KISAH HIDUP
Kelemahan Saya telah Membuat Kuasa Tuhan Menjadi Nyata
SEMASA saya dan isteri saya tiba di Colombia pada tahun 1985, keganasan di negara itu semakin meruncing. Di kawasan bandar, kerajaan perlu melawan organisasi pengedar dadah yang berpengaruh; di kawasan pergunungan pula, kerajaan perlu menangkis serangan pasukan gerila. Di Medellín, iaitu di tempat kami berkhidmat, terdapat gengster muda yang bersenjata di merata tempat. Mereka menjual dadah, memeras ugut, dan menjadi pembunuh upahan. Tiada antara mereka yang hidup lama. Kami rasa seperti tinggal di dunia yang sangat berbeza.
Kami berdua ialah orang biasa dari Finland, sebuah negara di utara bumi. Mengapa pula kami berada di Amerika Selatan? Apakah yang telah saya pelajari dalam hidup saya?
MEMBESAR DI FINLAND
Saya dilahirkan pada tahun 1955 dan mempunyai dua orang abang. Saya dibesarkan berhampiran pantai selatan Finland. Kini, tempat itu dikenali sebagai bandar Vantaa.
Ibu saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa beberapa tahun sebelum saya dilahirkan. Namun, bapa saya menentang kebenaran dan tidak membenarkan ibu saya mengajar kami Bible atau membawa kami ke perjumpaan. Oleh itu dia mengajar kami kebenaran Bible yang asas apabila bapa saya tiada di rumah.
Sejak kecil, saya bertekad untuk mematuhi Yehuwa. Contohnya, semasa saya berumur tujuh tahun, cikgu saya sangat marah kerana saya tidak mahu makan verilättyjä (penkek Finland yang diperbuat daripada darah). Dengan sebelah tangannya, cikgu memicit pipi saya untuk memaksa saya membuka mulut, dan dengan sebelah tangannya lagi, dia cuba guna garpu untuk sumbat seketul penkek itu ke dalam mulut saya. Saya meronta-ronta sehingga garpu itu jatuh dari tangannya.
Semasa saya berumur 12 tahun, bapa saya meninggal. Selepas kematiannya, saya dapat menghadiri perjumpaan. Saudara-saudara di sidang mengambil berat terhadap saya, dan hal ini mendorong saya untuk membuat kemajuan rohani. Saya mula membaca Bible setiap hari dan mengkaji bahan bacaan Kristian kita dengan teliti. Tabiat rohani yang baik ini telah membantu
saya dibaptis pada usia 14 tahun, iaitu pada 8 Ogos 1969.Tidak lama selepas saya tamat sekolah, saya mula berkhidmat sebagai perintis biasa. Beberapa minggu kemudian, saya berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar, iaitu ke Pielavesi, yang terletak dekat tengah Finland.
Di Pielavesi, saya berjumpa dengan Sirkka, yang kemudiannya menjadi isteri saya. Saya tertarik kepadanya kerana dia rendah hati dan amat mengasihi Yehuwa. Dia juga tidak mementingkan kedudukan ataupun harta benda. Kami berdua ingin memberi Yehuwa yang terbaik, tidak kira apa tugasan yang kami terima. Kami berkahwin pada 23 Mac 1974. Daripada pergi berbulan madu, kami berpindah ke Karttula untuk berkhidmat di situ. Keperluan di situ lagi besar berbanding Pielavesi.
YEHUWA MENJAGA KAMI
Dari mula lagi, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia akan menjaga keperluan kami jika kami mengutamakan Kerajaan-Nya. (Mat. 6:33) Contohnya, semasa di Karttula, kami tiada kereta, jadi kami menggunakan basikal. Namun, semasa musim sejuk, suhu di situ selalu di bawah paras beku. Untuk meliputi kawasan penyebaran kami yang luas, kami memerlukan kereta. Tetapi wang kami tidak cukup.
Tanpa disangka, abang saya datang melawat kami dan memberi kami keretanya. Dia kata insurans kereta itu sudah dibayar, dan kami cuma perlu isi minyak. Demikianlah kami mendapat kereta yang kami perlukan.
