Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 48

“Hendaklah Kamu Menjadi Suci”

“Hendaklah Kamu Menjadi Suci”

“Hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu.”​—1 PTR. 1:15.

LAGU 34 Berjalan di Haluan yang Benar

PENGENALAN *

1. Apakah nasihat Rasul Petrus kepada rakan seimannya? Mengapakah kita mungkin berasa bahawa kita tidak dapat mengikut nasihat itu?

TIDAK kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga atau di bumi, kita dapat meraih manfaat daripada nasihat Rasul Petrus kepada orang Kristian terurap pada abad pertama. Petrus menulis, “Tuhan Yang Suci telah memanggil kamu. Maka, hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti suci, kerana Aku suci.’” (1 Ptr. 1:15, 16) Kata-kata ini menunjukkan bahawa kita mampu meniru teladan Yehuwa, Tuhan Yang Maha Suci. Sebenarnya, kita mesti menjadi suci dalam tingkah laku kita. Namun, dapatkah manusia yang tidak sempurna melakukan hal ini? Ya. Contoh Petrus menunjukkan bahawa biarpun seseorang pernah melakukan kesilapan, dia masih dapat “menjadi suci.”

2. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan soalan-soalan berikut: Apakah maksud menjadi suci? Apakah yang kita pelajari daripada Bible tentang kesucian Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat menjadi suci dalam tingkah laku kita? Mengapakah kesucian penting untuk memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa?

APAKAH MAKSUD MENJADI SUCI?

3. Apakah yang difikirkan ramai orang semasa mendengar ungkapan “orang yang suci”? Bagaimanakah kita dapat mengetahui maksud sebenar kesucian?

3 Semasa mendengar ungkapan “orang yang suci,” ramai orang terfikir tentang seseorang yang memakai pakaian keagamaan, berwajah serius, dan tidak suka senyum. Namun gambaran itu tidak tepat, kerana walaupun Yehuwa ialah Tuhan yang suci, Dia juga ialah “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11) Bible menyatakan bahawa para penyembah-Nya ialah umat yang bahagia. (Mzm. 144:15) Selain itu, Yesus mengutuk pemimpin agama yang memakai pakaian yang istimewa dan berlagak alim di hadapan orang lain. (Mat. 6:1; Mrk. 12:38) Sebagai orang Kristian, pemahaman kita tentang kesucian adalah berdasarkan ajaran Bible. Kita juga yakin bahawa Tuhan kita yang suci dan pengasih tidak mungkin menyuruh kita melakukan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Ya, kita pasti dapat mematuhi perintah Yehuwa, “Hendaklah kamu menjadi suci.” Namun, sebelum kita dapat berbuat demikian, kita perlu memahami maksud menjadi suci.

4. Apakah maksud perkataan “suci” dan “kesucian”?

4 Dalam Bible, perkataan “suci” dan “kesucian” merujuk kepada kebersihan dari segi moral atau ibadat. Dua perkataan ini juga membawa maksud dikhaskan untuk khidmat kepada Tuhan. Dalam kata lain, kita boleh dianggap suci jika kita bersih secara moral, menyembah Yehuwa dalam cara yang diterima-Nya, dan memiliki hubungan yang erat dengan-Nya. Tidakkah kita berasa kagum kerana walaupun kita tidak sempurna, Yehuwa, Tuhan Yang Maha Suci, masih sudi menjadi sahabat rapat kita?

“SUCI, SUCI, SUCILAH YEHUWA”

5. Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada kata-kata para malaikat yang setia?

5 Yehuwa suci dan murni dalam segala hal. Kita mengetahui hal ini daripada kata-kata para serafim, iaitu malaikat yang berada berdekatan takhta Tuhan. Beberapa serafim mengisytiharkan, “Suci, suci, sucilah Yehuwa, ketua angkatan syurga!” (Yes. 6:3) Sudah tentu, para malaikat juga suci. Jadi mereka dapat memiliki hubungan yang erat dengan Tuhan yang suci. Sebenarnya, apabila satu malaikat Yehuwa berada di satu tempat di bumi, tempat itu dianggap suci. Itulah yang berlaku semasa malaikat Yehuwa menampakkan diri kepada Musa di dalam nyala api yang keluar dari pokok kecil.​—Kel. 3:2-5; Yos. 5:15.

