RENCANA PEMBELAJARAN 51
Menemui Ketenangan semasa Dilanda Masalah Besar
“Janganlah susah hati dan janganlah berasa takut.”—YOH. 14:27.
LAGU 112 Yehuwa, Tuhan Kedamaian
PENGENALAN a
1. Apakah itu “kesejahteraan daripada Tuhan,” dan bagaimanakah kesejahteraan ini membantu kita? (Filipi 4:6, 7)
TERDAPAT sejenis kedamaian yang tidak diketahui oleh orang di dunia ini, iaitu “kesejahteraan daripada Tuhan.” Itulah perasaan tenang yang dimiliki oleh seseorang yang mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa. (Baca Filipi 4:6, 7.) Apabila kita memiliki kesejahteraan daripada “Tuhan yang memberikan kedamaian,” kita berasa selamat, dan kita menikmati hubungan yang erat dengan-Nya dan dengan orang lain yang mengasihi-Nya. (1 Tes. 5:23) Jika kita mengenali, mempercayai, dan mentaati Bapa kita yang di syurga, kesejahteraan daripada Tuhan dapat menenangkan hati kita semasa kita dilanda masalah besar.
2. Mengapakah kita yakin bahawa kita boleh memiliki kesejahteraan daripada Tuhan?
2 Semasa menghadapi masalah besar seperti wabak penyakit, bencana, pergolakan sosial, atau penganiayaan, kita mungkin berasa takut. Dalam keadaan sebegini, mungkinkah kita dapat memiliki kesejahteraan daripada Tuhan dan tetap bertenang? Ya. Yesus menasihati para pengikutnya, “Janganlah susah hati dan janganlah berasa takut.” (Yoh. 14:27) Ramai saudara saudari telah mengikut nasihat Yesus ini. Dengan adanya bantuan Yehuwa, mereka dapat tetap tenang semasa menghadapi masalah yang besar.
MENEMUI KETENANGAN SEMASA PENULARAN WABAK PENYAKIT
3. Bagaimanakah wabak penyakit dapat meragut ketenangan kita?
3 Penularan wabak penyakit dapat menjejaskan kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, perhatikan kesan COVID-19 terhadap ramai orang. Menurut sebuah kajian, lebih separuh daripada orang yang ditinjau mengatakan bahawa mereka mengalami masalah tidur semasa pandemik. Selain itu, kes kerisauan, kemurungan, penyalahgunaan dadah dan alkohol, keganasan rumah tangga, dan cubaan membunuh diri, meningkat secara mendadak semasa pandemik. Jika berlakunya wabak penyakit di kawasan anda, apakah yang dapat anda lakukan untuk memiliki kesejahteraan daripada Tuhan dan tidak terlalu risau?
4. Mengapakah nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir memberi kita ketenangan?
4 Yesus menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, wabak penyakit “akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” (Luk. 21:11) Bagaimanakah nubuat ini memberi kita ketenangan? Kita tidak berasa hairan semasa melihat wabak penyakit menular, kerana Yesus sudah menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku. Sebaliknya, kita akan ikut nasihat yang Yesus berikan kepada mereka yang hidup pada hari-hari terakhir, iaitu: “Janganlah takut.”—Mat. 24:6.
5. (a) Menurut Filipi 4:8, 9, apakah yang harus kita doakan semasa wabak penyakit menular? (b) Bagaimanakah rakaman audio Bible dapat membantu anda?
5 Semasa wabak penyakit menular, kita mungkin berasa sangat risau dan bahkan panik. Itulah yang berlaku kepada seorang saudari yang bernama Desi. b Akibat COVID-19, pak ciknya, sepupunya, dan doktornya meninggal. Jadi Desi risau dia akan menghidap penyakit itu dan menjangkiti ibunya yang sudah tua. Dia juga risau pandemik itu akan menyebabkannya kehilangan kerja dan tidak dapat membeli makanan atau membayar sewa. Desi begitu risau sehingga tidak dapat tidur pada waktu malam. Apakah yang membantunya berasa tenang semula? Dia berdoa dengan spesifik untuk meminta Yehuwa membantunya bertenang dan berfokus kepada hal-hal yang positif. (Baca Filipi 4:8, 9.) Dia juga “mendengar” Yehuwa bercakap kepadanya menerusi rakaman audio Bible. Dia berkata, “Suara para pembaca yang tenang telah mengurangkan kerisauan saya dan mengingatkan saya tentang belas kasihan Yehuwa.”—Mzm. 94:19.
