Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Aku Tahu bahawa Dia Akan Hidup Semula”

“Aku Tahu bahawa Dia Akan Hidup Semula”

‘Kawan kita sudah tidur. Tetapi aku akan pergi ke sana untuk membangunkan dia.’​—YOH. 11:11.

LAGU: 142, 129

1. Marta yakin akan hal apa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

MARTA, sahabat karib dan murid Yesus, sedang berkabung kerana adiknya Lazarus telah meninggal. Apakah yang dapat mengubati kepiluannya? Yesus memberitahunya, “Adik kamu akan hidup semula.” Marta masih bersedih, tetapi kata-kata Yesus telah membantunya bertabah. Marta berkata, “Aku tahu bahawa dia akan hidup semula semasa pembangkitan pada hari terakhir.” (Yoh. 11:20-24) Ya, Marta yakin hal itu akan berlaku pada masa depan. Namun, Yesus telah melakukan mukjizat dan membangkitkan Lazarus pada hari itu juga.

2. Mengapakah anda ingin memiliki keyakinan seperti yang dimiliki Marta?

2 Kita tidak ada sebab untuk berharap agar Yesus atau Bapanya melakukan mukjizat yang sama hari ini. Namun, adakah anda yakin seperti Marta bahawa orang tersayang yang telah meninggal akan dibangkitkan pada masa depan? Mungkin anda telah kehilangan ibu, ayah, datuk, nenek, pasangan hidup, atau anak. Anda menantikan masanya untuk memeluk, bercakap, dan bergurau senda dengan mereka. Seperti Marta, anda mungkin berkata, “Saya tahu dia akan hidup semula semasa pembangkitan.” Namun, setiap orang Kristian patut merenungkan sebabnya keyakinan itu berasas.

3, 4. Bagaimanakah mukjizat yang pernah dilakukan Yesus menguatkan keyakinan Marta?

3 Marta tinggal berhampiran Yerusalem, maka dia mungkin tidak nampak Yesus membangkitkan anak seorang balu dekat kota Nain di Galilea. Namun dia pernah mendengar tentang peristiwa itu. Begitu juga dengan pembangkitan anak perempuan Yairus. Semua orang di rumah Yairus “tahu bahawa gadis itu sudah meninggal,” tetapi apabila Yesus memegang tangannya dan berkata, “Anak kecil, bangunlah!” dia segera bangun. (Luk. 7:11-17; 8:41, 42, 49-55) Marta dan adiknya Maria tahu bahawa Yesus dapat menyembuhkan orang, maka mereka berfikir bahawa jika Yesus ada bersama mereka, Lazarus tidak akan mati. Namun, adakah Lazarus masih ada harapan? Marta mengatakan bahawa Lazarus akan hidup semula pada masa depan, “pada hari terakhir.” Mengapakah dia yakin akan hal itu? Mengapakah anda dapat yakin bahawa orang tersayang anda juga berpeluang dibangkitkan pada masa depan?

4 Marilah kita mengkaji beberapa sebab yang menjadi asas kepada keyakinan itu. Semasa berbuat demikian, anda mungkin akan menemui isi-isi menarik dalam Firman Tuhan yang jarang anda kaitkan dengan harapan pembangkitan.

KISAH YANG MEMBAWA HARAPAN!

5. Apakah yang menguatkan keyakinan Marta bahawa Lazarus akan dibangkitkan?

5 Perhatikan bahawa Marta tidak berkata, “Aku harap dia akan hidup semula.” Sebaliknya dia berkata, “Aku tahu bahawa dia akan hidup semula.” Barangkali, Marta pernah belajar tentang mukjizat pembangkitan bahkan sebelum Yesus mula menginjil. Dia mungkin mendengar tentang hal itu sejak muda lagi di rumah sendiri dan di rumah ibadat, dan itulah yang membina keyakinannya. Mari kita lihat tiga kisah sedemikian.