Ungkapan “Kesucian milik Yehuwa” terukir pada kepingan emas yang diikatkan pada serban imam agung (Lihat perenggan 6-7)

6-7. (a) Menurut Keluaran 15:1, 11, bagaimanakah Musa menegaskan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang suci? (b) Bagaimanakah semua orang Israel diingatkan tentang kesucian Tuhan? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

6 Selepas Musa memimpin orang Israel menyeberangi Laut Merah, dia menegaskan bahawa Tuhan mereka, iaitu Yehuwa, ialah Tuhan yang suci. (Baca Keluaran 15:1, 11.) Orang Mesir menyembah dewa dewi yang tidak suci. Penduduk Kanaan juga menyembah dewa dewi yang tidak suci. Ibadat mereka merangkumi korban anak-anak dan perbuatan seks yang menjijikkan. (Im. 18:3, 4, 21-24; Ul. 18:9, 10) Yehuwa jauh berbeza daripada dewa dewi itu. Dia sama sekali tidak akan menyuruh penyembah-Nya melakukan sesuatu yang najis. Sebaliknya, Dia suci dalam segala hal. Kebenaran ini dapat dilihat menerusi kepingan emas yang diikatkan pada serban imam agung. Pada kepingan emas itu terukir kata-kata ini: “Kesucian milik Yehuwa.”​—Kel. 28:36-38.

7 Sesiapa sahaja yang melihat kata-kata itu akan diingatkan tentang kesucian Yehuwa. Namun, bagaimana pula jika seorang Israel tidak dapat melihat kepingan emas itu kerana tidak dapat mendekati imam agung? Adakah dia masih akan diingatkan tentang kebenaran yang penting itu? Sudah tentu! Setiap orang Israel akan mendengar kebenaran itu semasa Hukum Tuhan dibacakan kepada semua lelaki, wanita, dan kanak-kanak. (Ul. 31:9-12) Jika anda hadir bersama mereka, anda akan mendengar perintah-perintah ini: “Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu semua mesti . . . suci kerana Aku suci.” “Kamu mesti tetap suci di hadapan Aku, kerana Aku suci. Akulah Yehuwa.”​—Im. 11:44, 45; 20:7, 26.

8. Apakah yang kita pelajari setelah membandingkan Imamat 19:2 dengan 1 Petrus 1:14-16?

8 Sekarang, mari kita bertumpu kepada satu perintah di Imamat 19:2 yang dibacakan kepada seluruh umat Israel. Dalam ayat itu, Yehuwa memberitahu Musa, “Beritahulah seluruh umat Israel, ‘Kamu mesti suci kerana Aku suci. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’” Petrus mungkin telah memetik kata-kata itu semasa dia menggesa orang Kristian agar “menjadi suci.” (Baca 1 Petrus 1:14-16.) Walaupun kita tidak perlu mematuhi Hukum Musa, kata-kata Petrus menunjukkan bahawa seperti yang dinyatakan di Imamat 19:2, Yehuwa ialah Tuhan yang suci, dan orang yang mengasihi-Nya harus berusaha untuk menjadi suci. Hal ini benar, tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga ataupun di bumi firdaus.​—1 Ptr. 1:4; 2 Ptr. 3:13.

