Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 52

Ibu Bapa​—Latihlah Anak Anda untuk Mengasihi Yehuwa

Ibu Bapa​—Latihlah Anak Anda untuk Mengasihi Yehuwa

“Anak-anak ialah warisan yang dikurniakan oleh Yehuwa.”​—MZM. 127:3.

LAGU 134 Anak-Anak Anugerah Tuhan

PENGENALAN *

1. Apakah tanggungjawab yang diberikan Yehuwa kepada ibu bapa?

SEMASA menciptakan pasangan yang pertama, Yehuwa memberi mereka keinginan untuk mempunyai anak. Bible menyatakan, “Anak-anak ialah warisan yang dikurniakan oleh Yehuwa.” (Mzm. 127:3) Apakah maksudnya? Bayangkan seorang kawan baik meminta anda menjaga sejumlah wang yang besar. Apakah perasaan anda? Anda mungkin berasa bangga kerana dia mempercayai anda, tetapi anda juga mungkin risau kerana anda ingin menyimpan wang itu dengan baik. Yehuwa, Sahabat terbaik kita, telah meminta ibu bapa menjaga sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada wang, iaitu kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak mereka.

2. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang?

2 Siapakah yang patut memutuskan sama ada sepasang suami isteri patut mempunyai anak dan bila mereka harus mempunyai anak? Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka hidup bahagia? Mari kita lihat beberapa prinsip Bible yang dapat membantu suami isteri membuat keputusan yang bijak.

HORMATI KEPUTUSAN MEREKA

3. (a) Siapakah yang memutuskan sama ada sesebuah pasangan akan mempunyai anak atau tidak? (b) Apakah prinsip Bible yang harus diingati oleh sahabat dan ahli keluarga pasangan itu?

3 Dalam sesetengah budaya, pasangan yang baru berkahwin sering ditanya, “Bila mahu ada anak?” Ahli keluarga dan orang lain mungkin mendesak mereka untuk melahirkan anak dengan secepat mungkin. Jethro, seorang saudara di Asia, berkata, “Di sidang, sesetengah pasangan yang sudah bergelar ibu bapa memberikan tekanan kepada pasangan yang belum beranak.” Jeffrey, seorang lagi saudara di Asia, berkata, “Ada yang tanya, ‘Nanti sudah tua, siapa jaga kamu?’” Namun, setiap pasangan harus memilih sama ada mereka ingin beranak atau tidak. Itulah keputusan dan tanggungjawab mereka. (Gal. 6:5, nota kaki) Sudah tentu, sahabat handai dan sanak saudara ingin pasangan baharu untuk hidup bahagia, tetapi semua orang harus ingat bahawa keputusan untuk beranak terpulang kepada pasangan itu.​—1 Tes. 4:11.

4-5. Apakah dua hal yang perlu dibincangkan oleh suami isteri? Bilakah masa yang terbaik untuk membincangkan hal-hal ini? Jelaskan.

4 Pasangan yang memutuskan untuk mempunyai anak perlu membincangkan dua hal yang penting: Pertama, bila mereka ingin mempunyai anak, dan kedua, berapa orang anak yang diingini mereka. Bilakah masa yang terbaik untuk membincangkan hal-hal ini? Mengapakah dua hal ini begitu penting?

5 Sering kali, dua hal ini patut dibincangkan sebelum berkahwin. Mengapa? Supaya suami dan isteri mempunyai pandangan yang sama tentang perkara ini. Mereka juga perlu berfikir sama ada mereka sudah bersedia untuk menjadi ibu bapa atau tidak. Memandangkan tanggungjawab sebagai ibu bapa akan memakan banyak masa dan tenaga, sesetengah pasangan menunggu sekurang-kurangnya satu atau dua tahun sebelum melahirkan anak. Dengan itu, mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu dan mengeratkan hubungan mereka terlebih dahulu.​—Ef. 5:33.

6. Memandangkan kita sedang hidup pada masa yang genting, apakah keputusan yang dibuat oleh sesetengah pasangan?

6 Pasangan Kristian lain pula memilih untuk mengikut teladan tiga orang anak Nuh dan isteri mereka, yang tidak melahirkan anak sejurus selepas berkahwin. (Kej. 6:18; 9:18, 19; 10:1; 2 Ptr. 2:5) Yesus menyamakan zaman kita dengan “zaman Nuh,” dan kita memang sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (Mat. 24:37; 2 Tim. 3:1) Oleh itu, sesetengah pasangan tidak mahu melahirkan anak buat masa sekarang, supaya mereka dapat menggunakan lebih banyak masa untuk kerja Yehuwa.

