RENCANA PEMBELAJARAN 49
Kita Dapat Hidup Selama-Lamanya
“Maka mereka mendapat kehidupan kekal.”—YOH. 17:3.
LAGU 147 Kehidupan Abadi Dijanjikan
PENGENALAN a
1. Apakah perasaan kita setelah merenungkan janji Yehuwa untuk memberi kita kehidupan kekal?
YEHUWA berjanji bahawa orang yang mentaati-Nya akan mendapat “kehidupan kekal.” (Rm. 6:23) Setelah merenungkan harapan yang begitu indah ini, kasih kita terhadap Yehuwa pasti bertambah dalam. Fikirkan: Bapa kita yang di syurga begitu mengasihi kita sehingga Dia memberi kita kehidupan kekal agar kita tidak terpisah daripada-Nya buat selama-lamanya.
2. Bagaimanakah janji kehidupan kekal membantu kita?
2 Janji Tuhan ini membantu kita untuk menghadapi cubaan sekarang dengan tabah. Biarpun diancam maut, kita tidak akan berhenti menyembah Yehuwa. Mengapa? Kerana kita tahu bahawa jika kita meninggal, asalkan kita setia kepada Yehuwa, Dia akan membangkitkan kita dan memberi kita harapan untuk hidup kekal. (Yoh. 5:28, 29; 1 Kor. 15:55-58; Ibr. 2:15) Mengapakah kita yakin kita dapat hidup selama-lamanya? Mari kita lihat beberapa bukti yang berikut.
YEHUWA HIDUP SELAMA-LAMANYA
3. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa mampu memberi kita kehidupan kekal? (Mazmur 102:12, 24, 27)
3 Kita tahu bahawa Yehuwa dapat memberi kita kehidupan kekal kerana Dia ialah Sumber kehidupan dan Dia hidup selama-lamanya. (Mzm. 36:9) Perhatikan beberapa ayat Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa telah wujud sejak dahulu lagi dan akan wujud untuk selama-lamanya. Mazmur 90:2 menyatakan bahawa Yehuwa ialah “Tuhan yang kekal selama-lamanya.” Mazmur juga menyatakan hal yang serupa. (Baca 102Mazmur 102:12, 24, 27.) Selain itu, Nabi Habakuk menulis tentang Yehuwa, “Ya Yehuwa, bukankah Engkau sudah wujud sejak dahulu lagi? Ya Tuhanku, Tuhan Yang Suci, Engkau tidak dapat mati.”—Hab. 1:12.
4. Perlukah kita berasa risau jika kita tidak dapat memahami bagaimana Yehuwa tidak mempunyai permulaan atau akhir? Jelaskan.
4 Adakah anda berasa susah untuk memahami bagaimana Yehuwa, “Tuhan yang kekal,” tidak mempunyai permulaan atau akhir? (Yes. 40:28) Ini memang perasaan yang biasa. Elihu pun berkata tentang Tuhan, “Siapakah yang dapat memahami keabadian-Nya?” (Ayb. 36:26) Namun, sesuatu hal tidak menjadi mustahil hanya kerana kita tidak memahaminya. Misalnya, manusia tidak memahami sepenuhnya sifat cahaya. Namun, adakah hal itu bermaksud bahawa cahaya tidak wujud? Tidak. Begitu juga, kebenaran tentang Pencipta tidak terhad kepada apa yang dapat difahami oleh manusia. Jadi, biarpun manusia tidak dapat memahami dengan sepenuhnya bagaimana Yehuwa tidak mempunyai permulaan atau akhir, hal itu tidak bermaksud Tuhan tidak hidup selama-lamanya. (Rm. 11:33-36) Sebenarnya, Dia sudah wujud lama sebelum alam semesta, termasuk sumber cahaya seperti matahari, wujud. Bible menyatakan bahawa “dengan kuasa-Nya, Tuhan telah menjadikan bumi,” dan Dia sudah wujud sebelum Dia “membentangkan langit.” (Yer. 51:15; Kis. 17:24) Apakah satu lagi sebab kita dapat yakin bahawa kita dapat hidup selama-lamanya?
