Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ibu Bapa​—Bantulah Anak Anda Mendapat Kebijaksanaan yang Membawa Penyelamatan

Ibu Bapa​—Bantulah Anak Anda Mendapat Kebijaksanaan yang Membawa Penyelamatan

“Sejak bayi lagi, kamu telah mengenal tulisan-tulisan suci yang dapat membantu kamu menjadi bijaksana, dan yang membawa penyelamatan.”​—2 TIM. 3:15.

LAGU: 141, 134

1, 2. Mengapakah sesetengah ibu bapa risau apabila anak mereka ingin membaktikan diri dan dibaptis?

ANTARA ribuan pelajar Bible yang membaktikan diri dan dibaptis, terdapat ramai anak muda yang dibesarkan dalam kebenaran, yang ingin memilih jalan hidup terbaik. (Mzm. 1:1-3) Sebagai ibu atau bapa Kristian, anda pasti menantikan hari pembaptisan anak anda.​—Bandingkan 3 Yohanes 4.

2 Namun, anda mungkin risau kerana sesetengah anak muda yang dibaptis kemudiannya mula meragui sama ada piawaian Tuhan benar-benar bermanfaat atau tidak. Ada yang bahkan meninggalkan kebenaran. Jadi, anda mungkin risau anak anda akan mula mengikut haluan Kristian tetapi kemudian tidak lagi mencintai kebenaran, seperti ahli sidang Efesus yang kehilangan ‘kasih yang dimiliki mereka pada mulanya.’ (Why. 2:4) Bagaimanakah anda dapat mengelakkan hal sebegitu dan membantu anak anda “membesar lalu mendapat penyelamatan”? (1 Ptr. 2:2) Mari kita lihat contoh Timotius.

“KAMU TELAH MENGENAL TULISAN-TULISAN SUCI”

3. (a) Bagaimanakah Timotius menjadi orang Kristian dan membuat kemajuan rohani? (b) Apakah tiga perkara yang disebut oleh Paulus dalam nasihatnya kepada Timotius?

3 Timotius mungkin mula belajar tentang ajaran Yesus pada tahun 47 M, ketika Paulus melawat ke Listra buat kali pertama. Meskipun Timotius masih muda, dia menerapkan apa yang dipelajarinya. Dua tahun kemudian, dia mula mengembara bersama Paulus. Sekitar 16 tahun selepas itu, Paulus menulis kepada Timotius, “Hendaklah kamu terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan. Kamu tahu siapa yang mengajarkannya kepada kamu dan sejak bayi lagi, kamu telah mengenal tulisan-tulisan suci [Kitab Ibrani] yang dapat membantu kamu menjadi bijaksana, dan yang membawa penyelamatan kerana kamu beriman kepada Kristus Yesus.” (2 Tim. 3:14, 15) Perhatikan bahawa Paulus menyebut tentang (1) mengenal tulisan-tulisan suci, (2) percaya selepas diyakinkan, dan (3) menjadi bijaksana dan diselamatkan kerana beriman kepada Kristus Yesus.

4. Apakah alat bantuan yang anda dapati berguna untuk mengajar anak-anak kecil? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Sebagai ibu bapa Kristian, anda ingin anak anda mengenali tulisan-tulisan suci, yang merangkumi Kitab Ibrani dan Kitab Yunani Kristian. Biarpun anak anda masih kecil, mereka dapat diajar pengetahuan asas tentang watak dan peristiwa Bible. Organisasi Yehuwa telah menyediakan pelbagai alat bantuan untuk tujuan itu. Apakah beberapa alat yang tersedia dalam bahasa anda? Ingatlah, pengetahuan Bible merupakan asas untuk membina hubungan yang akrab dengan Yehuwa.

‘PERCAYA SELEPAS DIYAKINKAN’

5. (a) Timotius yakin akan hal apa? (b) Bagaimanakah keyakinan Timotius terhadap berita baik mempengaruhinya?

