RENCANA PEMBELAJARAN 51
Teruslah Mendengarkan Yesus
“Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.”—MAT. 17:5.
LAGU 54 “Inilah Jalannya”
PENGENALAN *
1-2. (a) Apakah perintah Tuhan kepada tiga orang rasul Yesus, dan apakah reaksi mereka? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
SELEPAS Perayaan Paska tahun 32 M, Rasul Petrus, Yakobus, dan Yohanes, telah mendapat sebuah penglihatan yang luar biasa. Di atas sebuah gunung yang tinggi, yang mungkin terletak di kawasan Gunung Hermon, mereka melihat rupa Yesus berubah. “Wajahnya bersinar seperti matahari dan jubah luarnya menjadi terang seperti cahaya.” (Mat. 17:1-4) Di hujung penglihatan itu, mereka mendengar Tuhan berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.” (Mat. 17:5) Apakah reaksi tiga orang rasul itu? Melalui cara hidup mereka, mereka menunjukkan bahawa mereka memang mendengarkan Yesus. Kita tentu ingin meniru teladan mereka.
2 Dalam rencana sebelumnya, kita belajar bahawa untuk mendengar suara Yesus, kita perlu berhenti melakukan sesetengah perkara. Dalam rencana ini pula, kita akan membincangkan dua perkara yang perlu kita lakukan untuk mendengarkan Yesus.
IKUTLAH JALAN YANG SEMPIT
3. Menurut Matius 7:13, 14, kita harus melakukan apa?
3 Baca Matius 7:13, 14. Dalam ayat ini, Yesus berkata bahawa terdapat dua jenis jalan, satu yang “luas” dan satu yang “sempit.” Tiada jalan yang ketiga. Kita masing-masing harus memilih jalan mana yang akan kita ikuti. Inilah keputusan yang terpenting, kerana hanya satu jalan itu yang akan menuju kehidupan kekal.
4. Gambarkan jalan yang “luas” itu.
4 Apakah perbezaan antara dua jalan itu? Jalan yang “luas” itu disukai ramai kerana senang dilalui. Banyak orang memilih untuk tetap berada di jalan itu dan terikut-ikut dengan perangai orang yang berada di jalan itu. Namun, mereka tidak sedar bahawa Syaitanlah yang ingin mereka mengikut jalan itu, dan bahawa jalan itu menuju kebinasaan.—1 Kor. 6:9, 10; 1 Yoh. 5:19.
5. Apakah yang telah dilakukan sesetengah orang untuk menjumpai jalan “sempit” dan mengikut jalan itu?
5 Tidak seperti jalan yang “luas,” Yesus berkata bahawa hanya sedikit orang yang akan menjumpai jalan yang “sempit.” Mengapa? Dalam ayat berikutnya, Yesus mengingatkan para pengikutnya agar berwaspada terhadap nabi palsu. (Mat. 7:15) Menurut anggaran, terdapat beribu-ribu agama, dan kebanyakannya mendakwa bahawa mereka mengajarkan kebenaran. Akibatnya, jutaan orang berasa begitu tawar hati atau keliru, sehingga mereka tidak lagi cuba mencari jalan yang menuju kehidupan. Namun, jalan itu sebenarnya dapat ditemui. Yesus berkata, “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.” (Yoh. 8:31, 32) Anda harus dipuji kerana tidak terikut-ikut dengan kebanyakan orang. Sebaliknya, anda berusaha untuk mencari kebenaran. Anda mengkaji Firman Tuhan secara mendalam untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan daripada kita, dan anda mendengarkan ajaran Yesus. Anda belajar bahawa Yehuwa ingin kita menolak ajaran agama palsu dan berhenti menyambut perayaan yang berasal daripada kepercayaan yang salah. Anda juga belajar bahawa anda mungkin perlu membuat banyak perubahan agar dapat melakukan kehendak Yehuwa dan menghentikan amalan yang tidak disenangi-Nya. (Mat. 10:34-36) Biarpun perubahan sebegini tidak mudah, anda tidak berputus asa kerana anda mengasihi Yehuwa dan menginginkan perkenan-Nya. Dia tentu amat gembira dengan usaha anda!—Ams. 27:11.