6. Bagaimanakah pembelajaran peribadi dan perjumpaan dapat membantu anda?
6 Semasa wabak penyakit menular, kehidupan seharian anda pasti terganggu. Namun, janganlah mengabaikan pembelajaran peribadi atau perjumpaan. Daripada kisah hidup dalam bahan bacaan dan video kita, anda akan diingatkan tentang saudara saudari yang terus menyembah Yehuwa dengan tabah semasa menghadapi cabaran yang sama. (1 Ptr. 5:9) Dengan menghadiri perjumpaan, anda dapat mengisi minda anda dengan hal-hal yang positif daripada Bible. Di perjumpaan, anda juga berpeluang untuk menerima dan memberikan galakan. (Rm. 1:11, 12) Apabila anda merenungkan bagaimana Yehuwa telah menyokong para penyembah-Nya semasa mereka jatuh sakit, berasa takut, atau rasa keseorangan, iman anda akan dikuatkan, dan anda akan diyakinkan bahawa Yehuwa juga akan menyokong anda.
7. Apakah yang dapat anda pelajari daripada Rasul Yohanes?
7 Semasa wabak penyakit menular, kita mungkin perlu menjaga jarak fizikal, bahkan semasa kita berada bersama saudara saudari kita. Pada masa sebegini, anda mungkin berasa seperti Rasul Yohanes. Dia ingin bercakap dengan kawannya Gayus secara bersemuka, tetapi dia tidak dapat berbuat demikian untuk suatu jangka masa. (3 Yoh. 13, 14) Oleh itu, dia menghubungi Gayus melalui surat. Seperti Yohanes, jika anda tidak dapat mengunjungi saudara saudari anda, cubalah hubungi mereka menerusi telefon, panggilan video, atau mesej. Jika anda kerap menghubungi rakan seiman anda, anda akan berasa lebih selamat dan tenang. Jika anda dibebani rasa risau, hubungilah para penatua dan terimalah bantuan mereka.—Yes. 32:1, 2.
MENEMUI KETENANGAN SEMASA MENGHADAPI BENCANA
8. Bagaimanakah bencana mungkin meragut ketenangan anda?
8 Jika anda pernah menjadi mangsa banjir, gempa bumi, atau kebakaran, hal itu mungkin meninggalkan kesan yang mendalam terhadap emosi anda, biarpun peristiwa itu sudah lama berlalu. Jika anda kehilangan orang tersayang atau harta benda, anda mungkin berasa sedih, tiada harapan, atau bahkan marah. Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa anda mencintai kebendaan atau kurang beriman. Anda telah menghadapi tamparan yang besar, maka tidak hairanlah jika anda mempunyai perasaan atau reaksi yang negatif. (Ayb. 1:11) Bagaimanakah anda dapat menemui ketenangan semasa menghadapi cabaran sebegini?
9. Bagaimanakah Yesus membantu kita bersedia menghadapi bencana?
9 Tidak seperti sesetengah orang di dunia yang berfikir bahawa bencana tidak mungkin menimpa mereka, kita menjangkakan bahawa bencana akan bertambah teruk dan mungkin mempengaruhi kita. Yesus menubuatkan bahawa “gempa bumi yang dahsyat” dan bencana yang lain akan berlaku sebelum akhir tiba. (Luk. 21:11) Dia juga memberitahu para pengikutnya bahawa “kejahatan [akan] semakin bertambah.” Nubuat ini memang berlaku. Kita melihat semakin banyak kes keganasan, jenayah, dan serangan pengganas. (Mat. 24:12) Yesus tidak pernah berkata bahawa jika kita ditimpa malapetaka, hal itu bermaksud Yehuwa tidak peduli tentang kita. Sebenarnya, ramai daripada umat Yehuwa telah menjadi mangsa bencana. (Yes. 57:1; 2 Kor. 11:25) Biarpun Yehuwa tidak melakukan mukjizat untuk melindungi kita daripada bencana, Dia pasti memberi kita segala yang diperlukan supaya kita tetap tenang dan tenteram.
10. Jika kita membuat persiapan sekarang untuk menghadapi bencana, bagaimanakah hal itu menunjukkan bahawa kita beriman? (Amsal 22:3)
10 Semasa kecemasan berlaku, kita akan berasa lebih mudah untuk bertenang jika kita sudah membuat persiapan terlebih dahulu. Namun, adakah kita membuat persiapan kerana kita tidak percaya Yehuwa akan menjaga kita? Tidak! Sebenarnya jika kita beriman kepada Tuhan dan yakin bahawa Dia akan jaga kita, kita akan membuat persiapan untuk menghadapi bencana. Firman Tuhan menasihati kita untuk sediakan payung sebelum hujan. (Baca Amsal 22:3.) Menerusi bahan bacaan, perjumpaan, atau pengumuman dari masa ke masa, organisasi Tuhan berulang kali menggesa kita untuk membuat persiapan sebelum bencana berlaku. c Adakah kita beriman kepada Yehuwa? Jika ya, kita akan mengikut nasihat-Nya sekarang.
11. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Margaret?
11 Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Margaret. Dia disuruh meninggalkan rumahnya selepas kebakaran hutan berlaku di kawasan tempat tinggalnya. Oleh sebab begitu ramai orang ingin meninggalkan kawasan itu sekali gus, kesesakan lalu lintas berlaku dan semua kenderaan tidak dapat bergerak. Tidak lama kemudian, udara dipenuhi asap hitam dan Margaret terperangkap dalam keretanya buat suatu jangka masa. Namun dia terselamat kerana dia sudah membuat persiapan awal. Dalam dompetnya, dia menyimpan sebuah peta supaya dia dapat mencari jalan lain untuk meninggalkan kawasan itu. Dia bahkan pernah cuba memandu mengikut jalan itu sebagai persiapan untuk menghadapi kecemasan. Ya, persiapan yang baik telah menyelamatkan Margaret!
12. Mengapakah kita mematuhi arahan keselamatan?
12 Untuk melindungi kita dan orang lain, pihak kerajaan mungkin melaksanakan perintah berkurung, menyuruh kita meninggalkan rumah, atau memberikan arahan yang lain. Sesetengah orang lambat mematuhi arahan sebegini kerana mereka tidak sanggup meninggalkan harta benda mereka. Bagaimana pula dengan orang Kristian? Bible memberitahu kita, “Demi Tuan, tunduklah kepada semua orang yang berkuasa, baik kepada raja sebagai orang yang lebih tinggi kedudukannya, mahupun kepada gabenor yang diutus oleh raja.” (1 Ptr. 2:13, 14) Organisasi Tuhan juga memberi kita arahan demi keselamatan kita. Contohnya, kita sering diingatkan untuk memberitahu para penatua maklumat perhubungan kita yang terkini supaya mereka dapat menghubungi kita semasa kecemasan. Sudahkah anda berbuat demikian? Kita juga mungkin diberi arahan supaya meninggalkan rumah atau terus duduk di rumah, cara mendapat barang keperluan, atau bila dan bagaimana kita patut membantu orang lain. Jika kita gagal mematuhi arahan sebegini, kita mungkin membahayakan nyawa diri sendiri dan nyawa para penatua yang bertanggungjawab untuk menjaga kita. (Ibr. 13:17) Margaret berkata, “Saya yakin sepenuhnya bahawa saya terselamat kerana saya mematuhi arahan para penatua dan organisasi Tuhan.”
13. Apakah yang membantu orang Kristian yang terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk tetap tenang dan bersukacita?
13 Banyak saudara saudari terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana bencana, peperangan, atau pergolakan sosial. Namun, mereka berusaha menyesuaikan diri dengan tempat tinggal baharu, dan mereka segera menyertai aktiviti rohani. Seperti orang Kristian abad pertama yang tercerai-berai akibat penganiayaan, mereka terus “mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan.” (Kis. 8:4) Kerja penyebaran telah membantu mereka untuk bertumpu kepada Kerajaan Tuhan dan bukannya kesusahan mereka. Hasilnya, mereka dapat tetap bertenang dan bersukacita.
MENEMUI KETENANGAN SEMASA DIANIAYA
14. Bagaimanakah penganiayaan dapat meragut ketenangan kita?
14 Akibat penganiayaan, kita mungkin kehilangan banyak perkara yang biasanya membuat kita tenang. Sebagai contoh, kita rasa puas dan gembira semasa kita bebas untuk berhimpun, menginjil, dan melakukan aktiviti seharian, dan kita tidak perlu takut kita akan ditangkap. Tetapi jika kita tidak dapat melakukan hal-hal itu lagi, kita mungkin rasa khuatir dan tidak tenteram. Perasaan sebegini memang normal. Namun, kita masih perlu berhati-hati kerana Yesus pernah berkata bahawa penganiayaan dapat membuat kita tersandung. (Yoh. 16:1, 2) Bagaimanakah kita dapat tetap tenang semasa dianiaya?
