Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Lemparkanlah Segala Kekhuatiran kepada Yehuwa

Lemparkanlah Segala Kekhuatiran kepada Yehuwa

“Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada [Yehuwa], kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​1 PTR. 5:7.

LAGU: 60, 23

1, 2. (a) Mengapakah kita mengalami kekhuatiran? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

KITA sedang hidup pada masa yang sukar dan Syaitan Si Iblis “sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum. Dia mencari mangsa untuk dibaham.” (1 Ptr. 5:8; Why. 12:17) Maka, tidak hairanlah umat Tuhan kini mengalami kekhuatiran. Umat Yehuwa pada masa lalu juga mengalaminya. Contohnya, Raja Daud kadangkala “berasa khuatir.” (Mzm. 13:2, NW) Rasul Paulus juga berasa “khuatir akan keadaan semua sidang.” (2 Kor. 11:28) Namun, apakah yang boleh dilakukan semasa dibelenggu perasaan khuatir?

2 Memandangkan Bapa pengasih di syurga telah membantu umat-Nya untuk mengatasi kekhuatiran pada masa lalu, tidakkah Dia juga akan membantu kita pada hari ini? Sudah tentu! Bible menggalakkan, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” (1 Ptr. 5:7) Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Marilah kita lihat empat cara, iaitu (1) berdoa, (2) membaca dan merenungkan Firman Tuhan, (3) mengizinkan daya aktif Yehuwa untuk membantu anda, dan (4) mengongsi perasaan dengan orang yang boleh dipercayai. Cubalah mengenal pasti cadangan praktikal yang dapat digunakan dalam kehidupan anda.

‘SERAHKANLAH KEKHUATIRANMU KEPADA YEHUWA’

3. Bagaimanakah anda ‘menyerahkan kekhuatiranmu kepada Yehuwa’ melalui doa?

3 Langkah pertama yang boleh diambil adalah berdoa kepada Yehuwa. Apabila anda menghadapi cabaran yang menyebabkan anda berasa runsing, resah, atau khuatir, curahkanlah isi hati anda kepada Bapa pengasih di syurga. Penulis mazmur, iaitu Daud merayu kepada Yehuwa, ‘Ya Tuhan, dengarlah doaku.’ Selain itu, Dia berkata, ‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu.’ (Mzm. 55:223) Selepas anda melakukan apa yang terdaya untuk menyelesaikan masalah, doa akan membantu anda menangani kekhuatiran. Namun, bagaimanakah doa membantu anda mengelak daripada dibelenggu oleh perasaan resah dan runsing?​—Mzm. 94:18, 19.

4. Semasa kita berasa khuatir, mengapakah doa penting?

4 Baca Filipi 4:6, 7. Yehuwa akan menjawab permohonan kita yang sungguh-sungguh dan ikhlas. Bagaimana? Dengan memberi kita ketenteraman batin supaya minda dan hati kita tidak diganggu oleh perasaan resah. Banyak orang pernah merasai ketenteraman ini. Semasa mereka berasa khuatir, Tuhan membantu mereka mendapat kedamaian dan ketenteraman yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia. Maka, “kesejahteraan daripada Tuhan” dapat mengatasi segala cabaran yang anda hadapi. Anda boleh percaya sepenuhnya terhadap janji Yehuwa: ‘Jangan cemas kerana Akulah Tuhan kamu. Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.’​—Yes. 41:10.

FIRMAN TUHAN MEMBERI KITA KETENTERAMAN

5. Bagaimanakah Firman Tuhan memberi kita ketenteraman batin?

5 Cara kedua untuk mendapat ketenteraman batin adalah dengan membaca petikan Bible dan merenungkannya. Mengapakah hal ini penting? Bible mengandungi bimbingan rohani yang dapat membantu anda mengelakkan, mengurangkan, atau menangani kekhuatiran. Firman Tuhan dapat membantu dan menyegarkan kita kerana mengandungi fikiran Pencipta kita yang Maha Bijaksana. Seraya anda selalu merenungkan fikiran Tuhan serta memikirkan cara untuk menerapkan bimbingan-Nya, anda akan dikuatkan. Jika kita membaca Firman-Nya, kita akan menjadi “yakin dan berani” serta tidak “takut ataupun tawar hati.”​—Yos. 1:7-9.

