Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 50

“Kamu Akan Bersama-Sama Aku di Firdaus”

“Kamu Akan Bersama-Sama Aku di Firdaus”

“Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”​—LUK. 23:43.

LAGU 145 Firdaus yang Dijanjikan Tuhan

PENGENALAN a

1. Tidak lama sebelum Yesus meninggal, apakah yang dikatakannya kepada penjenayah di sebelahnya? (Lukas 23:39-43)

 YESUS dan dua orang penjenayah yang dihukum mati bersamanya sangat menderita. (Luk. 23:32, 33) Kedua-dua penjenayah itu menghina Yesus. Maka jelaslah bahawa mereka bukan pengikutnya. (Mat. 27:44; Mrk. 15:32) Tetapi kemudian salah seorang daripada mereka berubah hati. Dia berkata, “Yesus, ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.” Yesus memberitahunya, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” (Baca Lukas 23:39-43.) Bible tidak memberitahu kita bahawa penjenayah ini telah menerima mesej yang dikhabarkan oleh Yesus tentang “Kerajaan di syurga,” dan Yesus tidak memberitahu lelaki itu bahawa dia akan masuk dalam Kerajaannya. (Mat. 4:17) Yesus sedang berjanji bahawa penjenayah itu akan hidup di bumi Firdaus. Bagaimanakah kita tahu?

Apakah yang dapat kita simpulkan tentang penjenayah yang bercakap dengan Yesus dan tentang apa yang diketahuinya? (Lihat perenggan 2-3)

2. Apakah yang menunjukkan bahawa penjenayah yang bertaubat itu ialah orang Yahudi?

2 Kemungkinan besar, penjenayah yang bertaubat itu ialah orang Yahudi. Bagaimanakah kita tahu? Penjenayah itu berkata kepada penjenayah yang seorang lagi, “Adakah kamu tidak takut sama sekali kepada Tuhan?” (Luk. 23:40) Bagi orang Yahudi, Tuhan hanya satu, tetapi bangsa-bangsa di sekeliling mereka menyembah banyak dewa dewi. (Kel. 20:2, 3; 1 Kor. 8:5, 6) Jika penjenayah itu bukan orang Yahudi, dia mungkin akan bertanya, “Adakah kamu tidak takut sama sekali kepada dewa dewi?” Perhatikan satu lagi sebab: Biasanya, Yesus tidak menginjil kepada orang bukan Yahudi, kerana dia telah diutus “kepada orang Israel, yang bagaikan biri-biri yang sesat.” (Mat. 15:24) Tambahan lagi, Tuhan pernah memberitahu orang Israel bahawa Dia akan membangkitkan orang mati dan penjenayah itu mungkin mengetahui ajaran tersebut. Kata-katanya menunjukkan bahawa dia percaya Yehuwa akan membangkitkan Yesus dan menjadikan Yesus Raja dalam Kerajaan Tuhan, dan dia berharap agar Tuhan akan membangkitkannya juga.

3. Apakah yang mungkin difikirkan oleh penjenayah yang bertaubat itu semasa Yesus memberitahunya tentang Firdaus? Jelaskan. (Kejadian 2:15)

3 Oleh sebab penjenayah yang bertaubat itu ialah orang Yahudi, dia pasti tahu tentang Adam dan Hawa dan Firdaus yang diciptakan oleh Yehuwa sebagai tempat tinggal mereka. Jadi, semasa Yesus memberitahu penjenayah itu tentang Firdaus, dia mungkin membayangkan sebuah taman yang cantik dan indah di bumi.​—Baca Kejadian 2:15.

4. Kata-kata Yesus kepada penjenayah yang bertaubat itu harus menggerakkan kita untuk berfikir tentang apa?

4 Kata-kata Yesus kepada penjenayah itu patut menggerakkan kita untuk berfikir tentang keadaan hidup di bumi Firdaus kelak. Sebenarnya terdapat sesuatu yang dapat kita belajar tentang bumi Firdaus daripada pemerintahan Raja Salomo yang makmur. Bible berkata bahawa Yesus ialah Salomo yang lebih agung. Maka kita tahu Yesus dan raja-raja yang akan memerintah bersamanya akan menjadikan bumi sebuah Firdaus yang indah. (Mat. 12:42) Sudah tentu, “biri-biri lain” sangat berminat tentang apa yang harus mereka lakukan agar layak tinggal di bumi Firdaus.​—Yoh. 10:16.

BAGAIMANAKAH KEADAAN HIDUP DI FIRDAUS KELAK?