KITA DICIPTAKAN UNTUK HIDUP SELAMA-LAMANYA
5. Apakah yang dapat dinikmati oleh pasangan manusia yang pertama?
5 Yehuwa menciptakan semua benda hidup di bumi dengan jangka hayat yang terhad, kecuali manusia. Dia memberi manusia harapan untuk hidup selama-lamanya. Tetapi Yehuwa memberitahu Adam, “Engkau dilarang makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, kerana jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.” (Kej. 2:17) Sedihnya, Adam dan Hawa mengingkari Yehuwa lalu dihukum mati. Jika mereka tidak mengingkari Yehuwa, nampaknya mereka akan diizinkan untuk makan daripada “pokok kehidupan,” yang melambangkan jaminan Tuhan bahawa mereka akan “hidup selama-lamanya.” b—Kej. 3:22.
6-7. (a) Apakah bukti lain yang menunjukkan bahawa manusia tidak diciptakan untuk mati? (b) Apakah hal-hal yang ingin anda lakukan di dunia baharu? (Lihat gambar.)
6 Sesetengah kajian yang dibuat oleh ahli sains menunjukkan bahawa biarpun kita belajar untuk seumur hidup kita, kita hanya menggunakan sebahagian kecil daripada otak kita. Pada tahun 2010, sebuah rencana dalam majalah Scientific American Mind menyatakan bahawa otak kita dapat menyimpan kira-kira 2.5 juta gigabait maklumat. Dalam kata lain, otak kita dapat menyimpan rakaman program TV yang panjangnya tiga juta jam, atau lebih daripada 300 tahun. Sebenarnya, muatan sebenar otak manusia mungkin jauh lebih besar daripada itu. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa menciptakan otak manusia untuk digunakan jauh lebih lama daripada hanya 70 atau 80 tahun.—Mzm. 90:10.
7 Selain itu, Yehuwa telah menciptakan manusia dengan keinginan yang kuat untuk terus hidup. Bible berkata bahawa Tuhan “menyematkan keabadian ke dalam hati manusia.” (Pkh. 3:11) Itulah salah satu sebab mengapa kita memandang kematian sebagai musuh dan melakukan apa yang terdaya untuk mengelakkannya. (1 Kor. 15:26) Sebagai contoh, jika kita sakit teruk, kita tidak akan menerima keadaan itu tanpa membuat apa-apa. Selalunya, kita akan jumpa doktor dan mendapatkan rawatan agar dapat sembuh. Selain itu, apabila orang kesayangan kita meninggal, tidak kira sama ada dia tua atau muda, kita berasa sangat sedih dan pilu. (Yoh. 11:32, 33) Kita yakin bahawa Pencipta kita yang pengasih tidak akan memberi kita keinginan dan kebolehan untuk hidup selama-lamanya, jika itu bukan tujuan-Nya bagi manusia. Kita juga mempunyai sebab-sebab lain yang kukuh untuk percaya bahawa kita dapat hidup kekal. Mari kita lihat beberapa perbuatan Yehuwa pada masa dahulu dan pada masa sekarang, yang membuktikan bahawa tujuan asal Yehuwa bagi manusia tidak berubah.
TUJUAN YEHUWA TIDAK BERUBAH
8. Bagaimanakah Yesaya 55:11 meyakinkan kita bahawa tujuan Tuhan bagi manusia tidak berubah?
8 Walaupun Adam dan Hawa mewariskan dosa dan kematian kepada keturunan mereka, tujuan Yehuwa bagi manusia tidak berubah. (Baca Yesaya 55:11.) Dia masih mahu manusia yang setia untuk hidup selama-lamanya. Kita dapat yakin akan hal ini apabila kita memikirkan apa yang telah dikatakan dan dilakukan oleh Yehuwa untuk melaksanakan tujuan-Nya itu.