6. Bagaimanakah kata-kata Yesus dapat membawa kesan yang baik bagi anda?

6 Dalam Firman Tuhan, terdapat kata-kata Yesus yang menenangkan jiwa. Kata-kata dan ajarannya menyegarkan pendengarnya. Ramai orang tertarik kepadanya kerana dia menenangkan orang yang risau, menguatkan iman orang yang lemah, dan melegakan mereka yang tawar hati. (Baca Matius 11:28-30.) Dia menunjukkan keprihatinan kepada keperluan rohani, emosi, dan jasmani orang lain. (Mrk. 6:30-32) Sepertimana Yesus berjanji untuk membantu para rasul, dia juga akan membantu kita hari ini. Walaupun kita tidak bersama dengan Yesus, kita masih boleh mendapat manfaat. Sebagai Raja di syurga, Yesus masih menunjukkan kasihnya kepada kita. Maka apabila anda berasa khuatir, “dia dapat membantu” anda ‘semasa anda memerlukan bantuan.’ Ya, kata-kata Yesus dapat membantu anda menangani kesusahan dan memberi anda harapan dan keberanian.​—Ibr. 2:17, 18; 4:16.

SIFAT-SIFAT BUAH DAYA AKTIF TUHAN

7. Apakah manfaatnya apabila kita meminta daya aktif Tuhan?

7 Yesus berjanji bahawa Bapa di syurga akan memberikan daya aktif-Nya kepada mereka yang memintanya. (Luk. 11:10-13) Inilah cara ketiga yang dapat membantu kita mengurangkan kekhuatiran. Bagaimana? Daya aktif Tuhan dapat membantu kita memupuk sifat-sifat positif yang mencerminkan keperibadian Tuhan. (Kol. 3:10) Bible menyebut sifat-sifat ini sebagai “buah daya aktif Tuhan.” (Baca Galatia 5:22, 23.) Apabila anda memupuk buah daya aktif ini, hubungan anda dengan orang lain akan bertambah baik. Maka, anda dapat mengelakkan situasi yang menyebabkan kekhuatiran. Mari kita lihat cara buah daya aktif dapat membantu kita.

8-12. Bagaimanakah buah daya aktif Tuhan dapat membantu anda mengatasi atau mengelakkan situasi yang menyebabkan kekhuatiran?

8 “Kasih, sukacita, kedamaian.” Apabila anda berusaha melayan orang lain dengan kasih dan hormat, anda akan berasa lebih senang untuk mengawal perasaan negatif seperti perasaan marah, geram, dan tertekan. Hal ini membantu anda menikmati kedamaian bersama orang lain. Oleh itu, anda dapat mengurangkan perasaan khuatir.—Rm. 12:10.

9 “Kesabaran, kebaikan hati, kebaikan.” Hubungan damai anda dengan orang lain dapat dipupuk jika mengikut nasihat ini: “Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan. Ampunilah satu sama lain dengan rela hati.” (Ef. 4:32) Dengan berbuat demikian, anda dapat mengelakkan situasi yang menyebabkan kekhuatiran. Anda juga dapat menangani masalah dengan lebih berkesan yang diakibatkan oleh ketidaksempurnaan manusia.

10 “Iman.” Hari ini, kekhuatiran yang kita alami biasanya berkait dengan kewangan dan harta benda. (Ams. 18:11) Namun, iman yang kuat terhadap Yehuwa dapat membantu anda untuk mengatasi atau mengelakkan kekhuatiran sedemikian. Mengapa? Paulus menasihati kita untuk ‘berpuas hati dengan apa yang kita miliki.’ Dia juga berkata, “Tuhan telah berfirman, ‘Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.’ Oleh itu, dengan penuh keberanian kita dapat berkata, ‘Yehuwalah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?’”​—Ibr. 13:5, 6.