Semasa memutuskan sama ada untuk beranak atau tidak dan berapa anak yang diingini, suami isteri yang bijak akan “mengira perbelanjaannya” (Lihat perenggan 7) *

7. Bagaimanakah prinsip di Lukas 14:28, 29 dan Amsal 21:5 dapat membantu suami isteri?

7 Semasa memutuskan sama ada mahu beranak atau tidak dan berapa orang anak yang diingini, pasangan yang bijak akan “mengira perbelanjaannya.” (Baca Lukas 14:28, 29.) Pasangan yang pernah membesarkan anak tahu bahawa hal itu bukan sahaja menelan banyak wang, malah memakan banyak masa dan tenaga. Maka, suami isteri perlu berfikir, “Perlukah kami berdua bekerja untuk menampung keperluan asas keluarga? Adakah kami bersetuju tentang apa itu ‘keperluan asas’ kami? Jika kami berdua perlu bekerja, siapakah yang akan jaga anak kami? Siapakah yang akan mempengaruhi fikiran dan kelakuan mereka?” Semasa memikirkan soalan-soalan itu, suami isteri akan mengikut nasihat di Amsal 21:5.​Baca.

Suami yang pengasih akan berusaha untuk membantu isterinya (Lihat perenggan 8)

8. Apakah cabaran yang mungkin dihadapi oleh ibu bapa? Apakah yang akan dilakukan oleh suami yang pengasih?

8 Seorang anak memerlukan banyak masa dan tenaga daripada ibu dan bapanya, dan ibu bapa harus memenuhi keperluan itu. Jadi, jika sebuah pasangan melahirkan beberapa orang anak dalam masa yang singkat, mereka mungkin berasa susah untuk memberi setiap anak perhatian yang secukupnya. Sesetengah pasangan yang mempunyai beberapa orang anak kecil mengaku bahawa hal itu memang mencabar. Seorang ibu mungkin terlalu letih secara fizikal dan emosi, sehingga tidak dapat membuat pembelajaran, berdoa, dan menginjil secara tetap. Semasa perjumpaan, dia juga mungkin berasa susah untuk menumpukan perhatian dan meraih manfaat. Oleh itu, suami yang pengasih akan berusaha membantu isterinya, tidak kira di perjumpaan atau di rumah. Contohnya, dia boleh membantu isterinya melakukan kerja rumah, dan dia akan memastikan agar semua ahli keluarganya mendapat manfaat daripada Penyembahan Keluarga yang tetap. Dia juga akan menginjil bersama keluarganya secara tetap.

MENGAJAR ANAK UNTUK MENGASIHI YEHUWA

9-10. Apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa?

9 Bagaimanakah ibu bapa dapat mengajar anak untuk mengasihi Yehuwa? Bagaimanakah mereka dapat melindungi anak daripada dunia yang jahat ini? Mari kita lihat.

10 Berdoa memohon bantuan Yehuwa. Fikirkan contoh Manoah dan isterinya, iaitu ibu bapa Simson. Semasa diberitahu bahawa dia dan isterinya akan mendapat seorang anak, Manoah merayu kepada Yehuwa agar mengajarnya cara yang betul untuk membesarkan anak itu.

11. Bagaimanakah ibu bapa dapat meniru contoh Manoah di Hakim-Hakim 13:8?

11 Nihad dan Alma, sebuah pasangan dari Bosnia dan Herzegovina, menjelaskan, “Seperti Manoah, kami merayu agar Yehuwa mengajar kami untuk menjadi ibu bapa yang baik. Yehuwa telah menjawab doa kami menerusi pelbagai cara, seperti Bible, bahan bacaan, perjumpaan, dan konvensyen.”​—Baca Hakim-Hakim 13:8.

