Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Bible menyatakan bahawa setiap tuduhan harus disahkan dengan keterangan daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi. (Bil. 35:30; Ul. 17:6; 19:15; Mat. 18:16; 1 Tim. 5:19) Namun, Hukum Musa menyatakan bahawa jika seorang lelaki merogol seorang gadis yang sudah bertunang “di luar kota” dan gadis itu berteriak meminta tolong, gadis itu tidak bersalah manakala lelaki itu bersalah kerana berzina. Memandangkan tiada orang yang melihat kejadian itu, mengapakah lelaki itu disabitkan bersalah tetapi gadis itu tidak?

Tujuan utama catatan di Ulangan 22:25-27 bukanlah untuk membuktikan bahawa lelaki itu bersalah, kerana ayat-ayat sebelumnya sudah menunjukkan bahawa dia memang bersalah. Fokus hukum ini adalah untuk membuktikan bahawa gadis itu tidak bersalah. Perhatikan konteksnya.

Ayat-ayat sebelumnya menyebut tentang seorang lelaki yang bersetubuh “di dalam kota” dengan seorang gadis yang sudah bertunang. Oleh sebab gadis itu dianggap sebagai wanita yang sudah berkahwin, lelaki itu bersalah kerana berzina. Bagaimana pula dengan gadis tersebut? “Dia tidak berteriak meminta tolong walaupun dia berada di dalam kota.” Jika dia berteriak, orang lain pasti mendengarnya dan datang untuk membantunya. Tetapi memandangkan dia tidak berteriak, dia dianggap berzina dengan lelaki itu. Maka mereka berdua bersalah.​—Ul. 22:23, 24.

Seterusnya, Hukum Musa menyatakan situasi yang berbeza: “Tetapi jika seorang anak dara sudah bertunang, dan seorang lelaki menemuinya di luar kota lalu merogolnya, maka hanya lelaki itu yang harus dihukum mati. Hal itu sama seperti apabila seseorang menyerang orang lain dan membunuhnya. Gadis itu pula tidak harus dihukum kerana dia tidak melakukan dosa yang menyebabkan dia patut dihukum mati. Gadis itu dirogol di luar kota, dan walaupun dia telah berteriak meminta tolong, tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkannya.”​—Ul. 22:25-27.

Dalam situasi ini, para hakim percaya bahawa gadis itu tidak bersalah. Mengapa? Mereka menganggap bahawa dia sudah ‘berteriak meminta tolong, tetapi tiada sesiapa pun yang menyelamatkannya.’ Maka gadis itu tidak berzina. Lelaki itu pula bersalah kerana “merogolnya” dan berzina.

Memandangkan fokus hukum ini adalah untuk membuktikan bahawa gadis itu tidak bersalah, catatan tersebut menyatakan bahawa lelaki itu bersalah kerana merogol dan berzina. Kita yakin bahawa para hakim akan “menyiasat perkara itu dengan teliti” dan membuat keputusan yang selaras dengan arahan yang dinyatakan berulang kali oleh Tuhan dengan jelas.​—Ul. 13:14; 17:4; Kel. 20:14.