TETAP BERADA DI JALAN YANG SEMPIT
6. Menurut Mazmur 119:9, 10, 45, 133, apakah yang dapat membantu kita tetap berada di jalan yang sempit?
6 Setelah kita mula mengikut jalan yang sempit, apakah yang dapat membantu kita tetap berada di jalan itu? Fikirkan contoh ini: Pengadang jalan akan dipasang di jalan gunung yang sempit untuk melindungi pemandu dan kenderaan. Pengadang itu dapat mencegah orang daripada memandu terlalu dekat dengan pinggir jalan atau menghalang kenderaan daripada terhumban ke dalam gaung. Adakah pemandu akan merungut bahawa pengadang itu menyekat kebebasan mereka? Sudah tentu tidak! Seperti pengadang jalan, piawaian Yehuwa dalam Bible membantu kita tetap berada di jalan yang sempit.—Baca Mazmur 119:9, 10, 45, 133.
7. Bagaimanakah anak-anak muda patut memandang jalan yang sempit?
7 Anak-anak muda, adakah anda kadang-kadang berasa bahawa piawaian Yehuwa terlalu mengongkong dan menghalang anda daripada menikmati kehidupan dengan sepuas-puasnya? Syaitan mahu anda berfikir begitu. Dia ingin anda melihat betapa seronoknya kehidupan orang yang mengikut jalan yang luas, dan dia mungkin menggunakan rakan sebaya atau maklumat di Internet untuk membuat anda berasa bahawa anda terlepas banyak * Itulah yang Syaitan ingin anda fikirkan. Namun ingatlah hal ini: Syaitan tidak mahu orang yang mengikut jalannya untuk mengetahui kesudahan jalan itu. Yehuwa pula sudah menyatakan dengan jelas berkat-berkat yang menantikan orang yang tetap berada di jalan yang menuju kehidupan.—Mzm. 37:29; Yes. 35:5, 6; 65:21-23.
peluang untuk berseronok.8. Apakah yang dapat dipelajari oleh orang muda daripada pengalaman Olaf?
8 Perhatikan pengalaman seorang saudara muda yang bernama Olaf. * Rakan sekelasnya memberinya tekanan untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Apabila Olaf menjelaskan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa hidup menurut prinsip moral Bible, beberapa orang gadis dalam kelasnya berusaha dengan lebih keras lagi untuk memujuknya mengadakan hubungan dengan mereka. Tetapi Olaf berpegang teguh pada pendiriannya. Olaf juga menghadapi tekanan lain. Dia berkata, “Guru-guru beritahu saya bahawa saya harus mengejar pendidikan tinggi supaya disanjung orang. Mereka kata tanpa pendidikan tinggi, saya tidak akan berjaya dalam hidup.” Apakah yang membantu Olaf melawan tekanan sebegini? Dia berkata, “Saya menjadi kawan rapat dengan saudara saudari di sidang, dan mereka menjadi seperti keluarga saya. Saya juga mengkaji Bible dengan lebih teliti. Semakin kerap saya berbuat demikian, semakin teguh keyakinan saya bahawa inilah kebenaran. Hasilnya, saya bertekad untuk dibaptis.”
9. Apakah yang perlu kita lakukan agar tetap berada di jalan yang sempit?
9 Syaitan ingin anda meninggalkan jalan sempit yang menuju kehidupan dan mengikut kebanyakan orang di jalan luas yang “menuju kebinasaan.” (Mat. 7:13) Namun, jika anda terus mendengarkan Yesus dan menganggap jalan sempit itu sebagai perlindungan, anda akan tetap berada di jalan itu. Sekarang, mari kita perhatikan satu lagi hal yang perlu kita lakukan.
BERDAMAI DENGAN SAUDARA ANDA
10. Di Matius 5:23, 24, Yesus kata kita harus melakukan apa?
10 Baca Matius 5:23, 24. Dalam ayat-ayat itu, Yesus menyebut tentang satu peristiwa yang sangat penting bagi orang Yahudi yang sedang mendengar kata-katanya. Bayangkan seseorang di Rumah Tuhan yang akan memberikan korban binatang kepada imam. Pada masa itu, jika dia teringat bahawa saudaranya tidak senang hati terhadapnya, dia harus meninggalkan korban itu dan beredar. Mengapa? Apakah yang lebih penting daripada memberikan korban kepada Yehuwa? Yesus menjawab, “Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu.”
