Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Mengapakah terdapat orang asing dalam pasukan tentera Raja Daud?

DALAM pasukan tentera Daud, terdapat orang yang bukan orang Israel, seperti Zelek yang berbangsa Ammon, Uria yang berbangsa Het, dan Yitma yang berbangsa Moab. a (1 Taw. 11:​39, 41, 46) Angkatan tentera Daud juga mempunyai ‘orang Kreti, orang Pleti,’ dan “orang yang datang dari kota Gat.” (2 Sam. 15:18) Orang dari kota Gat ialah orang Filistin, dan orang Kreti dan orang Pleti nampaknya berkait rapat dengan orang Filistin.​—Yos. 13:​2, 3; 1 Sam. 6:​17, 18; Yeh. 25:16.

Mengapakah Daud mengizinkan orang asing untuk menyertai pasukan tenteranya? Dia yakin bahawa mereka setia kepadanya. Lebih penting lagi, dia percaya bahawa mereka setia kepada Yehuwa. The New Interpreter’s Dictionary of the Bible menyatakan bahawa orang Kreti dan orang Pleti “tetap setia kepada Daud pada masa yang paling mencabar dalam pemerintahannya.” Contohnya, semasa “semua orang Israel meninggalkan Daud” dan mengikut “seorang pemberontak yang bernama Syeba,” orang Kreti dan orang Pleti tetap berada di sisi Daud dan membantu melawan pemberontakan Syeba. (2 Sam. 20:​1, 2, 7) Pada peristiwa yang lain, Adonia, iaitu putera Raja Daud, cuba merampas takhta. Namun, orang Kreti dan orang Pleti tetap setia kepada Daud. Mereka membantu menabalkan Salomo, iaitu pengganti yang dipilih oleh Yehuwa, sebagai raja.​—1 Raj. 1:​24-27, 38, 39.

Seorang lagi orang asing yang sangat setia kepada Daud ialah Itai, yang merupakan orang Gat. Itai dan 600 orang pahlawannya menyokong Raja Daud semasa anaknya Absalom memberontak dan memujuk rakyat untuk menyokongnya. Pada mulanya, Daud memberitahu Itai bahawa dia tidak perlu berjuang baginya kerana dia orang asing. Tetapi Itai berkata, “Hamba bersumpah di hadapan Yehuwa, Tuhan yang hidup, dan di hadapan tuanku bahawa meskipun hamba harus mati, hamba akan mengikut tuanku ke mana sahaja tuanku pergi!”​—2 Sam. 15:​6, 18-21.

Itai setia kepada Daud, raja yang dilantik oleh Yehuwa

Walaupun orang Kreti, orang Pleti, dan orang Gat ialah orang bangsa asing, mereka mengakui Yehuwa sebagai Tuhan yang benar dan Daud sebagai raja yang dilantik oleh Yehuwa. Daud pasti sangat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada orang yang setia seperti mereka!

a Hukum Tuhan di Ulangan 23:​3-6 menyatakan bahawa orang Ammon dan orang Moab tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa. Nampaknya hukum ini bermaksud mereka tidak boleh diberi kewarganegaraan dan hak penuh sebagai orang Israel. Mereka masih boleh bergaul dengan orang Israel dan tinggal dalam kalangan orang Israel. Lihat buku “Pemahaman” dalam bahasa Indonesia, Jilid 1, topik AMMON, ORANG, tajuk kecil “Kawin Campur dengan Orang Israel.