5 Pengetahuan tentang tulisan suci memang penting, tetapi sekadar mengetahui watak dan peristiwa dalam Bible tidak cukup. Timotius mempercayai Firman Tuhan “selepas diyakinkan.” Ya, Timotius amat yakin bahawa apa yang dipelajarinya ialah kebenaran. Dia memang sudah mengenal Kitab Ibrani sejak bayi lagi, tetapi dia kemudiannya meneliti bukti-bukti yang ada dan diyakinkan bahawa Yesus ialah Mesias. Keyakinan Timotius tentang berita baik menjadi begitu kuat sehingga mendorongnya untuk dibaptis dan menyertai Paulus dalam kerja mubaligh.

6. Bagaimanakah anda dapat meyakinkan anak anda bahawa apa yang dipelajari mereka daripada Bible dapat dipercayai?

6 Apakah yang dapat anda lakukan supaya anak-anak anda menjadi seperti Timotius, yang ‘percaya selepas diyakinkan’? Mula-mula, anda perlu sabar. Keyakinan tidak terhasil dalam sehari, dan keyakinan anda tidak dapat diturunkan kepada anak secara automatik. Setiap anak perlu menggunakan “daya pemikiran” sendiri untuk membina keyakinan terhadap kebenaran Bible. (Baca Roma 12:1.) Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang penting untuk membantu anak membina keyakinan itu, terutamanya semasa mereka menanyakan soalan. Perhatikan contoh berikut.

7, 8. (a) Bagaimanakah seorang ayah mengajar anak perempuannya dengan sabar? (b) Bilakah masanya anda perlu menunjukkan kesabaran sedemikian?

7 Thomas mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 11 tahun. Dia berkata, “Anak saya pernah tanya, ‘Mungkinkah Yehuwa guna evolusi untuk menghasilkan hidupan di bumi?’ dan ‘Mengapakah kita tidak terlibat dalam aktiviti yang dapat membantu masyarakat, seperti mengundi?’” Thomas mengakui bahawa ada kalanya dia perlu menahan diri daripada memberitahu anaknya apa yang harus dipercayai. “Keyakinan tidak dibina dengan satu fakta yang besar, tetapi dengan banyak bukti yang kecil,” katanya.

8 Thomas tahu bahawa dia perlu mengajar anaknya dengan sabar. Sebenarnya, semua orang Kristian perlu bersabar. (Kol. 3:12) Untuk membina keyakinan anak perempuannya terhadap apa yang dipelajarinya, Thomas perlu mengadakan banyak sesi perbincangan dengannya dan menjelaskan ajaran Bible. Thomas berkata, “Saya dan isteri ingin tahu sama ada anak kami benar-benar percaya ajaran penting yang disampaikan dan sama ada ajaran itu masuk akal baginya atau tidak. Baguslah jika dia ada soalan. Jika dia terima sahaja tanpa bertanya, itu akan buat saya risau.”

9. Bagaimanakah anda dapat menanamkan Firman Tuhan dalam hati anak anda?

9 Apabila ibu bapa mengajar dengan sabar, anak-anak akan beransur-ansur memahami “betapa lebarnya, betapa panjangnya, betapa tingginya, dan betapa dalamnya” kepercayaan kita. (Ef. 3:18) Semasa mengajar, pertimbangkanlah usia dan kemampuan mereka. Setelah mereka diyakinkan bahawa apa yang dipelajari ialah kebenaran, mereka akan semakin mahir mempertahankan kepercayaan sendiri di hadapan orang lain, termasuk rakan sekolah. (1 Ptr. 3:15) Contohnya, dapatkah anak anda menjelaskan daripada Bible keadaan sebenar orang mati? Adakah penjelasan Bible masuk akal bagi mereka? * Kesabaran diperlukan untuk menanamkan Firman Tuhan dalam hati anak anda, tetapi usaha itu amat berbaloi.​—Ul. 6:6, 7.