12. Bagaimanakah Yusuf dan Maria memberikan teladan yang baik kepada anak-anak mereka?

12 Mengajar melalui teladan. Kata-kata anda memang penting, tetapi perbuatan anda akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Yusuf dan Maria pasti telah memberikan teladan yang baik kepada anak-anak mereka, termasuk Yesus. Yusuf bukan sahaja bekerja keras untuk menyara keluarganya, tetapi dia juga menggalakkan mereka untuk mengasihi Yehuwa. (Ul. 4:9, 10) “Setiap tahun,” Yusuf membawa seluruh keluarganya ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paska, walaupun hal itu tidak diwajibkan oleh Hukum Musa. (Luk. 2:41, 42) Ketua keluarga yang lain mungkin berasa bahawa hal itu menyusahkan dan memakan banyak masa dan wang. Tetapi Yusuf menghargai hal-hal rohani dan mengajar anak-anaknya untuk berbuat demikian juga. Maria pula mengenali Ayat-Ayat Suci dengan baik. Melalui kata-kata dan tindakannya, dia mengajar anak-anaknya untuk mencintai Firman Tuhan.

13. Bagaimanakah sebuah pasangan meniru contoh Yusuf dan Maria?

13 Nihad dan Alma, yang disebut tadi, ingin meniru contoh Yusuf dan Maria. Bagaimanakah mereka mengajar anak mereka untuk mengasihi dan menyembah Tuhan? Mereka berkata, “Melalui cara hidup kami, kami tunjukkan kepada anak betapa baiknya hidup menurut prinsip Yehuwa.” Nihad menambah, “Jika kamu mahu anak kamu berfikiran rohani, kamu sendiri pun harus berfikiran rohani.”

14. Mengapakah ibu bapa perlu tahu siapa kawan anak mereka?

14 Bantu anak anda memilih pergaulan yang baik. Ibu dan bapa perlu tahu siapa kawan anak mereka dan apa yang sedang dilakukan oleh anak mereka. Ibu bapa juga perlu tahu siapa yang dihubungi anak mereka melalui media sosial dan telefon bimbit, kerana pergaulan itu pun dapat mempengaruhi fikiran dan kelakuan anak mereka.​—1 Kor. 15:33.

15. Apakah yang dapat dipelajari ibu bapa daripada contoh Jessie?

15 Bagaimana pula jika ibu bapa tidak pandai menggunakan komputer atau alat elektronik? Jessie, seorang bapa di Filipina, berkata, “Kami tidak celik teknologi, tapi itu tidak menghalang kami daripada mengingatkan anak-anak kami tentang bahaya alat elektronik.” Jessie tidak melarang anak-anaknya menggunakan alat elektronik hanya kerana dia sendiri tidak pandai menggunakannya. Dia menjelaskan, “Saya menggalakkan mereka agar menggunakan alat elektronik untuk mempelajari bahasa baharu, membuat persiapan untuk perjumpaan, dan untuk membaca Bible setiap hari.” Di bahagian “Remaja” di jw.org®, terdapat nasihat tentang SMS dan mengongsi foto di Internet, dan video seperti Adakah Alat Elektronik Menguasai Hidup Kamu? dan Gunakan Rangkaian Sosial dengan Bijak. * Semua maklumat ini amat berguna untuk mengajar anak-anak cara menggunakan alat elektronik dengan bijak. Ibu bapa sekalian, sudahkah anda membincangkannya bersama anak anda?​—Ams. 13:20.

16. Apakah yang dilakukan ramai ibu bapa, dan apakah hasilnya?

16 Ramai ibu bapa berusaha untuk mengaturkan supaya anak-anak mereka berpeluang bergaul dengan ahli sidang yang merupakan teladan baik. Contohnya, Dani * dan Bella dari Côte d’Ivoire sering menjemput penyelia litar untuk tinggal di rumah mereka. Dani berkata, “Hal ini meninggalkan kesan yang sangat baik kepada anak lelaki kami. Dia mula merintis, dan sekarang dia berkhidmat sebagai pengganti penyelia litar.” Dapatkah anda mengaturkan pergaulan yang sihat untuk anak anda?

17-18. Bilakah ibu bapa harus mula melatih anak mereka?

17 Latih anak anda seawal yang mungkin. Lebih awal anda mula melatih anak, lebih bagus. (Ams. 22:6) Fikirkan contoh Timotius, yang berkhidmat bersama Rasul Paulus. Dia telah dilatih “sejak bayi lagi” oleh ibunya Euniki dan neneknya Lois.​—2 Tim. 1:5; 3:15.

