Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 50

Dengarlah Suara Gembala yang Baik

Dengarlah Suara Gembala yang Baik

“Mereka semua akan mendengar suaraku.”​—YOH. 10:16.

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

PENGENALAN *

1. Mengapakah Yesus menyamakan pengikutnya dengan biri-biri?

YESUS berkata bahawa hubungannya dengan para pengikutnya adalah seperti hubungan antara gembala dengan biri-biri. (Yoh. 10:14) Perbandingan ini amat sesuai kerana biri-biri mengenali gembala dan akan mengikut arahannya. Perhatikan pengalaman seorang pelancong. Dia berkata, “Kami mahu tangkap gambar biri-biri, jadi kami cuba memanggil biri-biri itu datang. Tapi biri-biri itu tidak datang kerana tidak kenal suara kami. Kemudian, seorang budak kecil, iaitu gembala biri-biri itu, datang. Sebaik sahaja dia panggil biri-birinya, biri-biri itu mengikutnya.”

2-3. (a) Bagaimanakah para pengikut Yesus menunjukkan bahawa mereka mendengar suaranya? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana seterusnya?

2 Pengalaman pelancong itu mengingatkan kita tentang kata-kata Yesus mengenai biri-birinya, iaitu para pengikutnya. Dia berkata, “Mereka semua akan mendengar suaraku.” (Yoh. 10:16) Namun, Yesus berada di syurga, jadi bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mendengar suaranya? Satu cara penting kita berbuat demikian adalah dengan hidup mengikut ajarannya.​—Mat. 7:24, 25.

3 Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, kita akan membincangkan beberapa ajaran Yesus, gembala kita yang baik. Yesus pernah mengajar bahawa terdapat sesetengah hal yang perlu kita hentikan dan sesetengah hal yang perlu kita lakukan. Sekarang, mari kita lihat dua perkara yang perlu kita hentikan.

“JANGAN LAGI TERLALU KHUATIR”

4. Menurut Lukas 12:29, apakah yang mungkin membuat kita “terlalu khuatir”?

4 Baca Lukas 12:29. Yesus menggesa para pengikutnya agar “jangan lagi terlalu khuatir” tentang keperluan hidup mereka. Kita tahu nasihat Yesus sentiasa betul dan bijak, jadi kita ingin mengikut nasihatnya. Namun, kita ada kalanya mungkin berasa susah untuk berbuat demikian. Mengapa?

5. Mengapakah sesetengah orang berasa khuatir tentang keperluan hidup mereka?

 5 Sesetengah orang mungkin khuatir tentang keperluan hidup mereka, seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Hal ini demikian kerana mereka mungkin tinggal di negara miskin dan susah mencari wang untuk menyara keluarga. Atau mungkin ahli keluarga mereka yang bertanggungjawab mencari nafkah sudah meninggal dan mereka hilang tempat bergantung. Selain itu, pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan mereka kehilangan kerja atau sumber pendapatan. (Pkh. 9:11) Jika kita menghadapi cabaran sebegini atau cabaran lain, bagaimanakah kita dapat mematuhi arahan Yesus, “Jangan lagi terlalu khuatir”?

Daripada dilemaskan rasa khuatir tentang keperluan hidup, binalah keyakinan anda terhadap Yehuwa (Lihat perenggan 6-8) *

6. Gambarkan apa yang berlaku kepada Rasul Petrus.

6 Pernah sekali, Petrus dan rasul-rasul lain menaiki perahu di Tasik Galilea. Tiba-tiba ribut melanda mereka, dan mereka nampak Yesus berjalan di atas air. Maka Petrus berkata, “Jika kamu benar-benar Tuan, suruhlah aku berjalan di atas air kepada Tuan.” Selepas Yesus berkata, “Marilah,” Petrus keluar dari perahu dan “mula berjalan di atas air menuju ke arah Yesus.” Tetapi, “apabila Petrus melihat ke arah ribut, dia berasa takut. Semasa dia mula tenggelam, dia berseru, ‘Tuan, selamatkanlah aku!’” Yesus menghulurkan tangannya dan menyelamatkan Petrus. Perhatikan, Petrus dapat berjalan di atas air yang bergelora selagi dia terus berfokus kepada Yesus. Tetapi sebaik sahaja dia melihat ke arah ribut, dia menjadi takut dan ragu-ragu, lalu mula tenggelam.​—Mat. 14:24-31.

7. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Petrus?

7 Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Petrus? Semasa Petrus keluar dari perahu dan berjalan di atas air, dia tidak menjangka bahawa dia akan berasa risau lalu mula tenggelam. Dia hanya terfikir untuk terus berjalan di atas air sehingga dia sampai kepada Yesus. Namun, apabila perhatiannya beralih kepada ribut, dia mula tenggelam. Dewasa ini, kita tidak dapat berjalan di atas air, tetapi kita akan menghadapi situasi yang menguji iman kita. Dalam keadaan sebegini, jika kita tidak terus berfokus kepada Yehuwa dan janji-janji-Nya, kita akan mula tenggelam secara rohani. Jadi, tidak kira ribut apa yang melanda kita, kita mesti tetap bertumpu kepada Yehuwa dan kemampuan-Nya untuk membantu kita. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

8. Apakah yang dapat membantu kita agar tidak terlalu risau tentang keperluan hidup?

8 Daripada asyik risau tentang masalah kita, kita perlu percaya kepada Yehuwa. Ingatlah, Bapa kita yang penyayang sudah menjamin bahawa jika kita mengutamakan hal-hal rohani, Dia pasti menjaga keperluan hidup kita. (Mat. 6:32, 33) Sejak dahulu lagi, Dia tidak pernah gagal menunaikan janji itu. (Ul. 8:4, 15, 16; Mzm. 37:25) Fikirkan, jika burung dan bunga pun dijaga oleh Yehuwa, apatah lagi kita! Jika begitu, perlukah kita risau tentang makanan dan pakaian? (Mat. 6:26-30; Flp. 4:6, 7) Sepertimana kasih mendorong ibu bapa untuk menjaga keperluan anak-anak mereka, kasih juga mendorong Bapa kita yang di syurga untuk menjaga keperluan umat-Nya. Maka, percayalah bahawa Yehuwa pasti menjaga kita!

9. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman sepasang suami isteri?

9 Perhatikan sebuah pengalaman yang menunjukkan bahawa Yehuwa mampu menjaga keperluan hidup kita. Sepasang suami isteri yang berkhidmat sepenuh masa telah memandu lebih daripada sejam dalam kereta lama mereka ke pusat pelarian untuk membawa beberapa orang saudari menghadiri perjumpaan. Saudara itu berkata, “Selepas perjumpaan, kami ajak mereka untuk makan di rumah, tetapi kemudian kami teringat bahawa kami tiada makanan untuk mereka.” Apakah yang berlaku selepas itu? Saudara itu menceritakan, “Apabila kami sampai di rumah, kami nampak dua beg besar makanan di depan pintu. Kami tidak tahu makanan itu daripada siapa. Nampaknya, Yehuwa telah menjaga kami.” Beberapa lama kemudian, kereta pasangan itu telah rosak. Mereka perlu guna kereta itu untuk menginjil, tetapi mereka tidak cukup wang untuk membaikinya. Semasa kereta mereka diperiksa di bengkel, seorang lelaki datang dan bertanya, “Ini kereta siapa?” Saudara itu menjawab bahawa kereta itu miliknya dan kereta itu sudah rosak. Lelaki itu berkata, “Tidak apa. Isteri saya mahu jenis kereta ini dan dia mahu warna ini juga. Berapa kamu mahu jual?” Akhirnya, saudara itu mendapat duit yang cukup untuk membeli kereta lain. Dia berkata, “Perasaan kami pada hari itu susah digambarkan. Kami tahu ini tidak berlaku secara kebetulan. Yehuwa benar-benar menghulurkan tangan-Nya dan membantu kami.”

10. Bagaimanakah Mazmur 37:5 membantu kita supaya tidak terlalu khuatir tentang keperluan hidup?

10 Jika kita mendengar cakap gembala yang baik dan tidak terlalu khuatir tentang keperluan hidup, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan menjaga kita. (Baca Mazmur 37:5; 1 Ptr. 5:7) Fikirkan cabaran-cabaran yang disebut di  perenggan 5. Sehingga kini, Yehuwa mungkin menjaga kita menerusi ketua keluarga atau majikan kita. Namun, jika ketua keluarga kita tidak dapat menjaga kita lagi, atau jika kita kehilangan kerja, kita yakin bahawa Yehuwa akan menggunakan cara lain untuk menjaga keperluan kita. Sekarang, mari kita bincangkan satu lagi hal yang perlu kita hentikan.

