Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

“Meninggalkan Segala-galanya, lalu Mengikut Yesus”

“Meninggalkan Segala-galanya, lalu Mengikut Yesus”

“Kalau kamu pergi menginjil, kamu jangan pulang. Kalau kamu pulang, ayah patahkan kaki kamu.” Disebabkan ugutan ayah itu, saya putuskan untuk tinggalkan rumah. Itulah kali pertama saya meninggalkan sesuatu agar dapat mengikut Tuan Yesus. Masa itu, saya baru berumur 16 tahun.

APAKAH yang berlaku? Biar saya jelaskan. Saya lahir pada 29 Julai 1929, dan membesar di sebuah kampung di daerah Bulacan, Filipina. Kami hidup miskin kerana kemelesetan ekonomi masa itu. Semasa saya remaja, peperangan telah berlaku apabila tentera Jepun menyerang Filipina. Namun, kampung kami kurang merasai bahang peperangan kerana terletak di pedalaman. Kami tiada radio, televisyen, dan surat khabar, jadi kami dengar berita tentang perang melalui cerita orang lain.

Saya anak kedua antara lapan orang adik beradik, dan saya mula tinggal bersama datuk nenek pada umur lapan tahun. Walaupun kami beragama Katolik, Datuk suka berbincang tentang agama lain dan menerima banyak buku agama daripada kawannya. Datuk pernah menunjukkan kepada saya Bible dan buku kecil Protection, Safety, dan Uncovered, * dalam bahasa Tagalog. Saya suka membaca Bible, terutamanya kisah tentang Yesus. Hal itu mendorong saya untuk meniru teladannya.​—Yoh. 10:27.

BELAJAR UNTUK MENGIKUT TUAN YESUS

Tentera Jepun meninggalkan Filipina pada tahun 1945. Pada masa itu, saya kembali ke rumah ibu bapa kerana disuruh oleh ibu bapa dan datuk saya.

Pada Disember 1945, Saksi-Saksi Yehuwa dari Angat menginjil di kampung kami. Seorang Saksi yang tua datang ke rumah kami dan menjelaskan tentang “hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1-5) Dia menjemput kami menghadiri pembelajaran Bible di kampung terdekat. Walaupun ibu bapa saya tidak pergi, saya tetap hadir. Di sana, terdapat kira-kira 20 orang dan ada antara mereka yang menanyakan soalan Bible.

Oleh sebab saya tidak berapa faham apa yang dikatakan mereka, saya ingin beredar. Tetapi ketika itu, mereka mula menyanyikan lagu teokratik. Saya suka lagu itu, maka saya tidak beredar. Selepas lagu dan doa, hadirin dijemput untuk menghadiri perjumpaan di Angat pada Ahad berikutnya.

Beberapa orang antara kami berjalan kira-kira lapan kilometer untuk menghadiri perjumpaan di rumah keluarga Cruz. Terdapat kira-kira 50 orang di sana, dan saya kagum apabila melihat anak-anak memberikan komen tentang topik Bible yang susah. Setelah menghadiri beberapa perjumpaan, Saudara Damien Santos, seorang perintis tua yang pernah menjadi datuk bandar, menjemput saya bermalam di rumahnya. Kami menghabiskan banyak masa untuk membincangkan Bible.

Pada masa itu, ramai membuat kemajuan yang cepat selepas belajar pengetahuan Bible yang asas. Setelah menghadiri perjumpaan buat beberapa kali, saudara di situ tanya kami, “Kamu mahu dibaptis?” Saya menjawab, “Ya.” Saya mahu ‘abdikan diri kepada Tuan kita, Kristus.’ (Kol. 3:24) Kami pergi ke sungai terdekat dan dua antara kami dibaptis pada 15 Februari 1946.

Kami sedar bahawa sebagai orang Kristian terbaptis, kami perlu menginjil dengan kerap seperti Yesus. Tetapi ayah tidak suka dan dia berkata, “Kamu terlalu muda. Lagipun, direndam dalam sungai tidak membuatmu jadi penginjil.” Saya jelaskan bahawa Tuhan ingin kami mengkhabarkan berita baik Kerajaan-Nya. (Mat. 24:14) Saya juga berkata, “Saya mahu tunaikan ikrar saya kepada Tuhan.” Tetapi, ayah mengancam saya seperti yang diceritakan tadi. Itulah kali pertama saya perlu meninggalkan sesuatu untuk mengejar matlamat rohani.