11 “Kelemahlembutan, dan kawalan diri.” Mengapakah sifat-sifat ini sangat membantu dalam kehidupan? Hal ini demikian kerana sifat-sifat ini dapat mengelakkan anda daripada melakukan atau mengatakan sesuatu yang anda kemudiannya menyesal. Anda juga dapat mengelakkan “segala rasa dendam yang membara, kemarahan, perasaan berang, jeritan, kata-kata hinaan.” Dengan demikian, anda dapat mengelakkan kekhuatiran.​—Ef. 4:31.

12 Anda memerlukan kerendahan hati untuk tetap berada “di bawah tangan Tuhan yang perkasa.” Anda juga perlu menunjukkan sikap ini agar dapat ‘melemparkan segala kekhuatiran anda kepada Tuhan.’ (1 Ptr. 5:6, 7) Jika anda rendah hati, anda akan bergantung sepenuhnya pada kekuatan Tuhan. (Mi. 6:8) Anda akan mengekalkan pandangan realistik terhadap keupayaan fizikal, mental, dan emosi anda. Oleh itu, anda tidak akan dibelenggu oleh perasaan khuatir.

“JANGANLAH KHUATIR”

13. Apakah maksud Yesus untuk ‘jangan khuatir’?

13 Di Matius 6:34 (baca), Yesus menasihati, “Janganlah khuatir.” Namun, bukanlah senang untuk menerapkan nasihat ini. Jadi, apakah maksud Yesus untuk ‘jangan khuatir’? Jelaslah, dia tidak bermaksud bahawa penyembah Tuhan langsung tidak akan berasa khuatir. Kita sudah melihat bahawa Daud dan Paulus pernah berasa khuatir. Sebaliknya, Yesus sedang membantu para pengikutnya untuk sedar bahawa kekhuatiran yang keterlaluan tidak dapat menyelesaikan masalah. Setiap hari mempunyai cabarannya yang tersendiri, maka orang Kristian tidak perlu khuatir tentang masa lampau atau masa depan. Bagaimanakah anda dapat menerapkan nasihat Yesus untuk mengurangkan kekhuatiran?

14. Bagaimanakah anda dapat menangani kekhuatiran tentang masa lampau?

14 Sesetengah orang berasa khuatir kerana tindakan atau kegagalan mereka pada masa lampau. Mereka masih dibelenggu perasaan bersalah walaupun hal itu sudah lama berlalu. Ada kalanya, Raja Daud berasa ‘lemas dalam banjir dosa.’ Dia mengakui, “Aku mengeluh kerana hatiku susah.” (Mzm. 38:4, 5, 919) Dalam situasi sedemikian, apakah tindakan bijak yang diambil oleh Daud? Dia mempercayai belas kasihan dan pengampunan Yehuwa. Dia berkata dengan yakin, “Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan.”​—Baca Mazmur 32:1-3, 5.

15. (a) Mengapakah anda tidak perlu berasa khuatir tentang masa kini? (b) Apakah langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk mengurangkan kekhuatiran? (Lihat kotak “ Beberapa Langkah Praktikal untuk Mengurangkan Kekhuatiran.”)

15 Kadangkala, anda mungkin berasa khuatir tentang masa kini. Contohnya, apabila Daud menulis Mazmur 55, dia takut dia akan dibunuh. (Mzm. 55:3-6) Walaupun demikian, dia tidak membiarkan kekhuatiran untuk menghancurkan keyakinannya kepada Yehuwa. Dia melemparkan masalahnya kepada Yehuwa melalui doa. Namun, dia juga faham bahawa dia harus mengambil tindakan yang praktikal untuk menangani kekhuatirannya. (2 Sam. 15:30-34) Tirulah teladan Daud. Janganlah membiarkan kekhuatiran untuk melemaskan anda. Sebaliknya, ambillah langkah-langkah praktikal untuk menangani masalah itu dan percayalah bahawa Yehuwa akan membantu anda.

