Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 52

Bantu Rakan Seiman Tabah Menghadapi Kesusahan

Bantu Rakan Seiman Tabah Menghadapi Kesusahan

“Buatlah kebaikan kepada orang yang memerlukan bantuan, dan janganlah menahan diri jika kamu berupaya membantunya.”—AMS. 3:27.

LAGU 103 Gembala​—Kurniaan Tuhan

PENGENALAN a

1. Sering kali, bagaimanakah Yehuwa menjawab doa hamba-Nya?

 ADAKAH anda tahu bahawa anda dapat digunakan oleh Yehuwa untuk menjawab doa rakan seiman? Anda dapat membantu tidak kira anda seorang penatua, pembantu sidang, perintis, atau penyiar. Apabila orang yang mengasihi Yehuwa memohon bantuan-Nya, sering kali Yehuwa menggunakan para penatua dan hamba-Nya yang lain untuk menjadi “sumber kelegaan hati yang besar” kepada mereka. (Kol. 4:11) Sememangnya, Yehuwa telah memberi kita penghormatan yang besar untuk membantu saudara saudari kita! Bilakah kita dapat membantu rakan seiman? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga situasi berikut: Semasa wabak penyakit menular, semasa bencana melanda, dan semasa dianiaya.

MEMBANTU ORANG LAIN SEMASA WABAK PENYAKIT MENULAR

2. Mengapakah tidak mudah untuk membantu orang lain semasa wabak penyakit menular?

2 Semasa wabak penyakit menular, kita mungkin berasa susah untuk membantu satu sama lain. Sebagai contoh, kita mungkin ingin melawat kawan kita atau menjemput saudara saudari yang miskin untuk makan bersama-sama tetapi tidak dapat berbuat demikian. Selain itu, keluarga kita sendiri pun mungkin menghadapi kesusahan. Meskipun begitu, kita masih ingin membantu saudara saudari kita, dan Yehuwa berasa gembira apabila kita melakukan apa yang terdaya untuk berbuat demikian. (Ams. 3:27; 19:17) Apakah sesetengah hal yang dapat kita lakukan?

3. Apakah yang kita belajar daripada teladan para penatua di sidang Desi? (Yeremia 23:4)

3 Apa yang dapat dilakukan para penatua. Jika anda seorang penatua, kenalilah saudara saudari anda dengan baik. (Baca Yeremia 23:4.) Saudari Desi, yang disebut dalam rencana sebelumnya, berkata, “Para penatua dalam kumpulan menginjil saya meluangkan masa untuk menginjil dan bergaul bersama saya dan saudara saudari lain.” b Oleh itu, para penatua berasa lebih mudah untuk membantu Desi semasa pandemik COVID-19 menular dan meragut nyawa sesetengah ahli keluarganya.

4. Mengapakah para penatua dapat membantu Desi, dan apakah pengajarannya?

4 Desi menjelaskan, “Oleh sebab para penatua di sidang saya ialah kawan-kawan saya, senang bagi saya untuk meluahkan isi hati saya dan memberitahu mereka masalah saya.” Apakah pengajarannya bagi para penatua? Jagalah biri-biri Tuhan sebelum masalah timbul dan jadilah kawan mereka. Jika anda tidak dapat berjumpa dengan mereka secara bersemuka, carilah cara lain untuk menghubungi mereka. Desi berkata, “Kadangkala beberapa penatua menelefon saya atau menghantar mesej kepada saya pada hari yang sama. Ayat Bible yang mereka kongsi sangat menyentuh hati saya, biarpun saya memang tahu ayat-ayat itu.”

5. Bagaimanakah para penatua dapat mengetahui keperluan saudara saudari dan membantu mereka?

5 Satu cara anda dapat mengetahui keperluan saudara saudari adalah dengan menanyakan soalan yang sesuai. (Ams. 20:5) Adakah mereka mempunyai makanan, ubat-ubatan, atau barang keperluan yang mencukupi? Adakah mereka mungkin akan kehilangan kerja atau bahkan tempat tinggal? Adakah mereka tahu cara untuk memohon bantuan kerajaan? Semasa dilanda kesusahan, Desi menghargai bantuan kebendaan daripada rakan seimannya, tetapi dia khasnya menghargai bantuan emosi dan rohani daripada para penatua. Dia berkata, “Mereka berdoa bersama saya. Walaupun saya tidak ingat setiap kata mereka, saya masih ingat perasaan saya. Yehuwa seolah-olah memberitahu saya, ‘Kamu tidak keseorangan.’”​—Yes. 41:10, 13.