9. Apakah yang telah dijanjikan oleh Tuhan? (Daniel 12:2, 13)
9 Yehuwa telah berjanji untuk membangkitkan orang mati dan memberi mereka peluang untuk hidup selama-lamanya. (Kis. 24:15; Tit. 1:1, 2) Ayub yakin bahawa Yehuwa sangat ingin membangkitkan orang mati. (Ayb. 14:14, 15) Nabi Daniel tahu bahawa manusia akan dibangkitkan dan diberi peluang untuk hidup kekal. (Mzm. 37:29; baca Daniel 12:2, 13.) Orang Yahudi pada zaman Yesus juga tahu bahawa Yehuwa akan memberi hamba-hamba-Nya yang setia “kehidupan yang kekal.” (Luk. 10:25; 18:18) Yesus berulang kali menyebut tentang janji Tuhan ini, dan dia sendiri pun telah dibangkitkan oleh Bapanya.—Mat. 19:29; 22:31, 32; Luk. 18:30; Yoh. 11:25.
10. Pembangkitan yang pernah berlaku membuktikan apa? (Lihat gambar.)
10 Yehuwa ialah Pemberi Nyawa dan Dia mempunyai kuasa untuk membangkitkan orang. Dia telah memberi Nabi Elia kuasa untuk membangkitkan anak lelaki seorang balu dari Sarafat. (1 Raj. 17:21-23) Pada kemudian hari, Nabi Elisa diberi kuasa untuk membangkitkan anak lelaki seorang wanita dari Sunem. (2 Raj. 4:18-20, 34-37) Kisah-kisah pembangkitan dalam Bible membuktikan bahawa Yehuwa ada kuasa untuk membangkitkan orang. Semasa di bumi, Yesus juga telah menunjukkan bahawa dia ada kuasa untuk membangkitkan orang. (Yoh. 11:23-25, 43, 44) Sekarang, Yesus ada di syurga dan dia diberi “kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.” Maka, dia pasti dapat menunaikan janji bahawa “semua orang di dalam makam peringatan” akan dibangkitkan dan diberi peluang untuk hidup selama-lamanya.—Mat. 28:18; Yoh. 5:25-29.
11. Bagaimanakah korban tebusan Yesus membolehkan kita menikmati kehidupan kekal?
11 Mengapakah Yehuwa mengizinkan Anak kesayangan-Nya untuk menderita dan akhirnya mati? Yesus menjelaskan sebabnya. Dia berkata, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Dengan memberikan korban tebusan untuk menutupi dosa kita, Tuhan memberi kita peluang untuk hidup selama-lamanya. (Mat. 20:28) Rasul Paulus menjelaskan bagaimana Tuhan menggunakan tebusan untuk melaksanakan tujuan-Nya. Paulus menulis, “Sebagaimana kematian datang melalui satu orang, begitu juga orang mati dibangkitkan melalui satu orang. Sebagaimana semua orang mati kerana Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.”—1 Kor. 15:21, 22.
12. Bagaimanakah Yehuwa akan melaksanakan tujuan-Nya bagi kita?
12 Yesus mengajar para pengikutnya untuk berdoa agar Kerajaan Tuhan datang dan agar kehendak Tuhan terlaksana di bumi. (Mat. 6:9, 10) Tuhan mahu manusia hidup kekal di bumi. Untuk mencapai tujuan itu, Dia melantik Anak-Nya sebagai Raja Kerajaan Mesias. Selain itu, Tuhan mengumpulkan 144,000 orang dari bumi supaya mereka dapat bekerja bersama Yesus untuk melaksanakan kehendak-Nya.—Why. 5:9, 10.