Keluarga Cruz menjemput saya untuk tinggal dengan mereka di Angat. Mereka juga menggalakkan saya dan anak perempuan mereka, Nora, untuk merintis. Maka, kami mula merintis pada 1 November 1947. Nora merintis di pekan lain, dan saya pula di Angat.

SATU LAGI PELUANG UNTUK BERKHIDMAT

Pada tahun ketiga saya merintis, Saudara Earl Stewart dari pejabat cawangan telah menyampaikan ceramah kepada lebih daripada 500 orang di kawasan awam di Angat. Dia berucap dalam bahasa Inggeris dan selepas itu saya merumuskan ceramahnya dalam bahasa Tagalog. Saya hanya menerima pendidikan selama tujuh tahun, tetapi cikgu kami sering berbahasa Inggeris. Selain itu, memandangkan kami tidak ada banyak bahan bacaan Bible dalam bahasa Tagalog, saya selalu membacanya dalam bahasa Inggeris. Semua itu membolehkan saya menterjemahkan ceramah pada hari itu dan pada kemudian hari.

Pada hari saya menjadi jurubahasa Saudara Stewart, dia memberitahu sidang bahawa pejabat cawangan ingin menjemput satu atau dua orang saudara perintis untuk membantu di Bethel ketika para mubaligh pergi ke Amerika Syarikat untuk menghadiri Perhimpunan Pertambahan Teokratik tahun 1950. Saya salah seorang saudara yang dijemput. Maka, saya perlu meninggalkan kehidupan saya di Angat, tetapi kali ini untuk kerja Bethel.

Pada 19 Jun 1950, saya tiba di Bethel dan mula bekerja. Bethel merupakan sebuah rumah lama yang besar, yang dikelilingi pokok besar dan yang terletak di tanah seluas dua ekar setengah. Terdapat kira-kira 12 orang saudara bujang di situ. Pada awal pagi, saya membantu bahagian dapur. Kemudian, dari jam sembilan pagi, saya menyeterika baju di dobi. Rutin saya pada sebelah petang juga begitu. Setelah para mubaligh kembali daripada perhimpunan antarabangsa, saya terus berkhidmat di Bethel. Saya melakukan apa sahaja tugas yang diberikan, seperti membungkus majalah yang akan dikirim, menguruskan langganan bahan bacaan, dan menjadi penyambut tetamu.

MENINGGALKAN FILIPINA UNTUK MENGHADIRI SEKOLAH GILEAD

Pada tahun 1952, saya dan enam orang saudara dari Filipina dijemput ke kelas ke-20 Sekolah Gilead. Kami mendapat banyak pengalaman yang baharu dan aneh di Amerika Syarikat, dan kehidupan di situ cukup berbeza daripada kehidupan di kampung saya.

Bersama pelajar Gilead yang lain

Contohnya, kami perlu belajar menggunakan alat dan perlengkapan yang tidak pernah kami lihat. Cuaca di situ juga sangat berbeza! Pada suatu pagi, saya bangun dan nampak di luar semuanya berwarna putih. Itulah pertama kali saya nampak salji! Kemudian saya tahu bahawa salji itu sangat sejuk.

Tetapi semua perubahan itu dilupakan kerana saya begitu menikmati latihan Sekolah Gilead. Para pengajar menggunakan cara mengajar yang efektif. Kami belajar cara untuk membuat penyelidikan dan pembelajaran. Semua latihan itu membantu saya menjadi kuat secara rohani.

Selepas tamat latihan, saya mendapat tugasan sementara sebagai perintis khas di Bronx, Bandar Raya New York. Maka, saya dapat menghadiri Perhimpunan New World Society di situ pada Julai 1953. Selepas perhimpunan itu, saya kembali berkhidmat di Filipina.

MENINGGALKAN KESELESAAN HIDUP DI KOTA

Saudara-saudara di pejabat cawangan berkata, “Kamu akan jadi penyelia litar.” Tugasan baharu itu telah memberi saya peluang untuk mengikut jejak Tuan Yesus, yang melawat ke pekan dan kota yang jauh untuk membantu kawanan Yehuwa. (1 Ptr. 2:21) Kawasan litar saya meliputi wilayah Bulacan, Nueva Ecija, Tarlac, Zambales, dan bahagian lain di Luzon tengah, iaitu pulau terbesar di Filipina. Untuk melawat sesetengah pekan, saya perlu merentasi Pergunungan Sierra Madre, dan tiada pengangkutan awam yang tersedia, jadi saya akan meminta izin pemandu lori untuk duduk di atas longgokan kayu balak yang dibawa mereka. Biasanya mereka akan setuju, tetapi perjalanannya tidak selesa.

