat juga gambar.)
SEBAGAI umat Yehuwa, kita melakukan kerja penyebaran kerana kita mengasihi Bapa kita yang di syurga dan ingin membantu orang lain mengenali-Nya. Ramai penyiar sangat menikmati kerja penyebaran, tetapi ada juga yang berasa kerja ini amat mencabar. Mengapa? Mereka mungkin pemalu dan kurang yakin pada diri sendiri. Ada yang tidak suka pergi ke rumah orang lain tanpa diundang. Yang lain mungkin takut orang akan menolak mesej mereka atau berdebat dengan mereka. Para penyiar ini sangat mengasihi Yehuwa, tetapi berasa susah untuk menginjil kepada orang yang tidak dikenali. Meskipun begitu, mereka sedar bahawa kerja ini sangat penting, dan mereka menginjil secara tetap. Yehuwa pasti sangat berbangga dengan mereka!
2. Jika anda rasa susah untuk menikmati kerja penyebaran, mengapakah anda tidak patut tawar hati?
2 Adakah anda ada kalanya berasa susah untuk menikmati kerja penyebaran kerana sebab-sebab yang disebut tadi? Jika ya, janganlah tawar hati. Barangkali, anda berasa kurang yakin kerana anda rendah hati dan tidak mahu menarik perhatian kepada diri sendiri, dan kerana anda tidak suka berdebat dengan orang lain. Sudah tentu, kita tidak mahu orang menolak mesej kita, terutamanya jika mesej kita dapat membantu mereka. Bapa anda yang di syurga tahu benar cabaran yang anda hadapi dan ingin membantu anda. (Yes. 41:13) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan lima cara bagaimana kita dapat mengatasi cabaran sedemikian dan bagaimana kita dapat memupuk sukacita dalam kerja penyebaran.
BIARLAH FIRMAN TUHAN MENGUATKAN ANDA
3. Apakah yang membantu Nabi Yeremia melakukan kerja penyebaran?
3 Sejak dahulu lagi, perkhabaran daripada Tuhan telah menguatkan hamba-hamba-Nya untuk menjalankan tugas yang mencabar. Fikirkan contoh Nabi Yeremia. Semasa Yehuwa menyuruhnya menjalankan kerja penyebaran, Yeremia berasa kurang yakin dan berkata, “Aku tidak pandai berkata-kata kerana aku masih sangat muda.” (Yer. 1:6) Bagaimanakah dia mengatasi perasaan itu? Dia membiarkan firman Tuhan menguatkannya. Yeremia berkata, “Firman-Nya membara dalam hatiku, seperti api yang terkurung dalam tulang-tulangku. Aku letih kerana berusaha menahannya.” (Yer. 20:8, 9) Walaupun orang di kawasan penyebaran Yeremia jahat dan keras kepala, mesej yang harus disebarkannya telah memberinya kekuatan untuk menjalankan tugasnya.
4. Apakah hasilnya jika kita membaca Firman Tuhan dan merenungkannya? (Kolose 1:9, 10)
4 Orang Kristian dapat meraih kekuatan daripada mesej dalam Firman Tuhan. Dalam suratnya kepada sidang di Kolose, Rasul Paulus berkata bahawa pengetahuan yang tepat dapat menggerakkan rakan seimannya agar hidup “selaras dengan kehendak Yehuwa” dan terus “membuahkan hasil dalam setiap kerja baik.” (Baca Kolose 1:9, 10.) Kerja baik itu termasuklah kerja menyebarkan berita baik. Jadi semasa kita membaca dan merenungkan Firman Tuhan, kita akan lebih beriman terhadap Yehuwa dan bertambah yakin bahawa kerja penyebaran amat penting.
5. Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat yang sepenuhnya semasa membaca dan mengkaji Bible?
5 Untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada Firman Tuhan, kita tidak patut terburu-buru semasa membaca, mengkaji, dan merenungkan Bible. Jika anda nampak ayat Bible yang susah difahami, janganlah “lompat” ke ayat seterusnya. Sebaliknya, gunalah buku “Indeks” atau Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa untuk mencari penjelasannya. Jika anda meluangkan masa yang secukupnya untuk mengkaji Bible, anda akan lebih yakin bahawa segala yang dinyatakan dalam Firman Tuhan ialah kebenaran. (1 Tes. 5:21) Semakin kuat keyakinan anda terhadap hal ini, semakin besar sukacita anda semasa mengongsi ajaran Bible dengan orang lain.
BUATLAH PERSIAPAN YANG BAIK
6. Mengapakah kita patut membuat persiapan sebelum menginjil?
6 Jika kita membuat persiapan sebelum menginjil, kita akan berasa lebih yakin semasa bercakap dengan orang lain. Yesus telah mempersiapkan murid-muridnya sebelum mengutus mereka untuk pergi menginjil. (Luk. 10:1-11) Oleh sebab mereka melakukan apa yang diajarkan Yesus, mereka mendapat hasil yang baik dan berasa sangat puas.—Luk. 10:17.
