Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Bersedia untuk “Mewarisi Bumi”?

Adakah Anda Bersedia untuk “Mewarisi Bumi”?

YESUS berjanji, “Berbahagialah orang yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi.” (Mat. 5:5) Kaum terurap akan mewarisi bumi semasa mereka memerintah di syurga bersama Yesus. (Why. 5:10; 20:6) Kebanyakan orang Kristian pula akan mewarisi bumi dan tinggal selama-lamanya di situ dalam keadaan yang sempurna, damai, dan bahagia. Namun, ada hal-hal yang perlu mereka lakukan. Kita akan membincangkan tiga hal, iaitu menguasai bumi, menjaga keperluan orang yang dibangkitkan, dan mengajar orang yang dibangkitkan. Kita juga akan membincangkan apa yang dapat anda lakukan sekarang untuk menunjukkan bahawa anda ingin menyertai tugas-tugas ini pada masa depan.

BERSEDIA UNTUK MENGUASAI BUMI

Yehuwa telah memberikan perintah ini kepada Adam dan Hawa: “Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya.” Perintah ini menunjukkan bahawa Yehuwa mahu seluruh bumi menjadi sebuah Firdaus. (Kej. 1:28) Bagi orang yang akan mewarisi bumi, mereka juga harus mematuhi perintah ini. Tetapi Taman Eden tidak wujud lagi. Jadi selepas Armagedon, pasti ada banyak kerja membaik pulih yang harus dilakukan untuk membersihkan kawasan bumi yang telah dirosakkan. Itu memang satu tugas yang sangat berat!

Situasi ini mirip dengan keadaan orang Israel yang kembali dari Babilon. Tanah air mereka berada dalam keadaan terbiar selama 70 tahun. Namun, Yesaya menubuatkan, “Aku, Yehuwa, akan menjadikan padang belantaranya seperti Eden, dan menyebabkan padang gurunnya menjadi seperti taman-Ku.” (Yes. 51:3) Dengan berkat Yehuwa, orang Israel berjaya memulihkan negeri mereka. Begitu juga, dengan berkat Yehuwa, orang yang mewarisi bumi akan berjaya menguasainya. Apakah yang dapat anda lakukan sekarang untuk menunjukkan bahawa anda ingin menyertai kerja itu?

Salah satu cara adalah dengan memastikan rumah anda dan kawasan di sekelilingnya bersih dan kemas. Anda dapat berbuat demikian biarpun jiran anda tidak mengutamakan kebersihan. Selain itu, anda dapat membantu membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan. Jika keadaan anda mengizinkan, mohonlah untuk menjadi pekerja sukarela bagi membantu mangsa bencana. Dengan melakukan hal-hal ini, anda menunjukkan bahawa anda sedia membantu saudara saudari anda. Selain itu, tanyalah diri, “Dapatkah saya belajar kemahiran yang akan digunakan di dunia baru kelak?”

BERSEDIA MENJAGA KEPERLUAN ORANG YANG DIBANGKITKAN

Sejurus selepas membangkitkan anak perempuan Yairus, Yesus menyuruh orang memberikan makanan kepada anak itu. (Mrk. 5:42, 43) Menjaga keperluan seorang anak yang berumur 12 tahun memang tidak susah. Namun, bayangkan kerja yang perlu kita lakukan semasa “semua orang di dalam makam peringatan” mendengar suara Yesus lalu keluar. (Yoh. 5:28, 29) Bible tidak memberitahu kita segala-gala yang akan berlaku pada masa itu. Namun, kita dapat membayangkan bahawa semua orang yang dibangkitkan akan memerlukan makanan, tempat tinggal, dan pakaian. Apakah yang dapat anda lakukan sekarang untuk menunjukkan bahawa anda bersedia membantu orang lain? Fikirkan soalan-soalan berikut.

Apakah yang dapat anda lakukan sekarang untuk menunjukkan bahawa anda bersedia mewarisi bumi?

Semasa pengumuman dibuat tentang lawatan penyelia litar, adakah anda menjemputnya untuk makan bersama? Apabila ahli Bethel perlu meninggalkan Bethel, atau semasa penyelia litar tidak lagi dapat berkhidmat dalam kerja lawatan, dapatkah anda membantu mereka untuk mencari tempat tinggal? Jika konvensyen serantau atau konvensyen istimewa akan diadakan di kawasan anda, dapatkah anda menawarkan diri untuk melakukan kerja sebelum dan selepas konvensyen atau untuk mengalu-alukan para hadirin?

BERSEDIA UNTUK MENGAJAR ORANG YANG DIBANGKITKAN

Menurut Kisah 24:15, nampaknya berbilion-bilion orang akan dibangkitkan. Kebanyakan antara mereka tidak berpeluang mengenali Yehuwa sebelum mereka mati. Tetapi selepas dibangkitkan, mereka akan diajar oleh hamba-hamba Tuhan yang setia di bumi dan berpeluang untuk mengenali Yehuwa. a (Yes. 11:9) Charlotte, yang pernah menginjil di Eropah, Amerika Selatan, dan Afrika, menanti-nantikan masa itu tiba. Dia berkata, “Saya menantikan masanya untuk mengajar orang yang dibangkitkan. Semasa membaca kisah tentang orang yang pernah hidup pada masa lalu, saya sering berfikir, ‘Jika orang ini mengenali Yehuwa, hidupnya pasti berbeza.’ Saya tidak sabar memberitahu orang yang dibangkitkan tentang Yehuwa dan manfaat besar yang akan mereka raih jika mereka menyembah-Nya.”

Bahkan hamba Yehuwa yang setia, yang hidup sebelum Yesus datang ke bumi, pun ada banyak hal untuk belajar. Fikirkan contoh Nabi Daniel. Dia menulis nubuat-nubuat yang dia sendiri tidak faham. Sudah pasti kita akan berasa sangat gembira semasa menjelaskan kepada Daniel bagaimana nubuat-nubuat yang dicatatkannya menjadi kenyataan. (Dan. 12:8) Atau bayangkan jika anda berpeluang membantu Rut dan Naomi untuk belajar bagaimana mereka menjadi nenek moyang Mesias. Di dunia baharu, kita tidak akan mempunyai tekanan dan masalah yang dihadapi di dunia Syaitan. Maka kita akan menikmati sukacita yang besar semasa menyertai program pendidikan sedunia ini.

Apakah yang dapat anda lakukan sekarang untuk menunjukkan bahawa anda bersedia menyertai program pendidikan itu? Satu cara utama adalah dengan berusaha menjadi guru yang lebih mahir dan menyertai kerja penyebaran secara tetap. (Mat. 24:14) Biarpun anda tidak dapat melakukan sebanyak yang diingini sekarang kerana masalah usia atau situasi lain, usaha anda dalam kerja ini menunjukkan bahawa anda bersedia untuk mengajar orang yang dibangkitkan.

Jadi, adakah anda benar-benar mahu mewarisi bumi? Adakah anda bersedia untuk menguasai bumi, menjaga keperluan orang yang dibangkitkan, dan mengajar mereka? Jika ya, carilah peluang sekarang untuk melakukan kerja-kerja yang juga akan dilakukan di dunia baharu nanti!

a Lihat rencana “Memimpin Banyak Orang ke Haluan yang Benar” dalam Menara Pengawal terbitan September 2022.