Saudara yang mengendalikan bahagian perjumpaan berasa gembira semasa ramai orang di Dewan Perjumpaan memberikan komen yang menggalakkan, termasuk seorang saudara yang sakit, yang memberikan komen melalui persidangan video (Lihat perenggan 6)

6. Apakah yang dapat dilakukan ahli sidang untuk membantu orang lain? (Lihat gambar.)

6 Apa yang dapat dilakukan orang lain. Memang benar, para penatua patut mengambil pimpinan untuk membantu saudara saudari, tetapi Yehuwa juga menjemput kita semua untuk menggalakkan dan membantu orang lain. (Gal. 6:10) Biarpun apa yang dapat kita lakukan hanya sedikit, kasih kita dapat menggalakkan seseorang yang sakit. Sebagai contoh, seorang anak boleh menghantar kad atau lukisan untuk menggalakkan seorang saudara. Seorang pemuda boleh membantu seorang saudari untuk membeli-belah atau melakukan kerja-kerja lain. Kita juga boleh menyediakan makanan dan meninggalkannya di luar rumah seseorang yang sakit. Sebenarnya, semasa penyakit merebak, semua orang di sidang memerlukan galakan. Salah satu cara kita dapat saling menggalakkan adalah dengan bergaul bersama saudara saudari lebih lama selepas perjumpaan, sama ada secara bersemuka atau melalui persidangan video. Para penatua juga memerlukan galakan. Sesetengah Saksi menghantar kad penghargaan kepada para penatua yang selalu sibuk, terutamanya semasa wabak penyakit menular. Alangkah bagusnya jika kita semua terus “menggalakkan dan menguatkan satu sama lain”!​—1 Tes. 5:11.

MEMBANTU ORANG LAIN SEMASA BENCANA MELANDA

7. Apakah masalah yang mungkin timbul semasa bencana melanda?

7 Bencana dapat menyebabkan hidup seseorang menjadi tunggang terbalik dalam sekelip mata. Mangsa bencana mungkin kehilangan harta benda, rumah, atau orang kesayangan. Bahkan rakan seiman kita juga ditimpa bencana. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka?

8. Apakah yang dapat dilakukan oleh para penatua dan ketua keluarga sebelum bencana melanda?

8 Apa yang dapat dilakukan para penatua. Para penatua, bantulah saudara saudari untuk membuat persediaan sebelum bencana melanda. Pastikan mereka tahu langkah keselamatan yang perlu diambil dan cara untuk menghubungi para penatua. Margaret, yang disebut dalam rencana sebelumnya, berkata, “Semasa bahagian keperluan tempatan, para penatua mengingatkan kami bahawa risiko kebakaran hutan masih tinggi. Mereka kata jika keadaan menjadi berbahaya, atau jika pihak berkuasa mengarahkan kami untuk meninggalkan kawasan itu, kami mesti segera beredar.” Peringatan itu diberikan tepat pada masanya kerana keadaan di kawasan Margaret menjadi sangat berbahaya lima minggu kemudian. Semasa penyembahan keluarga, ketua keluarga boleh membincangkan langkah yang perlu diambil oleh setiap ahli keluarga. Dengan membuat persiapan sebegini, anda dan anak-anak anda akan berasa lebih tenang jika bencana berlaku.

9. Apakah yang perlu dilakukan oleh para penatua sebelum dan selepas bencana berlaku?

9 Jika anda ialah penyelia kumpulan, pastikan anda mempunyai maklumat perhubungan terkini bagi semua saudara saudari dalam kumpulan anda. Dengan demikian, jika bencana berlaku, anda dapat menghubungi setiap penyiar untuk mengetahui keperluan mereka. Kemudian, beritahulah koordinator badan penatua keperluan saudara saudari dalam kumpulan anda supaya dia dapat memaklumkan penyelia litar. Apabila para penatua bekerjasama dalam cara ini, mereka dapat memberikan bantuan yang terbaik kepada saudara saudari. Selepas kebakaran berlaku di kawasan rumah Margaret, penyelia litarnya tidak tidur selama 36 jam kerana perlu mengaturkan para penatua untuk menghubungi dan menjaga kira-kira 450 orang saudara saudari yang terpaksa meninggalkan rumah mereka. (2 Kor. 11:27) Hasilnya, mereka semua mempunyai tempat tinggal.