6. Apakah mukjizat yang pasti diketahui Marta?

6 Kisah pembangkitan yang pertama dalam Bible berlaku pada zaman Nabi Elia. Ketika itu, Tuhan memberi Elia kuasa untuk melakukan mukjizat. Semasa dia berada di Sarfat, sebuah pekan orang Fenisia, seorang balu miskin menunjukkan kemurahan hati kepadanya. Kemudian, Tuhan melakukan mukjizat supaya bekalan tepung dan minyak balu itu tidak habis, agar wanita itu dan anaknya tidak kebuluran. (1 Raj. 17:8-16) Apabila anak itu jatuh sakit dan mati, Elia datang membantu. Sambil menyentuh mayat anak itu, dia berdoa, “Ya Tuhan, hidupkanlah semula anak ini!” Tuhan mengabulkan permohonan Elia, lalu anak itu pun hidup. (Baca 1 Raja-Raja 17:17-24.) Pasti Marta mengetahui mukjizat itu.

7, 8. (a) Bagaimanakah Elisa membantu seorang wanita yang kehilangan anaknya? (b) Daripada mukjizat Elisa, apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?

7 Pembangkitan kedua yang dicatatkan dalam Bible dilakukan oleh Nabi Elisa, pengganti Elia. Seorang wanita Israel yang kaya di Sunem sangat baik hati kepada Elisa. Maka Tuhan mengurniakan seorang anak kepada wanita yang mandul itu dan suaminya yang berusia. Beberapa tahun kemudian, anak itu meninggal. Bayangkan betapa sedihnya ibu itu! Dengan izin suaminya, wanita itu pergi sejauh 30 km untuk mencari Elisa di Gunung Karmel. Elisa menyuruh pembantunya Gehazi pergi ke Sunem dahulu, tetapi Gehazi tidak dapat membangkitkan budak itu. Kemudian, Elisa dan ibu budak itu tiba.​—2 Raj. 4:8-31.

8 Setelah Elisa berdoa kepada Tuhan, budak itu hidup semula dan kembali ke pangkuan ibunya! (Baca 2 Raja-Raja 4:32-37.) Ibunya mungkin mengingat doa yang diucapkan Hana semasa dia membawa Samuel ke khemah suci: ‘Yehuwa menghantar manusia ke dunia orang mati, dan Dia juga membawa mereka kembali.’ (1 Sam. 2:6) Sesungguhnya, Yehuwa telah membangkitkan budak itu dan membawanya kembali dari alam maut!

9. Jelaskan bagaimana Elisa juga terlibat dalam kisah pembangkitan yang ketiga dalam Bible.

9 Satu lagi mukjizat yang menakjubkan berlaku selepas Elisa meninggal. Setelah berkhidmat sebagai nabi selama lebih daripada 50 tahun, Elisa sakit tenat dan akhirnya meninggal. Beberapa waktu kemudian, semasa orang Israel hendak menguburkan mayat seorang lelaki, musuh tiba-tiba datang. Mereka tergesa-gesa melemparkan mayat itu ke dalam kubur Elisa lalu melarikan diri. Bible menyatakan, “Sebaik sahaja mayat itu terkena pada tulang-tulang Elisa, mayat itu hidup semula dan berdiri tegak.” (2 Raj. 13:14, 20, 21) Kisah-kisah pembangkitan sebegini pasti sangat menggalakkan Marta! Bagaimana pula dengan anda? Tidakkah anda juga diyakinkan bahawa kuasa Tuhan tidak terbatas dan bahkan dapat mengalahkan maut?