10. Apakah yang harus kita ingat semasa mengajar anak?

10 Sudah pasti, teladan anda juga sangat penting untuk membina keyakinan anak-anak. Stephanie, yang mempunyai tiga orang anak perempuan, berkata, “Sejak mereka kecil lagi, saya perlu tanya diri, ‘Adakah saya memberitahu mereka mengapa saya yakin akan kewujudan Yehuwa, kasih-Nya, dan haluan-Nya yang benar? Dapatkah anak-anak saya nampak bahawa saya mengasihi Yehuwa?’ Jika saya tidak diyakinkan, bagaimana mereka akan yakin?”

KEBIJAKSANAAN YANG MEMBAWA PENYELAMATAN

11, 12. Apakah itu kebijaksanaan? Mengapakah umur tidak semestinya menentukan kebijaksanaan seseorang?

11 Kita telah belajar bahawa Timotius (1) mengetahui Firman Tuhan dan (2) yakin akan kepercayaannya. Namun, apakah maksud Paulus semasa menulis bahawa tulisan-tulisan suci dapat membantu Timotius “menjadi bijaksana” dan “membawa penyelamatan”?

12 Buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures), Jilid 2, menjelaskan bahawa dalam Bible, kebijaksanaan merangkumi “kebolehan menggunakan pengetahuan dan pengertian dengan baik untuk menyelesaikan masalah, mengelakkan bahaya, mencapai matlamat, atau memberikan nasihat tentang cara berbuat demikian.” Bible menyatakan bahawa “kebodohan memang ada dalam hati seorang anak.” (Ams. 22:15, NW) Kebijaksanaan ialah lawan kebodohan dan merupakan satu ciri kematangan. Umur seseorang bukanlah penentu utama kematangan rohaninya. Sebaliknya, apabila dia menghormati Yehuwa dan rela mentaati perintah-Nya, itulah bukti bahawa dia matang secara rohani.​—Baca Mazmur 111:10.

13. Bagaimanakah seorang yang muda dapat menunjukkan bahawa dia memiliki kebijaksanaan yang membawa penyelamatan?

13 Anak muda yang matang secara rohani tidak dipengaruhi keinginan sendiri atau tekanan rakan sebaya sehingga “terumbang-ambing seperti perahu yang dipukul ombak.” (Ef. 4:14) Sebaliknya, “daya penilaian mereka” sedang dilatih untuk “membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.” (Ibr. 5:14) Dengan membuat keputusan yang bijak, bahkan semasa tidak dilihat ibu bapa atau orang dewasa lain, mereka menunjukkan bahawa mereka semakin matang. (Flp. 2:12) Kebijaksanaan sebegitu membawa penyelamatan. (Baca Amsal 24:14.) Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda memperoleh kebijaksanaan itu? Beritahulah mereka prinsip Bible yang menjadi pegangan anda dan buktikanlah hal itu melalui kata-kata dan perbuatan anda.​—Rm. 2:21-23.

Mengapakah ibu bapa perlu terus mencurahkan usaha? (Lihat perenggan 14-18)

14, 15. (a) Apakah yang harus difikirkan oleh anak muda yang ingin dibaptis? (b) Ibu bapa, bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak memikirkan berkat yang diraih jika mereka mematuhi Yehuwa?

14 Namun, sekadar memberitahu anak-anak anda apa yang benar dan salah tidak memadai. Bantulah mereka memikirkan soalan seperti: “Mengapakah Bible melarang sesetengah hal yang nampaknya seronok? Mengapakah saya yakin bahawa prinsip Bible sentiasa membawa manfaat kepada saya?”​—Yes. 48:17, 18.

15 Jika anak anda ingin dibaptis, bantulah dia memikirkan perasaannya terhadap tanggungjawab sebagai orang Kristian. Apakah manfaatnya? Apakah cabaran yang mungkin dihadapi? Mengapakah manfaat yang diraih berbaloi walaupun ada cabaran? (Mrk. 10:29, 30) Memandangkan dia akan menghadapi cabaran selepas dibaptis, dia perlu merenungkan soalan-soalan itu terlebih dahulu. Bantulah anak-anak memikirkan berkat yang diraih jika mereka mematuhi Yehuwa dan akibatnya jika mereka mengingkari-Nya. Dengan itu, kita sedang membantu mereka memupuk keyakinan dalam hati mereka bahawa prinsip Bible selalu bermanfaat untuk mereka.​—Ul. 30:19, 20.