Daripada pengalaman ini, Yehuwa seolah-olah memberitahu kami bahawa menjaga keperluan fizikal kami ialah tanggungjawab-Nya. Tanggungjawab kami pula ialah mengutamakan Kerajaan-Nya.
SEKOLAH GILEAD
Semasa kami menghadiri Sekolah Latihan Perintis pada tahun 1978, salah seorang pengajar kami yang bernama Raimo Kuokkanen a menggalakkan kami untuk memohon agar dijemput ke Sekolah Gilead. Jadi kami pun mula belajar bahasa Inggeris supaya layak memasuki Gilead. Namun, pada tahun 1980, sebelum kami sempat memohon untuk masuk ke Gilead, kami telah dijemput untuk berkhidmat di Bethel Finland. Pada masa itu, ahli keluarga Bethel tidak boleh pergi ke Gilead. Tetapi kami mahu berkhidmat di mana Yehuwa pilih, bukan di mana kami pilih. Jadi kami menerima jemputan itu. Walaupun begitu, kami terus belajar bahasa Inggeris. Manalah tahu kami akan dijemput ke Gilead suatu hari nanti.
Beberapa tahun kemudian, Badan Pimpinan mengizinkan ahli keluarga Bethel untuk memohon ke Sekolah Gilead. Kami segera memohon, bukan kerana kami tidak suka berkhidmat di Bethel, tetapi kerana kami ingin menawarkan diri untuk berkhidmat di mana-mana sahaja yang memerlukan kami. Permohonan kami diterima dan kami menjadi lulusan Gilead kelas ke-79 pada September 1985. Kami ditugaskan ke Colombia.
TUGASAN PERTAMA KAMI SEBAGAI MUBALIGH
Pada mulanya, kami ditugaskan ke pejabat cawangan Colombia. Saya cuba melakukan yang terbaik dalam tugasan saya, tetapi setahun kemudian, saya rasa tugasan kami perlu berubah. Jadi, buat kali pertama dan terakhir dalam hidup saya, saya meminta agar diberi tugasan yang berbeza. Kami ditugaskan sebagai mubaligh di bandar Neiva, yang terletak di wilayah Huila.
Sejak dahulu lagi, saya suka menginjil. Semasa saya masih bujang dan merintis di Finland, ada kalanya saya menginjil dari awal pagi sampai malam. Selepas berkahwin, saya dan Sirkka juga menginjil sepanjang hari. Jika kami menginjil di tempat yang jauh, kadangkala kami akan bermalam di dalam kereta. Dengan itu, kami dapat menjimatkan masa perjalanan dan terus menginjil di situ pada awal keesokan harinya.
Setelah menjadi mubaligh, semangat kami untuk kerja penyebaran membara lagi seperti dahulu. Sidang kami semakin besar, dan kami amat menyayangi saudara saudari di Colombia yang sentiasa menunjukkan kasih, hormat, dan penghargaan.
MERASAI KUASA DOA
Tidak jauh dari Neiva, iaitu tempat kami ditugaskan, terdapat pekan-pekan yang tiada Saksi. Saya sangat risau bagaimana orang di situ akan mendengar berita baik. Disebabkan perang gerila, tempat-tempat itu tidak selamat untuk orang asing. Jadi saya berdoa agar seorang dari salah satu pekan itu akan menjadi Saksi. Saya fikir orang itu harus berpindah ke Neiva, belajar Bible sehingga dibaptis, menjadi matang secara rohani, dan kembali ke pekannya untuk menginjil. Saya berdoa tentang hal itu secara spesifik, tetapi jawapan Yehuwa lebih hebat daripada sangkaan saya.