11. Bagaimanakah Yakub berusaha untuk berdamai dengan Esau?
11 Untuk mengetahui cara berdamai dengan saudara saudari kita, marilah kita mengkaji satu peristiwa dalam kehidupan Yakub. Dua puluh tahun setelah Yakub meninggalkan tempat lahirnya, Tuhan mengutus satu malaikat untuk menyuruhnya kembali ke situ. (Kej. 31:11, 13, 38) Namun, hal itu tidak mudah, kerana abangnya Esau ingin membunuhnya. (Kej. 27:41) Yakub “sangat takut dan risau” abangnya mungkin masih berdendam terhadapnya. (Kej. 32:7) Jadi, bagaimanakah dia berusaha untuk berdamai dengan Esau? Pertama, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk meminta bantuan Yehuwa. Kemudian, dia menghantar banyak hadiah kepada Esau. (Kej. 32:9-15) Akhirnya, apabila Yakub bertemu dengan Esau, dia mengambil inisiatif untuk menunjukkan hormat. Yakub bersujud kepada Esau, bukan satu atau dua kali, tetapi sebanyak tujuh kali! Oleh sebab Yakub bersikap rendah hati dan menunjukkan hormat, dia berjaya berdamai dengan abangnya.—Kej. 33:3, 4.
12. Apakah yang kita pelajari daripada teladan Yakub?
12 Perhatikan bagaimana Yakub membuat persiapan untuk berjumpa dengan abangnya, dan apa yang dilakukan Yakub semasa mereka berdua bertemu. Sebelum berjumpa dengan abangnya, Yakub berdoa untuk meminta bantuan Yehuwa. Kemudian, dia bertindak selaras dengan doanya dengan mengambil langkah-langkah praktikal untuk menyenangkan hati abangnya. Semasa mereka berdua bertemu, Yakub tidak bertengkar dengan Esau tentang siapa yang betul atau salah. Sebaliknya, dia ingat bahawa matlamatnya adalah untuk berdamai dengan abangnya. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yakub?
CARA UNTUK BERDAMAI DENGAN ORANG LAIN
13-14. Apakah yang harus kita lakukan jika kita menyinggung perasaan rakan seiman kita?
13 Semasa berjalan di jalan yang menuju kehidupan, kita ingin menjalin hubungan yang damai dengan rakan seiman kita. (Rm. 12:18) Jadi, apakah yang harus kita lakukan jika kita mendapati bahawa kita sudah menyinggung perasaan rakan seiman kita? Seperti Yakub, kita harus berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa dan meminta-Nya memberkati usaha kita untuk berdamai dengan rakan seiman kita.
14 Kita juga patut meluangkan masa untuk memeriksa diri. Kita boleh memikirkan soalan seperti: “Sudikah saya mengetepikan air muka saya, meminta maaf dengan rendah hati, dan berdamai dengan rakan seiman saya? Apakah perasaan Yehuwa dan Yesus jika saya mengambil inisiatif untuk berdamai dengan saudara atau saudari saya?” Jawapan kita dapat mendorong kita untuk mendengarkan Yesus dan bersikap rendah hati agar dapat berdamai dengan rakan seiman kita. Jika kita berbuat demikian, kita sedang meniru teladan Yakub.
15. Bagaimanakah prinsip di Efesus 4:2, 3 membantu kita untuk berdamai dengan rakan seiman kita?
15 Bayangkan apa yang mungkin berlaku jika Yakub bersikap sombong semasa berjumpa dengan abangnya! Kesudahannya mungkin sangat berbeza. (Baca Efesus 4:2, 3.) Amsal 18:19 menyatakan, “Lebih mudah menawan kota yang bertembok daripada mencuba menyenangkan hati saudara yang tersinggung; ada pertengkaran yang susah dileraikan, sebagaimana pintu gerbang yang berpalang susah dibuka.” Apabila seorang saudara tersinggung, hatinya mungkin susah dibuka seperti “pintu gerbang yang berpalang.” Namun, jika kita meminta maaf dengan rendah hati, kita mungkin dapat membuka hatinya dan berdamai dengannya.