7. Apakah persiapan yang dapat kita lakukan sebelum menginjil? (Lihat juga gambar.)
7 Apakah persiapan yang dapat kita lakukan sebelum menginjil? Fikirkan bagaimana kita dapat menyampaikan ajaran Bible dalam kata-kata sendiri. Selain itu, fikirkan beberapa reaksi yang biasanya timbul di kawasan penyebaran kita dan bagaimana kita dapat menanganinya. Semasa kita berjumpa dengan orang, cubalah bertenang, senyum, dan bersikap ramah.
8. Mengapakah Paulus menggambarkan orang Kristian seperti bekas tanah liat?
8 Rasul Paulus memberitahu saudara saudarinya, “Walaupun kami seperti bekas tanah liat, tugas suci yang bagaikan harta karun telah diberikan kepada kami.” (2 Kor. 4:7) Harta karun ialah tugas suci untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan, iaitu mesej yang membawa penyelamatan. (2 Kor. 4:1) Bekas tanah liat pula ialah hamba Tuhan yang mengongsikan berita baik kepada orang lain. Pada zaman Paulus, pedagang biasanya menggunakan bekas tanah liat untuk menghantar barang yang berharga, seperti makanan, wain, dan duit. Begitu juga, Yehuwa menggunakan kita untuk “menghantar” sesuatu yang berharga, iaitu berita baik. Dengan bantuan Yehuwa, kita mendapat kekuatan yang diperlukan untuk menyampaikan mesej penyelamatan dengan setia.
BERDOALAH UNTUK MEMINTA KEBERANIAN
9. Jika kita takut akan reaksi orang terhadap kerja penyebaran, apakah yang dapat kita lakukan? (Lihat juga gambar.)
9 Apakah yang dapat kita lakukan jika kita takut akan reaksi orang terhadap kerja penyebaran? Perhatikan apa yang didoakan oleh para rasul semasa mereka dilarang menginjil. Daripada tunduk kepada rasa takut, mereka meminta Yehuwa untuk membantu mereka “supaya terus memberitakan [firman-Nya] dengan penuh keberanian.” Yehuwa segera mengabulkan permintaan mereka. (Kis. 4:18, 29, 31) Jika kita ada kalanya berasa takut akan manusia, berdoalah kepada Yehuwa. Mintalah Dia untuk menguatkan kasih anda terhadap orang lain supaya anda tidak lagi takut kepada manusia.
10. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita menginjil dengan berani? (Yesaya 43:10-12)
10 Yehuwa telah memilih kita sebagai Saksi-Nya, dan Dia berjanji untuk membantu kita menjadi berani. (Baca Yesaya 43:10-12.) Perhatikan empat cara Yehuwa membantu kita. Pertama, Yesus menyertai kita di mana sahaja kita menginjil. (Mat. 28:18-20) Kedua, Yehuwa mengutus malaikat untuk membantu kita. (Why. 14:6) Ketiga, Yehuwa memberi kita kuasa suci-Nya sebagai penolong untuk membantu kita ingat semula hal-hal yang sudah kita belajar. (Yoh. 14:25, 26) Keempat, Yehuwa memberi kita saudara saudari untuk menemani kita. Dengan bantuan Yehuwa dan sokongan saudara saudari yang pengasih, kita mempunyai segala yang diperlukan untuk menginjil dengan berani.
BUATLAH PENYESUAIAN DAN PUPUKLAH PANDANGAN YANG BETUL
11. Bagaimanakah anda dapat berjumpa dengan lebih banyak orang semasa menginjil? (Lihat juga gambar.)
11 Adakah anda berasa tawar hati kerana banyak orang tiada di rumah semasa anda menginjil? Tanyalah diri, “Di mana mereka sekarang?” (Kis. 16:13) “Adakah mereka di tempat kerja atau pergi membeli-belah?” Jika ya, dapatkah anda mencari mereka dengan melakukan kesaksian di tempat awam? Seorang saudara yang bernama Joshua berkata, “Saya berpeluang untuk menginjil semasa berjalan di pusat membeli-belah dan di tempat letak kereta awam.” Dia dan isterinya Bridget juga mendapati bahawa lebih banyak orang ada di rumah semasa mereka menginjil pada lewat petang atau petang Ahad.—Ef. 5:15, 16.
12. Bagaimanakah kita dapat mengetahui fikiran atau kepercayaan orang lain semasa menginjil?
12 Jika orang tidak begitu berminat terhadap mesej kita, cubalah kenal pasti fikiran atau kepercayaan mereka. Joshua dan Bridget menggunakan soalan pada muka depan risalah sebagai pengenalan. Sebagai contoh, jika mereka menggunakan risalah Apakah Pandangan Anda terhadap Bible? mereka berkata, “Sesetengah orang fikir bahawa Bible berasal daripada Tuhan, tetapi yang lain tidak. Apakah pendapat kamu?” Dengan menggunakan cara ini, mereka sering berjaya memulakan perbualan.