Kebanyakan sidang di situ kecil dan baharu. Jadi para saudara gembira apabila saya membantu mereka mengaturkan perjumpaan dan kerja penyebaran dengan lebih baik.

Kemudian saya ditugaskan ke litar yang merangkumi seluruh kawasan Bicol. Ada banyak kumpulan terpencil di situ. Perintis khas menginjil di tempat yang tidak pernah dicapai oleh para Saksi. Di sebuah rumah, tandasnya merupakan sebuah lubang di tanah dengan dua batang kayu di atasnya. Apabila saya berdiri di atas kayu itu, saya terjatuh ke dalam lubang bersama dua batang kayu itu! Saya perlu banyak masa untuk membersihkan diri dan bersedia untuk makan sarapan.

Semasa tugasan itu, saya terfikir tentang Nora. Selepas merintis di Bulacan, dia ditugaskan sebagai perintis khas di bandar Dumaguete. Saya pergi melawatnya, dan selepas itu kami saling menyurati. Pada tahun 1956, kami pun berkahwin. Minggu berikutnya selepas berkahwin, kami melawat sidang di Pulau Rapu Rapu. Di sana, kami perlu mendaki gunung dan berjalan jauh, tetapi kami sangat gembira kerana dapat berkhidmat di kawasan terpencil sebagai suami isteri!

BERKHIDMAT DI BETHEL SEKALI LAGI

Setelah melakukan kerja lawatan bersama-sama selama empat tahun, kami dijemput untuk berkhidmat di pejabat cawangan. Dari Januari 1960 sampai hari ini, saya terus berada di Bethel. Sepanjang masa itu, saya telah belajar daripada saudara-saudara yang memikul banyak tugas yang berat, dan Nora telah melakukan pelbagai jenis kerja di Bethel.

Menyampaikan ceramah di konvensyen bersama penterjemah Cebuano

Di Bethel, saya dapat melihat pertumbuhan rohani yang pesat di Filipina. Semasa saya baru datang ke Bethel, terdapat kira-kira 10,000 orang penyiar di sini, tetapi sekarang angkanya sudah melebihi 200,000 orang, termasuk ratusan ahli Bethel yang menyokong kerja penyebaran.

Untuk menampung kerja yang sedang berkembang, Badan Pimpinan menyuruh kami mencari tanah untuk membina Bethel baharu yang lebih besar. Penyelia percetakan dan saya pergi dari rumah ke rumah di kawasan sekeliling pejabat cawangan yang hampir semuanya dimiliki oleh orang Cina. Kami bertanya jika ada sesiapa yang hendak menjual tanahnya, tetapi tiada orang yang ingin menjual. Seorang pemilik bahkan berkata, “Orang Cina tidak jual. Kami beli saja.”

Menterjemahkan ceramah Saudara Albert Schroeder

Namun, pada suatu hari, seorang pemilik tanya sama ada kami ingin membeli tanahnya. Rupa-rupanya dia akan berpindah ke Amerika Syarikat. Rentetan peristiwa yang terjadi kemudiannya sukar dipercayai. Seorang lagi jiran setuju untuk menjual tanahnya, dan dia menggalakkan jiran lain untuk berbuat demikian. Kami bahkan dapat membeli tanah daripada pemilik yang berkata, “Orang Cina tidak jual.” Dalam masa yang singkat, saiz tanah pejabat cawangan telah menjadi tiga kali ganda lebih besar. Saya yakin bahawa itulah kehendak Yehuwa.

Pada tahun 1950, saya ialah ahli Bethel yang paling muda. Sekarang saya dan isteri ialah ahli yang tertua. Saya tidak menyesal mengikut Tuan Yesus ke mana sahaja. Meskipun saya diusir oleh ibu bapa, Yehuwa telah memberi saya keluarga rohani yang besar. Saya yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa pasti menjaga segala keperluan kita, tidak kira apa tugasan yang kita terima. Saya dan Nora sangat bersyukur kepada Yehuwa, dan kami menggalakkan orang lain untuk menguji-Nya dalam hal ini.​—Mal. 3:10.

Yesus pernah berkata kepada seorang pemungut cukai yang bernama Matius Lewi, “Jadilah pengikutku.” Apakah reaksinya? Dia “meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus.” (Luk. 5:27, 28) Saya juga berpeluang berbuat demikian, dan saya ingin menggalakkan orang lain untuk melakukan hal yang sama dan menikmati berkat yang berlimpah-limpah.

Gembira kerana masih dapat membantu kerja di Filipina

^ per. 6 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa tetapi tidak dicetakkan lagi.