16. Apakah yang harus kita fikirkan, dan mengapa?
16 Kita juga perlu memikirkan dengan teliti apa yang akan kita katakan kepada rakan seiman kita dan bagaimana kita akan mengatakannya. Apabila kita sudah bersedia, kita patut berjumpa dengannya dan berusaha untuk berdamai dengannya. Pada mulanya, dia mungkin mengatakan sesuatu yang kita tidak suka dengar. Ketika itu, kita mungkin berasa marah atau cuba membela diri, tetapi adakah 1 Kor. 6:7.
reaksi itu akan membantu kita berdamai dengannya? Sudah tentu tidak. Jadi, ingatlah bahawa berdamai dengan rakan seiman anda adalah lebih penting daripada membuktikan siapa yang betul atau salah.—17. Apakah yang anda pelajari daripada contoh Gilbert?
17 Seorang saudara yang bernama Gilbert telah berusaha keras untuk berdamai dengan orang lain. Dia berkata, “Hubungan saya dengan anak perempuan saya sangat renggang. Selama dua tahun, saya cuba bercakap dengannya secara jujur dan tenang supaya dapat berbaik semula dengan dia.” Gilbert menambah, “Sebelum bercakap kepadanya, saya akan berdoa dan mengingatkan diri agar tidak naik marah jika dia mengatakan sesuatu yang buruk. Saya perlu sedia mengampuni. Saya juga belajar bahawa saya tidak patut membela diri, dan bahawa tanggungjawab saya adalah untuk berdamai dengan anak perempuan saya.” Apakah hasilnya? Gilbert berkata, “Kini, hati saya tenang kerana saya ada hubungan yang baik dengan semua ahli keluarga saya.”
18-19. Jika kita menyinggung perasaan orang lain, kita harus bertekad untuk melakukan apa, dan mengapa?
18 Jadi, apakah seharusnya tekad anda jika anda mendapati bahawa anda telah menyinggung perasaan rakan seiman anda? Ikutlah arahan Yesus dan berdamailah dengan rakan seiman anda. Beritahulah Yehuwa masalah anda, dan mintalah bantuan kuasa suci-Nya supaya anda dapat berdamai dengan rakan seiman anda. Dengan berbuat demikian, anda akan bahagia, dan anda menunjukkan bahawa anda mendengarkan Yesus.—Mat. 5:9.
19 Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa memberi kita bimbingan yang begitu baik melalui Yesus Kristus, “kepala sidang” kita? (Ef. 5:23) Maka, marilah kita bertekad untuk ‘mendengarkan dia,’ seperti yang dilakukan oleh Petrus, Yakobus, dan Yohanes. (Mat. 17:5) Dalam rencana ini, kita telah mempelajari cara untuk mendengarkan Yesus, iaitu dengan berdamai dengan rakan seiman yang tersinggung dan dengan terus berada di jalan sempit yang menuju kehidupan. Dengan melakukan hal-hal ini, kita akan menerima banyak berkat sekarang dan kebahagiaan yang tidak terhingga pada masa depan.
LAGU 130 Bermaaf-maafan
^ per. 5 Yesus menggesa kita untuk mengikut jalan sempit yang menuju kehidupan. Dia juga menyuruh kita untuk berdamai dengan rakan seiman kita. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi semasa mematuhi nasihat Yesus, dan bagaimanakah kita dapat mengatasinya?
^ per. 7 Lihat brosur Jawapan kepada 10 Pertanyaan Kaum Muda, soalan 6: “Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya?” dan animasi papan putih Lawanlah Tekanan Rakan Sebaya! di www.pr418.com/ms. (Lihat AJARAN BIBLE > REMAJA.)
^ per. 8 Sesetengah nama telah diubah.
^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Jika kita tetap berada di jalan “sempit” dan dilindungi oleh “pengadang jalan” yang disediakan oleh Tuhan, kita dapat mengelakkan bahaya seperti bahan lucah, perbuatan yang tidak bermoral, dan tekanan untuk mengejar pendidikan tinggi.
^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Yakub bersujud berkali-kali kepada Esau agar dapat berdamai dengannya.