13. Walaupun orang lain enggan menerima mesej kita, mengapakah kita masih boleh dianggap sebagai penginjil yang berjaya? (Amsal 27:11)
13 Tidak kira apa hasil yang kita peroleh dalam kerja penyebaran, kita masih boleh dianggap sebagai penginjil yang berjaya. Mengapa? Kerana kita sudah melaksanakan tugas yang diberikan oleh Yehuwa dan Yesus, iaitu memberikan kesaksian. (Kis. 10:42) Biarpun tiada orang yang sudi menerima mesej kita atau bercakap dengan kita, kita masih dapat bersukacita kerana kita tahu usaha kita menyenangkan hati Yehuwa.—Baca Amsal 27:11.
14. Jika penyiar lain menjumpai orang yang berminat, mengapakah kita juga bersukacita?
14 Apabila penyiar lain menjumpai orang yang berminat, kita turut bersukacita. Majalah Menara Pengawal menyamakan kerja penyebaran seperti kerja mencari seorang anak kecil yang sesat. Setelah banyak orang mencari di merata tempat, akhirnya ada seorang yang menjumpai anak itu. Adakah orang itu sahaja yang bersukacita? Tidak. Semua orang yang terlibat juga bersukacita. Begitu juga, kerja penyebaran ialah kerja berpasukan, dan usaha semua penyiar diperlukan untuk meliputi kawasan penyebaran. Apabila seorang penyiar menjumpai seorang yang berminat, yang sudi menghadiri perjumpaan, semua penyiar yang lain turut bersukacita.
BERTUMPULAH KEPADA KASIH ANDA TERHADAP YEHUWA DAN ORANG LAIN
15. Apakah yang dapat membantu kita menginjil dengan lebih bersemangat? (Matius 22:37-39) (Lihat juga gambar.)
15 Kita dapat menginjil dengan lebih bersemangat jika kita sentiasa ingat bahawa melakukan kerja penyebaran ialah cara yang penting untuk menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan orang lain. (Baca Matius 22:37-39.) Bayangkan betapa gembiranya Yehuwa semasa Dia melihat kita menyertai kerja penyebaran, dan bayangkan betapa gembiranya orang yang mula belajar Bible! Ingatlah juga bahawa orang yang menerima mesej kita dan menyembah Yehuwa akan berpeluang untuk hidup selama-lamanya.—Yoh. 6:40; 1 Tim. 4:16.
16. Bagaimanakah kita dapat meraih sukacita dalam kerja penyebaran walaupun kita tidak dapat keluar dari rumah? Berikan contoh.
16 Adakah anda tidak dapat keluar dari rumah atas sebab-sebab tertentu? Jika ya, bertumpulah kepada apa yang dapat anda lakukan untuk menunjukkan kasih anda kepada Yehuwa dan orang lain. Semasa pandemik COVID-19, Samuel dan Dania tidak dapat keluar dari rumah. Sepanjang masa yang susah itu, mereka sering memberikan kesaksian menerusi telefon, menulis surat, dan mengendalikan pembelajaran Bible melalui Zoom. Samuel juga memberikan kesaksian kepada orang yang dijumpainya semasa dia pergi ke klinik untuk menerima rawatan kanser. Dia berkata, “Semasa menghadapi kesusahan, kita mungkin berasa penat, khuatir, dan lemah secara rohani. Kita perlu berusaha untuk menyembah Yehuwa dengan sukacita.” Semasa menghadapi situasi yang susah ini, Dania terjatuh dan terlantar di katil selama tiga bulan. Kemudian dia perlu menggunakan kerusi roda selama enam bulan. Dania berkata, “Saya cuba melakukan apa yang terdaya. Saya menginjil kepada jururawat yang melawat saya dan orang yang menghantar barang ke rumah. Saya juga dapat berbual beberapa kali menerusi telefon dengan seorang wanita yang menjual peralatan perubatan.” Biarpun keadaan Samuel dan Dania terhad, mereka melakukan apa yang mereka mampu dan meraih sukacita kerana berbuat demikian.
17. Bagaimanakah anda dapat meraih manfaat yang terbesar daripada rencana ini?
17 Sebagaimana kita perlu menggunakan semua ramuan dalam resipi untuk mendapat hasil yang enak, kita mahu menggunakan semua cadangan yang dibincangkan dalam rencana ini. Dengan berbuat demikian, kita akan dilengkapi untuk mengatasi perasaan yang negatif dan meraih sukacita yang lebih besar dalam kerja penyebaran.
BAGAIMANAKAH HAL-HAL BERIKUT MEMBANTU ANDA LEBIH MENIKMATI KERJA PENYEBARAN?
-
Meluangkan masa yang secukupnya untuk membuat persiapan
-
Berdoa meminta keberanian
-
Bertumpu kepada kasih anda terhadap Yehuwa dan orang lain
LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’