5. Semasa anda terfikir tentang bumi Firdaus, apakah yang anda bayangkan?

5 Apakah gambaran yang terlintas dalam minda anda semasa anda terfikir tentang kehidupan di Firdaus? Anda mungkin terfikir tentang sebuah taman yang cantik seperti Taman Eden. (Kej. 2:7-9) Anda juga mungkin teringat akan nubuat Nabi Mikha bahawa umat Tuhan akan “duduk di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing.” (Mi. 4:3, 4) Bible juga menyatakan bahawa di Firdaus akan terdapat makanan yang melimpah. (Mzm. 72:16; Yes. 65:21, 22) Jadi anda mungkin membayangkan diri anda di sebuah taman yang cantik dan duduk di meja yang penuh dengan makanan yang sedap. Anda mungkin membayangkan diri anda menghirup udara yang bersih, yang penuh dengan aroma bunga dan tumbuhan. Anda juga mungkin dapat membayangkan bunyi gelak ketawa ahli keluarga, sahabat, dan orang yang dibangkitkan, semasa mereka bergaul bersama. Semua itu bukan mimpi kosong dan pasti terjadi di bumi. Semasa di Firdaus nanti, kita juga akan melakukan kerja yang menyeronokkan.

Kita mempunyai kerja untuk mendidik orang yang sudah dibangkitkan (Lihat perenggan 6)

6. Apakah kerja yang akan kita lakukan di Firdaus? (Lihat gambar.)

6 Yehuwa telah menciptakan kita untuk menikmati kerja kita. (Pkh. 2:24) Kita akan sangat sibuk semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Orang yang selamat mengharungi kesengsaraan besar dan jutaan orang yang dibangkitkan memerlukan pakaian, makanan, dan tempat tinggal. Kita pasti perlu bekerja keras untuk memenuhi semua keperluan mereka. Selain itu, seperti Adam dan Hawa, kita juga perlu bekerja keras untuk menjadikan seluruh bumi sebuah Firdaus. Tambahan lagi, jutaan orang yang tidak mengenali Yehuwa dan hamba-hamba Tuhan yang hidup sebelum zaman Yesus akan dibangkitkan. Jadi kita perlu mendidik mereka supaya mereka mengenali Yehuwa dan tujuan-Nya.

7. Kita dapat yakin akan hal apa, dan mengapa?

7 Kita dapat yakin bahawa kehidupan di Firdaus nanti akan damai, makmur, dan teratur. Mengapa? Kerana melalui pemerintahan Raja Salomo, Yehuwa sudah menunjukkan bagaimana keadaan hidup kita semasa di bawah pemerintahan Anak-Nya.

PEMERINTAHAN RAJA SALOMO​—BAYANGAN KEPADA KEHIDUPAN DI FIRDAUS

8. Bagaimanakah kata-kata Raja Daud di Mazmur 37:10, 11, 29 menjadi kenyataan pada masa lalu? (Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan ini.)

8 Di bawah ilham Tuhan, Raja Daud telah menggambarkan kehidupan di bawah pemerintahan seorang raja yang setia dan bijaksana. (Baca Mazmur 37:10, 11, 29.) Semasa memberitahu orang tentang Firdaus, kita sering membaca Mazmur 37:11. Kita mempunyai sebab yang baik untuk berbuat demikian kerana Yesus pun memetik ayat itu dalam Ceramah Di Atas Gunung dan menunjukkan bahawa ayat itu akan menjadi kenyataan pada masa depan. (Mat. 5:5) Namun, kata-kata Daud juga menggambarkan kehidupan orang pada zaman Raja Salomo. Semasa Salomo menjadi raja Israel, mereka hidup damai dan makmur di negeri yang “melimpah dengan susu dan madu.” Ratusan tahun sebelum itu, Tuhan memberitahu umat-Nya, “Jika kamu mematuhi hukum-Ku dan hidup menurut perintah-Ku . . . , Aku akan mendatangkan keamanan di negeri kamu sehingga kamu dapat tidur tanpa berasa takut terhadap sesiapa pun.” (Im. 20:24; 26:3, 6) Janji itu telah menjadi kenyataan semasa pemerintahan Salomo. (1 Taw. 22:9; 29:26-28) Yehuwa juga mengilhami Daud untuk menulis bahawa orang jahat “tidak akan dijumpai.” (Mzm. 37:10) Jadi kata-kata di Mazmur 37:10, 11, 29 telah menjadi kenyataan pada zaman Salomo, dan akan menjadi kenyataan lagi pada masa depan.

9. Apakah yang dikatakan ratu dari Syeba tentang pemerintahan Raja Salomo?

9 Ratu dari Syeba telah mendengar tentang kedamaian dan kemakmuran di Israel semasa pemerintahan Salomo. Maka, dia membuat perjalanan yang jauh ke Yerusalem untuk melihat kerajaan Salomo dengan matanya sendiri. (1 Raj. 10:1) Selepas itu, dia berkata, “Apa yang beta dengar itu tidak separuh pun daripada apa yang beta nampak sekarang. . . . Berbahagialah rakyat tuanku dan para pegawai tuanku yang sentiasa bersama tuanku kerana mereka dapat mendengar kebijaksanaan tuanku!” (1 Raj. 10:6-8) Meskipun pemerintahan Raja Salomo begitu damai dan makmur, semua itu hanyalah bayangan kepada berkat yang akan dinikmati manusia di bawah pemerintahan Anak Tuhan, iaitu Yesus.

