Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 17

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

Jangan Sekali-Kali Meninggalkan Firdaus Rohani

Jangan Sekali-Kali Meninggalkan Firdaus Rohani

“Bergiranglah dan bersukacitalah selama-lamanya kerana apa yang Aku ciptakan.”​—YES. 65:18.

FOKUS

Ketahuilah manfaat yang kita raih daripada firdaus rohani dan bagaimana kita dapat membantu orang lain memasukinya.

1. Apakah itu firdaus rohani? Apakah sepatutnya tekad kita?

 HARI ini, terdapat sebuah firdaus di bumi yang didiami jutaan orang. Mereka hidup damai dan sibuk melakukan kegiatan yang bermanfaat. Mereka bertekad untuk tidak sekali-kali meninggalkan firdaus itu, dan mereka ingin menjemput seberapa banyak orang yang mungkin untuk menikmati firdaus itu bersama mereka. Apakah firdaus itu? Firdaus rohani! a

2. Mengapakah firdaus rohani sungguh menakjubkan?

2 Dunia Syaitan yang berbahaya penuh dengan kebencian dan kejahatan. (1 Yoh. 5:19; Why. 12:12) Namun begitu, Yehuwa masih dapat menciptakan firdaus rohani yang begitu aman dan selamat dalam dunia jahat ini. Hal ini sungguh menakjubkan, bukan? Tuhan kita yang pengasih tahu bahawa dunia Syaitan sangat berbahaya, jadi Dia menyediakan persekitaran yang selamat supaya hamba-hamba-Nya dapat menyembah-Nya dengan sukacita. Bible menggambarkan firdaus rohani sebagai “tempat berlindung” dan “taman yang diairi dengan baik.” (Yes. 4:6; 58:11) Dengan adanya berkat Yehuwa, semua orang dalam firdaus rohani ini dapat berasa bahagia dan selamat pada hari-hari terakhir ini.​—Yes. 54:14; 2 Tim. 3:1.

3. Bagaimanakah nubuat di Yesaya bab 65 menjadi kenyataan buat kali pertama?

3 Di Yesaya bab 65, Yehuwa menggambarkan keadaan hidup di firdaus rohani. Nubuat itu menjadi kenyataan buat kali pertama pada tahun 537 SM. Pada masa itu, orang Yahudi yang bertaubat telah dibebaskan dari Babilon dan kembali ke tanah air mereka. Yehuwa memberkati umat-Nya dan membantu mereka membina semula kota Yerusalem dan menjadikan Rumah Tuhan pusat ibadat sejati sekali lagi.​—Yes. 51:11; Za. 8:3.

4. Bagaimanakah nubuat di Yesaya bab 65 menjadi kenyataan buat kali kedua?

4 Nubuat di Yesaya bab 65 mula menjadi kenyataan buat kali kedua pada tahun 1919. Pada tahun itu, penyembah Yehuwa pada zaman moden dibebaskan dari Babilon Besar. Kemudian, firdaus rohani mulai wujud di serata dunia. Penyiar yang bersemangat telah menubuhkan banyak sidang dan berusaha memupuk sifat-sifat Kristian. Hasilnya, lelaki dan wanita yang dahulunya bersifat seperti binatang buas telah “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan.” (Ef. 4:24) Biarpun sebahagian besar berkat yang dinubuatkan oleh Yesaya hanya akan menjadi kenyataan di dunia baharu, sekarang pun kita meraih banyak berkat kerana berada di dalam firdaus rohani. Mari kita meneliti beberapa berkat itu dan membincangkan sebabnya kita sama sekali tidak mahu meninggalkan firdaus rohani.

BERKAT-BERKAT DI DALAM FIRDAUS ROHANI

5. Seperti yang dijanjikan di Yesaya 65:​13, apakah berkat yang kita nikmati di dalam firdaus rohani?

5 Kita berasa sihat dan disegarkan. Nubuat Yesaya menggambarkan perbezaan besar antara kehidupan di dalam dengan kehidupan di luar firdaus rohani. (Baca Yesaya 65:13.) Di dalam firdaus rohani, Yehuwa menyediakan jamuan rohani yang melimpah bagi para penyembah-Nya. Mereka dikurniai kuasa suci-Nya, Firman-Nya, dan makanan rohani supaya mereka dapat “makan, . . . minum, . . . [dan] bersukacita.” (Bandingkan Wahyu 22:17.) Mereka yang di luar firdaus rohani pula tidak dijaga secara rohani. (Amo. 8:11) Akibatnya, mereka “kelaparan . . . , kehausan . . . , [dan] dimalukan.”

