Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Memberikan Ganjaran kepada Orang yang Mencari-Nya

Yehuwa Memberikan Ganjaran kepada Orang yang Mencari-Nya

“Sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.”​—IBR. 11:6.

LAGU: 85, 134

1, 2. (a) Bagaimanakah kasih dan iman berkait rapat? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

KITA mengasihi Yehuwa “kerana [Dia] menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.” (1 Yoh. 4:19) Satu cara Yehuwa menunjukkan kasih adalah dengan memberkati umat-Nya yang setia. Semakin dalam kasih kita kepada Tuhan, semakin kukuh iman kita kepada-Nya. Kita bukan hanya percaya bahawa Tuhan wujud, tetapi percaya bahawa Dia selalu memberikan ganjaran kepada mereka yang dikasihi-Nya.​—Baca Ibrani 11:6.

2 Yehuwa suka memberikan ganjaran. Hal ini sangat penting bagi-Nya. Bible berkata, “Iman ialah keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.” Hal ini bermaksud jika kita beriman kepada Yehuwa dengan sepenuhnya, kita percaya bahawa Dia akan memberi kita ganjaran. (Ibr. 11:1) Jika kita mempunyai iman, kita yakin bahawa Tuhan akan memberkati kita. Bagaimanakah iman terhadap ganjaran memberi kita manfaat? Bagaimanakah Yehuwa memberikan ganjaran kepada umat-Nya pada masa lalu dan sekarang? Mari kita lihat.

YEHUWA BERJANJI UNTUK MEMBERKATI UMAT-NYA

3. Apakah janji yang terdapat di Maleakhi 3:10?

3 Yehuwa berjanji untuk memberikan ganjaran kepada umat-Nya yang setia, maka kita dijemput untuk mendapatkan berkat-Nya. Yehuwa berkata, “Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik.” (Mal. 3:10) Kita menunjukkan penghargaan kita apabila kita menerima jemputan Yehuwa.

4. Mengapakah kita boleh mempercayai kata-kata Yesus di Matius 6:33?

4 Yesus meyakinkan para pengikutnya bahawa jika mereka mengutamakan Kerajaan Tuhan, Tuhan akan menyokong mereka. (Baca Matius 6:33.) Yesus yakin bahawa janji-janji Tuhan selalu menjadi kenyataan. (Yes. 55:11) Maka, kita boleh yakin bahawa jika kita beriman kepada Yehuwa, Dia akan menepati janji-Nya: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Ibr. 13:5) Janji Yehuwa ini membantu kita mempercayai kata-kata Yesus di Matius 6:33.

Yesus memberitahu para pengikutnya bahawa mereka akan mendapat ganjaran atas pengorbanan mereka (Lihat perenggan 5)

5. Mengapakah jawapan Yesus kepada Petrus membina iman kita?

5 Petrus pernah menanya Yesus, “Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Jadi apakah yang akan kami terima?” (Mat. 19:27) Yesus tidak membetulkan Petrus. Sebaliknya dia memberitahu para pengikutnya bahawa mereka akan diberi ganjaran atas pengorbanan mereka. Para rasul dan orang lain yang setia akan memerintah bersama Yesus di syurga. Namun, terdapat ganjaran pada masa sekarang juga. Yesus berkata, “Sesiapa yang telah meninggalkan rumah atau adik-beradik atau ibu bapa atau anak atau tanah demi namaku akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya, dan mewarisi kehidupan yang kekal.” (Mat. 19:29) Para pengikut Yesus akan mendapat berkat yang jauh lebih banyak daripada pengorbanan mereka. Sememangnya, saudara saudari di sidang yang bagaikan ibu bapa, adik-beradik, dan anak rohani kita adalah jauh lebih bernilai daripada apa yang kita korbankan demi Kerajaan Tuhan.

“BAGAIKAN SAUH BAGI JIWA”

6. Mengapakah Tuhan berjanji untuk memberikan ganjaran kepada penyembah-Nya?

6 Memandangkan Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada penyembah-Nya, hal ini membantu mereka bertahan semasa menghadapi cabaran. Walaupun umat Yehuwa menikmati berkat pada hari ini, mereka akan menerima berkat yang lebih unggul pada masa depan. (1 Tim. 4:8) Ya, jika kita percaya bahawa Tuhan “memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh,” kita akan tetap setia kepada-Nya.​—Ibr. 11:6.

7. Mengapakah harapan diibaratkan sebagai sauh?

7 Semasa memberikan Ceramah Di Atas Gunung, Yesus berkata, “Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga. Ingatlah bahawa nabi-nabi sebelum kamu juga dianiaya dalam cara yang sama.” (Mat. 5:12) Sesetengah umat Tuhan akan naik ke syurga, dan yang lain pula akan “bergembira dan melimpah dengan sukacita” di bumi firdaus. (Mzm. 37:11; Luk. 18:30) Harapan sebegini meneguhkan kita “bagaikan sauh bagi jiwa kita.” (Ibr. 6:17-20) Sepertimana sauh membantu kapal agar tidak hanyut semasa badai melanda, harapan membantu kita mengekalkan kestabilan emosi, mental, dan rohani. Harapan membantu kita berteguh semasa menghadapi kesusahan.