10. Bagaimanakah Yesus lebih unggul daripada Salomo?

10 Yesus lebih unggul daripada Salomo dalam segala-galanya. Salomo ialah manusia yang tidak sempurna. Dia pernah membuat keputusan yang bodoh dan menyusahkan umat Tuhan. Yesus pula ialah seorang raja yang sempurna dan tidak pernah berbuat silap. (Luk. 1:32; Ibr. 4:14, 15) Semasa mengalami cubaan yang sangat berat daripada Syaitan, Yesus tetap setia kepada Tuhan. Kristus telah membuktikan bahawa dia sama sekali tidak akan berdosa atau melakukan apa-apa yang menyusahkan rakyatnya. Tidakkah kita berbesar hati kerana Yesus ialah Raja kita?

11. Siapakah yang akan membantu Yesus memerintah?

11 Yesus akan dibantu oleh 144,000 kaum terurap. Mereka akan bekerja bersamanya untuk menjaga manusia dan melaksanakan tujuan Yehuwa untuk bumi. (Why. 14:1-3) Semasa di bumi, mereka ialah lelaki dan wanita yang mengalami banyak cubaan dan penderitaan. Jadi mereka akan menjadi raja yang baik hati. Tetapi apakah tugas-tugas mereka pada masa depan?

APAKAH TUGAS-TUGAS KAUM TERURAP?

12. Apakah tugas yang akan Yehuwa berikan kepada 144,000 kaum terurap?

12 Yesus dan kaum terurap diberi tugas yang jauh lebih besar daripada tanggungjawab yang dipikul oleh Salomo. Salomo perlu menjaga jutaan orang di satu negara sahaja. Tetapi Yesus dan kaum terurap perlu menjaga berbilion-bilion orang di serata dunia. Yehuwa sememangnya memberi kaum terurap tugas yang sungguh istimewa!

13. Apakah salah satu tanggungjawab istimewa kaum terurap?

13 Seperti Yesus, 144,000 kaum terurap akan menjadi raja dan imam. (Why. 5:10) Di bawah Hukum Musa, para imam diberi tanggungjawab utama untuk melindungi kesihatan fizikal umat Tuhan dan memastikan mereka tetap sihat secara rohani. Hukum Musa merupakan “bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang.” Maka kita dapat menjangkakan bahawa kaum terurap akan diberi tanggungjawab istimewa untuk menjaga keperluan fizikal dan rohani umat Tuhan pada masa depan. (Ibr. 10:1) Bagaimanakah mereka akan berkomunikasi dengan umat Tuhan di bumi? Kita perlu tunggu dan lihat. Namun kita dapat yakin bahawa di Firdaus nanti, Yehuwa akan memastikan rakyat-Nya menerima bimbingan yang diperlukan.​—Why. 21:3, 4.

APAKAH YANG MESTI “BIRI-BIRI LAIN” LAKUKAN UNTUK HIDUP DI FIRDAUS?

14. Apakah yang dikatakan oleh Yesus tentang “biri-biri lain” dan “kawanan kecil”?

14 Yesus memanggil orang yang akan memerintah bersamanya sebagai “kawanan kecil.” (Luk. 12:32) Tetapi Yesus juga ada bercakap tentang kumpulan kedua yang dipanggil “biri-biri lain.” Kedua-dua kumpulan ini membentuk satu kawanan yang bersatu padu. (Yoh. 10:16) Sekarang, kedua-dua kumpulan ini sedang bekerjasama untuk melaksanakan kehendak Tuhan dan mereka akan terus berbuat demikian pada masa depan. Pada masa itu, “kawanan kecil” akan memerintah dari syurga. Tetapi “biri-biri lain” akan hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. Namun, ada hal-hal yang perlu dilakukan oleh “biri-biri lain” agar mereka layak untuk tinggal di bumi Firdaus kelak.

Sekarang pun kita dapat membuktikan bahawa kita sudah bersedia untuk hidup di Firdaus (Lihat perenggan 15) b

15. (a) Bagaimanakah “biri-biri lain” bekerjasama dengan saudara-saudara Kristus? (b) Bagaimanakah anda dapat meniru saudara yang berada di farmasi itu? (Lihat gambar.)