6. Bagaimanakah Yoel 2:​21-24 menggambarkan kurniaan rohani daripada Yehuwa? Apakah manfaat yang kita raih setelah menikmati kurniaan ini?

6 Dalam nubuat Yoel pula, barang keperluan seharian seperti biji-bijian, wain, dan minyak, digunakan untuk menggambarkan bagaimana Yehuwa menyediakan semua keperluan umat-Nya, termasuk makanan rohani. (Yl. 2:​21-24) Yehuwa berbuat demikian menerusi Bible, bahan bacaan Bible, laman web kita, perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Oleh sebab Yehuwa begitu murah hati, kita dapat menikmati makanan rohani setiap hari. Hasilnya, kita berasa lebih sihat dan segar.

7. Apakah yang membuat “hati [kita] dipenuhi sukacita”? (Yesaya 65:14)

7 Kita berasa gembira dan puas. Umat Tuhan dapat “bersorak-sorai” kerana mereka sangat bersyukur kepada Yehuwa. (Baca Yesaya 65:14.) Kebenaran dan janji dalam Bible, serta harapan yang berdasarkan korban tebusan Kristus, membuat “hati [kita] dipenuhi sukacita.” Kita berasa sangat gembira semasa bercakap tentang hal-hal ini bersama saudara saudari!​—Mzm. 34:8; 133:​1-3.

8. Apakah dua ciri penting firdaus rohani?

8 Kasih dan perpaduan merupakan dua ciri penting firdaus rohani. (Kol. 3:14) Semasa melihat kasih dan perpaduan dalam kalangan umat Yehuwa hari ini, kita dapat membayangkan keadaan di dunia baharu nanti, di mana mereka akan menjadi lebih pengasih dan lebih bersatu padu. Seorang saudari menjelaskan apa yang diperhatikannya tentang penyembah Yehuwa semasa berjumpa dengan mereka buat kali pertama. Dia berkata, “Saya tidak tahu bagaimana rasanya gembira, bahkan dalam keluarga sendiri. Kali pertama saya melihat orang menunjukkan kasih adalah semasa saya bersama Saksi-Saksi Yehuwa.” Pengalamannya menunjukkan bahawa seseorang yang mahu benar-benar gembira dan puas mesti berada di dalam firdaus rohani kita. Biarpun umat Yehuwa dipandang negatif oleh dunia ini, mereka sesungguhnya sekumpulan orang yang terhormat dalam mata Yehuwa dan keluarga besar-Nya.​—Yes. 65:15.

9. Menurut Yesaya 65:​16, 17, apakah yang akan berlaku kepada penderitaan kita?

9 Kita berasa selesa dan tenang. Yesaya 65:14 berkata bahawa mereka yang memilih untuk terus berada di luar firdaus rohani “akan menangis kerana bersedih dan meraung-raung kerana patah semangat.” Memang benar, umat Yehuwa juga menderita akibat hal-hal buruk yang berlaku sekarang. Walaupun begitu, Yehuwa berjanji, “Penderitaan pada masa lalu akan dilupakan, dan Aku tidak akan melihat semua itu lagi.” (Baca Yesaya 65:​16, 17.) Ya, apabila Yehuwa melenyapkan segala masalah kita, semua kenangan pahit itu akan dilupakan.

10. Mengapakah anda berasa gembira untuk bergaul bersama saudara saudari anda? (Lihat juga gambar.)

10 Sekarang pun, kita berasa selesa dan tenang semasa menghadiri perjumpaan, kerana pada masa itu, kita tidak perlu berfikir tentang masalah dan tekanan dalam dunia Syaitan. Kita menyumbang kepada suasana yang tenang dalam firdaus rohani dengan menunjukkan sifat-sifat dalam buah kuasa suci Tuhan, seperti kasih, sukacita, kedamaian, kebaikan hati, dan kelemahlembutan. (Gal. 5:​22, 23) Kita sangat bersyukur kerana dapat menyertai organisasi Tuhan! Jika kita terus berada di dalam firdaus rohani, kita akan dapat melihat bagaimana janji Tuhan untuk mendatangkan “langit baharu dan bumi baharu” ditunaikan dengan sepenuhnya.