8. Bagaimanakah harapan dapat mengurangkan kekhuatiran?

8 Harapan kita yang berdasarkan Bible dapat mengurangkan kekhuatiran. Sepertimana ubat digunakan untuk melegakan kesakitan, janji-janji Tuhan dapat melegakan hati kita yang resah. Kita boleh ‘menyerahkan kekhuatiran kepada Yehuwa’ kerana ‘Dia akan membela kita.’ Hal ini sangat menghiburkan hati kita! (Mzm. 55:23) Kita boleh yakin bahawa Tuhan akan melakukan “jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.” (Ef. 3:20) Cuba bayangkan, Yehuwa akan memberi kita jauh lebih banyak daripada apa yang kita sangka!

9. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa akan memberkati kita?

9 Untuk menerima ganjaran, kita perlu percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya dan mentaati arahan-Nya. Musa memberitahu bangsa Israel, ‘Yehuwa, Tuhan kamu akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu, jika kamu taat kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dan dengan teliti melaksanakan segala perkara yang aku perintahkan kepada kamu hari ini. Yehuwa akan memberkati kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya.’ (Ul. 15:4-6) Adakah anda benar-benar yakin bahawa Yehuwa akan memberkati anda jika anda tetap menyembah-Nya dengan setia? Sudah tentu Yehuwa akan berbuat demikian.

YEHUWA MEMBERIKAN GANJARAN KEPADA MEREKA

10, 11. Bagaimanakah Yehuwa memberikan ganjaran kepada Yusuf?

10 Bible ditulis untuk manfaat kita. Kisah Bible memberitahu kita bahawa Tuhan memang memberikan ganjaran kepada umat-Nya yang setia. (Rm. 15:4) Salah satu contoh ialah Yusuf. Dia telah dikhianati oleh abang-abangnya. Kemudian, dia difitnah oleh isteri tuannya lalu dipenjarakan. Adakah Yusuf diabaikan Tuhan? Tidak! ‘Yehuwa menolong Yusuf dan tetap mengasihinya, Yehuwa menyertai Yusuf sehingga dia berjaya dalam semua pekerjaannya.’ (Kej. 39:21-23) Walaupun Yusuf menghadapi banyak situasi yang mencabar, dia tetap menantikan Tuhan dengan sabar.

11 Bertahun-tahun kemudian, Firaun membebaskan Yusuf dari penjara dan melantik dia sebagai pemerintah kedua tertinggi di Mesir. (Kej. 41:1, 37-43) Apabila isterinya melahirkan dua orang anak lelaki, ‘Yusuf berkata, “Tuhan sudah membuat aku lupa akan segala penderitaanku dan kaum keluarga bapaku.” Oleh itu dia menamakan anaknya yang sulung “Manasye.” Dia berkata lagi, “Tuhan sudah memberikan anak kepadaku di negeri aku mengalami kesukaran,” lalu dia menamakan anaknya yang kedua “Efraim.”’ (Kej. 41:51, 52) Oleh sebab Yusuf tetap setia kepada Yehuwa, dia telah menyelamatkan bangsa Israel dan orang Mesir daripada mati kebuluran. Yusuf mengakui bahawa Yehuwalah yang memberikan ganjaran dan memberkatinya.​—Kej. 45:5-9.

12. Apakah yang membantu Yesus untuk tetap menunjukkan ketaatan meskipun mengalami cubaan?

12 Yesus Kristus juga telah mendapat ganjaran kerana menunjukkan ketaatan meskipun mengalami pelbagai cubaan. Apakah yang membantunya? Bible berkata, “Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya, dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan dan tidak peduli bahawa hal itu sesuatu yang memalukan.” (Ibr. 12:2) Yesus tentu bersukacita kerana dapat menyucikan nama Yehuwa. Yehuwa memperkenankan Yesus dan memberinya penghormatan sebagai ganjaran. Bible mengatakan bahawa dia “duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.” Bible juga berkata, “Tuhan meninggikan dia kepada kedudukan yang lebih tinggi, dan Tuhan dengan baik hati memberinya nama yang lebih tinggi daripada segala nama yang lain.”​—Flp. 2:9.

YEHUWA TIDAK LUPA KERJA YANG KITA LAKUKAN

13, 14. Apakah perasaan Yehuwa tentang apa yang kita lakukan demi-Nya?

13 Kita boleh yakin bahawa Yehuwa menghargai usaha yang kita curahkan untuk menyembah-Nya. Dia memahami apabila kita berasa kurang yakin atau meragui akan kebolehan diri. Dia mengambil berat apabila kita dibebani masalah kewangan, kesihatan, atau emosi yang dapat mengehadkan khidmat kita kepada-Nya. Walaupun kita menghadapi masalah, kita boleh pasti bahawa Yehuwa menghargai kesetiaan kita.​—Baca Ibrani 6:10, 11.