16. Bagaimanakah maksud nama Tuhan menguatkan iman anda?

16 Sesetengah orang Kristian mungkin berasa terlalu khuatir tentang masa depan. Namun, anda tidak perlu dibelenggu oleh kekhuatiran mengenai peristiwa yang belum berlaku. Mengapa? Hal ini demikian kerana biasanya perkara yang bakal berlaku tidak seteruk yang kita jangkakan. Tambahan lagi, tiada situasi yang di luar kawalan Tuhan. Nama-Nya bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” (Kel. 3:14) Maksud nama ilahi ini meyakinkan kita bahawa Tuhan dapat melaksanakan tujuan-Nya bagi umat-Nya. Anda boleh yakin bahawa Tuhan akan memberikan ganjaran kepada umat-Nya yang setia dan membantu mereka menangani kekhuatiran tentang masa lampau, masa kini, dan masa depan.

KOMUNIKASI YANG TERBUKA

17, 18. Bagaimanakah komunikasi terbuka membantu anda menangani kekhuatiran?

17 Cara keempat untuk menangani kekhuatiran adalah mengongsi perasaan kita dengan seseorang yang dipercayai. Pasangan, sahabat, atau penatua boleh membantu kita. Bible berkata, “Kekhuatiran menyebabkan orang berdukacita, tetapi kata-kata yang baik menghiburkan hati.” (Ams. 12:25) Berkomunikasi secara terbuka dan jujur membantu kita untuk lebih memahami situasi kita dan menanganinya. Bible memberitahu, “Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat; rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan.”​—Ams. 15:22.

18 Yehuwa juga membantu kita menerusi perjumpaan mingguan. Di sana, anda boleh bergaul bersama rakan seiman yang saling menggalakkan dan mengambil berat tentang anda. (Ibr. 10:24, 25) Galakan sedemikian akan menguatkan dan membantu anda menangani kekhuatiran.​—Rm. 1:12.

HUBUNGAN DENGAN TUHAN​—SUMBER KEKUATAN TERPENTING

19. Mengapakah anda yakin bahawa hubungan dengan Tuhan dapat menguatkan anda?

19 Perhatikan contoh seorang penatua di Kanada yang melemparkan kekhuatirannya kepada Yehuwa. Sebagai seorang guru sekolah, dia menghadapi banyak tekanan. Dia juga perlu mengatasi masalah gangguan keresahan. Bagaimanakah saudara ini menangani kekhuatirannya? Dia berkata, “Saya berusaha keras untuk menguatkan hubungan saya dengan Yehuwa kerana inilah sumber kekuatan terpenting semasa menghadapi masalah emosi. Sokongan daripada sahabat sejati dan rakan seiman juga penting semasa masalah timbul. Saya juga meluahkan perasaan secara terbuka dan jujur kepada isteri saya. Bantuan para penatua dan penyelia litar membantu saya untuk mempunyai pandangan yang tepat. Saya juga berjumpa dengan doktor, membuat perubahan dalam cara mengatur masa, dan mengekhaskan waktu untuk rekreasi dan senaman. Lama-kelamaan, saya dapat mengawal situasi saya. Apabila terdapat hal yang berada di luar kawalan, saya akan menyerahkannya ke dalam tangan Yehuwa.”

20. (a) Bagaimanakah kita boleh menyerahkan kekhuatiran kepada Yehuwa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Sebagai kesimpulan, kita sudah belajar bahawa kita boleh menyerahkan kekhuatiran kepada Yehuwa dengan berdoa, membaca dan merenungkan Firman Tuhan, memupuk buah daya aktif Tuhan, mengongsi perasaan dengan seseorang yang boleh dipercayai, dan mendapat galakan daripada pergaulan Kristian. Rencana seterusnya membincangkan cara Yehuwa membantu kita dengan menyediakan ganjaran bagi kita.​—Ibr. 11:6.