15. Mengapakah kita tidak patut takut terhadap penganiayaan? (Yohanes 15:20; 16:33)
15 Bible memberitahu kita, “Semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.” (2 Tim. 3:12) Seorang saudara yang bernama Andrei berasa susah untuk menerima hakikat bahawa kerja Saksi-Saksi Yehuwa di negaranya telah diharamkan. Dia berfikir, “Ada begitu banyak Saksi di sini. Mana mungkin pihak kerajaan dapat menangkap kami semua?” Fikiran sedemikian tidak membantu Andrei bertenang, malah membuatnya selalu risau. Saudara saudari lain pula tidak terlalu risau seperti Andrei. Mengapa? Mereka menerima hakikat bahawa mereka mungkin akan ditangkap, tetapi mereka bergantung pada Yehuwa. Jadi Andrei meniru sikap mereka dan bergantung pada Yehuwa. Tidak lama selepas itu, Andrei berasa tenang. Sekarang dia bersukacita meskipun menghadapi pelbagai cubaan. Kita juga dapat merasai ketenangan dan sukacita yang sama. Ingatlah, biarpun Yesus berkata bahawa penganiayaan akan berlaku, dia juga berkata bahawa kita dapat tetap setia kepada Tuhan.—Baca Yohanes 15:20; 16:33.
16. Apakah arahan-arahan yang perlu kita patuhi semasa dianiaya?
16 Semasa kegiatan kita diharamkan atau disekat, kita mungkin diberi arahan tertentu daripada pejabat cawangan dan para penatua. Arahan sebegini bertujuan untuk melindungi kita, untuk memastikan kita terus menerima bekalan makanan rohani, dan untuk membantu kita meneruskan kerja penyebaran sejauh mana yang mungkin. Jadi, berusahalah sedaya upaya untuk mematuhi arahan sebegini, biarpun anda tidak memahami sebabnya arahan itu diberikan. (Yak. 3:17) Selain itu, jangan sekali-kali membocorkan maklumat tentang saudara saudari atau kegiatan sidang kepada orang yang tidak berhak untuk mengetahuinya.—Pkh. 3:7.
17. Seperti para rasul pada abad pertama, apakah tekad kita?
17 Salah satu sebab utama Syaitan berperang melawan umat Tuhan adalah kerana mereka “diamanahkan tugas untuk memberikan kesaksian tentang Yesus.” (Why. 12:17) Janganlah izinkan Syaitan dan dunia ini untuk menggertak anda. Apabila anda terus menginjil dan mengajar biarpun ditentang, anda akan berasa tenang dan bersukacita. Pada abad pertama, semasa pihak berkuasa melarang para rasul menginjil, mereka memilih untuk mematuhi Tuhan dan terus menginjil. Hasilnya, mereka bersukacita. (Kis. 5:27-29, 41, 42) Sudah tentu, apabila kerja kita disekat, kita harus berhati-hati semasa menginjil. (Mat. 10:16) Namun, jika kita berusaha melakukan yang terbaik dalam kerja penyebaran, kita akan berasa tenang kerana kita menyenangkan hati Yehuwa dan kerana kita sudah menyebarkan mesej yang membawa penyelamatan.
“TUHAN KEDAMAIAN AKAN MENYERTAI KAMU”
18. Dari manakah kita dapat menemui ketenangan yang sejati?
18 Yakinlah bahawa kita dapat tetap tenang bahkan di bawah situasi yang paling mencabar. Pada masa sedemikian, ingatlah bahawa ketenangan yang kita perlukan hanya dapat diberikan oleh Yehuwa. Maka, tidak kira anda menghadapi penularan wabak penyakit, bencana, atau penganiayaan, teruslah bergantung pada Yehuwa dan berpaut pada organisasi-Nya. Selain itu, bertumpulah kepada harapan masa depan yang cerah. Dengan itu, “Tuhan kedamaian akan menyertai kamu.” (Flp. 4:9) Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat membantu rakan seiman yang ditimpa kesusahan untuk memiliki kedamaian daripada Tuhan.
LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu
a Yehuwa berjanji untuk memberikan kedamaian, atau kesejahteraan, kepada orang yang mengasihi-Nya. Apakah itu kesejahteraan daripada Tuhan dan bagaimanakah kita dapat menemuinya? Bagaimanakah “kesejahteraan daripada Tuhan” dapat membantu kita semasa kita menghadapi wabak penyakit, bencana, atau penganiayaan? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan itu.
b Sesetengah nama telah diubah.
c Lihat rencana “Cara Agar Bisa Selamat Saat Terjadi Bencana” dalam majalah Sedarlah! bahasa Indonesia terbitan No. 5 2017.