18 John dan Paula, satu lagi pasangan dari Côte d’Ivoire, berjaya mengajar keenam-enam anak mereka untuk mengasihi dan menyembah Yehuwa. Apakah rahsia mereka? Mereka mengikut contoh Euniki dan Lois. Mereka menjelaskan, “Kami ajar anak kami tentang Firman Tuhan secara berulang-ulang sejak bayi lagi, tidak lama selepas mereka lahir.”​—Ul. 6:6, 7.

19. Bagaimanakah anda dapat mengajar anak tentang Firman Tuhan “secara berulang-ulang”?

19 Untuk mengajar anak “secara berulang-ulang,” ibu bapa perlu sering menghabiskan masa bersama anak mereka. Ibu bapa sekalian, ada kalanya anda mungkin berasa geram kerana perlu asyik mengingatkan anak anda tentang hal yang sama, tetapi anggaplah hal ini sebagai peluang untuk membantu mereka memahami dan mematuhi ajaran Bible.

Ibu bapa perlu mengenal pasti cara yang sesuai untuk melatih setiap anak (Lihat perenggan 20) *

20. Bagaimanakah kata-kata di Mazmur 127:4 dapat membantu ibu bapa membesarkan anak?

20 Kenali anak anda dengan baik. Di Mazmur 127, anak-anak digambarkan seperti anak panah. (Baca Mazmur 127:4.) Setiap anak panah mungkin diperbuat daripada bahan yang berbeza dan mempunyai saiz yang berbeza. Begitu juga, setiap anak berbeza. Oleh itu, ibu bapa perlu mengenal pasti cara yang sesuai untuk melatih setiap anak mereka. Sepasang suami isteri di Israel, yang berjaya mengajar dua orang anak mereka untuk menyembah Yehuwa, menjelaskan apa yang dilakukan mereka, “Kami mengadakan pembelajaran Bible dengan setiap anak secara berasingan.” Sudah pasti, setiap ketua keluarga perlu menentukan sama ada aturan sebegini sesuai untuk keluarga mereka atau tidak.

YEHUWA AKAN MEMBANTU ANDA

21. Bagaimanakah Yehuwa akan membantu ibu bapa?

21 Ada kalanya, ibu bapa mungkin berasa bahawa cabaran yang dihadapi mereka terlalu besar. Namun, ingatlah bahawa anak-anak merupakan kurniaan Yehuwa, dan Dia sentiasa bersedia membantu ibu bapa. Dia rela mendengar doa mereka, dan Dia menjawab doa mereka melalui Bible, bahan bacaan Bible, dan melalui teladan dan nasihat ibu bapa yang berpengalaman dalam sidang.

22. Apakah hadiah terbaik yang dapat diberikan ibu bapa kepada anak?

22 Kata orang, membesarkan anak ialah projek 20 tahun, tetapi tugas ibu bapa tiada waktu persaraannya. Hadiah terbaik yang dapat diberikan ibu bapa kepada anak ialah kasih, masa, dan latihan yang berdasarkan Bible. Reaksi setiap anak terhadap latihan itu akan berbeza-beza, tetapi ramai anak yang telah dibesarkan oleh ibu bapa yang mengasihi Yehuwa bersetuju dengan kata-kata Joanna Mae, seorang saudari di Asia: “Apabila saya fikir kembali latihan yang ibu bapa saya berikan, saya sangat bersyukur kerana mereka mendisiplinkan saya dan mengajar saya untuk mengasihi Yehuwa. Mereka bukan sahaja melahirkan saya, tetapi juga memberi saya kehidupan yang bermakna.” (Ams. 23:24, 25) Jutaan orang Kristian pun berasa sedemikian.

LAGU 59 Pujilah Yah Bersamaku

^ per. 5 Patutkah sepasang suami isteri mempunyai anak? Jika ya, berapa orang anak? Bagaimanakah mereka dapat melatih anak-anak untuk mengasihi dan menyembah Yehuwa? Rencana ini mengandungi contoh zaman moden dan prinsip Bible yang membantu kita menjawab soalan-soalan tersebut.

^ per. 15 Lihat juga buku “Pertanyaan Kaum Muda,” Jilid 1, bab 36, dan Jilid 2, bab 11, dalam bahasa Indonesia.

^ per. 16 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri membincangkan sama ada mereka akan mempunyai anak atau tidak. Mereka mempertimbangkan cabaran dan sukacitanya.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri mengadakan pembelajaran Bible dengan anak-anak mereka secara berasingan kerana usia dan kebolehan setiap anak itu berbeza.