Kita bersyukur kerana dapat berada di dalam firdaus rohani bersama umat Tuhan (Lihat perenggan 10) c


11. Menurut Yesaya 65:​18, 19, apakah sepatutnya perasaan kita terhadap firdaus rohani yang diciptakan oleh Yehuwa?

11 Kita berasa syukur dan teruja. Yesaya kemudiannya menjelaskan mengapa kita mempunyai sebab untuk ‘bergirang dan bersukacita’ di dalam firdaus rohani. Firdaus rohani kita diciptakan oleh Yehuwa. (Baca Yesaya 65:​18, 19.) Itulah sebabnya Dia menggunakan kita untuk membawa orang keluar daripada semua organisasi dunia yang tidak mengajarkan kebenaran, dan memimpin mereka ke dalam firdaus rohani! Kita sangat teruja kerana menikmati banyak berkat setelah mempelajari kebenaran, dan kita mahu memberitahu orang lain tentangnya.—Yer. 31:12.

12. Apakah perasaan anda setelah membaca janji di Yesaya 65:​20-24, dan mengapa?

12 Kita juga bersyukur dan teruja kerana sebagai penduduk firdaus rohani, kita mempunyai harapan yang cerah. Fikirkanlah apa yang akan kita lihat dan lakukan di dunia baharu Tuhan nanti! Bible berjanji, “Orang yang tua akan berumur panjang, dan tidak akan ada lagi bayi yang hidup hanya untuk beberapa hari.” Kita akan “membina rumah dan mendiaminya; . . . [dan] mengusahakan ladang anggur dan memakan hasilnya.” Ketika itu, kita “tidak akan berjerih lelah dengan sia-sia” kerana kita akan ‘diberkati Yehuwa.’ Dia berjanji untuk memberi kita hidup yang selamat, memuaskan, dan bermakna. Bahkan ‘sebelum kita berseru kepada Yehuwa,’ Dia sudah tahu keperluan setiap orang dan akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup.”​—Yes. 65:​20-24; Mzm. 145:16.

13. Bagaimanakah Yesaya 65:25 menggambarkan perubahan yang berlaku kepada orang yang mula menyembah Yehuwa?

13 Kita berasa damai dan selamat. Dengan adanya bantuan kuasa suci Tuhan, banyak orang yang dahulunya bersikap seperti binatang buas telah membuat perubahan yang besar dan membuang sikap-sikap buruk mereka. (Baca Yesaya 65:25; Rm. 12:2; Ef. 4:​22-24.) Memang benar, umat Tuhan masih tidak sempurna dan akan berbuat silap. Namun, walaupun mereka berasal daripada pelbagai latar belakang, mereka menikmati kedamaian dan perpaduan yang sejati kerana kasih mereka terhadap Yehuwa dan satu sama lain. (Tit. 2:11) Perpaduan ini sesungguhnya mukjizat yang hanya dapat dilakukan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa!

14. Bagaimanakah perubahan yang digambarkan di Yesaya 65:25 berlaku kepada seorang saudara?

14 Dapatkah seseorang benar-benar mengubah keperibadiannya? Perhatikan pengalaman seorang saudara muda. Sebelum mencapai usia 20 tahun, dia sudah banyak kali keluar masuk penjara kerana mencuri kereta, pecah masuk rumah orang, dan melakukan jenayah berat yang lain. Dia juga hidup tidak bermoral, ganas, dan suka berlawan dengan orang. Namun, apabila dia mendengar kebenaran Bible buat pertama kali dan menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, dia yakin bahawa dia sudah menjumpai tujuan hidupnya, iaitu menyembah Tuhan di dalam firdaus rohani. Selepas dibaptis, dia sering memikirkan bagaimana Yesaya 65:25 menggambarkan dirinya. Dia telah berubah daripada singa kepada anak bebiri, iaitu daripada seorang yang ganas kepada seorang yang mencintai kedamaian.

15. Mengapakah kita ingin menjemput orang lain memasuki firdaus rohani kita? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

15 Yesaya 65:13 bermula dengan: “Demikianlah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.” Ayat 25 pula berakhir dengan: “Firman Yehuwa.” Apa yang difirmankan oleh Yehuwa pasti terjadi. (Yes. 55:​10, 11) Firdaus rohani sudah pun wujud. Yehuwa telah menciptakan sebuah keluarga yang istimewa, yang terdiri daripada para penyembah-Nya. Dalam kalangan umat-Nya, kita hidup damai dan selamat meskipun dikelilingi dunia yang ganas. (Mzm. 72:7) Oleh itu, kita ingin menjemput seberapa ramai orang yang mungkin untuk memasuki firdaus rohani kita. Kita berbuat demikian dengan membantu mereka menjadi murid Yesus.​—Mat. 28:​19, 20.