10. Mengapakah para penatua mementingkan kerja penggembalaan? (Yohanes 21:15)

10 Salah satu tugas para penatua ialah menyediakan bantuan rohani dan emosi. (1 Ptr. 5:2) Memang benar, selepas bencana berlaku, hal pertama yang perlu mereka lakukan ialah memastikan semua saudara saudari selamat dan mempunyai makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Namun untuk bulan-bulan berikutnya, mangsa bencana memerlukan sokongan rohani dan emosi. (Baca Yohanes 21:15.) Harold, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan, berkata, “Mereka mungkin rasa hidup mereka sudah beransur-ansur kembali normal. Namun apabila mereka teringat orang tersayang yang meninggal, harta mereka yang rosak, atau bagaimana mereka nyaris kehilangan nyawa, tiba-tiba mereka mungkin dibanjiri perasaan sedih lagi. Luka emosi sebegini memerlukan masa untuk sembuh. Hal ini tidak bermaksud iman mereka lemah. Ini cuma reaksi biasa.”

11. Bagaimanakah para penatua dapat memberikan bantuan yang berterusan kepada keluarga yang menjadi mangsa bencana?

11 Para penatua perlu mengikut nasihat untuk ‘menangis bersama orang yang menangis.’ (Rm. 12:15) Para penatua perlu meyakinkan mangsa bencana bahawa Yehuwa dan saudara saudari mereka masih mengasihi mereka. Selain itu, para penatua akan membantu keluarga yang menjadi mangsa bencana untuk mengekalkan rutin rohani, seperti berdoa, membuat pembelajaran peribadi, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Para penatua juga boleh menggalakkan ibu bapa untuk membantu anak-anak bertumpu kepada hal-hal yang tidak dapat dimusnahkan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengingatkan anak mereka bahawa Yehuwa akan sentiasa menjadi Sahabat mereka dan akan tetap berada di sisi mereka. Ibu bapa juga boleh mengingatkan anak mereka bahawa mereka ada saudara saudari di seluruh dunia yang sentiasa bersedia membantu mereka.​—1 Ptr. 2:17.

Dapatkah anda menawarkan diri untuk membantu orang lain selepas bencana melanda kawasan anda? (Lihat perenggan 12) e

12. Apakah yang dapat dilakukan saudara saudari lain untuk membantu mangsa bencana? (Lihat gambar.)

12 Apa yang dapat dilakukan orang lain. Jika bencana berlaku berhampiran tempat tinggal anda, tanyalah para penatua bagaimana anda dapat membantu. Barangkali anda dapat menawarkan tempat tinggal sementara, sama ada untuk saudara saudari yang menjadi mangsa bencana atau untuk pekerja sukarela pembinaan. Anda juga mungkin dapat menghantar makanan dan bekalan kepada para penyiar. Tetapi bagaimana pula jika bencana berlaku di kawasan yang jauh? Dapatkah anda masih membantu? Ya! Anda dapat berdoa bagi mereka. (2 Kor. 1:8-11) Anda juga dapat menderma kepada kerja sedunia. (2 Kor. 8:2-5) Jika anda dapat pergi ke tempat yang ditimpa bencana untuk memberikan bantuan, mintalah cadangan para penatua. Jika anda dijemput untuk membantu, barangkali anda akan diberi latihan agar anda dapat memberikan bantuan dalam cara yang terbaik.

MEMBANTU ORANG LAIN BERTABAH MENGHADAPI PENGANIAYAAN

13. Apakah cabaran yang dihadapi oleh saudara saudari di negara yang mengharamkan kerja kita?

13 Di negara-negara yang mengharamkan kerja kita, kehidupan saudara saudari sangat mencabar. Selain dianiaya, mereka juga menghadapi masalah ekonomi, masalah kesihatan, dan kehilangan orang tersayang. Namun, oleh sebab kerja kita diharamkan, para penatua mungkin tidak bebas untuk melawat atau berkomunikasi dengan orang yang memerlukan galakan. Itulah cabaran yang dihadapi oleh Andrei, yang disebut dalam rencana sebelumnya. Seorang saudari dalam kumpulan penyebarannya menghadapi masalah kewangan. Kemudian saudari itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia perlu menjalani beberapa pembedahan dan tidak dapat bekerja. Meskipun kerja kita diharamkan dan pandemik sedang berlaku pada masa itu, saudara saudari melakukan apa yang terdaya untuk membantunya, dan Yehuwa memastikan saudari itu menerima bantuan yang diperlukan.

14. Bagaimanakah para penatua dapat menunjukkan bahawa mereka bergantung pada Yehuwa?

14 Apa yang dapat dilakukan para penatua. Andrei berdoa dan melakukan apa yang dia mampu. Adakah Yehuwa menjawab doanya? Ya! Yehuwa menggerakkan rakan seiman yang mempunyai lebih banyak kebebasan untuk membantu saudari itu. Apabila saudari itu mempunyai janji temu doktor, ada yang menyediakan pengangkutan. Yang lain pula memberikan bantuan kewangan. Yehuwa telah menggerakkan mereka untuk memberikan bantuan dengan berani dan bersatu padu, dan Dia memberkati usaha mereka. (Ibr. 13:16) Para penatua, apabila kerja kita diharamkan, mintalah bantuan orang lain. (Yer. 36:5, 6) Yang terpenting, bergantung pada Yehuwa. Dia dapat membantu anda menjaga keperluan saudara saudari.