13. Apakah yang sedang Yehuwa lakukan sekarang, dan apakah yang perlu anda lakukan?
13 Sekarang, Yehuwa sedang mengumpulkan orang daripada segala bangsa dan melatih mereka untuk menjadi rakyat Kerajaan-Nya. Biarpun dunia kita berpecah-belah akibat kebencian dan perang, “kumpulan besar manusia” ini berusaha untuk menyingkirkan segala bentuk kebencian daripada hati mereka. (Why. 7:9, 10; Yak. 2:8) Mereka seolah-olah telah menempa pedang menjadi bajak. (Mi. 4:3) Mereka tidak terlibat dalam perang yang menyebabkan begitu banyak kematian. Sebaliknya, mereka berusaha untuk membantu orang mendapatkan “kehidupan yang sejati” dengan mengajar mereka tentang Tuhan yang benar dan tujuan-Nya. (1 Tim. 6:19) Biarpun mereka menghadapi penganiayaan daripada ahli keluarga atau masalah kewangan kerana menyokong Kerajaan Tuhan, Yehuwa memastikan keperluan mereka sentiasa dijaga. (Mat. 6:25, 30-33; Luk. 18:29, 30) Semua hal ini meyakinkan kita bahawa Kerajaan Tuhan benar-benar wujud dan akan digunakan oleh Yehuwa untuk melaksanakan tujuan-Nya.
MASA DEPAN YANG INDAH SUDAH DEKAT
14-15. Bagaimanakah janji Yehuwa untuk melenyapkan kematian buat selama-lamanya akan menjadi kenyataan?
14 Kini, Yesus sudah menjadi Raja di syurga dan dia akan menunaikan semua janji Yehuwa. (2 Kor. 1:20) Sejak tahun 1914, Yesus telah mula menakluki musuh-musuhnya. (Mzm. 110:1, 2) Tidak lama lagi, dia dan kaum terurap akan mengalahkan semua musuh Tuhan dan melenyapkan orang jahat.—Why. 6:2.
15 Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Yesus, orang mati akan dibangkitkan dan manusia yang taat akan menjadi sempurna. Selepas ujian terakhir, mereka yang melakukan apa yang benar di mata Yehuwa “akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.” (Mzm. 37:10, 11, 29) Pada masa itu, “musuh terakhir” manusia, iaitu kematian, “akan dilenyapkan.”—1 Kor. 15:26.
16. Apakah sepatutnya sebab utama kita menyembah Yehuwa?
16 Seperti yang telah kita pelajari, harapan untuk hidup selama-lamanya adalah berdasarkan Firman Tuhan. Harapan ini dapat membantu kita tetap setia kepada Yehuwa sepanjang hari-hari terakhir yang mencabar ini. Tetapi untuk menyenangkan hati Yehuwa, kita tidak boleh didorong oleh keinginan untuk hidup selama-lamanya sahaja. Sebab utama kita tetap setia kepada Yehuwa dan Yesus ialah kasih kita yang mendalam terhadap mereka. (2 Kor. 5:14, 15) Kasih itu akan mendorong kita untuk meniru teladan mereka dan menginjil dengan rajin. (Rm. 10:13-15) Apabila kita belajar untuk bersikap murah hati dan tidak mementingkan diri, Yehuwa akan sudi menjadi sahabat kita buat selama-lamanya.—Ibr. 13:16.
17. Apakah tanggungjawab kita masing-masing? (Matius 7:13, 14)
17 Adakah anda akan hidup selama-lamanya? Yehuwa telah memberi kita peluang itu, tetapi kita masing-masing bertanggungjawab untuk terus berada di haluan yang menuju kehidupan kekal. (Baca Matius 7:13, 14.) Namun, apakah keadaan hidup kita di Firdaus nanti? Kita akan membincangkan jawapannya dalam rencana yang seterusnya.
LAGU 141 Mukjizat Kehidupan
a Inginkah anda hidup selama-lamanya? Yehuwa sudah berjanji bahawa suatu hari nanti, kita dapat hidup selama-lamanya tanpa perlu risau kita akan mati. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji beberapa sebab yang menunjukkan mengapa kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-Nya.
b Lihat kotak “ Istilah ‘Selama-Lamanya’ dalam Bible.”
c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara tua membayangkan hal-hal yang ingin dilakukannya semasa dia hidup selama-lamanya di dunia baharu kelak.