“MENJADI SUCI . . . DALAM SEGALA TINGKAH LAKU KAMU”

9. Apakah manfaatnya jika kita mengkaji Imamat bab 19?

9 Kita ingin menggembirakan Tuhan kita yang suci, maka kita ingin mempelajari cara untuk menjadi suci. Untuk membantu kita, Yehuwa telah menyediakan banyak nasihat yang praktikal dalam Imamat bab 19. Marcus Kalisch, seorang cendekiawan Ibrani, menulis bahawa barangkali, bab ini ialah “bab yang terpenting dalam buku Imamat dan lima buku Bible yang pertama.” Ingatlah bahawa bab ini bermula dengan perintah: “Kamu mesti suci.” Jadi, mari kita mengkaji beberapa ayat dalam bab ini yang mengajar kita cara untuk menjadi suci dalam kehidupan seharian kita.

Setelah membaca perintah di Imamat 19:3 tentang ibu bapa, apakah soalan-soalan yang harus difikirkan orang Kristian? (Lihat perenggan 10-12) *

10-11. Menurut Imamat 19:3, apakah yang harus kita lakukan? Mengapakah arahan itu penting?

10 Selepas Yehuwa menyatakan bahawa orang Israel mesti suci, Dia menambah, “Setiap orang mesti menghormati ibu bapanya . . . Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.”​—Im. 19:2, 3.

11 Jelaslah, arahan untuk menghormati ibu bapa kita sangat penting. Pernah sekali, seorang lelaki menanya Yesus, “Apakah perbuatan baik yang mesti aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?” Yesus telah memberitahu lelaki itu beberapa hal yang perlu dilakukannya, termasuk menghormati ibu bapa. (Mat. 19:16-19) Yesus bahkan mengutuk orang Farisi dan jurutulis hukum kerana mencari alasan untuk tidak menjaga ibu bapa mereka. Yesus berkata bahawa perbuatan mereka “menjadikan firman Tuhan tidak bernilai.” (Mat. 15:3-6) “Firman Tuhan” yang dimaksudkan oleh Yesus itu merangkumi perintah kelima dalam Sepuluh Hukum dan arahan yang terdapat di Imamat 19:3 untuk menghormati ibu bapa. (Kel. 20:12) Sekali lagi, ingatlah bahawa arahan di Imamat 19:3 diberikan selepas Tuhan berfirman, “Kamu mesti suci kerana Aku suci. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.”

12. Setelah membaca nasihat di Imamat 19:3, apakah soalan yang dapat kita fikirkan?

12 Setelah mendengar nasihat Yehuwa untuk menghormati ibu bapa, kita boleh menanya diri, “Adakah saya menghormati ibu bapa saya?” Jika anda mendapati cara anda menghormati ibu bapa dahulu kurang memuaskan, bertekadlah sekarang untuk membuat perubahan. Memang benar, anda tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku, tetapi dapatkah anda meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa anda mulai sekarang? Dapatkah anda memberi mereka lebih banyak sokongan dari segi kebendaan, rohani, atau emosi? Jika anda berbuat demikian, anda sedang mematuhi nasihat di Imamat 19:3.

13. (a) Apakah nasihat lain yang terdapat di Imamat 19:3? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus yang tercatat di Lukas 4:16-18?

13 Imamat 19:3 menyebut satu lagi hal yang diperlukan untuk menjadi suci, iaitu mematuhi hari Sabat. Sebagai orang Kristian, kita tidak perlu mematuhi Hukum Musa, jadi kita tidak perlu mematuhi hari Sabat setiap minggu. Meskipun begitu, kita masih dapat belajar sesuatu daripada cara orang Israel mematuhi hari Sabat dan manfaat yang diraih mereka. Hari Sabat merupakan masa untuk berehat daripada kerja dan bertumpu kepada hal-hal rohani. * Itulah sebabnya pada hari Sabat, Yesus akan pergi ke rumah ibadat dan membaca Firman Tuhan. (Kel. 31:12-15; baca Lukas 4:16-18.) Perintah Tuhan di Imamat 19:3 untuk “mematuhi . . . hari Sabat” harus mendorong kita untuk meluangkan masa setiap hari supaya kita dapat bertumpu kepada hal-hal rohani. Adakah anda berasa bahawa anda perlu berusaha lagi dalam hal ini? Jika anda memperuntukkan masa secara tetap untuk berfokus kepada hal rohani, anda dapat menjalin hubungan yang erat dengan Yehuwa. Dengan adanya hubungan yang erat dengan Yehuwa, anda dapat menjadi suci.