APABILA ANAK MUDA BERASA RAGU-RAGU

16. Apakah yang harus diingat oleh ibu bapa jika anak mereka yang sudah dibaptis mula meragui kepercayaannya?

16 Jika anak anda mula menyuarakan keraguannya tentang kebenaran selepas dibaptis, apakah yang dapat dilakukan? Contohnya, dia mungkin tertarik dengan dunia ini atau tertanya-tanya sama ada prinsip Bible ialah panduan hidup yang terbaik atau tidak. (Mzm. 73:1-3, 12, 13) Sebagai ibu bapa, ingatlah bahawa reaksi anda dapat membuat anak anda berpegang lebih erat pada kepercayaan anda atau meninggalkannya. Maka, tidak kira dia kanak-kanak atau remaja, janganlah berperang dengannya tentang isu itu. Berfokuslah untuk membantunya merasai sokongan dan kasih anda.

17, 18. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak muda yang ada keraguan tentang kebenaran?

17 Anak muda yang terbaptis telah membaktikan diri kepada Yehuwa dan berjanji untuk mengasihi Tuhan dan mengutamakan kehendak-Nya. (Baca Markus 12:30.) Yehuwa memandang serius janji itu, dan sesiapa sahaja yang membuat janji itu harus menunaikannya. (Pkh. 5:3, 4) Anda mungkin ingin mengingatkan anak anda tentang hal tersebut. Namun, sebelum itu, kajilah maklumat yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk ibu bapa. Kemudian, pada masa dan dengan cara yang sesuai, bantulah anak anda sedar bahawa keputusannya untuk membaktikan diri dan dibaptis merupakan langkah yang serius tetapi akan membawa banyak berkat.

18 Lampiran yang bertajuk “Pertanyaan Ibu Bapa” di belakang buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask​Answers That Work), Jilid 1, mengandungi nasihat berikut: “Jangan segera menyimpulkan bahawa anak muda anda telah menolak kepercayaan anda. Sering kali, terdapat isu di sebalik reaksinya.” Mungkin dia menghadapi tekanan rakan sebaya, berasa sunyi, atau berasa remaja Kristian lain lebih maju daripadanya secara rohani. Lampiran itu juga menyatakan bahawa isu sebegitu bukanlah tanda bahawa anak anda tidak setuju dengan ajaran agama anda. Sebaliknya, reaksi mereka biasanya disebabkan cabaran yang dihadapi semasa ingin hidup menurut ajaran itu. Rencana itu kemudiannya menyebut beberapa cadangan untuk membantu anak remaja yang ada keraguan tentang kebenaran.

19. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak memperoleh kebijaksanaan yang membawa penyelamatan?

19 Sebagai ibu bapa, anda diberi tanggungjawab yang berat dan penghormatan yang istimewa untuk membesarkan anak “dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Ef. 6:4) Hal itu bermaksud anda bukan sahaja perlu memberitahu mereka ajaran Bible, malah perlu membina keyakinan mereka terhadap apa yang dipelajari. Keyakinan itu haruslah begitu kuat sehingga menggerakkan mereka untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Semoga Firman Yehuwa, kuasa suci-Nya, dan usaha gigih anda, membantu anak anda memperoleh kebijaksanaan yang membawa penyelamatan.

^ per. 9 Panduan pembelajaran “Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?” sangat berguna untuk membantu orang muda dan orang dewasa memahami dan menjelaskan kebenaran Bible. Panduan ini terdapat dalam banyak bahasa di jw.org. Lihat AJARAN BIBLE > ALAT BANTU PEMBELAJARAN BIBLE.