KISAH PADA ABAD PERTAMA

10. Bagaimanakah Petrus membantu seorang saudari yang telah meninggal?

10 Kitab Yunani Kristian juga mengisahkan pembangkitan yang disaksikan oleh hamba-hamba Tuhan. Contohnya, Yesus telah membangkitkan orang semasa di luar kota Nain dan semasa di rumah Yairus. Rasul Petrus telah membangkitkan seorang wanita Kristian yang bernama Dorkas (Tabita). Apabila Petrus datang ke tempat mayat Tabita diletakkan, dia berdoa lalu berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita segera hidup semula, lalu Petrus ‘menunjukkan kepada orang Kristian lain bahawa Tabita sudah hidup.’ Peristiwa itu membuat “ramai orang mula percaya kepada Tuan Yesus.” Kini, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa Yesus telah bangkit dan bahawa mereka telah nampak dengan mata sendiri bahawa Yehuwa dapat membangkitkan orang mati.​—Kis. 9:36-42.

11. Apakah yang dilaporkan oleh Lukas mengenai seorang pemuda? Apakah kesan peristiwa itu terhadap orang lain?

11 Terdapat satu lagi kisah pembangkitan yang berlaku di Troas, yang sekarang terletak di barat laut Turki. Pada suatu malam, Rasul Paulus mengadakan perjumpaan di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia berucap sehingga tengah malam. Pada masa itu, seorang pemuda yang bernama Eutikhus duduk di jendela sambil mendengar. Tetapi dia terlelap lalu jatuh dari tingkat tiga. Lukas, yang merupakan seorang doktor, mungkin ialah orang pertama yang pergi melihat keadaan Eutikhus. Dia mendapati Eutikhus bukan sahaja cedera dan tidak sedarkan diri, tetapi sudah mati! Kemudian, Paulus turun, memeluk mayat itu, dan berkata, “Dia masih hidup.” Bayangkan perasaan orang yang melihat kejadian itu! “Mereka sangat terhibur” apabila melihat pemuda itu dibangkitkan.​—Kis. 20:7-12.

HARAPAN YANG KUKUH

12, 13. Berdasarkan kisah pembangkitan yang telah dibincangkan, apakah soalan-soalan yang boleh kita fikirkan?

12 Kisah-kisah tadi tentu memberi anda keyakinan yang sama seperti Marta. Kita boleh percaya bahawa Tuhan kita, yang memberi kita kehidupan, dapat membangkitkan orang mati. Yang menarik, setiap kali Yehuwa melakukan pembangkitan, terdapat seorang penyembah-Nya yang berada di situ, seperti Elia, Yesus, atau Petrus. Itulah yang berlaku pada zaman Yehuwa melakukan mukjizat pembangkitan. Bagaimana pula dengan orang yang mati pada zaman lain, ketika mukjizat sebegini tidak dilakukan? Adakah penyembah Tuhan yang setia akan dibangkitkan pada masa depan? Dapatkah mereka memiliki keyakinan yang sama seperti Marta yang berkata, “Aku tahu bahawa [adikku] akan hidup semula semasa pembangkitan pada hari terakhir”? Mengapakah Marta yakin akan hal itu? Bagaimana pula dengan anda?

13 Terdapat beberapa catatan Bible yang menunjukkan bahawa hamba Yehuwa yang setia percaya bahawa pembangkitan akan berlaku pada masa depan. Mari kita lihat beberapa contoh.

14. Apakah yang kita pelajari tentang pembangkitan daripada kisah Abraham?

14 Fikirkan perintah Tuhan kepada Abraham mengenai anaknya, Ishak, iaitu waris yang dinantikan Abraham. Yehuwa berfirman, “Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi. . . . Persembahkanlah anakmu sebagai korban.” (Kej. 22:2) Bayangkan perasaan Abraham. Yehuwa telah berjanji bahawa melalui keturunannya, semua bangsa akan mendapat berkat. (Kej. 13:14-16; 18:18; Rm. 4:17, 18) Yehuwa juga berfirman bahawa berkat itu akan datang “daripada Ishak.” (Kej. 21:12) Jadi, bagaimana mungkin hal itu akan berlaku jika Ishak dipersembahkan sebagai korban? Paulus menjelaskan bahawa Abraham sebenarnya percaya bahawa Tuhan dapat membangkitkan Ishak daripada kematian. (Baca Ibrani 11:17-19.) Bible tidak mengatakan bahawa Abraham sangka Ishak akan dibangkitkan dalam masa beberapa jam, hari, atau minggu. Walaupun Abraham tidak tahu bila Ishak akan dibangkitkan, dia yakin Yehuwa pasti membangkitkan anaknya.