15 Penjenayah yang bertaubat itu mati sebelum berpeluang untuk menunjukkan penghargaannya kepada Kristus. Kita pula ada banyak peluang untuk berbuat demikian. Sebagai contoh, kita boleh menunjukkan kasih kepada Yesus melalui cara kita melayan saudara-saudara Kristus yang terurap. Yesus berkata bahawa dia akan menghakimi biri-biri berdasarkan cara mereka melayan saudara-saudaranya. (Mat. 25:31-40) Salah satu cara kita dapat menyokong saudara-saudara Kristus adalah dengan menyertai kerja menginjil dan menjadikan orang murid Kristus dengan bersemangat. (Mat. 28:18-20) Untuk berbuat demikian, kita ingin menggunakan bahan bacaan yang telah disediakan oleh mereka, seperti buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Jika anda belum lagi mempunyai pelajar Bible, tetapkanlah matlamat untuk menawarkan pembelajaran Bible kepada seramai orang yang mungkin.

16. Apakah yang perlu kita lakukan sekarang untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan?

16 Kita tidak perlu tunggu sehingga kita masuk Firdaus, barulah kita mula memupuk sifat-sifat yang disenangi Yehuwa. Sekarang pun kita boleh berusaha untuk bersikap jujur dari segi kata-kata dan perbuatan, dan bersikap seimbang dalam kehidupan kita. Kita juga boleh tetap setia kepada Yehuwa, pasangan kita, dan rakan seiman kita. Jika kita berusaha untuk mematuhi perintah Tuhan semasa di dunia jahat ini, kita akan berasa lebih senang untuk berbuat demikian semasa di Firdaus nanti. Kita juga boleh memupuk kemahiran dan sifat-sifat lain yang menunjukkan bahawa kita sudah bersedia untuk hidup di Firdaus. Lihat rencana “Adakah Anda Bersedia untuk ‘Mewarisi Bumi’?” dalam terbitan ini.

17. Patutkah dosa yang pernah kita lakukan buat kita berasa tawar hati? Jelaskan.

17 Kita juga harus berusaha untuk menyingkirkan rasa bersalah atas dosa lampau kita. Sudah tentu, kita tidak mahu menggunakan korban tebusan Yesus sebagai alasan untuk “sengaja mengamalkan perbuatan yang berdosa.” (Ibr. 10:26-31) Tetapi jika kita telah bertaubat, mendapatkan bantuan Yehuwa dan para penatua, dan mengubah kelakuan kita, kita dapat yakin bahawa Yehuwa telah memaafkan dosa kita (Yes. 55:7; Kis. 3:19) Ingatlah kata-kata Yesus kepada orang Farisi, “Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” (Mat. 9:13) Ya, korban tebusan cukup berkuasa untuk menutupi semua dosa kita.

ANDA BOLEH HIDUP SELAMA-LAMANYA DI FIRDAUS

18. Apakah yang ingin anda ceritakan bersama penjenayah yang mati di sebelah Yesus?

18 Bayangkan diri anda di Firdaus dan bercakap dengan penjenayah yang bertaubat itu. Anda berdua pasti menghargai pengorbanan Yesus. Anda juga mungkin meminta penjenayah itu untuk menceritakan apa yang berlaku beberapa jam sebelum Yesus mati dan perasaannya semasa Yesus menunaikan permintaannya. Penjenayah itu pula mungkin menanya anda apa perasaan anda semasa hidup pada hari-hari terakhir. Anda pasti gembira untuk memulakan pembelajaran Bible dengan orang seperti dia!​—Ef. 4:22-24.

Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, seorang saudara mengembangkan bakatnya dalam bidang yang sudah lama diminatinya (Lihat perenggan 19)

19. Mengapakah kehidupan di Firdaus tidak akan membosankan? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

19 Kehidupan di Firdaus tidak akan membosankan. Kita dapat berjumpa dengan bermacam-macam orang dan melakukan pelbagai jenis kerja yang menyeronokkan. Yang terpenting, setiap hari kita dapat mengenali Bapa kita yang di syurga dengan lebih baik dan menikmati semua berkat yang disediakan-Nya. Sampai bila-bila pun kita akan terus belajar tentang Yehuwa dan ciptaan-Nya. Sebenarnya, semakin lama kita hidup, semakin dalam kasih kita kepada Tuhan. Tidakkah kita bersyukur kepada Yehuwa dan Yesus kerana berjanji bahawa kita dapat hidup selama-lamanya di Firdaus?

LAGU 22 Datanglah Kerajaan Tuhan!

a Adakah anda sering membayangkan keadaan hidup di Firdaus? Perenungan sebegini dapat menguatkan semangat kita. Jika kita terus memikirkan apa yang Yehuwa akan lakukan untuk kita pada masa depan, kita akan berasa lebih bersemangat untuk memberitahu orang lain tentang Firdaus. Rencana ini akan menguatkan iman kita bahawa Firdaus yang dijanjikan Yesus akan menjadi kenyataan.

b KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara ingin mendidik orang yang dibangkitkan di Firdaus nanti. Sekarang pun, dia sedang mengajar orang tentang Bible.