Tidak lama kemudian, saya mula belajar Bible dengan seorang lelaki muda yang bernama Fernando González. Dia tinggal di Algeciras, sebuah pekan yang tiada Saksi. Setiap minggu, Fernando akan membuat perjalanan lebih daripada 50 km ke tempat kerjanya di Neiva. Dia membuat persiapan yang teliti untuk pembelajarannya dan menghadiri semua perjumpaan. Tambahan lagi, sejak minggu pertama dia mula belajar Bible, Fernando akan menjemput orang lain di pekannya untuk mendengar apa yang dipelajarinya daripada Bible.
Enam bulan selepas belajar Bible, Fernando dibaptis pada Januari 1990. Kemudian, dia menjadi perintis biasa. Memandangkan Algeciras sudah ada seorang Saksi tempatan, keadaannya
sudah cukup selamat bagi pejabat cawangan untuk menghantar perintis khas ke situ. Pada Februari 1992, sebuah sidang telah ditubuhkan di pekan itu.Adakah Fernando hanya menginjil di pekannya? Tidak! Selepas berkahwin, dia dan isterinya berpindah ke San Vicente del Caguán, sebuah lagi pekan yang tiada Saksi. Mereka telah membantu menubuhkan sebuah sidang di situ. Pada tahun 2002, Fernando dilantik sebagai penyelia litar. Sampai hari ini, dia dan isterinya Olga terus melakukan kerja lawatan.
Pengalaman ini mengajar saya pentingnya berdoa secara spesifik tentang tugasan rohani kita. Kita harus ingat bahawa Yehuwa ialah Pemilik tuaian, bukan kita, dan Dia mampu melakukan apa yang di luar jangkauan kita.—Mat. 9:38.
YEHUWA MEMBERI KAMI “KEINGINAN DAN KEKUATAN UNTUK BERTINDAK”
Pada tahun 1990, kami ditugaskan untuk melakukan kerja lawatan. Litar pertama kami ialah di Bogotá, ibu negara Colombia. Kami sangat takut untuk menerima tugasan ini. Saya dan isteri hanyalah orang biasa yang tiada apa-apa bakat istimewa, dan kami tidak biasa tinggal di bandar besar. Namun, Yehuwa menunaikan janji-Nya di Filipi 2:13: “Tuhan menguatkan kamu untuk melakukan hal-hal yang menyenangkan hati-Nya. Dia memberi kamu keinginan dan kekuatan untuk bertindak.”
Kemudian, kami ditugaskan ke litar di Medellín, iaitu kota yang saya sebut di permulaan rencana. Orang di situ sudah begitu biasa melihat keganasan di sekeliling mereka sehingga tidak berasa takut lagi. Pernah sekali, semasa saya mengadakan pembelajaran Bible di dalam sebuah rumah, kejadian tembak-menembak berlaku di luar. Saya terfikir untuk meniarap di lantai, tetapi pelajar Bible saya terus membaca perenggan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Selepas membaca habis perenggan, dia meminta izin untuk keluar sekejap. Kemudian, dia kembali dengan dua orang budak kecil dan berkata dengan tenang, “Maaf ya, saya perlu bawa anak saya masuk.”
Terdapat satu lagi pengalaman yang agak menakutkan. Pernah sekali, semasa kami menginjil dari rumah ke rumah, isteri saya berlari ke arah saya dengan muka yang pucat. Dia berkata ada orang mahu menembaknya. Saya pun terkejut. Tetapi kemudian kami sedar bahawa penembak itu bukannya mahu menembak Sirkka, tetapi mahu menembak seorang lelaki yang lalu di sisinya.
Lama-kelamaan, kami tidak begitu takut lagi terhadap keganasan yang berlaku di situ. Saudara saudari tempatan pernah menghadapi situasi yang lebih teruk, tetapi semangat mereka yang membara telah menggalakkan kami. Kami percaya jika Yehuwa membantu mereka, Dia pasti membantu kami. Kami sentiasa mengikut nasihat penatua tempatan, mengambil langkah berjaga-jaga, dan menyerahkan yang selebihnya ke dalam tangan Yehuwa.
Sudah tentu, sesetengah situasi tidaklah seteruk yang kami sangkakan. Pernah sekali, saya dengar suara seperti dua orang wanita memaki satu sama lain di luar rumah kunjungan saya. Saya tidak berminat untuk melihat orang bergaduh, tetapi penghuni rumah mengajak saya keluar untuk cuba melihat apa yang berlaku.