15. Apakah harapan yang dimiliki oleh Ayub?

15 Ayub juga menantikan pembangkitan pada masa depan. Dia tahu bahawa jika sebatang pokok ditebang, pokok itu dapat tumbuh lagi seperti pokok muda. Namun, manusia tidak seperti itu. (Ayb. 14:7-12; 19:25-27) Orang mati tidak dapat membangkitkan diri sendiri dari kuburan lalu hidup semula. (2 Sam. 12:23; Mzm. 89:49) Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa Tuhan tidak dapat membangkitkan manusia. Sebaliknya, Ayub yakin bahawa Yehuwa akan mengingatinya. (Baca Ayub 14:13-15.) Ayub tidak tahu bila hal itu akan berlaku. Tetapi, dia percaya bahawa Tuhan yang menciptakan nyawa manusia mampu dan akan mengingati dan membangkitkannya.

16. Apakah galakan yang disampaikan oleh malaikat kepada Daniel?

16 Daniel, seorang lagi hamba Tuhan yang setia, telah menyembah Tuhan selama puluhan tahun. Yehuwa menggalakkan Daniel dengan mengutus satu malaikat untuk memberitahunya bahawa dia ‘dikasihi Tuhan.’ Dia juga digesa agar “jangan takut dan jangan cemas.”​—Dan. 9:22, 23; 10:11, 18, 19.

17, 18. Apakah janji Yehuwa mengenai masa depan Daniel?

17 Masa itu, Daniel berumur hampir 100 tahun dan sudah berada di akhir hayatnya, jadi dia mungkin berfikir tentang masa depannya. Adakah Daniel juga akan dibangkitkan dan hidup semula? Sudah tentu! Bab terakhir dalam buku Daniel mencatatkan janji Tuhan kepadanya yang berbunyi, “Hendaklah kamu tetap teguh sampai akhir. Kamu akan berehat.” (Dan. 12:13, NW) Daniel tahu bahawa orang mati ‘tiada fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat,’ dan seperti sedang berehat. (Pkh. 9:10) Walaupun Daniel akan berehat di kuburan tidak lama lagi, itu bukan akhir segala-galanya kerana Yehuwa telah berjanji untuk memberinya masa depan yang indah.

18 Malaikat Yehuwa juga berkata kepada Daniel, “Engkau akan bangkit untuk menerima ganjaranmu pada akhir zaman.” Daniel tidak tahu secara spesifik bila hal itu akan berlaku. Namun dia tahu bahawa dia akan berehat dalam kematian, dan dia akan ‘bangkit untuk menerima ganjaran.’ Pembangkitannya akan berlaku lama selepas dia meninggal, iaitu pada “akhir zaman.”

Seperti Marta, anda boleh yakin akan pembangkitan (Lihat perenggan 19, 20)

19, 20. (a) Apakah kaitan antara kisah-kisah yang kita bincangkan dengan pernyataan Marta kepada Yesus? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

19 Sememangnya, Marta memiliki alasan yang kukuh untuk percaya bahawa Lazarus, iaitu adiknya yang setia, akan ‘bangkit pada akhir zaman.’ Janji Yehuwa kepada Daniel dan iman Marta kepada pembangkitan pada masa depan patut meyakinkan kita bahawa pembangkitan pasti akan berlaku.

20 Melalui kisah pada masa silam, kita belajar bahawa pembangkitan memang pernah berlaku, dan bahawa hamba-hamba Tuhan yakin akan pembangkitan pada masa depan. Semua itu menunjukkan bahawa pembangkitan bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun, apakah buktinya bahawa pembangkitan yang dijanjikan lama dahulu akan berlaku? Bilakah pembangkitan akan berlaku? Soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.