14 Ingatlah bahawa kita boleh mendekati Individu yang “mengabulkan doa” dan yakin bahawa Dia mengambil berat tentang kerisauan kita. (Mzm. 65:3) “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati” akan memberi kita sokongan emosi dan rohani yang berlimpah. Dia mungkin melakukan hal ini menerusi rakan seiman kita. (2 Kor. 1:3) Apabila kita berbuat baik, hati Yehuwa tersentuh. Bible berkata, ‘Menolong orang miskin sama seperti memberikan pinjaman kepada Yehuwa. Yehuwa sendiri akan membalasnya.’ (Ams. 19:17; Mat. 6:3, 4) Maka, Yehuwa berjanji untuk memberikan ganjaran atas kebaikan hati kita apabila kita rela menghulurkan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

GANJARAN SEKARANG DAN SELAMA-LAMANYA

15. Apakah ganjaran yang anda nantikan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

15 Kaum terurap berpeluang untuk menerima satu mahkota. ‘Mahkota itu adalah untuk orang yang melakukan apa yang benar. Mahkota itu akan diberikan kepada mereka pada hari penghakiman sebagai suatu ganjaran.’ (2 Tim. 4:7, 8) Walaupun bukan semua penyembah Yehuwa akan menerima ganjaran itu, hal ini tidak bermaksud bahawa mereka kurang bernilai di mata Yehuwa. Jutaan “biri-biri lain” menantikan ganjaran untuk hidup kekal di bumi firdaus dan “menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.”​—Yoh. 10:16; Mzm. 37:11.

16. Bagaimanakah 1 Yohanes 3:19, 20 melegakan hati kita?

16 Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa apa yang kita lakukan dalam khidmat kepada Yehuwa hanyalah sedikit. Kita juga mungkin tertanya-tanya sama ada Yehuwa gembira atas usaha kita. Kita mungkin meragui sama ada kita layak menerima apa-apa ganjaran. Ingatlah bahawa “Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.” (Baca 1 Yohanes 3:19, 20.) Jadi, walaupun usaha yang kita curahkan nampaknya sedikit, Yehuwa pasti memberikan ganjaran jika usaha itu didorong oleh iman dan kasih.​—Mrk. 12:41-44.

17. Apakah ganjaran yang kita nikmati sekarang?

17 Walaupun kita hidup dalam dunia Syaitan, Yehuwa sedang memberkati kita sekarang dengan firdaus rohani. Kita menikmati kemakmuran dan pengetahuan yang melimpah daripada Tuhan. (Yes. 54:13) Selain itu, kita memiliki keluarga rohani di seluas dunia seperti yang dijanjikan Yesus. (Mrk. 10:29, 30) Tambahan lagi, mereka yang bersungguh-sungguh mencari Tuhan akan menikmati ketenangan minda, kepuasan, dan kebahagiaan.​—Flp. 4:4-7.

18, 19. Apakah perasaan umat Tuhan tentang ganjaran yang diterima mereka?

18 Umat Yehuwa di seluas dunia telah menikmati ganjaran yang menakjubkan daripada-Nya. Contohnya, Bianca dari Jerman berkata, “Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia berada di samping saya dan membantu saya mengatasi kerisauan. Dunia ini huru-hara dan suram. Tetapi, apabila saya bekerja rapat dengan Yehuwa, saya berasa selamat dalam dakapan-Nya. Apa sahaja pengorbanan yang saya lakukan bagi Yehuwa, Dia pasti memberkati saya seratus kali ganda.”

19 Perhatikan contoh Paula yang berusia 70 tahun dari Kanada. Dia menghidapi penyakit spina bifida dan hal ini mengehadkan pergerakannya. Dia berkata, “Pergerakan saya yang terhad tidak mengehadkan aktiviti penyebaran saya. Saya mengambil kesempatan untuk menyertai pelbagai aspek kerja penyebaran seperti memberikan kesaksian tidak formal atau melalui telefon.” Dia juga mempunyai sebuah buku nota yang mengandungi ayat-ayat Bible dan kata-kata yang menggalakkan daripada bahan bacaan Kristian. Dari masa ke masa, dia membacanya untuk mendapat galakan. Dia menambah, “Perasaan tawar hati hanyalah sementara jika kita berfokus kepada janji Yehuwa. Yehuwa sentiasa membantu kita tidak kira apa jua situasi kita.” Situasi anda mungkin berbeza daripada Paula atau Bianca. Tetapi, fikirkan cara Yehuwa telah memberkati anda dan orang di sekeliling anda. Renungkanlah cara Yehuwa memberikan ganjaran kepada anda sekarang dan pada masa depan!

20. Apakah yang kita nantikan jika kita terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati?

20 Janganlah lupa bahawa doa anda yang ikhlas pasti “akan mendatangkan ganjaran yang besar.” Anda boleh yakin bahawa ‘selepas anda melakukan kehendak Tuhan, anda boleh menerima apa yang telah dijanjikan.’ (Ibr. 10:35, 36) Maka marilah kita terus mengukuhkan iman kita dan berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Kita dapat melakukan hal ini kerana yakin bahawa Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada kita.​—Baca Kolose 3:23, 24.