Rupa-rupanya suara itu ialah suara dua ekor burung kakak tua yang sedang meniru percakapan jiran.TANGGUNGJAWAB DAN CABARAN LAIN
Pada tahun 1997, saya dilantik sebagai pengajar di Sekolah Latihan Pengorganisasian. b Saya selalu menghargai penghormatan untuk dididik di sekolah teokratik. Tetapi saya tidak pernah membayangkan saya akan berpeluang untuk menjadi pengajar sekolah teokratik.
Saya juga pernah berkhidmat sebagai penyelia distrik. Apabila tugas itu dihentikan, saya menjadi penyelia litar semula. Untuk lebih daripada 30 tahun, saya berkhidmat sebagai pengajar dan penyelia lawatan. Tugas-tugas itu membawa banyak berkat, tetapi saya juga menghadapi cabaran.
Saya seorang yang tegas dan penuh keyakinan. Sifat ini membantu saya menghadapi banyak cabaran. Namun, saya ada kalanya terlalu tegas dan mahu membetulkan semua perkara dalam sidang. Ada beberapa kali, saya pernah menggesa orang untuk menunjukkan kasih dan bersikap munasabah. Yang peliknya, semasa saya memberikan nasihat itu, saya sendiri yang tidak menunjukkan sifat-sifat itu.—Rm. 7:21-23.
Ada kalanya, saya sangat tawar hati kerana kelemahan saya. (Rm. 7:24) Suatu hari, saya beritahu Yehuwa lebih baik saya berhenti menjadi mubaligh dan pulang ke Finland. Tetapi malam itu juga, semasa menghadiri perjumpaan, saya menerima galakan yang diperlukan dan diyakinkan bahawa saya patut terus berkhidmat sebagai mubaligh dan terus berusaha membaiki kelemahan saya. Sampai hari ini, saya tersentuh kerana Yehuwa menjawab doa saya dengan begitu jelas. Saya juga bersyukur kerana Dia membantu saya mengatasi kelemahan saya dengan sabar.
MENANTIKAN MASA DEPAN DENGAN YAKIN
Saya dan Sirkka sangat bersyukur kepada Yehuwa atas penghormatan untuk menggunakan sebahagian besar hidup kami dalam khidmat sepenuh masa. Saya juga berterima kasih kepada Yehuwa kerana memberi saya seorang isteri yang pengasih dan setia yang menemani saya selama bertahun-tahun.
Tidak lama lagi, umur saya akan mencecah 70 tahun, dan saya perlu berhenti menjadi pengajar sekolah teokratik dan penyelia lawatan. Namun, saya tidak rasa tawar hati. Mengapa? Kerana saya percaya bahawa cara terbaik untuk memuliakan Yehuwa bukanlah dengan memikul tanggungjawab yang istimewa. Kita hanya perlu berkhidmat kepada-Nya dengan rendah hati dan memuji-Nya dari hati yang melimpah dengan kasih dan rasa syukur.—Mi. 6:8; Mrk. 12:32-34.
Mengenang kembali tugasan-tugasan saya selama ini, saya sedar bahawa saya diberi semua tugasan itu bukan kerana saya lebih layak daripada orang lain atau kerana saya mempunyai kebolehan yang luar biasa. Sebaliknya, Yehuwa memberi saya penghormatan ini kerana kebaikan hati-Nya yang unggul. Walaupun saya mempunyai kelemahan, Dia masih menggunakan saya. Hanya dengan bantuan-Nya, saya dapat melaksanakan tugasan-tugasan saya dengan baik. Melalui cara ini, kelemahan saya telah membuat kuasa Tuhan menjadi nyata.—2 Kor. 12:9.
a Kisah hidup Raimo Kuokkanen terdapat dalam rencana “Bertekad Melayani Yehuwa,” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 April 2006.
b Sekolah ini telah digantikan dengan Sekolah Latihan Penginjil.