Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Ucapkanlah Syukur untuk Segala Sesuatu”

“Ucapkanlah Syukur untuk Segala Sesuatu”

ADAKAH anda seorang yang tahu bersyukur? Kita masing-masing perlu memikirkan soalan itu. Bible menubuatkan bahawa pada zaman ini, ramai orang akan “tidak tahu berterima kasih.” (2 Tim. 3:2) Anda mungkin mengenali orang yang berkelakuan seolah-olah dia berhak menerima segala-galanya dan semua orang wajib membantunya. Tidakkah anda berasa jengkel dengan sikap sebegitu?

Bible menggalakkan hamba-hamba Yehuwa, “Tunjukkanlah kesyukuran kamu,” dan “Ucapkanlah syukur untuk segala sesuatu.” (Kol. 3:15; 1 Tes. 5:18) Sebenarnya, kita akan meraih manfaat jika kita belajar untuk menunjukkan kesyukuran. Mari kita lihat beberapa manfaatnya.

KESYUKURAN MEMBAWA KEBAHAGIAAN

Apabila kita belajar untuk menunjukkan kesyukuran, kita dapat berpandangan positif terhadap diri sendiri. Seseorang yang mengucapkan terima kasih akan berasa lebih gembira, dan orang yang menolongnya juga akan berasa lebih gembira. Mengapa? Apabila orang lain sudi membantu anda, tidakkah hal itu menunjukkan bahawa mereka mengambil berat terhadap anda dan menganggap anda layak dibantu? Apabila anda menyedari hal itu, anda akan berasa bahagia. Rut pasti sangat gembira apabila Boaz bermurah hati kepadanya, kerana dia dapat berasa bahawa orang lain mengambil berat terhadapnya.​—Rut 2:10-13.

Kita khususnya patut bersyukur kepada Tuhan. Sudah pasti, dari masa ke masa, anda terfikir tentang kurniaan rohani dan jasmani yang pernah dan sedang diberikan Tuhan. (Ul. 8:17, 18; Kis. 14:17) Namun, daripada memikirkan hal itu secara sepintas lalu, luangkanlah masa untuk merenungkan berkat-berkat yang dicurahkan oleh Tuhan kepada anda dan orang tersayang anda. Apabila anda merenungkan kemurahan hati Pencipta kita, anda akan lebih menghargai-Nya dan bertambah yakin bahawa Dia amat mengasihi dan menghargai anda.​—1 Yoh. 4:9.

Namun, janganlah sekadar merenungkan kemurahan hati dan berkat-berkat Tuhan, ucapkanlah syukur kepada Yehuwa atas kebaikan-Nya. (Mzm. 100:4, 5) Sebuah buku menyatakan, “Apabila kita mengungkapkan kesyukuran kita, hal ini menyumbang kepada kebahagiaan kita.”

KESYUKURAN MERAPATKAN HUBUNGAN

Apabila kita menunjukkan kesyukuran, kita akan menikmati persahabatan yang lebih akrab dengan orang lain. Kita semua ingin berasa dihargai. Apabila kita mengucapkan terima kasih dengan ikhlas kepada orang yang membantu kita, hubungan kita dengannya akan menjadi lebih erat. (Rm. 16:3, 4) Tambahan lagi, orang yang tahu bersyukur biasanya lebih suka membantu orang lain. Mereka menghargai kebaikan hati orang lain dan tergerak untuk membalasnya. Apabila mereka membantu orang lain, hal itu akan membawa kebahagiaan, kerana Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—Kis. 20:35.

Robert Emmons, pembantu pengarah dalam sebuah projek Universiti California yang mengkaji sifat kesyukuran, menyatakan, “Untuk bersyukur, kita perlu faham bahawa kita saling memerlukan. Ada kalanya kita ialah pemberi, dan ada kalanya kita ialah penerima.” Ingatlah, untuk terus hidup dengan bahagia, kita memerlukan bantuan orang lain, contohnya dari segi makanan, rawatan, dan sebagainya. (1 Kor. 12:21) Orang yang tahu bersyukur akan menunjukkan dengan jelas bahawa dia menghargai usaha orang lain. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda selalu mengucapkan terima kasih atas bantuan orang lain?

KESYUKURAN DAN PANDANGAN ANDA TERHADAP KEHIDUPAN

Satu lagi sebab kita perlu belajar untuk bersyukur adalah kerana hal ini akan membantu kita bertumpu kepada perkara yang positif dan bukannya perkara yang negatif. Apabila kita tahu bersyukur, minda kita akan menjadi seperti penapis. Kita akan lebih berfokus kepada hal-hal baik dalam kehidupan dan tidak begitu mempedulikan hal-hal yang buruk. Apabila kita semakin tahu bersyukur, kita dapat melihat semakin banyak hal yang baik. Hasilnya, kesyukuran kita pun akan semakin bertambah. Ya, jika kita bertumpu kepada hal-hal yang baik dalam kehidupan dan belajar menunjukkan kesyukuran, kita akan “sentiasa bersukacita,” seperti yang dinyatakan oleh Rasul Paulus.​—Flp. 4:4.

Tambahan lagi, rasa syukur dapat membantu anda mengatasi emosi yang negatif seperti perasaan cemburu, sedih, dan dengki. Orang yang tahu bersyukur juga tidak begitu mementingkan kebendaan. Mereka menghargai apa yang dimiliki mereka dan berpuas hati dengannya.​—Flp. 4:12.

HITUNGLAH BERKAT ANDA!

Syaitan ingin orang Kristian berasa sedih dan tawar hati dengan keadaan buruk pada hari-hari terakhir. Dia suka jika kita berfikiran negatif dan asyik bersungut-sungut. Sikap dan fikiran sedemikian akan menyebabkan kita menjadi penyebar berita baik yang tidak efektif. Sebenarnya, sifat kesyukuran berkait rapat dengan buah kuasa suci Tuhan, seperti bersukacita atas berkat daripada Tuhan dan beriman kepada semua janji-Nya.​—Gal. 5:22, 23.

Sebagai penyembah Yehuwa, anda pasti bersetuju dengan apa yang dinyatakan dalam rencana ini. Biarpun begitu, anda juga sedar bahawa tidak senang untuk terus bersyukur dan berpandangan positif. Tetapi janganlah putus asa. Anda dapat memupuk kesyukuran dan terus menunjukkannya. Bagaimana? Luangkanlah masa setiap hari untuk memikirkan hal-hal yang membuat anda bersyukur. Semakin kerap anda berbuat demikian, semakin mudah bagi anda untuk menunjukkan kesyukuran. Hasilnya, anda akan jauh lebih gembira berbanding dengan orang yang asyik bertumpu kepada masalah hidup. Fikirkanlah hal-hal baik yang dilakukan oleh Tuhan dan orang lain untuk anda, dan anda bahkan boleh menulisnya di dalam sebuah diari setiap hari.

Pakar-pakar yang menyelidiki hal ini berkata bahawa “apabila kita selalu mengucapkan terima kasih kepada orang lain, hal ini akan mengubah cara otak kita berfungsi dan membantu kita untuk hidup dengan lebih bahagia.” Orang yang tahu bersyukur ialah orang yang lebih gembira. Jadi hitunglah berkat anda, nikmatilah saat-saat manis dalam kehidupan, dan janganlah lupa untuk terus menunjukkan kesyukuran! Hargailah hal-hal yang baik, dan “bersyukurlah kepada Yehuwa kerana Dia baik.” Ya, “ucapkanlah syukur untuk segala sesuatu.”​—1 Taw. 16:34; 1 Tes. 5:18.