KUKUHKAN HUBUNGAN ANDA DENGAN YEHUWA

14. Apakah kebenaran penting yang disebut berulang kali di Imamat bab 19?

14 Terdapat satu kebenaran penting yang disebut berulang kali di Imamat bab 19, yang membantu kita agar tetap suci. Di hujung ayat 4 terdapat ungkapan ini: “Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.” Ungkapan itu dan ungkapan yang hampir sama muncul sebanyak 16 kali di Imamat bab 19. Hal ini mengingatkan kita tentang perintah pertama dalam Sepuluh Hukum: “Akulah Yehuwa, Tuhan kamu . . . Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Sembahlah Aku sahaja.” (Kel. 20:2, 3) Setiap orang Kristian yang ingin menjadi suci harus memastikan agar tiada sesiapa atau apa-apa pun yang menjadi lebih penting daripada hubungannya dengan Tuhan. Selain itu, memandangkan kita digelar Saksi-Saksi Yehuwa, kita bertekad untuk mengelakkan apa sahaja perbuatan yang mungkin mencemari nama suci Tuhan.—Im. 19:12; Yes. 57:15.

15. Ayat-ayat di Imamat bab 19 yang menyebut tentang korban harus mendorong kita untuk melakukan apa?

15 Orang Israel yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka perlu mematuhi banyak hukum. Imamat 18:4 menyatakan, “Patuhilah ketetapan-Ku dan hiduplah menurut perintah-Ku. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.” Imamat bab 19 mengandungi beberapa ‘ketetapan’ yang diberikan kepada orang Israel. Misalnya, ayat 5-8, 21, 22 menyebut tentang korban binatang. Orang Israel yang memberikan korban harus melakukannya dengan cara yang betul supaya mereka tidak ‘menghina sesuatu yang suci bagi Yehuwa.’ Ayat-ayat ini harus mendorong kita untuk menyenangkan hati Yehuwa dan mempersembahkan puji-pujian kepada-Nya, seperti yang dinyatakan di Ibrani 13:15.

16. Apakah prinsip di Imamat bab 19 yang mengingatkan kita bahawa kita mesti berbeza daripada orang yang tidak menyembah Tuhan?

16 Untuk menjadi suci, kita mesti sudi menjadi berbeza daripada orang lain. Hal ini tidak mudah. Ada kalanya, rakan sekolah, rakan sekerja, dan ahli keluarga yang tidak seiman, mungkin memberi kita tekanan untuk menyertai aktiviti yang mengganggu ibadat kita. Apabila hal itu berlaku, apakah yang dapat membantu kita membuat keputusan yang betul? Perhatikan satu hukum di Imamat 19:19: “Jangan pakai pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang.” Hukum itu memastikan agar orang Israel berbeza daripada bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Pada zaman ini, memang tidak salah untuk memakai pakaian yang mengandungi campuran cotton dengan poliester. Tetapi prinsip di Imamat 19:19 mengingatkan kita agar tidak menjadi seperti orang yang mempunyai kepercayaan dan amalan yang bercanggahan dengan ajaran Bible, biarpun mereka ialah rakan sekolah, rakan sekerja, atau saudara-mara kita. Sudah tentu, kita mengasihi ahli keluarga dan jiran kita. Tetapi semasa membuat keputusan yang penting dalam kehidupan, kita akan mentaati Yehuwa, walaupun hal itu akan membuat kita berbeza daripada orang lain. Hal ini sangat penting kerana orang yang ingin menjadi suci mesti dikhaskan untuk berkhidmat kepada Tuhan.​—2 Kor. 6:14-16; 1 Ptr. 4:3, 4.

Perintah di Imamat 19:23-25 harus mengingatkan umat Tuhan tentang apa? Apakah yang telah anda pelajari daripada ayat-ayat itu? (Lihat perenggan 17-18) *

17-18. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Imamat 19:23-25?