“JANGAN LAGI MENGHAKIMI ORANG LAIN”

Kita dapat berhenti menghakimi orang lain jika kita berfokus kepada sifat baik mereka (Lihat perenggan 11, 14-16) *

11. Menurut Matius 7:1, 2, Yesus menyuruh kita berhenti melakukan apa? Mengapakah hal itu tidak mudah?

11 Baca Matius 7:1, 2Yesus tahu bahawa pendengarnya tidak sempurna dan cenderung mengkritik orang lain. Maka dia berkata, “Jangan lagi menghakimi orang lain.” Kita mungkin berusaha keras agar tidak menghakimi rakan seiman kita. Namun, kita semua tidak sempurna. Jadi, jika kita mendapati bahawa ada kalanya kita suka bertumpu kepada kesilapan orang lain, apakah yang patut kita buat? Dengarlah cakap Yesus, dan berusahalah untuk berhenti menghakimi orang lain.

12-13. Jika kita merenungkan pandangan Yehuwa terhadap Raja Daud, bagaimanakah hal itu dapat membantu kita berhenti menghakimi orang lain?

12 Jika kita merenungkan teladan Yehuwa, hal itu dapat membantu kita berhenti menghakimi orang lain. Yehuwa bertumpu kepada sifat baik orang lain. Perhatikan bagaimana Yehuwa memandang Raja Daud walaupun Daud pernah melakukan dosa-dosa serius. Contohnya, Daud berzina dengan Bat-syeba dan merancang agar suaminya dibunuh. (2 Sam. 11:2-4, 14, 15, 24) Akibat dosa itu, Daud membawa kesusahan kepada dirinya, isteri-isterinya, dan keluarganya. (2 Sam. 12:10, 11) Pada peristiwa lain, Daud mengira jumlah askar dalam pasukan tenteranya, padahal Yehuwa tidak menyuruhnya berbuat demikian. Perbuatan Daud menunjukkan bahawa dia sombong dan bergantung pada kekuatan tenteranya dan bukannya pada Yehuwa. Akibat perbuatan Daud itu, 70,000 orang Israel telah mati kerana wabak!​—2 Sam. 24:1-4, 10-15.

13 Jika anda hidup di negeri Israel pada masa itu, apakah pandangan anda terhadap Daud? Adakah anda akan menghakiminya dan berasa bahawa dia tidak layak menerima belas kasihan Yehuwa? Yehuwa tidak berfikir begitu. Sebaliknya, Dia bertumpu kepada kesetiaan yang ditunjukkan oleh Daud selama ini dan kasihnya yang mendalam terhadap Tuhan. Yehuwa juga tahu bahawa Daud benar-benar bertaubat dan ingin melakukan apa yang benar. Oleh itu, Yehuwa mengampunkan dosa-dosanya. Tidakkah anda bersyukur kerana Tuhan kita sentiasa mencari sifat baik kita?​—1 Raj. 9:4; 1 Taw. 29:10, 17.

14. Apakah yang dapat membantu orang Kristian agar berhenti menghakimi orang lain?

14 Jika Yehuwa pun tidak mengharapkan kesempurnaan daripada manusia yang tidak sempurna, kita juga tidak patut mengharapkan kesempurnaan daripada orang lain. Sebaliknya, kita harus bertumpu kepada sifat baik mereka. Memang mudah untuk melihat kelemahan orang lain dan mengkritik mereka. Namun, seseorang yang berfikiran rohani dapat menikmati hubungan yang baik dengan orang lain biarpun dia sedar akan kelemahan mereka. Berlian yang belum diproses memang tidak cantik, tetapi orang yang bijak tahu bahawa setelah diproses, berlian itu akan menjadi batu permata yang sangat bernilai. Begitu juga, ketidaksempurnaan orang lain mungkin membuat mereka kelihatan seperti berlian yang belum diproses. Namun, seperti Yehuwa dan Yesus, kita ingin bertumpu kepada sifat baik mereka dan bukannya ketidaksempurnaan mereka.