15. Bagaimanakah kita dapat mengekalkan perpaduan semasa dianiaya?

15 Apa yang dapat dilakukan orang lain. Semasa kerja kita diharamkan, kita mungkin tidak dapat bergaul dalam kumpulan besar. Maka amatlah penting untuk menjaga hubungan yang baik dengan satu sama lain. Musuh kita ialah Syaitan, bukan rakan seiman. Maka, berusahalah untuk memaafkan satu sama lain, dan jika ada masalah timbul, berusahalah untuk menyelesaikannya dengan segera. (Ams. 19:11; Ef. 4:26) Selain itu, ambillah inisiatif untuk membantu satu sama lain. (Tit. 3:14) Apabila kita membantu orang lain, kita sendiri meraih manfaat. Sebagai contoh, kumpulan penyebaran Andrei menjadi lebih rapat kerana mereka bersama-sama membantu saudari itu.​—Mzm. 133:1.

16. Menurut Kolose 4:3, 18, bagaimanakah kita dapat membantu saudara saudari yang dianiaya?

16 Ramai saudara saudari menyembah Yehuwa meskipun kegiatan mereka diharamkan oleh pihak kerajaan. Ada antara mereka yang dipenjarakan. Kita boleh berdoa untuk mereka dan keluarga mereka. Selain itu, jangan lupa berdoa bagi rakan seiman yang sanggup membahayakan diri untuk memberikan sokongan di mahkamah atau menyediakan bantuan fizikal dan rohani. c (Baca Kolose 4:3, 18.) Doa anda sangat penting bagi mereka!​—2 Tes. 3:1, 2; 1 Tim. 2:1, 2.

Bagaimanakah keluarga anda dapat membuat persiapan sekarang untuk menghadapi penganiayaan? (Lihat perenggan 17)

17. Bagaimanakah anda dapat membuat persiapan sebelum menghadapi penganiayaan?

17 Anda dan keluarga anda dapat membuat persiapan sekarang sebelum penganiayaan. (Kis. 14:22) Janganlah membayangkan semua perkara buruk yang mungkin berlaku. Sebaliknya, kuatkanlah hubungan anda dengan Yehuwa dan bantulah anak anda untuk melakukan hal yang sama. Jika ada kalanya anda berasa khuatir, curahkanlah isi hati anda kepada Tuhan. (Mzm. 62:7, 8) Bincanglah bersama keluarga anda sebabnya anda mempercayai Yehuwa. d Sepertimana anda mengajar anak anda untuk membuat persiapan sebelum bencana berlaku, bantulah mereka untuk membuat persiapan sebelum penganiayaan berlaku. Dengan demikian, mereka akan menjadi lebih berani dan tenang kerana anda sudah mengajar mereka untuk mempercayai Yehuwa.

18. Apakah masa hadapan yang menantikan kita?

18 Kedamaian atau kesejahteraan daripada Tuhan membuat kita rasa selamat. (Flp. 4:6, 7) Maka, kita dapat menghadapi penyakit, bencana, atau penganiayaan dengan tenang. Yehuwa juga menggunakan para penatua untuk menggembala kita, dan Dia memberi kita penghormatan untuk membantu satu sama lain. Sebenarnya, kedamaian yang kita nikmati sekarang akan membantu kita bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa depan, termasuk “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:21) Pada masa itu, kita harus mengekalkan kedamaian kita dan membantu orang lain untuk berbuat demikian. Tetapi selepas kesengsaraan besar, kita tidak akan lagi menghadapi masalah yang membuat kita risau. Akhirnya, kita akan menikmati kedamaian yang sempurna dan berkekalan seperti yang diinginkan oleh Yehuwa bagi kita.​—Yes. 26:3, 4.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

a Yehuwa sering menggunakan hamba-hamba-Nya untuk membantu rakan seiman mereka yang menghadapi kesusahan. Dia dapat menggunakan anda untuk menjadi sumber galakan bagi saudara saudari anda. Mari kita lihat bagaimana kita dapat membantu mereka.

b Sesetengah nama telah diubah.

c Jika anda ingin menghantar surat kepada saudara saudari di dalam penjara, pejabat cawangan atau ibu pejabat sedunia tidak dapat melakukannya bagi anda.

d Lihat rencana “Bersedialah Sekarang untuk Menghadapi Penganiayaan” dalam Menara Pengawal terbitan Julai 2019.

e KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri menghantar makanan kepada sebuah keluarga yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat bencana.