17 Ungkapan “Akulah Yehuwa, Tuhan kamu” telah mengingatkan orang Israel bahawa mereka patut mengutamakan hubungan mereka dengan Yehuwa. Bagaimana? Imamat 19:23-25 memberitahu kita jawapannya. (Baca.) Setelah orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan dan menanam pokok buah-buahan, mereka tidak boleh makan buah daripada pokok itu dari tahun pertama sehingga tahun ketiga. Pada tahun keempat, buah yang dihasilkan harus dibawa ke khemah suci Tuhan. Pada tahun kelima, barulah mereka boleh memakan buah pokok itu. Hukum ini mengingatkan orang Israel bahawa mereka tidak patut mengutamakan keperluan diri sendiri. Sebaliknya, mereka patut mengutamakan ibadat Yehuwa dan percaya bahawa Dia akan menjaga mereka dan memberi mereka makanan yang cukup. Melalui hukum ini, Tuhan juga menggalakkan mereka untuk memberi dengan murah hati di tempat ibadat-Nya.

18 Hukum di Imamat 19:23-25 juga mengingatkan kita tentang kata-kata Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung. Dia berkata, “Jangan khuatir lagi tentang . . . apa yang akan kamu makan dan minum.” Kemudian Yesus menyambung, “Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini.” Ya, Yehuwa pasti menjaga keperluan kita, sepertimana Dia menjaga burung di langit. (Mat. 6:25, 26, 32) Kita yakin akan hal itu, jadi kita akan “membuat kebajikan” untuk membantu orang lain tanpa menghebohkannya. Kita juga sudi memberikan sumbangan untuk menutupi perbelanjaan sidang. Kemurahan hati kita diperhatikan oleh Yehuwa dan akan membawa berkat-Nya. (Mat. 6:2-4) Dengan bermurah hati, kita menunjukkan bahawa kita memahami pengajaran-pengajaran daripada Imamat 19:23-25.

19. Setakat ini, apakah manfaat yang telah anda raih daripada Imamat bab 19?

19 Setelah mengkaji beberapa ayat daripada Imamat bab 19, kita telah mempelajari cara untuk meniru teladan Tuhan kita yang suci. Apabila kita berbuat demikian, kita sedang berusaha untuk ‘menjadi suci dalam segala tingkah laku kita.’ (1 Ptr. 1:15) Ramai orang yang bukan penyembah Yehuwa telah melihat kelakuan baik umat-Nya, dan ada antara mereka yang bahkan terdorong untuk memuliakan Yehuwa. (1 Ptr. 2:12) Dalam rencana seterusnya, kita akan mengkaji beberapa ayat lagi dalam Imamat bab 19. Kita akan melihat cara-cara lain untuk mematuhi nasihat Petrus dan “menjadi suci” dalam kehidupan kita.

LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’

^ per. 5 Kita sangat mengasihi Yehuwa dan ingin menggembirakan hati-Nya. Yehuwa ialah Tuhan yang suci, dan Dia menghendaki para penyembah-Nya untuk menjadi suci. Namun, dapatkah manusia yang tidak sempurna menjadi suci? Ya, memang dapat. Untuk memahami bagaimana kita dapat menjadi suci dalam segala tingkah laku kita, marilah kita mengkaji nasihat Rasul Petrus kepada rakan seimannya dan beberapa perintah Yehuwa kepada bangsa Israel kuno.

^ per. 13 Untuk maklumat lanjut tentang hari Sabat dan pengajarannya bagi kita, lihat rencana “‘Ada Waktu yang Tertentu’ untuk Bekerja dan Berehat” dalam Menara Pengawal terbitan Disember 2019.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Seorang anak yang sudah dewasa meluangkan masa bersama ibu bapanya. Dia membawa isteri dan anaknya untuk melawat mereka, dan dia sering menghubungi mereka.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Seorang petani di Israel melihat buah pada pokok yang ditanamnya.