CARA MEMBANTU ORANG LAIN MEMASUKI FIRDAUS ROHANI

16. Apakah yang dapat kita lakukan supaya orang lain tertarik kepada firdaus rohani?

16 Kita masing-masing dapat melakukan sesuatu supaya orang tertarik kepada firdaus rohani. Fikirkan teladan Yehuwa. Dia tidak memaksa orang untuk menyertai organisasi-Nya. Sebaliknya, Dia ‘memimpin’ mereka dengan lemah lembut kepada-Nya. (Yoh. 6:44; Yer. 31:3) Apabila orang yang berhati jujur belajar tentang sifat-sifat dan keperibadian Yehuwa, mereka terdorong untuk menghampiri-Nya. Begitu juga, jika kita menunjukkan sifat-sifat murni dan berkelakuan baik, orang lain akan tertarik kepada firdaus rohani. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

17. Apakah satu cara kita mendorong orang lain untuk memasuki firdaus rohani?

17 Satu cara kita mendorong orang lain untuk memasuki firdaus rohani adalah dengan menunjukkan kasih dan kebaikan hati kepada rakan seiman kita. Dengan itu, semasa orang yang berminat menghadiri perjumpaan kita, mereka akan mempunyai perasaan yang sama seperti orang baharu di Korintus pada abad pertama. Semasa melihat apa yang berlaku di perjumpaan, mereka berkata, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.” (1 Kor. 14:​24, 25; Za. 8:23) Maka, kita mesti mengikut nasihat Bible untuk ‘terus berdamai dengan satu sama lain.’​—1 Tes. 5:13.

18. Apakah yang mungkin membuat orang tertarik kepada firdaus rohani?

18 Kita harus selalu berusaha untuk memandang saudara saudari kita sebagaimana Yehuwa memandang mereka. Kita dapat berbuat demikian dengan bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka. Janganlah kita mengambil hati dengan ketidaksempurnaan mereka kerana semua itu akan dihapuskan pada masa depan. Apabila perselisihan faham timbul, kita mahu menyelesaikannya dalam cara yang pengasih dengan mengikut nasihat berikut: “Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan. Ampunilah satu sama lain dengan rela hati.” (Ef. 4:32) Jika kita berbuat demikian, orang yang ingin dilayan dalam cara sebegini akan tertarik kepada firdaus rohani kita. b

TERUS BERADA DI DALAM FIRDAUS ROHANI

19. (a) Seperti yang dinyatakan dalam kotak “ Mereka Keluar tetapi Kemudiannya Kembali,” apakah perasaan sesetengah orang yang kembali ke dalam firdaus rohani? (b) Apakah sepatutnya tekad kita? (Lihat juga gambar.)

19 Kita sangat menghargai firdaus rohani kita! Firdaus ini makin hari makin indah, dan bilangan penyembah Yehuwa di dalamnya semakin bertambah. Semoga kita sentiasa bersyukur kepada Yehuwa kerana menciptakan firdaus rohani untuk kita. Sesiapa yang ingin disegarkan dan hidup dengan puas, damai, dan selamat, mesti memasuki firdaus rohani dan tidak meninggalkannya sama sekali! Ingatlah, Syaitan sedang cuba mengumpan kita keluar dari firdaus rohani. (1 Ptr. 5:8; Why. 12:9) Janganlah biarkan Syaitan berjaya. Marilah kita mempertahankan keindahan, kemurnian, dan kedamaian firdaus rohani kita.

Mereka yang tetap berada di dalam firdaus rohani juga akan menikmati berkat di bumi firdaus (Lihat perenggan 19)


APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah itu firdaus rohani?

  • Apakah berkat yang kita nikmati di dalam firdaus rohani?

  • Apakah yang dapat kita lakukan supaya orang lain tertarik kepada firdaus rohani?

LAGU 144 Tataplah Pahala!

a MAKSUD UNGKAPAN: Istilah “firdaus rohani” menggambarkan keadaan di mana kita menyembah Yehuwa. Dalam firdaus rohani, kita menikmati hubungan yang damai dengan Yehuwa dan dengan satu sama lain.

b Lihat video Hidup Mereka Sekarang: Alena Žitníková: Cara Impian Saya Menjadi Kenyataan di jw.org untuk melihat berkat yang dinikmati seorang saudari kerana berada di dalam firdaus rohani.

c KETERANGAN GAMBAR: Banyak saudara saudari menikmati pergaulan di Dewan Perjumpaan, tetapi ada seorang saudara mengasingkan diri.