15. Apakah satu lagi hal yang dapat membantu kita agar tidak menghakimi orang lain?

15 Selain bertumpu kepada sifat baik orang lain, apakah yang dapat membantu kita agar tidak menghakimi mereka? Kita perlu membayangkan keadaan hidup mereka. Fikirkan contoh Yesus. Semasa dia melihat seorang balu miskin memasukkan dua keping wang yang kecil nilainya ke dalam peti sumbangan, dia tidak bertanya, “Kenapa dia tidak beri lebih banyak wang?” Ya, daripada bertumpu kepada jumlah wang yang diberikan oleh balu itu, Yesus memikirkan keadaan hidup dan niat hatinya. Oleh itu, Yesus memuji balu itu kerana dia sudah berusaha dengan sedaya upaya.​—Luk. 21:1-4.

16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Veronica?

16 Mari kita lihat satu pengalaman yang menunjukkan pentingnya memikirkan keadaan hidup orang lain. Di sidang Saudari Veronica, terdapat seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki. Veronica mengaku, “Saya nampak mereka tidak menghadiri perjumpaan dan menginjil secara tetap, jadi saya berpandangan buruk terhadap mereka. Tapi semasa saya menginjil bersama ibu itu, dia beritahu saya cabaran yang dihadapinya untuk menjaga anaknya yang autistik. Dia memang sudah berusaha sedaya upaya untuk menjaga keperluan fizikal dan rohani dirinya dan anaknya. Ada kalanya, kerana masalah kesihatan anaknya, dia terpaksa menghadiri perjumpaan di sidang lain.” Veronica menambah, “Saya tidak sangka hidupnya begitu susah. Sekarang saya sangat menghormati dan menghargai saudari ini kerana segala yang telah dia lakukan untuk Yehuwa.”

17. Yakobus 2:8 menasihati kita untuk melakukan apa? Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat itu?

17 Apakah yang harus kita lakukan jika kita mendapati bahawa kita menghakimi rakan seiman kita? Kita mesti ingat bahawa kita harus mengasihi rakan seiman kita. (Baca Yakobus 2:8.) Selain itu, kita perlu berdoa dengan bersungguh-sungguh agar Yehuwa membantu kita berhenti menghakimi orang lain. Kita juga perlu bertindak selaras dengan doa kita dengan mengambil inisiatif untuk meluangkan masa bersama orang yang kita hakimi. Contohnya, kita boleh menjemputnya untuk menginjil bersama kita atau makan bersama kita. Dengan itu, kita dapat mengenalinya dengan lebih baik. Setelah lebih mengenali rakan seiman kita, kita boleh meniru teladan Yehuwa dan Yesus dengan mencari sifat baiknya. Dengan berbuat demikian, kita sedang mendengar arahan gembala baik kita untuk berhenti menghakimi orang lain.

18. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita mendengar suara gembala yang baik?

18 Sebagaimana biri-biri mendengar suara gembala, para pengikut Yesus mendengar suaranya. Tidak kira kita tergolong dalam “kawanan kecil” atau “biri-biri lain,” semoga kita terus mendengar dan mentaati gembala yang baik. (Luk. 12:32; Yoh. 10:11, 14, 16) Jika kita berusaha keras untuk tidak lagi berasa khuatir tentang keperluan hidup dan berhenti menghakimi orang lain, Yehuwa dan Yesus akan memberkati usaha kita. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan dua perkara yang harus dilakukan oleh para pengikut Yesus.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

^ per. 5 Semasa Yesus berkata bahawa biri-birinya akan mendengar suaranya, dia bermaksud bahawa murid-muridnya akan mendengar ajarannya dan mengikut ajaran itu dalam kehidupan mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan dua ajaran penting Yesus, iaitu jangan lagi terlalu khuatir tentang keperluan hidup dan jangan lagi menghakimi orang lain. Kita juga akan membincangkan cara untuk mengikut nasihat Yesus.

^ per. 51 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara telah kehilangan kerjanya. Dia kekurangan wang untuk menyara keluarganya, dan dia perlu mencari tempat tinggal. Jika dia terlalu khuatir tentang masalah-masalah itu, dia mungkin tidak lagi mengutamakan ibadat Yehuwa dalam hidupnya.

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara tiba lewat untuk perjumpaan. Tetapi dia mempunyai sifat-sifat yang baik. Contohnya, dia memberikan kesaksian secara tidak formal, membantu orang yang lebih tua, dan menjaga Dewan Perjumpaan.